Thursday, February 17, 2011

UCAPAN HJ. SHAHAROM SHAMSUDIN SEMPENA PERSARAAN NYA



GAMBAR MAJLIS PERSARAAN TN. HJ. SHAHAROM



GAMBAR-GAMBAR LAWATAN KERJA TN. HJ. SHAHAROM






Kepada semua pegawai dan staf serta sahabat handai dan rakan taulan yang ingin menyampaikan ucapan selamat bersara kepada Tn. Hj. Shaharom, bolehlah menghantar email kepada beliau di alamat hjshaharom@yahoo.com.my

Wednesday, February 16, 2011

HUJAN WANGI IRINGI PENGKEBUMIAN MUFTI


Seperti yang diceritakan oleh Ustaz Abdullah Abdul Talib.

Menuntut ilmu adalah wajib kepada setiap umat Islam, tak kira lelaki atau perempuan. Malah kita disuruh menuntut ilmu bukan saja masa sihat dan muda, tapi hingga sampailah kita menghembuskan nafas terakhir. Dan apabila sudah berilmu, hendaklah kita amalkannya dengan bersungguh-sungguh.


Ada satu cerita yang hendak saya paparkan kepada pembaca. Ia berkaitan dengan ilmu yang dituntut dan amalan dari ilmu yang dituntut itu. Kisahnya ialah tentang kemuliaan yang Allah berikan pada hamba-Nya yang menuntut dan mengamalkan ilmu yang baik di sisi Islam.


Ia berlaku hampir 25 tahun lalu. Bagaimanapun saya tidak menguruskan jenazahnya, Cuma menjadi saksi kepada kemuliaan yang Allah berikan kepada allahyarham. Kebetulan pula allahyarham ada hubungan keluarga dengan saya dan menjadi guru saya ketika belajar agama.


Allahyarham adalah bekas mufti dan meninggal dunia kerana sakit lelah. Ketika itu allahyarham berumur dalam lingkungan 70-an.


Selepas beberapa hari dirawat di hospital, pada suatu petang lebih kurang pukul 4.30, allahyarham pun menghembuskan nanfas terakhir. Maka jenazahnya dibawa balik ke kampungnya di Melaka ini.


Maha Suci Allah, bila dibawa saja masuk ke dalam kereta jenazah untuk dihantar pulang kerumahnya, terjadilah peristiwa pertama yang bagi saya merupakan salah satu petanda betapa Allah mengurniakan kemuliaan kepada Allahyarham.


Petang itu, hari yang panas tiba-tiba saja menjadi mendung. Matahari yang sebelumnya terik tiba-tiba terus tak nampak. Awan gelap, mendung, tapi tak hujan. Sampailah kerumah Allahyarham, keadaan masih mendung.


Sampai dirumah, orang sudah berpusu-pusu menziarahinya. Masing-masing ingin menatap wajah Allahyarham. Selepas segala persiapan dilakukan, jenazah Allahyarham diurus untuk dikebumikan.



Orang yang warak macam Allahyarham memang orang cukup suka menguruskan jenazahnya. Orang berebut-rebut nak uruskan hinggakan saya sendiri tak dapat menguruskan jenazah Allahyarham. Kalau nak dikira, saya tentulah dapat peluang uruskan jenazahnya sebab saya ni bilal yang uruskan jenazah, murid dia lagi… tapi tak dapat. Bagi kami yang pernah menjadi muridnya tentulah sedih tak dapat uruskan jenazah guru sendiri.


Selepas jenazah Allahyarham selesai disempurnakan, dia dibawa ke tanah perkuburan. Takdir Allah, berlaku satu lagi peristiwa yang memang pelik. Bila jenazahnya diturunkan saja ke dalam kubur, tiba-tiba hujan turun renyai-renyai. Sepanjang jenazahnya dikebumikan hujan terus turun. Tetapi anehnya, apabila siap saja upacara pengebumian hujan serta-merta berhenti. Cuaca mendung menjadi terang balik. Allah itu Maha Agung. Hujan yang turun pada hari itu bukanlah hujan yang biasa. Ia mengeluarkan bau yang amat harum. Wanginya macam bau Hajarul Aswad. Wallahuallam… saya tak tau nak kata.



