Monday, April 18, 2011

FIRAUN RAMSES II (BUKTI AL-QURAN ITU BENAR)


Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari, mengkaji dan menganalisis mumia Firaun, Ramses II iaitu Firaun yang mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan para pengikut baginda.

Tawaran itu disambut baik, lalu Mesir membenarkan mumia Ramses II di terbangkan ke Paris. Setibanya di Paris mumia itu disambut dengan penuh meriah sebelum ditempatkan di ruang khas Pusat Arkeologi Perancis.

Di situ menanti para pakar, doktor bedah dan pakar autopsy Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal iaitu Prof. Dr. Maurice Bucaille untuk menyiasat punca kematian Ramses II.

Doktor Maurice Bucaille merupakan seorang pakar bedah Perancis yang dilahirkan di Pont-L Eveque pada 19 Julai 1920. Pada tahun 1945, beliau diiktiraf sebagai pakar dibidang gastroenterology.

Khidmat Dr. Bucaille banyak digunakan oleh kenamaan Perancis, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Dengan pengalaman dan kehebatannya, Dr. Bucaille yakin mampu membongkar misteri disebalik penyebab kematian Ramses II itu.

Setelah dikaji, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menjumpai sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut. Ini bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut.

Ini bermaksud, jasad Ramses II telah dikeluarkan dari laut, sebelum diawet menjadi mumia supaya jasad itu kekal. Tapi penemuan itu menimbulkan persoalan besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih berkeadaan sangat baik berbanding jasad-lasad yang lazimnya tenggelam dan di keluarkan dari laut?

Tanpa berlengah, Dr. Bucaille menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan itu diterbitkan dengan tajuk: Les Momies Des Pharaons El La Midecine (Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden).

Hasil laporan itu Dr. Bucaille telah menerima anugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakannya sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan itu sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille. Baginya membongkar sesebuah misteri lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan menggunakan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih.

Kawannya terus bercerita bahawa al-Quran yang diyakini dan menjadi pegangan umat Islam telahpun menceritakan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Kata-kata itu sekali lagi menimbulkan persoalan kepada Dr. Bucaille. Adakah ia dapat diterima akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Tapi al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Padahal kejadian Firaun mengejar Musa berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” kata hati kecilnya.

Akibat masih tidak berpuashati, Dr. Bucaille mendapatkan sebuah kitab Injil. Tapi di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Dia menyelak pula Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama). Tapi kitab itu hanya menceritakan: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu.” (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15).

Dr. Bucaille semakin bingung kerana pencariannya belum berhasil. Apa seterusnya yang terjadi kepada mayat Firaun selepas tenggelam masih belum ditemui.

Selepas mumia dikembalikan ke Mesir, Dr. Bucaille terus berjumpa dengan para ilmuwan Islam untuk mengetahui sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan di kejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang ilmuwan Islam yang ditemuinya telah membacakan surah Yunus, ayat 92, berhubung kisah Firaun yang tenggelam itu.

"Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa daripada ditelan laut) untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang dibelakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada memerhati dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Yunus :92).

Apabila mendengar ayat itu, Dr. Bucaille terkedu. Hatinya benar-benar tersentuh. Al-Quran telah menjelaskan bahawa jasad Firaun tidak reput ditelan laut sebagai peringatan kepada umat seterusnya.

Akhirnya Dr. Bucaille mengakui kebenaran ayat tadi kerana logic, dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Tanpa berlengah dengan hati yang begitu bergetaran menahan sebak dan terharu, Dr. Bucaille bangun. Dengan suara lantang, Dr. Bucaille bersuara: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Selepas pulang ke Perancis, Dr. Bucaille terus mengkaji al-Quran. Akhirnya beliau Berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, The Qur’an and science . The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang telah menukar namanya kepada Dr. Yahya Maurice Bucaille Berjaya membuktuikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta –fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

Al-Quran yang didalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” luahnya.

Mastika April 2011

1 comment:

  1. Didalam Aal-Quran, banyak kisah-kisah pengajaran dan teladan yang Allah ceritakan tetapi manusia itu lalai dan selalu engkar dengan perintahnya.

    ReplyDelete