Thursday, September 29, 2011

KISAH CINTA KOPI MASIN...

Dia baru sahaja tamat belajar dan kini telah bergelar seorang doktor. Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup.

Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan sebuah sekolah tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik.

Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.

Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.

"Astaghfirullah," bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya.

Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis ini sebagai isterinya.

Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu, "Kau kenal ke gadis itu?"

"Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa. Dan masih belum berpunya lagi," jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor muda ini!

Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata,

"Berikan saya kopi masin!"

Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus meminumnya.

Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"

"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut... masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini," jawab lelaki ini.

Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan mereka mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya.

Dia pasti lelaki itu adalah seorang yang menyintai dan mengambil berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sangat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.

Setelah peristiwa tersebut, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di sekolah tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka.

Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.

Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.

"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak sanggup melukakan hatimu..

Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."

Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.
Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya, "Bagaimana rasa kopi yang masin?"

Dia dengan pastinya menjawab, "Rasanya manis sekali."
Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.


Sumber : I Luv Islam

Tuesday, September 27, 2011

SANGGUPKAH KITA BUAT BEGINI?

'Ustaz, saya ingin bertanya.. Saya menjaga ibu saya yang uzur... Saya membasuh kemaluan ibu saya.. Bagaimana dengan puasa saya...' 

Ustaz bertanya ' Adakah saudara sudah berkahwin?'

Pemanggil menjawab 'Belum Ustaz'

Ustaz menjawab 'Palingkan muka kearah lain semasa membasuh kemaluan ibu saudara'...

Setelah talian putus, kedua-dua Ustaz dan DJ radio memuji-muji kesabaran jejaka pemanggil itu. Saya menitiskan airmata mendengar perbualan itu dan berfikir sungguh beruntunglah si ibu yang melahirkan jejaka itu. Alangkah bertuah nya si-isteri mendapat jejaka itu sebagai suaminya.

Kisah ini berlaku hampir 1 tahun yang lalu, seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung. Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta. Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan. Tapi bila dia mula menjejaki anak tangga, 'Subhanallah! '

Si anak terkejut melihat najis bejejeran di anak tangga dan dilaman rumah.Mak sakit perut rupanya,' bisik hatinya. Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar.Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga. Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga.

Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak. Tak sembahyang Maghrib ke?' Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah. Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu di jamak takhir dengan Isyak nanti.' Si ibu tak terkata apa. Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus 

memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh dari sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini.

'Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hamba mu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padamu.... aku bersyukur pada mu Ya Allah!' sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati. Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih....... Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah. Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Hadis Nabi saw:

'Hinalah umatku, hinalah umatku, dimana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat dari Allah SWT'

' Manusia memang selalu lalai memperhitungkannya bahawa dia bersalah. Setelah datang malapetaka dengan tiba-tiba dia menjadi bingung, lalu menyalahkan orang lain atau menyalahkan takdir.'

*Hukamah*

Friday, September 23, 2011

IMEJ YANG MENAKUTKAN...

Balik beraya di Rembau tahun ini, banyak rumah saudara mara yang dapat kami kunjungi. Maklum sajalah bahawa keluarga sebelah isteriku memang mempunyai ramai saudara. Kadang-kadang yang bukan keluargapun mereka anggap keluarga juga kerana semangat kejiranan yang sangat akrab di antara sesama mereka.

Rumah terakhir yang kami kunjungi ialah rumah En. Azhar dan isterinya Ida yang terletak 1 km dari Pekan Rembau. Kami sangat teruja untuk berkunjung kerumahnya kerana rumahnya itu baru diubahsuai dengan menelan belanja yang besar juga tambahan pula kedudukannya di 'corner lot 'dalam sebuah taman perumahan.

En. Azhar dan isterinya Ida yang mengiringi kami kesetiap sudut rumahnya memberitahu bahawa anak bongsunya yang berumur setahun telah menunjukkan 'sesuatu' di salah satu pintu biliknya sebelum ini tetapi tidak di endahkan sehinggalah mereka selesai mengemas rumah. Keesokan harinya barulah mereka teringat semula akan kelakuan anaknya itu.

Setelah diamati betul-betul dipintu tersebut, barulah mereka perasan terdapat satu imej wajah yang menakutkan terlakar. Sebenarnya ia merupakan urat-urat kayu tersebut tapi biasa la orang Melayu ni, apa-apa yang pelik sikit semuanya nak dikaitkan dengan hantu syaitan.

