Thursday, April 29, 2010

MAJLIS PERSARAAN HJ. AMINUDDIN

Pada hari ini 29 April 2010, Bahagian Inspektorat telah mengadakan satu majlis bagi meraikan persaraan Tn. Hj. Aminuddin b. Bontat, Pengurus Kanan Pengawasan 1 yang akan bersara pada 14 Mei, 2010.

Majlis yang diadakan di Lantai Biru, telah dihadiri oleh Tn. Hj. Kamaludin b. Ibrahim,Pengurus Besar Inspektorat, Pn. Zuraidah bt. Mohamed, Pengurus Besar Khidmat Ladang, Tn. Hj. Shaharom b. Shamsudin, Pengurus Kanan Cawangan Pengawasan 2, En. Idris b. Lasim, Pengurus Kanan Pembangunan Ladang, Pn. Hjh. Kalsom bt. A. Rahman, Pengurus Kanan Input Pertanian, Tn. Hj. Asmat b. Sumarto, Pengarah Urusan FAISB, Tn. Hj. Ismail b. Hussin, Timbalan Pengurus Besar Wilayah Sbg. Perak, Pengurus-Pengurus Pertanian Bahagian Inspektorat, Pengurus-Pengurus FUESB dan semua staf Kumpulan Pengurusan Estet.

En. Sulaiman b. Mohamad, Pengurus Tenaga Kerja dan Keselamatan (NIOSH) Bahagian Inspektorat telah dilantik sebagai pengacara majlis.

Tn. Hj. Aminuddin b. Bontat, adalah seorang Pengurus Kanan yang berpengalaman dibidang perladangan dan telah berkhidmat dengan Syarikat selama 35 tahun. Salah satu tugas utama beliau adalah sebagai tenaga pengajar kepada pengurus-pengurus pelatih dan juga para Eksekutif Perladangan yang baru dilantik.

Bersempena majlis tersebut juga, Bhg. Inspektorat turut meraikan majlis hari lahir 'Boss' mereka iaitu Tn. Hj. Kamaluddin b. Ibrahim dan petukaran tempat bertugas En. Zainudin b. Mod Yusoff , seorang pegawai Bahagian ini ke Unit Global Positioning System/Geograpic Information System (GPS/GIS) yang terletak di bawah Khidmat Ladang.

Kami semua mengucapkan selamat bersara kepada Tn. Haji Aminuddin, Selamat menyambut hari lahir kepada Tn. Hj. Kamaludin dan selamat bertukar kepada En. Zainuddin Mohd Yusof dengan doa dan harapan semoga tuan-tuan di Rahmati Allah, Sihat Sejahtera, sentiasa ceria dan berbahagia disamping keluarga tercinta. Amin.....

Tn. Hj. Aminuddin
sedang menyampaikan ucapan

Ada ketikanya Tn. Hj. Aminuddin kelihatan 'sebak'
terutamanya dalam perkara-perkara
yang menyentuh perasaannya

Tn. Hj. Kamaluddin b. Ibrahim, sebagai
boss di Bhg. Inspektorat sedang
memberikan ucapan penghargaan
dan terimakasih kepada Tn. Hj. Aminuddin
diatas segala sumbangan dan khidmat bakti
yang dicurahkan sepanjang berkhidmat dengan Syarikat

Duduk dari kiri : En. Zulkifli b. Abd. Rahman,
Pn. Zuraidah bt. Mohamad, Tn. Hj. Kamaludin b. Ibrahim,
Pn. Hjh. Kalsom bt. A. Rahman, Tn. Hj. Aminuddin b. Bontat
dan En. Idris b. Lasim

Pn. Hjh. Kalsom dan Tn. Hj. Aminuddin
khusyuk mendengar ucapan yang disampaikan

Tn. Hj. Kamaluddin sedang menyampaikan
cenderahati kepada Tn. Hj. Aminuddin

Pn. Zuraidah bt. Mohamad,
Pengurus Besar Bhg. Khidmat Ladang
turut menyampaikan cenderahati kepada Tn. Hj. Aminuddin

En. Sulaiman b. Mohamad bertindak selaku Pengacara majlis

Tn. Hj. Kamaluddin sedang memotong kek hari lahirnya
sambil diperhatikan oleh Tn. Hj. Ismail b. Hussin,
Pegawai Penyelaras FELCRA Sbg. Perak

Pn. Hamisah bt. Mohamad,
Setiausaha kepada Tn. Hj. Kamaluddin
sedang menanti kek yang akan dipotong
oleh boss nya untuk diagihkan kepada semua yang hadir

En. Zainudin b. Mohd Yusoff,
sedang memberikan ucapan
sempena pertukaran beliau

Tn. Hj. Zainuddin Mohamed sedang membacakan
doa selamat bagi memberkati majlis...
"Jangan panjang sangat haji..perut dah lapar ni..."

Pengurus-Pengurus Kanan
dan Pengurus-Pengurus Pertanian
bergambar ramai selepas majlis.
Dari kiri : En. Mohd Ridzuan b. Mohd Noor,
En. Mohd Rashid b. Mohd Jadi,
En. Mohd Khusaini Zanir Abd. Manan,
En. Idris b. Lasim, Tn. Hj. Ismail b. Hussin,
Tn. Hj. Aminuddin b. Bontat, Tn. Hj. Shaharom b. Shamsuddin
dan En. Sulaiman b. Mohamad

Pegawai dan staf Bahagian Inspektorat.
Duduk dari kiri : Pn. Siti Rahayu, En. Mohd Ridzuan,
Tn. Hj. Aminuddin, Tn. Hj. Kamaludin,
Tn. Hj. Shaharom, En. Sulaiman dan En. Khusaini.
Berdiri dari kiri : Liyana, Norafiza, Zainuddin, Ahmad Jais,
Sa'idah, Norhayati, Hamisah dan Tn. Hj. Zainuddin
Tiada dalam gambar :
En. Anis Abdol Rahman,
Che Hashim Che Derahman dan
En. Baharuddin Wahab

Rakan seperjuangan.
Tn. Hj. Aminuddin, Peng. Kanan Pengawasan 1 dan
Tn. Hj. Shaharom, Peng. Kanan Pengawasan 2.
Kedua-dua mereka adalah 'tulang belakang'
kepada Bahagian Inspektorat

"Pn. Chom macam tak rela je nak lepaskan Haji Amin tu..."