Bukan saya seorang yang terhidu haruman itu, malah siapa saja yang pergi ziarah memang dapat bau wangi hujan itu. Yang menariknya lagi, keharuman hujan tadi kekal pada badan kami sehingga dua tiga hari lamanya.


Ada orang beritahu, dalam dua tiga hari selepas pengebumian Allahyarham, badannya masih berbau wangi. Pergi kedai, pergi ladang, badan berpeluh-peluh tapi wangi tu masih terus ada.


Itulah kelebihan orang alim, yang menuntut ilmu dan mengamalkan ilmunya seperti yang dituntut oleh Islam. Sepanjang sejarah hidup saya, kejadian macam ni memang tak pernah berlaku. Itulah tanda kebesaran Allah dan mulianya orang yang menegakkan syariat-Nya.


Kalau kita kaji latar belakang Allahyarham, kita tau, memang Allahyarham layak mendapat kemuliaan itu.


Allahyarham ini seorang yang amat baik. Dia mengaji di pondok, kemudian ke Mekah, pernah tubuhkan sekolah agama. Saya juga diberitahu, Allahyarham berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh enam bulan sahaja.


Saya pernah menjadi anak murid Allahyarham. Sepanjang berguru dengannya, saya dapati Allahyarham ada banyak keistimewaan. Muka dia macam berubah-ubah. Hari ini kita lihat macam ni, hari esok lain, lusa lain. Ada cahaya, ada nur pada wajahnya. Manis, tampan, bersih. Kita yang tengok pun suka, seronok.


Semasa hidupnya, Allahyarham nampak macam lembik saja. Tapi walaupun nampak lembik, arwah ni sangat tegas orangnya. Pendiriannya macam pepatah Melayu, anjak layu dicabut mati. Kalau dalam Islam kata haram, dia tetap akan kata haram. Dia akan tentang.


Macam dulu ada loteri, Allahyarham adalah antara orang yang paling kuat menentangnya. Tak ada sorong tarik. Bagi Allahyarham yang haram tetap haram, tak boleh jadi halal. Satu lagi, kalau Allahyarham tak suka dengan sesuatu yang orang cakap, dia terus pergi. Dia tak mahu dengar orang mengumpat, mengata dan memfitnah.


Kerana ketokohan dan ketegasannya itulah, Allahyarham terus diberi kepercayaan memegang mufti sampai dia meninggal. Allahyarham ni juga walaupun dah tua tapi fikirannya masih baik. Saya diberitahu, kerana sayangkan Allahyarham sampai pernah Ketua Menteri Melaka pada masa itu berkata, selagi Allahyarham hidup, teruslah pegang jawatan itu.


Murid kesayangan, atau kita kata orang kanan Allahyarham adalah menantunya. Dia alim dan hafal al-Quran macam Allahyarham juga. Sebab Allahyarham ni warak, jadi yang jaga dia pun kenalah orang alim juga. Menantu dialah, bersama anak-anak Allahyarham, yang menjaganya semasa dirawat di hospital.


Orang alim memang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya pada Allah, walaupun ketika itu mereka sedang sakit. Dalam keadaan terbaring pun Allahyarham tidak pernah sekalipun meninggalkan sembahyang. Malah sebelum masuk waktu lagi dia dah suruh orang ambilkan wuduk untuknya.


Sampai hari Allahyarham meninggal dunia, ketika itu sudah hampir masuk waktu Asar, Allahyarham menyuruh orang-orang yang menjaganya mengambilkan dia air sembahyang. Selepas berwuduk, Allahyarham pun sembahyang. Kalau kita lihat, keadaannya seolah-olah Allahyarham tau dia akan meninggal dunia tidak lama selepas itu.


Selesai saja sembahyang, tidak lama kemudian Allahyarham pun kembali ke pangkuan Allah. Ketika itu wuduknya masih belum kering lagi.