Pada aku benda ni kebetulan saja dan tak ada apa yang nak ditakutkan tapi oleh kerana rumah mereka telahpun dibesarkan dengan 6 bilik dan hanya dihuni dengan 4 beranak dengan anak sulungnya berumur 13 tahun dan yang kecil berumur setahun menyebabkan mereka merasa seram jugak...terutama kepada isterinya apabila suaminya bertugas di luar daerah.

Nasihat aku kepada mereka supaya menghidupkan rumah tersebut dengan banyak membaca Al Quran agar dijauhi dari gangguan Jin dan Syaitan.

Sekarang ni aku serah kepada para pembaca sekelian untuk menilai dan membuat tafsiran sendiri, kalau boleh bagi lah sedikit nasihat di kotak post komen.


Hayati semua gambar-gambar
yang sempat
aku rakam seperti dibawah ini.





Thursday, September 22, 2011

SEMOGA ROHMU DI CUCURI RAHMAT...

Keratan akhbar Harian Metro bertarikh 21 September, 2011
melapurkan kematian Mat Desa b. Hashim...
(Klik pada imej untuk lebih jelas)


Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 September, 2011
melapurkan kematian Mat Desa b. Hashim...
(Klik pada imej untuk lebih jelas)

Semalam 20 September 2011, jam 1.26 petang, aku menerima satu berita sedih melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari abang aku Shamsuddin memaklumkan bahawa sepupu kami iaitu Mat Desa b. Hashim maut dipanah petir ketika memancing bersama-sama kawan-kawannya di Puteri Harbour, Nusajaya, Johor Baharu.

Berita kejadian tersebut telah disiarkan di Radio Klasik Nasional petang semalam dan telah juga disiarkan melalui suratkhabar Harian Metro dan Utusan Malaysia hari ini.

Allahyarham Mat Desa ni adalah anak kepada Pak Cik Hashim iaitu abang kepada ibu kami dan keluarganya menetap di Aulong, Taiping, Perak. Kali akhir aku mengunjungi ayahnya (Pakcik Hashim) dan ibunya (Makcik Satariah) ialah pada bulan Julai 2011 iaitu 2 minggu sebelum ketibaan bulan Ramadhan baru-baru ini.

Kali akhir aku bertemu dengan Allahyarham pula ialah kira-kira 10 tahun lalu ketika aku menghadiri satu majlis khenduri kahwin anak saudara aku di Sekudai, Johor. Ketika itu aku mengambil peluang dan berkesempatan menziarahinya dikediamannya di Johor.

Allahyarham Mat Desa ini telah meninggalkan kampung halamannya hampir 25 tahun yang lalu dan telah menetap di Johor setelah berumahtangga dengan isterinya iaitu Pn. Fauziah bt. Yahya.

Beliau juga bergiat aktif dibidang dakwah dengan menyertai jemaah tabligh dan sering bersama kumpulannya berdakwah ke seluruh Semenanjung sehingga keluar Negara.

Setiap tahun, aku tidak pernah ketinggalan menerima SMS darinya mengucapkan selamat Hari Raya tapi tahun ini tiada SMS lagi darinya sehinggalah aku menerima berita ini.

Tiada apa yang dapat aku sumbangkan kepada roh beliau melainkan bacaan Alfatihah dan berdoa semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang yang Soleh....Amin.

Ikuti berita penuh laporan akhbar mengenainya dibawah...


PENDAKWAH MAUT DI PANAH PETIR (VERSI HARIAN METRO)

NUSAJAYA: “Ini hari kedua abang berpuasa enam, tidak sangka hajatnya menghabiskan ibadat berkenaan tidak kesampaian selepas meninggal dunia akibat dipanah petir,” kata Azizah Yahya, 44, di sini, semalam.

Azizah ditemui di kediaman abang iparnya, Mat Desa Hassim, 52, di Taman Nusa Perintis, petang semalam, yang meninggal dunia selepas dipanah petir ketika memancing ikan berhampiran perairan Puteri Harbour.


Menurut Azizah, abang iparnya sepatutnya pulang jam 5 petang semalam untuk persediaan berbuka puasa.

“Abang gemar melakukan ibadat sunat dan kerap memaklumkan mahu menghabiskan puasa enam ini, saya tidak sangka tahun ini abang gagal menyudahkan ibadat berkenaan.