"Jangan simpan senyum tu Eddy..."

Gadis Inspektorat.
Dari kiri : Pn. Hamisah Mohamad,
Cik Liyana Tajuddin, Cik Sa'idah Sa'diar,
Pn. Aishah Ahmad dan Cik Norafiza Ismail.


Gadis FUESB.
Dari kiri : Pn. Nurazila Abd. Aziz,
tapi yang sebelah tu aku tak taulah namanya,
segan pulak nak tanya. Sebab tu aku pandang dari jauh jeee!!!

Che Hashim Che Derahman.
Cadang nak jugak 'impit' adik-adik...
Tapi akak sebelah tu tak bagi can langsung..

Tn. Hj. Asmat Sumarto, Pengarah Urusan FAISB
sedang membisikkan sesuatu kepada
Tn. Hj. Shaharom Shamsuddin.
Seronok nampak !!!!!!!!!!!!!!!!
mesti ade projek baik punye..20%.
Dialog Salleh Kamil (Tuan Penasihat)
kepada Ahmad Nisfu dalam 3 Abdul

2 CT.
Dari kiri : Siti Salmiah dan Siti Rahayu

2 CT lagi...
macammana aku boleh snap 2CT ni sampai 2 kali.
Mesti salah sorang ni masih single....
Ade can ni..

Jangan berebut...makanan dijamin cukup....
ingat same ngan orang belakang....

Badan kocik jo..tapi cedok lauk
mengalahkan member sebelah tu...

Awek cun Bhg. Inspektorat.
Kehadiran mereka membuatkan para jejaka
termasuk yang dah 'senja' bersemangat datang kerja
seawal pagi dan 'maleh' jo bila nak balik rumah ......

Inilah para jejaka yang aku maksudkan...
semuanya kaki mengimpit..Yang dah 'senja'
tidak kelihatan dalam gambar
...cover line!!!!!

Tapi gerak geri para jejaka ni kerap terbantut
dengan kehadiran Pak Lebai sorang ni...
Kata orang puteh 'Check and Balance',
kalau tidak huru hara pejabat aku.

'Menyenget' ada makna tuh..

Baguih-baguih..Macam tu lah ambik makanan..
tak berebut pun, sesuai lah dengan kepegawaian awak tu..
tapi hari ni kan hari Khamis, kenape tak pakai baju batik
macam pegawai-pegawai yang lain...
"Tak baca 'circular' ka.. !!!.
Potong markah KPI kang..."

Kesian akak kita nih...sampai hati adi-adik
suruh akak duduk luar barisan..
"Tu laa.. sapa suruh potong line,
kan dah kena denda."
Yatie!!! Yatie!!!!

Walaupun sodeh nak bopisah...
tapi selegho ado jo...

Pilih je mane yang berkenan..
tapi awas!!!!
yang tudung ungu dan coklat tu
dah pun berpunya.

Wednesday, April 28, 2010

KEHEBATAN CINTA

Adik cuma nak tanya ibu, kenapa begini jadinya?

Bu!!!, adik ingin bertanya.....
Rasanya ibu takkan mampu menjawabnya.....
Ibu ingat tak tanggal 14 Feb setiap tahun...
Malam itu ibu ada temu janji...Ibu jumpa jejaka tu....
Ibu kata dia cintakan ibu....



Benarkah bu?

Dia puji dan puja ibu...
Dia rayu dan belai ibu...
Katanya, cintanya hanya untuk ibu...

Benarkah bu?

Ibu khayal dengan pujukannya..
Ibu terbuai dalam bicaranya...
Ibu terlena oleh bisikannya...

Benarkah bu?

Ibu tak kisah dia peluk ibu...
Ibu izin dia sentuh jasad ibu...
Ibu puas dapat buktikan setia ibu...
Macam dia kata...mahu bukti cinta dari ibu...


Tapi benarkah bu?

Masa berlalu...
Hari ini lepas 9 bulan...
Pohon yang ibu dan lelaki itu tanam telah membuahkan hasil..
Hari ini buah cinta kalian telah terzahir...
Hari ini bukti kasih jejaka itu pada ibu telah lahir....


Tapi benarkah bu?

Kenapa dia tidak sama menyambut kami?
Kemana dia telah pergi tidak azankan kami?
Mengapa ibu pun benci kami?
Sedangkan inilah semaian tanda cinta kalian...


Mengapa ibu?

Tak terasakah sakit dan perit
Tak berbakikah kasih dan sayang, dan..
Tidak lagikah ibu bertuhan...


Benarkah ibu?
Benarkah begitu?


Adik cuma nak tanya ibu...



-->
Renung renung kanlah !!!

-Bila seronok, aku cari....
pasanganku
-Bila sedih, aku cari....
Mak
-Bila berjaya, aku ceritakan pada....
pasanganku
-Bila gagal, aku ceritakan pada...
.Mak
-Bila bahagia, aku peluk erat....
pasanganku
-Bila berduka, aku peluk erat....
Emakku
-Bila nak bercuti, aku bawa....
pasanganku
-Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....
Mak
-Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada
pasanganku
-Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan
"Selamat Hari Ibu"
-Selalu.. aku ingat
pasanganku
-Selalu....
Mak ingat kat aku
-Bila-bila... aku akan talipon
pasanganku
-Entah bila... aku nak talipon
Mak
-Selalu...aku belikan hadiah untuk
pasanganku
-Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk
Emak
-Renungkan:
-"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja...
-bolehkah kau kirim wang untuk
Mak?
-
Mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

-Berderai air mata jika kita mendengarnya........

