Saturday, December 8, 2012

TEROWONG GEMPUR PEJUANG HAMAS...

 
 Gambar hiasan...

GAZA: Jika tentera Israel dilengkapi pelbagai senjata moden, tentera Komando Qassam yang membela dan melindungi nasib rakyat Palestin di sini juga tidak kurang hebatnya apabila menggunakan taktik peperangan terowong bawah tanah dalam menjalankan operasi mereka.

Taktik peperangan menggunakan terowong ini ada persamaan dengan terowong Chu Chi yang diguna pakai tentera Vietnam ketika menentang tentera Amerika Syarikat yang menyerang negara mereka pada 1950-an dulu.

Terowong rahsia itu mula digali tentera Hamas dan komando Qassam selepas Gaza diserang secara besar-besaran oleh tentera Israel pada 27 Disember 2008 yang mengakibatkan 1,314 terbunuh.

Seorang komander Komando Qassam yang hanya mahu dikenali sebagai Sheikh berkata, terowong bawah tanah itu mula dibina selepas menyedari pergerakan mereka di kawasan luar mudah dijejaki dan diawasi pesawat tanpa juruterbang Drones selain satelit ketenteraan Israel.

“Semua terowong ini digali dengan hanya menggunakan penyodok kecil dan tangan. Setiap terowong itu digali dengan kedalaman sehingga 125 meter sebelum dinding terowong diletakkan simen mengelakkan runtuh.

“Terowong ini sengaja digali sedalam mungkin bagi mengelak ia runtuh sekiranya tentera Israel menjatuhkan bom berangkai di atas permukaan tanah,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat lebih 100 terowong dibina bawah bandar Gaza dengan setiap satunya bersambung antara satu sama lain.

“Terowong ini yang mampu memuatkan tubuh seorang dewasa digunakan tentera Qassam untuk bergerak bebas tanpa disedari tentera Zionis.

“Kami pernah dapat membunuh sekumpulan tentera Israel yang menaiki sebuah pacuan empat roda selepas mereka tidak menyedari kemunculan kami melalui terowong berhampiran kawasan sempadan,” katanya.

Sheikh berkata, kewujudan terowong itu memudahkan mereka melakukan serang hendap gerila selain menyukarkan tentera Zionis mengesan pergerakan tentera Hamas terutama unit Qassam.

“Kedudukan lubang untuk memasuki terowong ini pula sulit dan ia dikawal ketat bagi mengelakkan kebocoran maklumat,” katanya kepada wartawan Harian Metro yang dibawa melihat satu dari laluan rahsia berkenaan.

Wartawan mendapati kebanyakan terowong rahsia itu dibina di lokasi strategik tidak mungkin mampu dikenal pasti melalui mata kasar.

“Saya amat yakin taktik peperangan menggunakan terowong ini mampu memberi tamparan hebat kepada tentera Zionis yang begitu angkuh dengan kecanggihan senjata mereka,” katanya.

Harian Metro 8 Dis 2012

No comments:

Post a Comment