Begitulah hampirnya Allahyarham kepada Allah. Bagaimana tegasnya dia mengamalkan kehendak Allah, macam tulah tegasnya dia menegakkan yang benar dan menentang yang mungkar.


Bagi kami yang pernah menjadi muridnya, kematian Allahyarham memang cukup dirasai. Kemuliaan yang Allah berikan kepadanya akan kami ingat sampai bila-bila. Agaknya kerana waraknya Allahyarham itulah maka ilmu yang diberikannya cukup lekat di hati kami.


Kita ni kalau menuntut ilmu kita mesti beramal. Kerana berkatnya ilmu itu, mesti kita nampak guru kita tu masa kita beramal. Begitulah istimewanya Allahyarham di mata saya.


Sehingga sekarang bila angkat saja tangan untuk takbir bagi mulakan sembahyang dan kemudian masuk niat, saya mesti terbayangkan wajah Allahyarham. Setiap kali saya hadap tikar sembahyang, seperti dia ada di sebelah. Bila pegang tasbih, nampak muka arwah. Belum pernah satu hari pun saya terlupakan dia (menangis).


Apa yang terjadi semasa kematian dan pengebumian Allahyarham membawa banyak pengajaran. Semoga kita memahaminya dan kembali kepada Allah dalam husnul khatimah.


Mastika

MAYAT GEMUK RINGAN MAYAT KURUS BERAT

Seperti yang diceritakan oleh Ustaz Haron b. Ibrahim.

Untuk artikel kali ini, ada dua kisah yang ingin saya ceritakan tapi kedua-duanya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Pertama, kisah mayat orang gemuk terlalu ringan dan kedua, mayat orang kurus tetapi jenazahnya terlalu berat.


Peristiwa pertama berlaku kira-kira 12 atau 13 tahun yang lalu masa saya baru beberapa tahun bekerja dengan pejabat Agama Islam Klang. Allahyarham yang saya uruskan itu masa hidupnya berpenyakit mental. Usianya dalam 30-an dan tingginya lebih kurang macam saya. Badannya pula tegap dan gemuk. Jadi kalau nak dikira pada akal, mayatnya nanti tentulah berat.


Gambar hiasan


Macam biasa, apabila diberitahu ada mayat tak ada waris di Hospital Klang, saya pun pergilah ke sana dengan beberapa orang pembantu untuk menguruskannya. Bila sampai di hospital, saya terus pergi ke bilik mayat dan ambil mayat berkenaan.


Kasihan. Allahyarham yang hendak saya uruskan itu meninggal dunia akibat digilis keretapi. Apabila dibuka kain yang menutup tubuh allahyarham, saya tengok keadaannya amat memilukan. Tubuhnya penuh dengan luka-luka dan kesan jahitan. Ada beberapa bahagian badannya juga putus-putus tapi doktor telah sambungkan semula. Memang dahsyat kecederaan yang dia alami.


Masa mandi dan dikafankan tidak ada sebarang keanehan berlaku. Tapi Allah itu Maha Besar. Bermula kita angkat jenazah ini dengan pengusung dari kereta jenazah ke kuburnya hinggalah ke saat dia dimasukkan ke liang lahad, berlakulah beberapa kejadian yang menginsafkan.


Jarak dari kereta jenazah ke kubur allahyarham lebih kurang 30 meter. Bila dah sampai ke kawasan perkuburan, kami angkat keranda allahyarham ini menuju ke kuburnya yang telah kami siapkan. Saya angkat di bahagian belakang.


Bermula di sini, peristiwa pertama berlaku. Maha Suci Allah, tiba-tiba saya rasakan jenazah yang bertubuh gemuk itu saya rasakan amat ringan. Kenapa ni?, Tanya saya di dalam hati. Saya ingatkan kami angkat tak betul, tak serentak, jadi saya cepat-cepat beritahu tiga lagi kawan saya itu supaya angkat betul-betul.


Saya kata pada mereka, “Angkat… peganglah betul-betul, nanti jatuh mayat ni. Ringan sangat ni… peganglah.”