-Tapi kalau Mak sudah tiada..........
-
MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

-Berapa ramai yang sanggup
menyuapkan ibunya....
-berapa ramai yang sanggup
mencuci muntah ibunya.....
-berapa ramai yang sanggup.
mengantikan lampin ibunya.....
-berapa ramai yang sanggup.....
membersihkan najis ibunya.......
-berapa ramai yang sanggup.......
membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
-berapa ramai yang sanggup
berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

-Dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......
-"Jika kamu menyayangi ibumu, "forward"kanlah Email ini kepada sahabat- sahabat anda.

1 orang : Kamu tidak sayangkan ibumu
2-4 orang : Kamu sayang ibumu
5-9 orang : Bagus! Sayang jugak kamu kepada Ibumu
10/lebih : Syabas!Kamu akan disayangi Ibumu



Artikel ini di petik dari inbox email aku...tak kenal siapa yang hantar...
Oleh kerana ianya baik untuk dijadikan pengajaran maka artikel ini terpilih untuk disiarkan..

Monday, April 26, 2010

OPS BUNCIT TAMATKAN RIWAYAT BENTONG KALI

Polis Tawar RM100,000 Bagi Menangkap Bentong Kali, Penjenayah Paling Dikehendaki Sekitar Tahun 1990an Kerana 16 pembunuhan

Mudah saja untuk dia membunuh seseorang. Apabila lelaki itu berang, dia sekadar menarik pistolnya dan menembak sesiapa saja yang mencetuskan kemarahannya tanpa memikirkan impak perbuatan berkenaan.

Semudah itu saja, dia tidak kisah atau pernah takut memikirkan perbuatannya memiliki senjata api atau menembak seseorang boleh menyebabkan dia dihukum gantung sampai mati.

Lagak lelaki bernama P Kalimuthu itu bagaikan negara ini tiada undang-undang dan dia bebas berbuat apa saja mengikut kehendak nafsunya termasuk membunuh seseorang.

Pemikiran songsangnya itu menyebabkan Kalimuthu atau digelar Bentong Kali menjadi antara penjenayah paling berbahaya dan diburu polis pada dekad 1990-an selepas Wong Swee Chin atau Botak Chin pada 1970-an.

Rekodnya adalah 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.

Selain rekod pembunuhan itu, Bentong Kali turut disyaki dalam banyak lagi kes jenayah termasuk mencederakan polis.

Bentong Kali meninggalkan jejak jenayahnya menerusi kelongsong peluru jenis 9mm daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang dijumpai dalam kebanyakan kes pembunuhannya sebelum itu.

Penjenayah itu mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu.

Tanpa lagi alam persekolahan seperti remaja lain, Kalimuthu menyertai Kumpulan kongsi gelap Cina 04 dan mula mengenali dunia jenayah.

Atas kesalahan tertentu, dia ditahan dan kemudian dipenjara ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu.

Dipenjara pada usia muda tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08.

Bersama kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang-undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut,Sungei Way dan Ampang.

Dia ditahan semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah ditempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada 1987 bersama sekatan kediaman terhad di Kuantan, Pahang.

Dunia jenayah bagaikan matlamat kehidupannya. Peluang kedua untuk mengubah hidup mengikut undang-undang diabaikannya apabila lelaki itu kembali menyertai dunia jenayah.

Bagaimanapun, kali ini dia tidak lagi menyertai kumpulan jenayah sedia ada sebaliknya menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Antara kegiatan kumpulan 04 yang ditubuhkannya ialah aktif mengedar dadah dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan kesalahannya.

Untuk kali kedua, dia dikenakan sekatan kediaman terhad di Gopeng,Perak, selama dua tahun. Kalimuthu kemudian menghilangkan diri pada November 1984.

Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan lelaki itu.

Ops Buncit disertai 200 pegawai dan anggota polis termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor digerakan secara besar-besaran membuktikanpolis serius untuk memburu Bentong Kali hingga ke lubang cacing.

Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan mengikut kehendak nafsu mereka.

Bentong Kali juga dikatakan memiliki banyak tatu dilukis pada badan dan tangannya seperti tanda palang dan ungkapan Born To Die.

Pada tangan kanannya terdapat gambar kepala harimau manakala di tangan kirinya terukir gambar perempuan bogel, ular dan helang. Tatu dibahagian belakang badannya pula dilukis gambar helang dan kedua-dua pahanya ada gambar perempuan bogel. Kalimuthu turut memiliki parut kesan pembedahan di perut.

Dalam gerakan memburu penjenayah itu, poster dikehendaki polis yang antara lain memaparkan wajah Bentong Kali dan kegiatan jenayahnya mula ditampal di tempat awam.

Dengan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah ganas itu, kes buruan polis itu terus menjadi berita hangat.

Poster itu turut diedarkan di kawasan sempadan bagi membolehkan orang ramai mengesan kehadirannya dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan bagi mengelak Kalimuthu bolos ke negara jiran.

Polis terus melancarkan gerakan memburu Kalimuthu selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Serbuan demi serbuan dijalankan untuk menjejak penjenayah itu antaranyadi lokasi yang menjadi tumpuan jenayahnya iaitu sekitar Kuala Lumpur di Jalan Klang Lama, Brickfields, Taman Melawati; di Ampang, Balakong dan Kajang di Selangor dan Raub dan Bentong, Pahang.

Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama.

Intipan polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, KualaLumpur pada 29 Jun 1993.

