Sunday, July 18, 2010

ANAK SEPAK JENAZAH AYAH

Kisah yang saya hendak ceritakan ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa mahupun simati. Tetapi saya ingin berkongsi pengalaman ini bersama pembaca supaya tidak mencontohi perangai si mati.

Peristiwa sedih ini belaku di Selatan Thailand pada tahun 1999. Semasa hidup si mati memang seorang yang sangat kuat dan gagah. Nama si mati juga tersohor di segenap kampung di daerah itu.

Biarlah saya perkenalkan nama si mati itu dengan nama Samad atau nama gelarannya Samad King Kong. Namanya sahaja telah menunjukkan kegagahannya.

Sebut sahaja namanya, ramai orang kampung yang takut dan gentar. Tubuh Samad King Kong sangat sasa dan kudratnya juga cukup kuat. Setakat lima orang bertempur dengannya, senang-senang sahaja ditewaskannya.

Sebenarnya saya tidak mahu menceritakan kegagahan Samad. Tetapi apa yang mahu ceritakan ialah perangai buruk Samad. Seumur hidup, saya kenal sejak kecil, Samad tidak pernah sembahyang dan berpuasa. Bukan kata sembahyang, sekali ucapan Bismillah pun saya tidak pernah dengar terkeluar dari mulut Samad. Perkataan yang selalu keluar dari mulutnya ialah maki hamun dan juga perkataan mencarut.

Setiap malam pula aktiviti Samad ialah lepak di disko bersama-sama konco-konconya minum arak dan berhibur. Selain minum arak, Samad juga kaki judi dan kaki perempuan. Tidak kira anak siapa, asal berkenan, Samad akan sapu. Perbuatan maksiat itu sudah sebati dengan diri Samad dari muda sehinggalah mencecah umur 40 an. Sayang, kegagahan Samad digunakan ke jalan yang salah!

Walaupun berperangai sedemikian, Samad seorang kawan atau jiran yang baik., mudah memberikan kerjasama ataupun pertolongan kepada kawan-kawannya yang memerlukan bantuan. Sesiapa sahaja yang berani mengganggu kawan-kawannya, nahas dikerjakannya. Samad juga orang yang tidak lokek, bantuan dari segi wang ringgit juga senang-senang sahaja di hulurkan kerana Samad juga orang yang berduit. Tetapi tidak seorang pun tahu apa kerja Samad. Tetapi wangnya tidak pernah putus.

Suatu hari, saya terdengar berita Samad King Kong jatuh sakit. Saya bergegas kerumahnya yang berada tidak jauh dari rumah saya. Sewaktu sampai di rumahnya, saya lihat telah ramai jiran-jiran yang menziarahinya. Saya terus masuk.

“Kenapa dengan Samad?” soal saya kepada Limah, isteri Samad. “Tak taulah Din! Tiba-tiba sahaja dia rebah, tak sedarkan diri,” balas Limah. Saya duduk disisi Samad. Saya lihat mukanya pucat. Bibirnya putih. Dahinya berkerut-kerut. Saya memerhatikan jiran-jiran yang berada di sekelilingnya. Tidak ada seorang pun yang membacakan surah Yasin. Saya pun mengeluarkan surah Yasin di dalam poket lalu membacanya.

Baru sahaja saya mulakan bacaan, tiba-tiba anak lelaki Samad menerpa kearah saya dan menarik surah Yasin dari tangan saya. “Apa pakcik buat ni? Abah belum lagi mati, buat apa baca quran”. Jerkah anak lelakinya. Saya terkejut dan menggelengkan kepala. Saya beritahu kepada anak lelakinya, surah Yasin ini bukan sahaja di baca ketika orang sudah meninggal, orang sakit juga di sunatkan membaca surah Yasin. Anak Samad King Kong tetap berkeras tidak membenarkan saya membaca Yasin. Dia tetap dengan pendiriannya.

Saya biarkan sahaja. Anak Samad terus berlalu dan keluar dari rumah. Saya masih berada di sisi Samad. Samad sedikitpun tidak bergerak. Saya meminta jiran-jiran yang datang supaya membaca surah-surah hafalan dan sedekahkan kepada Samad. Tetapi bacaan jangan kuat. Cukup didalam hati sahaja.