“Yalah ustaz, kami angkatlah ni,” kata salah seorang daripada mereka. Rupanya saya tersalah sangka. Barulah saya perasan bahawa bukan kami yang tersilap angkat, tapi itu adalah petunjuk kebesaran Allah. Yang ada di depan kami ketika itu adalah salah satu tanda kebesaran-Nya.


Sepanjang 30 meter mengangkat jenazah itu dari kereta mayat ke kuburnya tugas itu terasa amat mudah dan menyeronokkan. Jenazah itu kami rasakan terlalu ringan. Ringannya ibarat daun kering yang diletakkan atas bahu. Tak rasa apa-apa pun, bahkan saya rasa macam ada orang lain yang turut sama bantu mengangkat mayat itu, sokong ia daripada bawah. Mayat itu seolah-olah diapungkan. Bukan saja saya yang dapat rasakan kemuliaan Allah berikan kepada allahyarham itu, malah kawan-kawan yang lain pun turut dapat merasakannya.


Insan yang baik akan sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah. Bila sampai ke kubur, berlaku satu lagi kejadian aneh, yang amat menyentuh perasaan saya. Mula-mula itu kawan saya, Pak Anjang Aki, berada di dalam kubur sementara saya di atas.


Sedang saya sibuk buat kerja di atas kubur, tiba-tiba Pak Anjang Aki memanggil saya,


“Haron! Turun cepat Ron.”


“Kenapa pula?,” kata saya terkejut.


“Wangilah kubur ni. Kalau engkau nak kebumikan aku sekali dengan mayat ni pun tak apa. aku tak mahu naik, kebumikanlah aku sekali dalam kubur ni,” katanya serius.


Terkejut juga saya dengan kata-kata Pak Anjang Aki itu. Untuk memastikan kebenaran kata-katanya, saya turun ke dalam kubur berkenaan. Maha Suci Allah, memang benar kata Pak Anjang Aki itu. Kubur tersebut memang wangi. Wanginya itu tak tau nak saya kata macam mana. Sangat harum. Saya tak dapat nak kata bau apa, tapi satu jenis bauan yang amat wangi. Nak kata tanjung ke, cempaka ke, saya tak dapat nak kata bau apa. Dalam masa sibuk nak uruskan jenazah dan ketika saya tertanya-tanya dengan keistimewaan yang Allah berikan kepada jenazah itu, tiba-tiba saya terpandang ada dua lubang pada dinding kubur berkenaan. Bentuknya macam lubang air-cond. Bagi saya yang baru beberapa tahun menguruskan jenazah dan pertama kali saksikan kejadian seumpama itu, mulanya saya sangkakan lubang itu biasa saja. Tak ada yang istimewa.


Tapi tidak bagi Pak Anjang Aki yang sudah banyak pengalaman. Dia kata pada saya, lubang itu bukan lubang biasa kerana kedua-dua lubang itulah keluarnya bau wangi yang sama-sama kami hidu. Begitulah kehebatan Allah.


Bagi saya pengalaman ini cukup menarik. Ia mengingatkan saya bahawa benarlah seperti yang disebutkan di dalam hadis iaitu kubur adalah taman-taman syurga (bagi mereka yang beriman) dan kubur juga adalah lubang-lubang neraka (bagi yang ingkar). Itulah agaknya taman syurga yang bakal dihuni oleh allahyarham tadi.


Kejadian-kejadian seperti ini masa kita uruskan, kebumikan, tak perasan sangat tapi bila dah lama baru dapat macam satu penjelasan kenapa mayat itu ringan. Pada pendapat saya, salah satunya mungkin sebab allahyarham itu pesakit mental, jadi apa yang dia buat gugur dari segi syarak. Dan mungkin juga ada orang aniaya kepada dia. Maka memang layaklah dia mendapat keistimewaan seperti itu.


Pengalaman tersebut cukup berbeza dengan pengalaman yang saya lalui beberapa tahun selepas itu. Pengalaman kedua yang ingin saya ceritakan ialah menguruskan satu jenazah seorang tua, umurnya dalam lingkungan 50-an, badannya kurus tapi masya-allah… jenazahnya cukup berat.