Subuh menjelang apabila sepasukan anggota elit polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, mengambil posisi dan mengepung kawasan perumahan itu. Turut menyertai operasi adalah unit pemusnah bom.

Situasi genting itu kemudian bertukar menjadi drama tembak-menembak. Bentong Kali bersama dua pengikutnya melepaskan dua das tembakan kepada polis yang mengepung kawasan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua tembakan penjenayah itu tidak mengenai atau mencederakan anggota polis.

Menyedari tindakan agresif penjenayah itu dan cubaan mereka untuk melarikan diri, polis mengambil tindakan pantas dengan membalas tembakan.

Tembakan balas sekitar jam 6.30 pagi menyebabkan ketiga-tiga penjenayah terbabit terbunuh dengan satu das tembakan di kepala menamatkan riwayat P Kalimuthu. Kejayaan itu menamatkan episod das-das tembakan daripada penjenayah terbabit sepanjang era keganasannya yang membunuh kira-kira 16 mangsa.

PROFIL

Nama: P Kalimuthu
Gelaran: Bentong Kali
Lahir : 22 Januari 1961
Asal : Bentong, Pahang
Keluarga: Anak kelapan daripada 11 beradik

Beberapa Kes Pembunuhan Di lakukan Olehnya Sendiri

KEGEMBIRAAN sambutan hari lahir di Taman Tanming Jaya, Balakong, Selangor tidak berakhir dengan suasana ceria sebaik dua lelaki muncul tanpa diundang pada majlis berkenaan sekitar jam 11 malam 14 Jun 1993.

Kemunculan dua lelaki itu sememangnya memberi sesuatu yang mengejutkan apabila tanpa diduga, mereka melepaskan tembakan di hadapan kira-kira 40 orang yang berada pada majlis itu.

Sebaik melepaskan tembakan, terus dua lelaki itu beredar meninggalkan tetamu majlis itu dalam keadaan ketakutan. Tembakan itu menyebabkan tiga maut di tempat kejadian, seorang lagi mati ketika dikejarkan ke hospital manakala dua lagi cedera parah.

Beberapa ketika kemudian, polis berkejar ke tempat kejadian tetapi gagal mengesan dua lelaki berkenaan sebaliknya mereka menemui sembilan kelongsong peluru 9mm dari pistol Sig Sauer.

Penemuan bukti kelongsong peluru itu menyebabkan polis mengesyaki pembabitan P Kalimuthu atau Bentong Kali dalam kejadian pembunuhan berkenaan.

Tambahan pula lokasi kejadian berhampiran dengan tempat seorang penjual roti canai berusia 24 tahun yang ditembak Bentong Kali kira-kira enam hari sebelum kejadian pembunuhan pada majlis hari lahir itu.

Dalam kejadian sebelum itu, tindakan penjual roti canai terbabit menegur tindakan kurang ajar Bentong kali yang kencing berhampiran rumahnya menyebabkan penjenayah itu berang.

Seterusnya lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan sedas tembakan tanpa belas menyebabkan penjual roti canai itu rebah dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah.

Penduduk yang menyedari kejadian itu menghulurkan bantuan dengan menghantar mangsa ke Hospital Kajang, tetapi lelaki itu mati ketika dalam perjalanan.

Pada 11 Jun 1993, Bentong Kali turut disyaki terbabit dalam kejadian pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki ditembak dua das di bahagian dada dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal. Tidak lama selepas itu pula, seorang lagi lelaki turut ditembak oleh dua lelaki bermotosikal dengan modus operandi sama iaitu tembakan dari jarak dekat. Bagaimanapun, lelaki kedua hanya cedera.

Semua jenayah di kawasan perumahan itu dikaitkan dengan Bentong Kali kerana lelaki itu turut menyewa selama tiga bulan di Taman Tanming Jaya sebelum melarikan diri selepas mendatangkan angkara kepada penduduk di kawasan itu.

Tindakan Kalimuthu menyebabkan penduduk di taman itu hidup dalam ketakutan. Ada antara mereka yang berpindah buat sementara waktu ke kawasan lain kerana khuatir menjadi mangsa seterusnya.

Bagi penduduk yang tidak berpindah, mereka trauma sehingga tidak berani untuk keluar ke luar rumah pada waktu malam.

Ada penduduk yang membatalkan majlis keramaian seperti jamuan kerana khuatir kejadian menimpa jiran mereka turut berulang.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain di Pandan Jaya pada 27 Jun tahun sama, dua polis bermotosikal dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga yang disyaki dinaiki Bentong Kali.

Kereta berkenan dikatakan mematikan lampu secara tiba-tiba sebelum terus melanggar motosikal berkenaan sehingga dua anggota penguat kuasa yang dalam perjalanan ke pondok polis berhampiran tercampak.

Dua polis yang cedera sempat melepaskan tembakan ke arah kereta terbabit sebelum pemandunya keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri dalam gelap. Pemeriksaan kemudian mendapati ada kesan darah di tempat duduk pemandu.

Selain kejadian berkenaan, Bentong Kali juga dikatakan keterlaluan berani apabila menelefon dan mencabar pegawai polis.


Artikel ini dipetik dari laman http://redxone.net/


TUMPASNYA MAT KOMANDO

Dipondok inilah Mat Komando di tembak mati
pada Subuh 12 Sept. 2002 dalam Ops. Api Sawit 2

Keheningan subuh di Felcra Kampung Hujung Ketun, Pendang, Kedah, pada 12 September 2002, diganggu dengan dentuman berdas-das tembakan senjata api.

Ketika itu jam menunjukkan sekitar 6.30 pagi, kebanyakan penghuni kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Alor Star itu baru bangun untuk menunaikan solat subuh manakala pelajar bersiap untuk ke sekolah.

