Saturday, August 11, 2012

AL QURAN (WAQAF & IBTIDA')...

Klik pada imej untuk lebih jelas...





Al Quran diatas adalah diantara Al Quran terbaru yang berada di dalam koleksiku. Ianya baru kubeli dan harganya cuma RM65.00 sahaja. Bagi sesiapa yang mengalami masalah tidak tahu di mana hendak waqaf dan menyambung semula bacaannya, maka Al Quran ini dapat membantu mereka dalam menyelesaikan masaalah tersebut. Disamping itu, ayat-ayatnya bersaiz besar dan mudah juga bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan jarak dekat.
  • Apakah maknanya tulisan yang berwarna merah? 

Tulisan berwarna merah itu bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan (waqaf) diakhir perkataan yang berwarna merah dan memulakan bacaan (ibtida') diawal perkataan yang berwarna merah...
  • Apakah maknanya tulisan yang berwarna hijau?

Tulisan berwarna hijau itu bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan bacaan diakhir perkataan yang berwarna hijau dan memulakan bacaan di awal perkataan hijau...
  • Apakah pula maknanya tulisan yang berwarna biru?

Tulisan berwarna biru pula bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan bacaan diakhir perkataan yang berwarna biru dan memulakan bacaan selepas perkataan itu...

KISAH AKU DAN AL QURAN...

Aku mula mempelajari Al Quran ketika aku berusia 9 tahun dan rasanya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang berusia sepertiku pada masa ini. Tapi bagi tahun-tahun 1960an, kesedaran dalam mempelajari Al Quran sangatlah kurang dan guru-guru agama pula sukar di dapati di sesebuah perkampungan tersebut. Kalau adapun, bacaan yang diajar hanyalah sekadar bacaan sahaja dan seterusnya menghafal tanpa memperdulikan tajwidnya, sebutan huruf serta harakatnya. (janji bunyinya betul sahaja).

Tetapi Alhamdulillah juga bagi diriku kerana semasa disekolah rendah, mata pelajaran agama yang diajar oleh ustaz atau ustazah adalah dengan menggunakan tulisan jawi. Ini menyebabkan kami semua mengenal huruf jawi iaitu huruf-huruf Al Quran.

Ketika aku berusia 11 tahun, aku terus mendalami membaca Al Quran dengan guruku yang baru iaitu Makcik Pah yang tinggal berhampiran dengan rumahku. Setelah hampir setahun belajar dengannya, aku belajar pula mengaji Al Quran dengan Hj. Yahya yang lebih dikenali sebagai Pak Ya. Beliau mendapati aku, kakakku dan seorang kawanku lancar dalam membaca Al Quran. Oleh sebab itu, ia telah memilih kami bertiga untuk mewakili kampung kami dalam pertandingan membaca Al Quran diantara kampung-kampung yang ada disekitar mukim kami. Biasanya pertandingan diadakan pada   setiap kali tibanya sambutan Maulidur Rasul.    

Pada pertama kali memasuki pertandingan, aku hanya menduduki tempat keempat dimana aku masih ingat lagi bahawa hadiah yang aku terima pada masa itu (awal tahun 1970an) adalah berupa sebuah kain pelikat sahaja. Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur diatas hadiah yang aku terima dan ianya sangat bernilai bagiku.

Pada tahun berikutnya, guru mengajiku meminta aku memasukinya lagi dan aku bersetuju dengan permintaannya itu. Pada pertandingan kali ini, aku mendapat tempat ke 3 dan hadiah yang aku terima pula berupa wang tunai bernilai RM12 sahaja. Ketika itu aku berusia 12 tahun.      

Masa-masa seterusnya berlalu pantas dan zaman kanak-kanak telah aku tinggalkan dan seterusnya aku memasuki alam remaja pula. Setelah tamat persekolahan, aku meninggalkan kampung halamanku di Taiping, Perak untuk merantau ke Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan.

Oleh kerana sibuknya aku di kota raya mencari rezeki, pembacaan Al Quran telah mula aku tinggalkan dan akhirnya aku tidak membacanya lagi sehinggalah bertahun-tahun lamanya dan sampailah aku berumahtangga. 

Selepas tersedar yang aku sudah tidak lagi lancar dalam membaca al Quran sehingga hendak membaca surah Yassin di malam Jumaat pun aku tergagap dan tidak tahu lagi membezakan panjang pendeknya serta tempat waqaf dan ibtida'nya menyebabkan bertambah lagi lah malasnya aku hendak membaca Al Quran.   