Mayat ini macam papan. Kurus betul. Macam pengalaman yang pertama tadi, tidak ada sebarang keanehan berlaku masa kami mandi dan kafankan jenazahnya. Tapi bila nak diangkat dari kereta jenazah ke kubur, berlakulah peristiwa yang cukup mengharukan. Satu lagi petanda Allah tunjukkan kepada kami. Mayat kurus yang kami angkat itu tiba-tiba saja menjadi teramat berat.


Seorang kawan saya yang sama-sama angkat keranda itu bertanya pada saya, “Engkau tak angkat keranda ni ke Haron? Angkatlah sama… berat sangat ni.” Saya pun sangka macam itu. Saya ingat dia yang tak angkat mayat tu. Empat orang angkat, takkanlah susah sangat nak angkat mayat yang kurus macam papan ni.


Perjalanan sejauh beberapa puluh meter menuju ke kubur itu kami rasa cukup menyeksakan. Jenazah itu seolah-olah ia ditekan daripada atas sampaikan bahu saya terasa amat sakit. Sama ada berat mayat atau malaikat yang tekan, wallahualam. Akibat terlalu berat itu, saya terjelopok ke tanah dan seluar saya, di bahagian paha koyak terkena batu. Tapi nasib baiklah saya dapat tahan keranda itu, kalau tidak tentu mayat tersebut jatuh ke tanah.


Bukanlah tujuan saya nak mencaci allahyarham, tapi sekadar nak mengingatkan kita yang masih hidup ini. Bagi saya, mayat tadi adalah petunjuk dari Allah tentang hukuman bagi orang yang ingkar kepada-Nya. Pada zahir, memang jenazah itu layak menjadi berat.


Semoga kesalahan allahyarham diampunkan Allah. Untuk pengetahuan pembaca, dari laporan yang kami terima, allahyarham ini matinya di tempat pelacuran. Nauzubillah. Teman-temannya pun pelacur. Sama ada dia meninggal dunia ketika sedang melanggan pelacur atau tidak, wallahualam. Yang laporkan dia meninggal di situ pun adalah orang yang berada di kawasan pelacuran itu juga. Jadi tidak hairanlah kalau Allah hukum dia seperti itu.


Selepas kejadian tersebut saya simpan seluar itu. Isteri saya pun hairan tengok saya simpan seluar koyak. Tapi saya beritahu dia, seluar koyak itu amat bermakna dalam hidup saya. Ia memberikan banyak iktibar. Ada pengalaman yang cukup menginsafkan pada seluar koyak itu. Tapi sekarang seluar itu dah tak ada lagi. Ke mana perginya pun saya tak tahu.


Dua pengalaman tersebut amat memberi kesan dalam hidup saya. Macam itulah kehidupan kita di dunia ini. Ada orang hidupnya beriman tapi matinya pula dalam keadaan tidak beriman. Ada pula orang yang hidupnya kafir tapi matinya Islam. Ada orang hidupnya Islam tapi matinya kafir. Ada pula orang masa tengah nazak dia bertaubat dan Allah ampunkan. Begitulah seterusnya. Semoga kita mati dalam husnul khatimah dan kubur kita kelak Allah jadikan sebagai taman syurga.


Mastika

GAMBARAN SIKSAAN DI NERAKA

“Mereka tidak memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.” (Al-Ghaasyiyah : 6-7)


Kalam Allah dalam ayat di atas bermaksud ahli-ahli neraka itu amat dahsyat keadaannya. Mereka tidak akan memperoleh makanan yang enak-enak, sebaliknya dihidangkan dengan nanah, darah dan buah-buah berduri yang dipanggil buah zaaqum. Sudahlah diseksa sedemikian rupa, ahli-ahli neraka yang kehausan ini dihidangkan dengan air minuman yang mendidih dan panas tidak terkata.