Penduduk tidak pun menyangka bahawa bunyi tembakan itu adalah daripada satu operasi besar dan penting polis yang dinamakan kod Ops Api Sawit 2 sekali gus menandakan kejayaan menumpaskan ketua kumpulan penjenayah amat dikehendaki, Kumpulan 13, yang diketuai Mat Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad.

Penduduk tidak menyangka Mat Komando, 37, yang ditumpaskan pagi itu kerana tersebar khabar angin kononnya dia dipercayai berjaya menyusup keluar dari negara ini pada waktu berkenaan.

Serbuan sepasukan 10 anggota polis yang turut disertai Unit Tindakan Khas (UTK) pagi itu mengakhiri pemburuan pasukan keselamatan terhadap Mat Komando selama 255 hari.

Operasi tragis itu berlangsung kira-kira sebulan selepas isterinya, Faridah Mat Piah, 34, dan bapa mertuanya, Md Piah Che Nam, (72 tahun ketika itu), membuat rayuan menerusi temu bual dengan akhbar Harian Metro, supaya dia menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Beberapa jam selepas operasi itu tamat, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai, mengesahkan bahawa lelaki yang berbalas tembak dengan polis waktu itu adalah Mat Komando.

Pengumuman itu sekali gus mengakhiri pemburuan polis ke atas Mat Komando, yang dilancarkan sejak 1 Januari 2002 selepas tiga rakannya terbunuh ketika lari dari sekatan polis di Kuala Nerang sebelum itu.

Kematian Mat Komando pada pagi itu berjaya menyelesaikan siasatan polis terhadap Kumpulan 13 yang turut dikaitkan dengan 52 kes samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM2.5 juta, dua kes mencuri motosikal dan satu kes cubaan membunuh.

Kumpulan 13 kerap terbabit dalam beberapa siri rompakan bank terpencil, selain rompakan terhadap pemborong kelapa sawit, pengurup wang, kedai pajak gadai dan individu. Mereka dipercayai terbabit dalam 11 rompakan di Perak, lima di Kedah dan masing-masing dua kes di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.

Operasi pada pagi itu juga menyudahkan satu episod jenayah terancang dengan sembilan anggota Kumpulan 13 ditangkap manakala empat termasuk ketuanya, mati ketika berbalas tembak dengan polis.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Colt .45 dan revolver .22; beberapa butir peluru hidup dan kelongsong serta wang tunai RM70 pada badan Mat Komando, pagi itu.

Ketika diburu selama lebih 200 hari, polis turut mengesan beberapa taktik penyamaran dilakukan oleh Mat Komando ketika dalam persembunyian untuk mengelak dikesan termasuk muncul berjanggut atau jambang ala Taliban serta botak licin (skin head).

Dalam beberapa serbuan polis sebelum itu, Mat Komando yang bertubuh tegap dan sasa berjaya melepaskan diri termasuk dalam Ops Api Sawit sebelum itu yang mengorbankan anggota kumpulannya termasuk abang ipar, Ismail Md Piah, di Bukit Selambau dan Jalan Gubir-Kuala Nerang pada 1 Januari 2002.

Selepas kejadian itu, Mat Komando terus berjaya mengelak daripada dikesan polis.

Kali terakhir dia dikesan di Baling, Kedah, ketika cuba membunuh orang kanannya, Mohd Syukri Husin, 31, yang bersamanya melepaskan diri daripada kepungan polis di Gemas, Negeri Sembilan, pada 5 Ogos 2002.

Tindakan itu membuktikan Mat Komando amat berbahaya kerana selain bersenjata api ketika melakukan samun, dia tidak akan teragak-agak melepaskan tembakan ke arah sasarannya, hatta cuba membunuh orang kanannya itu kerana dipercayai akan memberi banyak maklumat mengenai kegiatannya kepada polis jika dibiarkan hidup.

Dalam tempoh 255 hari itu, pelbagai andaian dan cerita mengenai ‘kehebatan’ Mat Komando diperkatakan kerana dia berupaya meloloskan diri daripada kepungan polis termasuk anjing pengesan.

Mat Komando juga mungkin mempunyai kelebihan tertentu yang menyebabkan dia licik meloloskan diri, terutama ketika melarikan diri ke dalam hutan berbekalkan pengalaman dan kemahirannya sebagai anggota komando sebelum terjerumus ke kancah jenayah.

Antaranya termasuk Mat Komando memiliki ilmu kebal dan menguasai ‘ilmu selisih’ yang membolehkannya meloloskan diri tanpa disedari polis walaupun dikepung.

Mat Komando turut mencatat sejarah dalam fail jenayah polis apabila dikategorikan sebagai penjenayah ‘berhati kering’ apabila berani mendedahkan mukanya dalam kebanyakan kes rompakan tanpa memakai topeng. Taktik itu memang jarang diamalkan penjenayah kerana ia menyebabkan mereka mudah dikenali, sekali gus memudahkan polis menjejakinya.

Modus operandinya ialah sebelum melakukan kegiatan, Kumpulan 13 akan merompak kereta terutama milik wanita dipercayai mudah untuk kenderaan itu dilarikan dan selepas misi mereka selesai ada di antara kenderaan itu dibakar bagi menghilangkan bukti.

Malah, ada yang mendakwa dia hanya boleh dibunuh ketika kedua-dua kakinya tidak berpijak di tanah.

Dalam banyak perjuangan, sama ada suci atau sebaliknya, perkara yang paling sukar bagi pihak bertentangan ialah jika buruannya tidak takut mati.

Teori sama dikatakan menghantui tentera Amerika Syarikat ketika berperang dengan Taliban di Afghanistan kerana pejuang itu tidak takut mati dan rela gugur syahid dalam pertempuran.