Begitulah seterusnya hari-hari berlalu dan aku pula pada ketika itu sibuk menguruskan keluarga yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Bacaan Al Quran terus dilupakan. Pada kali ini aku makin parah kerana sukar hendak membunyikan sebutan huruf dengan tepat dan ada kalanya tak kenal huruf pula.

Pada tahun 2000, ketika bulan puasa, aku balik menziarahi ibu di kampung. Masuk waktu Asar, aku menuju ke Masjid untuk bersembahyang Asar. Masjid itu ialah masjid yang menjadi kenang-kenanganku seumur hidup kerana di masjid itulah aku membaca Al Quran semasa memasuki pertandingan membaca Al Quran dulu. Tidak ku sangka pula yang aku akan bertemu dengan Pak Ya, guru yang bertanggungjawab mengajar aku mengaji semasa aku kecil sehingga aku pandai pada ketika itu. Usianya telahpun lanjut iaitu kira-kira 80 tahun dan kelihatannya sangat uzur. walaubagaimanapun ia tetap mengerjakan solat 5 waktu di masjid.       

Hampir 30 minit aku bersamanya bertanya khabar dan bercerita kisah-kisah lama, aku akhirnya meminta diri untuk pulang semula kerumah ibuku untuk menyediakan apa yang patut sewaktu berbuka puasa nanti. Walaubagaimanapun ingatanku kepada Pak Ya selepas bertemu sebentar tadi masih dalam ingatanku, dan aku agak bernasib baik kerana Pak Ya tidak bertanya samada aku masih membaca Al Quran atau tidak lagi.

Kira-kira seminggu selepas pulang ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang Pak Ya telah meninggal dunia kerana sakit tua. Aku bersyukur kerana diakhir hayatnya aku dapat bertemu dengannya guru Al Quranku yang banyak berjasa. Dengan pertemuan itu juga aku dengan tidak semena-mena teringat akan Al Quran yang telah lama aku tinggalkan. Timbul keazamanku semula untuk membaca Al Quran, tapi aku tidak mahu membaca Al Quran dalam keadaan aku sekarang yang sudah tidak lancar membacanya lagi.

Pada suatu hari dalam tahun 2001, isteriku memberitahu yang ada satu kelas Al Quran yang telah di buka di tingkat 8 di sebuah bangunan di belakang pejabatnya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Katanya ramai yang telah mendaftarkan diri untuk belajar termasuklah dirinya. Kelasnya dikatakan bermula seawal 8 pagi sehingga 10 malam. Peserta boleh memilih sendiri masa yang sesuai untuk mereka belajar. 

Aku tanpa membuang masa telah mendaftarkan diri untuk belajar sama. Masa yang aku pilih ialah selepas waktu peiabat jam 5 hingga 6 petang pada hari Isnin dan Selasa setiap minggu. Bermula dari Ikraq 1 hingga ikraq 6 dan akhirnya aku memasuki Al Quran. Selama setahun aku belajar Al Quran lengkap dengan tajwid serta hukum-hukumnya. Kini aku dapat membaca Al Quran semula dengan lancar walaupun aku masih susah  nak mengingati hukum-hukumnya, walaupun aku tidak tahu nama-nama hukum disesuatu ayat tapi aku dapat membunyikan ayat tersebut dengan tepat.    

Kini aku telah mula rajin membaca Al Quran serta terjemahannya dan setiap kali selepas waktu sembahyang aku berusaha meluangkan sedikit masa untuk membaca Al Quran. Aku berharap dan berdoa kepada Allah, supaya aku diberi kekuatan dan sentiasa istiqomah dalam membaca Al Quran serta melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Sesiapa yang membaca Al Quran, di akhirat nanti Al Quran akan menjadi saksi dan pelindung bagi dirinya.Al Quran juga adalah mukjizat yang paling besar dianugerahkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda telah bersabda bahawa baginda telah meninggalkan 2 perkara untuk umat-umatnya dan menjamin jika diamalkan dengannya maka umatnya tidak akan sesat selama-lamanya iaitu berpegang kepada Al Quran dan Sunahnya.  

        
 Inilah masjid tempat aku masuk
 pertandingan membaca Al Quran dulu...
Masjid ini juga adalah tempat Ulama terkenal Negeri Perak iaitu
Ustaz Mat Saman Kati mengajar agama pada setiap minggu...

 Kini masjid lama ini sudah tidak digunakan lagi kerana telah diganti
dengan masjid baru yang dibina di belakangnya (kubah biru)...

No comments:

Post a Comment