Bahawasanya Allah S.W.T. telah berfirman wajah mereka yang menjadi ahli neraka itu hitam legam, akal fikiran mereka lenyap, mereka tidak mati dan tidak pula hidup. Setiap daripada mereka memiliki 70 kulit dan dari kulit yang satu kepada kulit yang lainnya berupa 70 lapisan dari neraka. Dalam perut mereka bergelumang berpuluh-puluh ekor ular yang berasal dari dalam neraka dan ular-ular ini mengeluarkan suara yang amat menakutkan.


Mereka diikat, dirantai serta dipukul dengan besi, kemudian wajah mereka diseret-seret. Alangkah sedihnya keadaan ahli-ahli neraka. Diriwayatkan juga, mereka ini dalam keadaan yang tersangat hina dan menakutkan. Mereka meronta-ronta menjeri-jerit sambil meminta pertolongan dengan berkata; ”Wahai Tuhan kami, semoga engkau melindungi kami daripada seksaan ini.”


Biarpun dalam keadaan meronta-ronta minta belas ihsan, namun mereka tetap dihumban ke dalam neraka untuk dimamah oleh api yang panas sehingga luluh segala isi dan tulang-temulang.


Sudahlah ditambat dalam neraka selama-lamanya dengan perasaan menyesal dan mengalami seksaan yang begitu dahsyat, ahli-ahli neraka ini ditempatkan dalam ruang yang begitu sempit dengan keadaan telanjang bulat. Badan mereka berlumuran darah serta nanah, kulit jadi hitam kerana dibakar dengan api yang panas tidak terperi.


Ketika itulah baru timbul penyesalan di hati mereka. Dalam kesakitan yang mengazabkan itu ahli-ahli neraka merayu-rayu kepada Tuhan supaya dilepaskan seksaan tersebut, sebagaimana yang difirmankan dalam al-Quran.


Mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, lenyapkanlah daripada kami azab itu (jika Engkau melenyapkannya) sesungguhnya kami akan beriman. (Ad-Dukhaan: 12)


Tapi sudah telambat!


Bahawasanya Allah S.W.T. telah berfirman, dijadikan gunung-gunung untuk ahli neraka. Lalu dikatakan kepadanya; “Dakilah!” Lalu mereka mendaki gunung itu dengan wajah mereka selama 1000 tahun. Akan tetapi setelah sampai ke puncak, maka gunung itu melemparkan mereka ke dalam keraknya yang jahanam.


Ahli-ahli neraka ini tersangatlah menderita dan apabila mereka meminta daripada Allah untuk diturunkan hujan, maka dibukalah awan yang hitam. Mereka gembira, tapi yang mencurah turun bukannya air sebaliknya batu-batu dari neraka. Batu-batu panas itu jatuh di atas kepala mereka dan tembus melalui dubur!


Mereka memohon lagi kepada Allah Taala selama 1000 tahun agar diberi hujan, maka nampaklah mendungnya awan dan turunlah hujan. Namun hujan yang turun bukannya air, tapi ular. Jika ular itu menggigit, satu gigitannya saja sakitnya takkan hilang selama 1000 tahun.


Semiskin-miskin ahli neraka adalah yang sering merintih kepada malaikat Malik selama 70,000 tahun. Namun rintihan mereka tidak dihiraukan oleh kerana itu mereka mengadu; “Wahai Tuhan kami bahawasanya Malik langsung tidak menghiraukan kami.”


Lalu Allah S.W.T. berkata: “Wahai Malik, jawablah rintihan ahli neraka itu.” Maka Malik pun berkata: “Wahai orang yang dimurkai Allah, tetaplah kalian sebagai ahli neraka.”


Ahli-ahli neraka itu merayu lagi: “Wahai Malik, berilah kami air, kami istirahat sambil minum. Api telah memakan daging-daging dan tulang-tulang kami. Kulit kami menjadi masak, tulang-tulang kami koyak dan hati kami terputus.”


Maka Malik memberikan minuman kepada mereka berupa seteguk minuman yang jika mereka memegang dan meminumnya, maka hancurlah jari-jarinya, jika sampai ke perutnya maka putuslah usus-usus dan hatinya.