Mat Komando juga dilaporkan pernah menzahirkan kepada rakan dan ahli keluarganya bahawa dia lebih rela mati daripada menyerah diri kepada polis walaupun dia tinggal berseorangan. Subuh 12 September 2002 adalah penyudah kepada episod itu apabila dia ditembak mati dalam serbuan itu.

KISAH KEDEGILAN MAT KOMANDO SEBELUM AJALNYA

Pagi itu penduduk Kampung Hujung Keton di pedalaman Pendang, Kedah, gempar. Mereka terkejut bukan kerana kampung itu diceroboh kumpulan gajah liar.

Mulanya mereka sangka ia bunyi senapang patah penduduk kampung menembak musang yang mencuri ayam. Tidak mungkin pula tuan punya dusun menembak tupai seawal pukul 6.30 pagi. Tembakan itu berlarutan beberapa ketika sebelum terhenti.

Selepas itulah baru cerita sebenar muncul.

Berita Mat Komando mati ditembak oleh polis cepat tersebar ke Kampung Tok Sheikh dan Kampung Cina yang terletak tidak jauh dari situ. Ia kemudian menjadi buah mulut di Kubur Panjang, pekan Pendang dan akhirnya sampai ke Alor Setar dan Kuala Lumpur sebelum pukul 9 pagi.

Berita Mat Komando atau nama betulnya Ahmad Md. Arshad, 37, mati ditembak menjadi lebih sahih apabila pihak polis memaklumkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sendiri akan mengadakan sidang media di Alor Setar pada pukul 11 pagi.

Nama Mat Komando mula popular apabila dia diburu polis kerana mengetuai kumpulan perompak 13 yang terlibat dalam 52 rompakan bersenjata di beberapa buah cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), bank-bank komersial lain dan para pemborong kelapa sawit.

Polis segera melancarkan operasi khas yang dinamakan “Ops Api Sawit” untuk memberkas anggota-anggota kumpulan perompak itu.

Pada awal Januari lalu, Mat Komando terlepas daripada kepungan polis ketika anggota kumpulan itu pulang daripada “bercuti” bersama keluarga dan teman di sebuah pusat peranginan di Tasik Pedu.

Abang ipar Mat Komando bagaimanapun mati ditembak di dalam operasi itu sementara dua lagi rakan mereka ditembak di Bukit Selambau pada hari yang sama.

Seorang rakannya bersama teman wanita diberkas ketika berada di dalam bilik hotel peranginan itu.

Mat Komando hilang dalam Hutan Simpan Pedu yang bersempadan dengan Thailand. Dia dikatakan sudah biasa dengan kawasan itu kerana pernah terlibat dalam operasi di situ semasa berkhidmat sebagai anggota komando tentera dahulu.

Operasi besar-besaran diperhebatkan dengan bantuan unit udara polis, anjing pengesan dan Pasukan Gerak Am (PGA) termasuk pasukan Senoi Praaq yang mahir dengan selok-belok hutan.

“Selagi ada air dan terdapat benda bergerak di dalam hutan, anggota komando boleh hidup,” kata seorang rakan Mat Komando yang pernah menjadi pegawai tentera di dalam unit komando.

Ketika operasi giat dijalankan di Hutan Simpan Pedu, seorang anggota kumpulan itu muncul di Pejabat Utusan Alor Setar untuk menafikan dia bukan lagi buruan polis walaupun gambarnya masih tertera di dalam carta kumpulan perompak 13.

Malangnya, lelaki berusia lewat 50-an itu ditangkap polis keesokannya setelah gambarnya terpampang di muka depan Utusan Malaysia. Dia kini menghadapi tuduhan memiliki dan mengedar harta curi Kumpulan 13 dan telah pun dihadapkan ke mahkamah di Selangor.

Operasi polis bagi mengesan Mat Komando di hutan Pedu pada awal tahun ini dihentikan selepas kira-kira 10 hari Mat Komando tidak dapat dikesan.

Polis pada mulanya begitu optimis penjenayah licik itu mampu ditumpaskan dalam masa beberapa hari sahaja!

Selepas operasi mengesannya diberhentikan, nama Mat Komando seakan-akan lenyap sehinggalah dia muncul semula enam bulan kemudian di Gemas Negeri Sembilan pada 28 Julai lalu apabila sekali lagi dia bolos daripada kepungan polis.

Benarkah Mat Komando mempunyai ilmu batin hingga kerap dapat terlepas daripada kepungan polis? Inilah yang kerap ditanya orang.

Mat Komando, anak kedua daripada lapan beradik dari Kampung Selengkoh, Yan ini bukanlah anggota komando yang cukup terlatih dan berpengalaman luas kerana kerjayanya di dalam perkhidmatan tentera hanya selama dua tahun.

Walaupun begitu, pengalaman dalam bidang ketenteraan telah digunakan dalam “kerjaya” terbarunya itu sebelum dia menemui ajal pada pagi Khamis lalu.

Selepas berhenti daripada perkhidmatan tentera, Mat Komando bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur. Tugas barunya itu pun tidak bertahan lama dan selepas itu dia sering bertukar kerja lain seperti menjadi pemandu teksi dan pemandu bas.

Penglibatannya dalam kegiatan jenayah dikatakan bermula semasa dia bekerja sebagai pemandu lori.

Mat Komando dikatakan bukan seorang yang bersifat bengis, keras hati walaupun terlibat dalam kegiatan jenayah.

Ramai rakannya juga tidak percaya dia terlibat dalam perbuatan itu kerana dia jarang bercakap tentang apa yang dilakukannya dan tidak menunjukkan reaksi keras jika tidak menyetujui sesuatu perkara.

“Kadang-kadang dia menjadi pendiam,” kata seorang saudara terdekatnya ketika ditemui pemberita Mingguan Malaysia di Baling.