Sedang mulut masing-masing terkumat-kamit menyedekahkan ayat-ayat suci al-Quran kepada Samad, tib-tiba mata Samad terbuka. Matanya merenung tajam siling rumahnya. Matanya terbeliak. Nafasnya tersekat-sekat. Dadanya berombak kuat. Limah terus menerpa kearah suaminya.

“Abang! Abang!” laung Limah lalu menggoncangkan tubuh Samad beberapa kali. “Limah! Ajar Samad mengucap cepat!” kata saya kepada Limah. Limah masih lagi menggoncang tubuh Samad. Mata Samad makin terbeliak. Dia seolah-olah nampak sesuatu yang menakutkan. Bibirnya terketar-ketar.

Anak Samad yang berada di luar rumah berlari masuk mendapatkan ayahnya. Saya meminta anak Smad supaya mengajar ayahnya mengucap. Anak Samad menggeleng-gelengkan kepala. Dia mengatakan kepada saya dia tidak pandai mengucap dua kalimah syahadah. Terkedu saya mendengarnya. Saya pun merapatkan mulut saya ketelinga Samad.

“Lailahaillallah…” bila sahaja saya membaca kalimah itu di telinganya, Samad pun menggelupur seperti ayam kena sembelih. Saya pun memegang erat tubuh Samad. Seminit kemudian, Samad pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan matanya yang terbeliak, mulutnya ternganga serta mimik muka orang yang dalam keadaan ketakutan.

Saya segera menudung muka Samad dengan sehelai kain. Saya tidak mahu mayat itu di aibkan dan menjadi buah mulut orang kampung. Oleh kerana anak Samad tidak berapa arif mengenai pengurusan jenazah, akhirnya saya meminta izin anaknya untuk menguruskan jenazah ayahnya.
Setelah memandi dan mengapankan jenazah, saya meminta beberapa orang jiran mengangkat mayat Samad untuk di masukkan ke dalam van jenazah tapi tidak bergerak. Jenazahnya sangat berat seperti batu maha besar. Mula-mula kami angkat empat orang, lepas tu lapan orang dan akhirnya sepuluh orang.

Tetapi mayat Samad tidak bergerak seincipun. Saya berasa sangat pelik. Badan Samad tidaklah besar sangat. Tetapi kenapa mayatnya sangat berat. Kami semua keletihan. Anak Samad hanya memerhatikan dari jauh.

Saya duduk di sisi jenazah sambil mngelap peluh kerana terlalu penat. Tiba-tiba anak Samad datang dan mencuit bahu saya. “Pak cik Din! Apa kata kalau kita tarik sahaja mayat ini,” kata anak Samad. Saya membantah. Saya tidak benarkannya. Saya katakan perbuatan itu tidak baik dan menyeksa jenazah.

Wajah anak Samad bertukar menjadi muram. Dia menundukkan mukanya ke lantai. Saya bertanya kepada anak Samad apa sebenarna yang berlaku. “Sebenarnya… ayah ada pesan…” balas anak Samad King Kong dengan nada yang tersekat-sekat lantas bercerita pesanan itu…

Apa Pesan Samad King Kong?

Suatu petang, sedang Samad dan anak lelakinya duduk di serambi, Samad berpesan kepada anak lelakinya: “Man! Kalau aku mati nanti, kau tak payahlah nak usung-usung mayat aku. Dah tentu berat. Kau tarik saja mayat aku sampai ke kubur,” kata Samad sambil ketawa besar di sambut ketawa oleh anaknya itu.

“Kenapa abah?” soal anak Samad King Kong. “Aku kan gagah dan kuat. Tak ada siapa yang boleh angkat aku. Tapi kalau aku, sepuluh orang aku boleh angkat serentak. Ha! Ha! Ha!” balas Samad lagi ditambah dengan hilai ketawa yang lebih kuat.

Anak Samad juga ketawa mendengar kata-kata ayahnya itu. Selepas itu Samad berpesan lagi kepada anaknya. “Bila dah sampai ke kubur, masa nak masukkan ke dalam liang lahad, tak perlu pangku mayat aku. Sepak saja, biar mayat aku menggelongsor ke lubang kubur!” pesan Samad lagi.

