Saturday, January 19, 2013

TULANG BELIKAT UNTA YANG DI GORESI HURUF ALIF...

Semenjak di angkat menjadi Gabenor Mesir oleh Khalifah Umar bin Al Khatab, Amr bin Ash, tinggal di sebuah istana megah yang di hadapannya terhampar sebidang tanah kosong serta sebuah gobok yang hampir roboh 

Selaku Gabenor, ia menginginkan agar di atas tanah tersebut didirikan sebuah masjid yang indah dan mewah agar seimbang dengan istananya yang megah itu apatah lagi bila ia mengetahui bahawa tanah dan gubuk itu kepunyaan seorang Yahudi.

Maka Yahudi tua pemilik tanah dan gubuk itu dipanggil menghadap istana untuk merundingkan rencana Gabenor Amr bin Ash. 

"Hai Yahudi! berapa tuan mahu jual tanahmu sekali dengan gubuknya? Aku akan membangun sebuah masjid di atasnya." 

Yahudi itu menggelengkan kepala. "Tidak akan saya jual, Tuan."

"Ku bayar tiga kali ganda dari harga biasa? kata Gabenor menawarkan keuntungan yang besar kepada Yahudi itu.

"Tetap tidak akan saya jual, Tuan." ulangi Yahudi itu.

"Aku bayar lima kali ganda dibandingkan dengan harga tadi?" Desak Gabenor.

"Tidak akan saya jual tuan"

"Tuan tidak akan menyesal?"

"Tidak." Yahudi itu mempertegaskan jawapannya.

Sepeninggalan orang tua Yahudi itu, Amr bin Ash telah membuat keputusan untuk merampas tanah dan gubuk tersebut kemudian akan mendirikan sebuah masjid besar di atasnya dengan alasan demi kepentingan bersama dan memperindahkan pandangan mata.

Yahudi pemilik tanah dan gubuk itu tidak boleh berbuat apa-apa menghadapi tindakan sang penguasa. Ia cuma mampu menangis di dalam hati.

Namun, ia tidak berputus asa memperjuangkan haknya. Ia bertekad hendak mengadu akan perbuatan Gabenor Amr bin Ash kepada ketuanya di Madinah iaitu Khalifah Umar Al Khatab.

Setibanya di Madinah, ia tidak menyangka, Khalifah Umar Al Khatab yang namanya sangat masyhor itu tidak mempunyai istana mewah. Ia bahkan diterima Khalifah di halaman Masjid Nabawi, dibawah sebatang pokok kurma yang rendang.

"Ada keperluan apa tuan datang jauh-jauh dari Mesir?" tanya Khalifah Umar.

Walaupun orang tua Yahudi itu gementar berdiri di hadapan Khalifah, tetapi kepala negara yang bertubuh tegap itu menatapnya dengan pandangan sejuk hingga orang tua Yahudi itu dapat menceritakan halnya dengan lancar dari semenjak kerja kerasnya seumur hidup untuk dapat membeli tanah dan gubuk kecil, sampailah berlakunya perampasan hakmiliknya oleh Gabenor Amr bin Ash dan akan membangun pula sebuah masjid dengan tangan kanan Gabenor tersebut.

Mendengarkan aduan tersebut, Khalifah Umar Al Khatab, merasa sangat marah serta menampakkan mukanya yang merah padam dan dengan murka lalu berkata:

"Kurang ajar Si Amr bin Ash, perbuatannya sudah keterlaluan." 

Sesudah agak reda nafsu amarahnya, Umar lantas menyuruh Yahudi itu mengambil sebatang tulang dari tempat sampah yang terlonggok berhampirannya. Yahudi itu ragu-ragu menurutkan perintah itu, apakah ia salah mendengarnya.

Setelah diulang dua kali, dan ternyata ia tidak salah mendengar arahan itu, maka dengan kebingungan lalu diambilnya sebatang tulang belikat unta lalu diserahkannya kepada Khalifah Umar bin Al Khatab.

Khalifah Umar lalu mencoret huruf alif yang lurus dari atas ke bawah, lalu di palang ditengah-tengahnya menggunakan hujung pedang. Kemudian tulang itu diserahkan kepada orang tua Yahudi itu seraya berpesan:

"Tuan, bawalah tulang ini baik-baik ke Mesir dan berikan kepada Gabenorku Amr bin Ash."