Satu sifat yang terdapat pada diri Mat Komando ialah dia sering membantu orang lain dan kerap membawa balik buah tangan untuk saudara-maranya walaupun nilainya tidak seberapa.

Dia pernah membawa pulang wang sebanyak RM20,000 untuk keluarganya dengan memberitahu ia adalah hasil menang loteri. “Kami semua tidak percaya kerana dia bukanlah kaki judi,” katanya.

Wang itu digunakan untuk menambah ruang rumah dan membeli motosikal.

Sebelum dia menjadi buruan polis, Mat Komando sempat menyiapkan rumah baru itu untuk kediaman isterinya dan seorang anak tunggal berusia 10 tahun yang cacat pendengaran.

Menurut saudaranya lagi, walaupun Mat Komando mempunyai wang yang banyak, dia tidak menunjuk-nunjuk, tidak berlagak ataupun memperlihatkan kemewahan hidup seperti orang lain.

Dia berpakaian biasa, malah kadangkala baju yang dipakainya agak lusuh.

Seperkara yang menarik, dia kerap melawat saudara-maranya setiap kali balik ke kampung atau menziarah anggota keluarga yang sakit.

Setelah tiga orang rakan termasuk abang iparnya ditembak mati dan beberapa orang suruhannya ditangkap, Mat Komando mulai bimbang. Dia berasa dirinya keseorangan.

Rakan sepelariannya, Shukri Husain yang terlepas daripada buruan polis ketika bersembunyi di sebuah rumah di Gemas, Negeri Sembilan juga akhirnya menjadi musuh.

Menurut pihak polis, Mat Komando dikatakan cuba membunuh Shukri di sebuah kampung di Baling baru-baru ini. Shukri yang dibelasah dengan teruk sempat menyelamatkan diri tetapi akhirnya ditahan oleh polis.

Pemberita dan jurugambar Mingguan Malaysia bersama jurugambar akhbar The Star juga pernah dikejar dengan parang oleh seorang lelaki tua yang berada di sebuah pondok ketika mereka membuat susulan mengenai kejadian itu.

Lelaki itu kemudian ditahan kerana disyaki melindungi Mat Komando. Gerakan memburu Mat Komando diperhebatkan semula di sekitar daerah Kuala Muda, Baling, Sik dan Pendang kerana dia disyaki berlegar di tiga atau empat daerah itu.

Dia dikatakan ingin balik ke rumah isterinya di Baling untuk melihat dan merenung buat kali terakhir anak tunggalnya yang cacat.

Walaupun Mat Komando dikehendaki polis, dia amat sayang kepada anak lelakinya itu.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Mat Komando akhirnya rebah setelah dua butir peluru polis menembusi kepala dan rusuk kirinya pada subuh hening Khamis lalu.

Sebelum itu, dia dikatakan pernah berpesan kepada isterinya Faridah Md. Piah supaya menyiapkan kain putih untuknya kerana dia tidak akan menyerah diri sama sekali.

Mat Komando mati pada pagi Khamis lalu kerana prinsipnya itu.

INFO

Mat Komando
NAMA: Ahmad Mohd Arshad @ Mat Arshad
ALAMAT TERAKHIR DIKESAN: LLM 30 Kampung Selengkoh Tengah, Yan, Kedah tetapi dikatakan berasal dari Parit Panjang, Baling, Kedah.
GELARAN: Mat Komando, Mat Spring. Dilabel juga sebagai penjenayah paling ganas, kebal, licik ala Robin Hood.
KOD OPERASI: Ops Api Sawit dan Ops Api Sawit 2
GANAS: Mula sejak akhir 2001 dan mangsa pertama adalah pemborong kelapa sawit.
JENAYAH: Lebih 40 rompakan bersenjata membabitkan bank, pemborong kelapa sawit, pengurup wang, kedai pajak gadai dan individu. Juga dikatakan terbabit dengan cubaan membunuh dan dua kes curi motosikal.
KAWASAN KEGIATAN: Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor
TUMPAS: 12 September 2002 dalam serbuan polis di Felcra Kampung Hujung Keton, Pendang, Kedah.

Artikel ini dipetik dari laman http://redxone.net/

BOTAK CHIN MAUT DI TALI GANTUNG

Pada 22 November 1975 ketika malam mula berlabuh sekumpulan lelaki melangkah masuk ke dalam sebuah kereta Datsun hijau. Sebaik enjin dihidupkan, mereka memandu menyusuri jalan penuh liku di ibu kota Kuala Lumpur.

Perjalanan mereka pada malam itu hanya untuk satu tujuan ‘gila’. Daripada situlah bermulanya satu kisah besar dalam sejarah negara dicatatkan.

Sasaran mereka adalah sebuah kereta dinaiki pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.

Sebaik menjumpai kereta dinaiki pegawai polis itu, mereka mengekori rapat sambil mengintip peluang yang sesuai untuk melaksanakan tindakan mereka. Warga kota sekitar Jalan Davis-Jalan Pekeliling, masih meneruskan kegiatan masing-masing tanpa mengesyaki satu kejadian menggemparkan pada malam itu.

Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun ber kenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori. Sebaik merapati kenderaan dinaiki pegawai kanan polis itu dan melihat peluang yang dinanti terbuka luas, 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ Kulasingam.

Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka. Bagaimanapun, tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu das tembakan mengenai Kulasingam.

Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.

Keesokannya, terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu gagal. Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin, yang mengepalai rancangan itu naik angin apabila mengetahui musuh ketatnya hanya cedera.

Amarahnya memuncak mengingatkan kehadiran polis kerap mendatangkan masalah kepada aktiviti haramnya. Kegiatan mengutip wang perlindungan daripada tempat perjudian haram sekitar Kuala Lumpur yang dikuasainya cuba dilumpuhkan pasukan itu.