Bahawasanya, ahli neraka ini begitu menghendaki makanan yang enak-enak, namun nanah, darah dan pohon berduri sahaja yang menjadi hidangan mereka. Kerana tiada pilihan, mereka terpaksa memakan makanan yang dihidangkan, namun bila sampai dalam perut, maka berkecailah segala isi dan kulit dari tubuh mereka.


Ahli-ahli neraka ini diberikan pakaian daripada tembaga yang apabila dikenakan pada tubuh, maka kulitnya akan terbakar.


Setiap orang yang lapar tentunya menghendaki makanan kecuali ahli neraka. Setiap orang yang telanjang pasti memerlukan pakaian, kecuali ahli neraka. Dan setiap mayat tentu menginginkan kehidupan, kecuali ahli neraka yang hanya menghendaki mati.


Demikianlah dahsyatnya seksaan yang akan dihadapi oleh ahli-ahli neraka seperti yang digambarkan al-Quran, hadis dan pendapat alim ulama.


Mastika

Tuesday, February 15, 2011

UBAT UNTUK LELAKI KUAT

Tn. Haji Yahya b. Haji Abd. Hadi,
Tabib Tenaga Batin yang terkenal

Antara bahan makanan yang paling berkhasiat untuk mengekalkan tenaga kelelakian ialah madu lebah. Madu lebah boleh diambil secara minuman, dimasukkan kedalam makanan atau dijamah dengan roti. Demikian nasihat Haji Yahya Haji Abdul Hadi, tabib tenaga batin yang ditemui baru-baru ini.


Tabib tersebut melarang sama sekali orang-orang lelaki meminum air kelapa, air teh atau beer kalau ingin menjaga kekuatan tenaga batinnya. Beliau juga menasihatkan supaya menjauhkan makanan berangin khususnya pulut kerana mengikut pengalaman beliau, pulut menyebabkan banyak angin terkumpul didalam badan dan sekiranya menular ke pangkal kemaluan, maka akan buruk kesannya dalam jangka panjang.


Katanya, orang yang kuat tenaga kelelakiannya terdiri daripada mereka yang mempunyai ketenangan mental dan jiwa. Sekiranya mental berkecamuk, maka nafsu seks akan perlahan-lahan layu dan bila sampai umur pencen kehilangan nafsu tidak menjadi mustahil. Oleh yang demikian, Haji Yahya menasihatkan supaya dihindarkan fikiran daripada di belenggu masalah. Sekiranya seseorang itu mempunyai masalah sekalipun pada awalnya ‘alatnya’ boleh berfungsi namun tidak mustahil lama kelamaan akan menjadi lembik dan terpaksa dirawat untuk dikuatkan semula.

Adakah anda masih percaya akan iklan-iklan
yang banyak tergantung di pokok dan
tiang-tiang lampu setelah
membaca artikel ini?


Katanya, perlakuan seks seperti juga kegiatan makan minum yang tidak harus dilakukan dalam keadaan fikiran tertekan atau gopoh-gapah kerana amalan didalam situasi begitu menyebabkan tubuh badan menjadi lemah. Ia juga boleh menjuruskan kepada kelemahan alat kelamin.


“Saya syorkan supaya kegiatan seks dilakukan dalam keadaan suasana tenang zahir dan batin kerana selain daripada memberi nikmat, ia juga baik untuk kesihatan badan dan kepuasannya.” Jelas beliau.


“Selain itu seseorang lelaki harus sihat sekali. Katanya, setiap lelaki harus menjalankan senaman seperti berjogging,dan membuat senaman dalam rumah seperti ‘pumping’ dan ‘ketok ketampi’.”


Katanya amalan pumping dan ketok ketampi semestinya dilakukan selepas perhubungan supaya badan kembali cergas.


“Jangan sekali-kali tidur selepas melakukan perhubungan sex kerana amalan ini cepat mendorong keletihan dan mati pucuk.” Katanya.

Amat penting bagi lelaki dan wanita yang mahu menikmati hubungan kelamin supaya berhati-hati dengan makan dan minum. Makanan yang berangin perlu dihindarkan dan jangan pula sentiasa dengan makanan pedas dan membawa kepanasan pada tubuh badan.


