Saturday, March 12, 2011

JANGAN TUA SEBELUM WAKTUNYA

Kita menjadi tua kerana kita menganggap diri kita tua. Sebaliknya, jika kita membayangkan diri kita muda, pemikiran dan tindakan kita akan bertindak balas dengan sewajarnya dan kita akan kekal muda bagi tempoh yang lebih lama.


Memang benar pemikiran mempengaruhi rupa paras dan usia panjang. Seseorang itu akan menjadi muda jika dia merasakan dirinya muda dan dia akan menjadi tua jika dia membayangkan dirinya tua.


Adalah satu satu kenyataan bahawa mereka yang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah atau yang ada tujuan, lambat tua dan hidup lebih lama.


Konrad Adenauer masih aktif sebagai ketua kerajaan Jerman Barat hingga usianya menjangkau 89 tahun. Sir Winston Churchill dan George Bernard Shaw dari Britain adalah di antara tokoh-tokoh lain yang hidup aktif sepanjang hayat.


Mahatma Ghandi menggambarkan kehidupan cergas walaupun pada saat-saat beliau dibunuh. Kulitnya yang licin, mukanya bersih dan bersinar dan tubuh badannya cergas dan bersemangat.


Tokoh India itu menjaga kesihatannya dengan mengamalkan pemakanan yang sederhana, banyak berehat dan tidak berdendam terhadap sesiapa.


Masyarakat di negara-negara beriklim sejuk biasanya hidup lebih lama daripada mereka yang tinggal di negara-negara yang bercuaca panas. Bagaimanapun, penduduk-penduduk di negara-negara panas boleh mengambil beberapa langkah untuk menjaga dan memelihara kesihatan.


Melakukan sesuatu mengikut rutin merupakan satu amalan penting kerana tubuh badan kita bertindak balas dengan baik jika kita mematuhi jadual tetap untuk berehat, bekerja, makan dan membuang air kecil dan besar.


Pemakanan mestilah seimbang terdiri daripada makanan-makanan semula jadi seperti sayur, buah-buahan, susu, mentega, madu, kekacang, krim, keju dan bijirin. Pengambilan zat makanan mestilah seimbang dengan tenaga yang digunakan.


Mereka yang banyak menggunakan pemikiran dalam kerjaya menggunakan lebih banyak tenaga dibandingkan dengan pekerja-pekerja buruh dan dari itu memerlukan lebih banyak zat makanan.


Pada masa lalu, batuk kering merupakan satu penyakit biasa di kalangan penulis. Punca jangkitannya bukanlah kerana mereka tidak mempunyai makanan untuk dimakan tetapi kerana mereka tidak makan secukupnya bagi menggantikan tenaga yang digunakan.


Senaman merupakan satu keperluan penting. Berjalan dan berenang adalah bentuk senaman paling mudah dan juga antara yang paling berfaedah untuk setiap anggota badan kita. Menunggang basikal juga bagus untuk menguatkan jantung.


Satu lagi faktor yang menjamin kesihatan ialah udara bersih. Udara kotor yang dicemari asap daripada kilang-kilang perindustrian dan juga daripada kenderaan boleh menjejaskan kesihatan.


Udara bersih dan segar di kawasan pergunungan membolehkan masyarakatnya hidup lebih sihat dan lebih lama daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar.


Bagaimanapun, penduduk-penduduk Bandar boleh hidup sihat dengan mengamalkan senaman-senaman mudah seperti berjalan kaki di taman atau menunggang basikal.


Tembakau membahayakan kesihatan kerana ia boleh merosakkan paru-paru, mengaburi penglihatan, melemahkan jantung dan menjejaskan pencernaan. Ia menjadi punca penyakit barah dan membakar deria rasa pada lidah.


Kebimbangan juga boleh menjejaskan sistem kesihatan dan menyebabkan kulit muka berkedut.


Tubuh badan manusia umpama sebuah jentera. ia akan kekal baru bagi tempoh yang lama jika dijaga dengan baik dan sempurna dan disapu minyak pelincir dari semasa ke semasa.


Sifat benci dan cemburu boleh memudarkan seri wajah seseorang. Faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kita cepat tua ialah amalan harian yang dilakukan tanpa mengikut masa tetap, terlalu banyak merokok dan banyak membazirkan tenaga.


Kurang tidur menyukarkan sistem badan daripada berfungsi dengan baik. Ia menyebabkan tubuh badan menjadi letih dan lemah, sekali gus menjejaskan kesihatan.

No comments:

Post a Comment