Kegiatan rompakan bersenjata dan pembunuhan yang dilakukan menyebabkan dia dan ahli kumpulan menjadi buruan. Banglo di Bukit Kenny yang disewa dengan bayaran RM1,200 sebagai tempat persembunyian hanya bertahan selama tiga hari sebelum polis berjaya menghidu markas baru mereka itu.

Malah, dia sendiri nyaris ditahan polis pada September tahun itu apabila kereta curi yang dinaikinya bersama beberapa anggota dikesan pihak berkuasa itu.

Selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti di Segambut Dalam dan Botak Chin segera menyelinap ke kawasan setinggan. Dalam keadaan kelam kabut, mereka tertinggal sepucuk revolver .38.

Botak Chin bersama anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak berjaya meloloskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.

Pada bulan sama juga, orang kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di sebuah kedai runcit di Jalan Kovil Hilir, tetapi kematian tidak menakutkannya, dia terus melakukan rompakan.

Serangan mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah pemuda itu. Lelaki itu berbahaya terhadap negara. Usianya baru pada awal 20-an tetapi dalam usia smuda itu, namanya sudah tercatat dalam sejarah jenayah negara sebagai penjenayah ganas paling dikehendaki. Tindak-tanduknya sentiasa mendatangkan bahaya yang besar kepada ke amanan negara.

Lalu satu pasukan khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang pakar memburu penjenayah daripada beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas mereka adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin, tempat yang sering dikunjungi dan sarang persembunyian.

16 Februari 1976. Selepas beberapa bulan menjejak penjenayah kejam dan paling dikehendaki itu, akhirnya episod akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Operasi besar diatur dan pelan dirangka sebaik mungkin. Polis mula mengepung kilang berkenaan dan dalam kegelapan malam, mereka menunggu kemunculan Botak Chin. Detik demi detik berlalu dengan penuh debaran.

Akhirnya, sebuah kereta Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar daripada kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak Chin. Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua bom tangan.

Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran mereka. Botak Chin tidak menyedari bahawa kawasan itu sudah dikepung.

Beberapa pengikut penjenayah itu yang ditugaskan mengawal kawasan kilang berkenaan masih leka dan selesa dengan aktiviti masing-masing seolah-olah ketenangan malam itu akan terus dinikmati dengan aman.

Ketika itulah polis bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan kilang menyebabkan pengawal leka yang diharap menjadi mata dan telinga Botak Chin lari lintang pukang meninggalkan ketua mereka dan tempat persembunyian itu.

Daripada dalam pejabatnya, Botak Chin dan dua orang kanannya iaitu Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Hiew Foo Khen (Ah Keong) yang berasa ‘sesuatu yang tidak kena’ berlaku di luar mula menyedari mereka sudah dikepung polis.

Beberapa ketika kemudian, berlakulah pertempuran antara penjenayah dan polis dengan masing-masing melepaskan tembakan. Polis melepaskan kira-kira 500 das tembakan selain gas pemedih mata dalam drama tembak menembak itu.

Pangkor Chai dan Ah Keong membalas tembakan selain melemparkan sebutir bom tangan ke arah polis. Pertempuran begitu sengit dan meruncing.

Dalam kelam-kabut itu, Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan. Dalam kesakitan, dia merangkak mencari dua pengikut kanannya itu tetapi mendapati kedua-dua mereka sudah kaku tidak bernyawa.

Babak keganasan penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada dalam keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.

Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

Disebabkan peguamnya membuat rayuan terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy Council, Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980 tetapi dia tetap didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan ditolak.

Ketika menunggu dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap ganasnya apabila menyerang dan mencederakan pegawai penjara termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali.

11 Jun 1981, kepalanya disarung dengan kain hitam. Dalam kegelapan, dia dibawa menuju ke satu lokasi dalam Penjara Pudu itu. Botak Chin diminta berdiri di atas platform dan beberapa ketika kemudian kedengaran gear ditarik.

Platform di bawah kakinya terbuka, tubuhnya terjatuh ke bawah, tali gantung menjerut lehernya sehingga patah dan riwayatnya selaku penjenayah muda yang ganas dan paling dikehendaki polis akhirnya tamat.


Kronologi Botak Chin: -

Hasil rompakan diguna beli senjata api di Thailand

1967 – Mula terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.

19 April 1969 – Melakukan rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.

September 1969 – Memiliki senjata pertamanya revolver .22 lalu menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.

November 1974 – Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan baru sebagai insan biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya.

April 1975 – Kurang setahun selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Mei 1975 – Pergi ke Thailand dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.

2 Jun 1975 – Merompak RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian haram di Sentul. Hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand. Berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar sebagai sasaran di kawasan bekas lombong di Kepong. Semakin berani apabila mempamerkan senjata api di tempat terbuka iaitu Pasar Sentul.

20 Julai 1975 – Merompak RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota polis. Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan sebuah bar di Sentul. Mencabar sesiapa saja di Kelab Kereta Api Sentul untuk beradu kehandalan menembak ala koboi dalam rompakan di situ.

26 Oktober 1975 – Rompakan terbesar dilakukannya apabila melarikan RM218,000 dan menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula terancam kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah Wong, kemudian ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom.

22 November 1975 – Cuba membunuh pegawai kanan polis yang memburunya tetapi gagal.

16 Februari 1976 – Ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kuala Lumpur. Dua pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan polis.

11 Jun 1981 – Maut di tali gantung di Penjara Pudu.

Artikel ini dipetik dari laman http://redxone.net/


Botak Chin diiringi oleh Pegawai Polis
keluar dari Penjara Pudu

Botak Chin diiringi Pegawai Polis
ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur

Kereta yang membawa mayat
mendiang Botak Chin menuju ke tanah perkuburan