Amalan mengambil madu lebah sememangnya cukup baik untuk lelaki dan wanita. Madu lebah bukan sekadar menguatkan alat kelamin tetapi memberi kekuatan pada tubuh badan.


Katanya, madu lebah mempunyai kandungan sumber zat yang amat diperlukan oleh tubuh badan dan keaktifan pengeluaran air mani. Madu lebah tidak boleh ditandingi dalam memberi faedah kepada kesihatan badan dan alat kelamin.


Jelas Haji Yahya lagi, sebaik-baiknya madu lebah yang digunakan haruslah yang asli yakni diambil dari hutan dan bukan yang diperolehi dari kedai atau yang diimport.


Selain itu beliau mengesyorkan supaya mengelak diri daripada mengambil ais dalam minuman atau minum air yang terlalu dingin.


Adalah cukup baik sekiranya seseorang itu mengamalkan air suam atau air mineral kerana kedua-dua sumber itu adalah baik untuk perjalanan darah dalam tubuh.


Selain itu Haji Yahya menyarankan supaya mengunyah lada hitam tiga kali sehari. Kalau lelaki yang mengamalkan kunyah lada hitam di waktu pagi, tengahari dan petang maka alatnya akan tahan lasak dan “Insya-Allah akan kuat seperti besi waja.”


Kalau seseorang merasa fungsi kelaminnya lemah, maka wajarlah dia segera berjumpa dengan tabib yang tahu akan hakikat itu. Jangan sekali-kali mengambil sebarangan ubat kerana perbuatan itu boleh merosakkan anggota badan., tegas beliau.


Haji Yahya menambah, kerosakan pada kelamin kebanyakannya berpunca daripada tindakan seseorang itu mengambil pil yang mengandungi bahan kimia yang kesan sampingannya membabitkan darah hingga tidak dapat menggerakkan anggota kelamin.


Dalam hubungan itu, beliau menjelaskan bahawa berdasarkan pengalaman mengurut orang yang menghadapi lemah tenaga batin , ia adalah berpunca daripada keghairahan mereka mendapatkan pil-pil dan ubat-ubat kimia yang menyekat perjalanan darah dan memutuskan urat pada alat kelamin.


Haji Yahya menjelaskan bahawa tanda seseorang itu mengalami lemah tenaga batin adalah enam perkara.


  • 1. Apabila ada ingatan terhadap seks, alatnya tidak bertindak balas (tiada response)
  • 2. Bila pandang pada alat sulit wanita, alat kelaminnya ‘malu’ dan tidak bergerak.
  • 3. Bila mendengar cerita-cerita seks, dia tiada nafsu.
  • 4. Bila terhidu bau wangi daripada wanita, alat kelaminnya tidak juga bertindak
  • 5. Bila berbual tentang seks, dia tidak ada selera.
  • 6. Paling parah ialah bila berlaku sentuhan, alat kelaminnya tidur dan gagal berfungsi.


Tanda-tanda diatas menunjukkan bahawa seseorang itu telah hilang kekuatan tenaga batinnya dan perlu dipulihkan dengan cara tradisional seperti yang dilakukannya.


Daripada pengalaman operasi terhadap orang yang mengalami lemah tenaga batin, belum ada lagi kes yang mana alat itu tidak dapat dipulihkan , jelas Haji Yahya.


Sementara itu, Haji Yahya menegaskan bahawa adalah amat penting bagi mereka yang rosak saraf melakukan perubatan tradisional untuk memulihkan kekuatan tenaga kelelakiannya.


Kerosakan saraf yang besar (major), adalah disebabkan oleh kemalangan, jatuh, patah atau melakukan perbuatan seks secara ganas.


“Sekiranya itu tidak ditangani segera, maka masalah akan menjadi rumit dan sulit untuk dipulihkan,” jelas beliau.


Tabib Haji Yahya b. Haji Abd. Hadi
kini
telahpun kembali ke Rahmatullah.
Al Fatihah untuk roh beliau.

Mastika