Anak Samad mengalirkan air mata selepas bercerita kepada saya. Saya menyatakan kepada anak lelakinya, itu mungkin hanya gurauan sahja. Kita tidak boleh buat begitu kepada jenazah ayah kita. Kita mesti memuliakannya, walaupun jasadnya tidak bernyawa. Anaknya hanya diam.
Hari itu, saya bersama beberapa orang jiran yang lain meneruskan usaha mengangkat jenazah Samad. Tetapi tetap sama, tidak terangkat walaupun sedikit. Saya pun memandang anak Samad yang sedari tadi hanya melihat dari jauh. Saya memanggilnya.

“Jalankanlah pesan Samad,” kata saya kepada anak Samad. Anak Samad diam. Matanya berair. Dia kemudian mengambil segulung tali dan mengikat tali itu di sebelah kepala ayahnya. Dengan linangan air mata, anak arwah Samad menarik mayat ayahnya dengan tali tersebut.

Pelik! Bila mayat Samad di tarik anak lelakinya, mudah sahaja bergerak, tidak lagi berat tetapi seperti ringan sahaja. Saya mengucap panjang melihat peristiwa itu. Semua jiran juga buntang mata melihat anak Samad menarik jenazah ayahnya ke kubur yang terletak hanya 200 meter dari rumahnya.

Setelah sampai sahaja di tepi lubang, saya bersama beberapa orang jiran cuba hendak menurunkan jenazah Samad ke liang lahad. Tetapi perkara sama berlaku sekali lagi. Mayat Samad tidak bergerak. Mayatnya sangat berat.

Saya memanggil lebih ramai lagi jiran-jiran untuk menurunkan jenazah Samad ke dalam liang lahad. Tetapi tidak berhasil. Semua jiran semakin hairan. Kenapa mayat Samad menjadi berat semula. Sedangkan semasa di tarik anaknya sebentar tadi, mayatnya kelihatan sangat ringan seolah-olah mempunyai roda di bawahnya.

Saya memandang wajah anak Samad. Saya kemudiannya memberikan isyarat menggunakan anak mata supaya menjalankan pesanan arwah Samad. Kali ini, anak arwah Samad menangis.

“ Ke tepi semua” laung anak Samad berundur kebelakang beberapa langkah… Apabila semua jiran ketepi, anak samad terus berlari dan menyepak jenazah arwah ayahnya. Sebaik terkena sepakan kaki anaknya, mayat Samad terus bergolek ke dalam kubur.

Ajaib betul. Saya menangis apabila melihat kejadian pelik itu. Begitu siksa dan azab sekali mayat Samad hendak di kebumikan. Setelah jenazah Samad masuk kedalam lubang, saya dan dua orang jiran hendak turun ke dalam lubang untuk memperbetulkan kdudukan jenazah di dalam liang lahad.

Tapi, baru sahaja hendak masuk, tiba-tiba kami tercium bau yang sangat busuk keluar dari lubang lahad. Bau tu sangat busuk seolah-olah seperti bau bangkai. Semua yang ada bersama menutup hidung. Ada yang termuntah. Saya segera memerintahkan jiran-jiran supaya mengambus mayat Samad dengan cepat. Bersemadilah Samad King Kong menepati pesanan yang diberitahu kepada anak lelakinya.

Sudah hampir 19 tahun berlalu, tetapi pristiwa itu cukup menginsafkan saya. Benarlah seperti peringatan Allah dan hadis Nabi Muhammad s.a.w… barang siapa ingkar dan suka melanggar larangan dan tegahan agama, terimalah azab pedih yang dijanjikan. Mungkin itulah juga balasan azab Allah kepada Samad King Kong di dunia lagi. Di akhirat?. Astaghfirullah hal azim… marilah kita bertaubat!.

Di petik dari Mastika Ogos 2010 (m/s 40-45)

1 comment:

  1. memang sedih bila memikirkan trajedi mayat yg aneh ini,namun kita jngn shuuzon sentiasa bersangka baik,mudah2an ruh teman sedara ni di cucuri rahmat ....

    ReplyDelete