Saturday, July 31, 2010

BADAN MEREKA TELAHPUN KU TELAN

Suatu hari Khalifah Umar b. Abdul Aziz pergi menghadiri upacara pengurusan jenazah salah seorang ahli keluarga Bani Umaiyah yang juga merupakan keturunannya. Setelah jenazah selamat di sembahyang dan di kebumikan, Umar berkata kepada orang ramai yang berada di kawasan perkuburan itu, “Berdirilah kamu semua.” Orang ramai yang menghadiri pengkebumian tersebut segera menuruti arahan tersebut.

Umar kemudian berjalan di belakang mereka. Langkah Umar cukup lambat, setapak melangkah, dia berhenti. Setapak melangkah, Umar berhenti lagi. Matanya di pejamkan seperti sedang khusyuk memikirkan sesuatu. Tingkah Umar itu menimbulkan pertanyaan di hati orang ramai di perkuburan tersebut.

Apabila Umar kembali seperti sediakala, mereka segera bertanya. “Wahai Amirul Mukminin, tadi kamu melangkah lambat-lambat, apakah yang telah menahan langkahmu itu?”. Jawab Khalifah Umar, “Aku telah datang ke kubur orang yang aku cintai, iaitu nenek moyangku. Aku mengucapkan salam, tetapi mereka tidak menjawabnya. Kemudian ketika aku melangkah setapak, aku terdengar tanah bersuara memanggilku, katanya, “Wahai Umar, apakah kamu tidak mahu bertanya kepadaku tentang apa yang di alami oleh nenek moyangmu?

“Aku bertanya kepada tanah, Ya, apakah yang berlaku kepada nenek moyangku itu? Tanah menjawab, “Kain kapan mereka telah aku robek-robekkan dan badan-badan mereka sudah ku telan!.

Setelah aku melangkah satu tapak lagi dan tanah menyeruku semula, “Wahai Umar, apakah kamu hendak bertanya kepadaku tentang apa yang di hadapi oleh dua mata? ”Aku bertanya, Ya, apakah yang di alami oleh dua mata?. Tanah segera menjawab, “Aku layukan kedua-dua bola mata itu dan aku makan selaputnya.

“Apabila aku melangkah setapak lagi, aku dengar suara tanah memanggilku, “Wahai Umar, apakah kamu hendak bertanya tentang apa-apa yang di alami oleh badan?” Aku bertanya, “Ya, apakah yang di alami oleh badan?” Tanah memberitahu, “Aku telah memutuskan dua tapak tangan dan pergelangan nya. Pergelangan itu telah ku potong dari lengannya. Lengannya telah aku putuskan dari sikunya. Pangkal lengannya aku putuskan dari bahunya. Tengkuknya telah ku putuskan dari punggungnya.”

“Punggungnya pula telah aku potong dari sulbinya. Sulbinya aku putuskan dari dua tulang pangkal pahanya. Dua tulang pangkal pahanya telah aku putuskan dari dua lututnya. Dua lututnya telah aku putuskan dari tulang keringnya dan dua tulang keringnya telah aku putuskan dari tapak kakinya.”

“Aku melangkah setapak lagi dan tanah menyeruku semula, katanya, “Wahai Umar, hendaklah kamu menyiapkan kain kapan yang tidak akan hancur.” “Aku bertanya, apakah kain kapan yang tidak akan hancur itu?, “Tanah menjawab, “Ia adalah takut kepada Allah dan mengamalkan ketaatan-Nya.”

Setelah berkata demikian, Khalifah Umar yang terkenal dengan sifat waraknya itu pun menangis dan berkata, “Dunia ini hanyalah tempat tinggal yang sementara sahaja.”

No comments:

Post a Comment