“Hubungan saya dengan abang rapat kerana sebagai seorang pendakwah bebas, saya banyak belajar ilmu agama daripadanya,” katanya.


Menurut Azizah, pada Ramadan lalu, Mat Desa sempat ke Kedah berdakwah selama dua minggu di sana.

“Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan Tuhan ini,” katanya.


Hamidon Mohamed, 31, yang bersama Mat Desa ketika kejadian berkata, kejadian berlaku amat pantas.

“Saya dan seorang lagi rakan, Tarmizi, 50-an, duduk dalam bot apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat.


“Sejurus kemudian, saya dapati Tarmizi dalam keadaan bingung manakala Mat Desa yang berada di belakang bot tercampak ke laut,” katanya.


Hamidon terjun dan sempat mencapai kaki Mat Desa sebelum menarik mangsa ke dalam bot sebelum bergegas ke Jeti Tanjung Nelayan.


Menurut Hamidon yang juga kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dia sempat menghubungi isterinya dan meminta wanita itu menghubungi ambulans.


“Namun, sebaik tiba di jeti, petugas perubatan yang ada di situ mengesahkan Mat Desa sudah meninggal dunia,”

NELAYAN MAUT DI PANAH PETIR
KETIKA BERSIAP MEMANCING
(UTUSAN MALAYSIA)

NUSAJAYA 20 Sept. - Kegembiraan tiga sahabat menjala udang dan memancing ikan di Puteri Harbour di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat dipanah petir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Desa Hashim, 52, yang bekerja sebagai nelayan mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Hamidun Mohamed, 31, dan Tarmizi Jailani, 50, terselamat.

Hamidun ketika menceritakan kejadian itu berkata, mereka bertiga keluar ke laut kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki bot fiber milik mangsa.

"Selepas sejam kami menjala udang, hujan turut dengan lebat menyebabkan kami terpaksa berteduh di rumah rakit berhampiran tempat kami menjala.

"Sebaik sahaja hujan reda, kami ke laut semula untuk memancing ikan. Sedang kami sibuk menyiapkan kelengkapan memancing, saya terdengar dentuman kuat beserta cahaya petir," katanya ketika ditemui di kediaman Mat Desa di sini hari ini.

Hamidun yang bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, akibat dentuman itu, mangsa tercampak ke laut manakala Tarmizi terjatuh atas bot.

Dia kemudian segera terjun untuk mencapai kaki mangsa dan menariknya semula ke dalam bot sebelum menghubungi isteri mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Razak Md. Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian ini dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika pergi memancing terutama dalam keadaan cuaca buruk dan disertai hujan lebat serta petir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perintis.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Fauziah Yahya, 49, dan dua anak lelaki, Mohd Amirul, 15, dan Mohd Ashraf, 10 tahun.


Pak Cik Hashim, ayah Allahyarham Mat Desa (tengah)
berbual bersama abangku Omar (kiri) dan abang iparku Abg. Lah
semasa satu majlis khenduri arwah dirumah ibu kami
di Taiping, Perak, kira-kira 3 tahun lalu.

Surah Al Fatihah.

Monday, September 19, 2011

SAMBUTAN AIDILFITRI 1432 HIJRAH....

Tahun ni, aku balik berhari raya di kampung isteriku di Rembau, Negeri Sembilan. Selepas Hari Raya ketiga, kami sekeluarga mengunjungi pula keluargaku di Taiping, Perak.

Kebetulan cuti panjang setelah bersambung dengan cuti umum Hari Kemerdekaan yang ke 54 tahun menyebabkan kami tidaklah tergesa-gesa untuk balik ke Kuala Lumpur.

Sambutan Hari Raya di Kampung isteriku sangat meriah kerana boleh dikatakan kebanyakan penduduknya ada pertalian saudara dengan keluarga mertuaku. Jadi Hari Raya adalah masa yang sangat sesuai untuk kami mempereratkan tali silaturrahim sambil bermaaf-maafan.

Kami juga tidak lupa menziarahi saudara-mara yang uzur dengan menghulur bantuan serta berdoa semoga mereka cepat sembuh dan di rahmati Allah.

Ok. Mari kita saksikan kemeriahan sambutan Aidilfitri di Kampung isteriku di Rembau, Negeri Sembilan.


video