Yahudi itu makin keliru dan bertanda tanya. Ia datang jauh-jauh dari Mesir ke Madinah dengan tujuan hendak memohon keadilan kepada Khalifah, namun apa yang diperolehinya? Sebuah tulang berbau busuk yang cuma di gores huruf Alif dengan hujung pedang. Apakah Khalifah sudah tidak waras?"

"Maaf Tuan Khalifah," Ucap Yahudi itu tidak puas hati.

"Saya datang kemari menuntut keadilan, namun, bukan keadilan yang tuan berikan bahkan sepotong tulang yang tidak berharga. Bukankah ini suatu penghinaan keatas diri saya?"

Khalifah Umar tidak sedikitpun menunjukkan kemarahannya sebaliknya ia meyakinkan orang tua Yahudi itu dengan berkata:

""Hai Pakcik Yahudi, Pada tulang busuk itulah terletaknya keadilan yang tuan inginkan."

Walaupun orang tua Yahudi masih tidak berpuas hati dengan merungut dan mengomel di dalam hati sepanjang perjalanan pulang ke Mesir tetapi ia tetap membawa tulang busuk itu untuk diserahkan kepada Amr bin Ash seperti yang disuruh oleh Khalifah Umar bin Al Khatab.

Yang anehnya, Tulang busuk dari seekor unta yang tidak ada nilainya itu diterima oleh Gabenor Amr bin Ash. Tanpa diduga, tubuh Gabenor Amr bin Ash menggigil dan wajahnya menjadi pucat seperti orang didalam ketakutan.

Dengan segera, ia memerintahkan semua anak buahnya untuk meruntuhkan semula masjid yang baru sahaja siap dibina itu dan membina semula gubuk serta tanah kepunyaan orang tua Yahudi itu seperti sediakala.

Setelah semua anak buah Gabenor Amr bin Ash berkumpul untuk meruntuhkan masjid yang baru dibina dengan memakan belanja yang besar itu, tiba-tiba, orang tua Yahudi itu datang menemui Gabenor Amr bin Ash dengan tergesa-gesa.

"Ada perlu apa lagi tuan," Tanya Gabenor Amr bin Ash yang kali ini berubah sikapnya menjadi halus dan penuh hormat.

Dengan masih termengah-mengah, orang tua Yahudi itu berkata:

"Maaf, tuan jangan meruntuhkan masjid itu dahulu. Izinkan saya menanyakan perkara paling pelik yang mengusik jiwa dan perasaan saya."

"Perkara yang mana?" Tanya Gabenor Amr bin Ash tidak mengerti.

"Apa sebabnya tuan begitu ketakutan dan menyuruh meruntuhkan semula masjid hanya kerana tuan menerima sepotong tulang busuk dari Khalifah Umar bin Al Khatab.?

Gabenor Amr bin Amr dengan perlahan berkata:

"Wahai Pakcik Yahudi, Ketahuilah bahawa tulang itu adalah tulang biasa, malah baunya busuk. Tetapi, kerana dikirimkan oleh Khalifah Umar maka ia merupakan suatu peringatan yang amat tajam dan tegas dengan dituliskan huruf Alif yang di palang di tengah-tengahnya."

"Maksudnya?" Tanya orang tua Yahudi yang semakin kehairanan.

"Tulang itu berisi ancaman Khalifah: "Amr bin Ash, ingatlah kamu, siapapun engkau sekarang, betapa tinggi pun pangkat dan kekuasaanmu, suatu saat nanti kamu pasti berubah menjadi tulang yang busuk. Kerana itu bertindak adillah kamu seperti huruf Alif yang lurus, adil di atas dan adil di bawah. Sebab, jika engkau tidak bertindak lurus, kupalang di tengah-tengahmu, ku tebas batang lehermu."

Yahudi itu menunduk terharu. Ia kagum atas sikap Khalifah yang tegas dan sikap Gabenor yang patuh kepada ketuanya hanya dengan menerima sepotong tulang busuk seekor unta. 

Orang tua Yahudi itu akhirnya menyerahkan gubuk dan tanahnya sebagai wakaf lalu menyatakan masuk Islam dan mengucap 'Dua Kalimah Syahadah'.     

No comments:

Post a Comment