Sunday, May 26, 2013

KURSUS 5S...

Kursus 5S di pringkat Ibu Pejabat FELCRA Berhad telah diadakan dari 21 hingga 23 Mei 2013 bertempat di Resort World Genting, Awana Hotel dengan dihadiri seramai 84 staf mewakili Bahagian dan Cawangan masing-masing. 

Amalan 5S pada asalnya merupakan amalan pengurusan yang dilaksanakan dalam sektor swasta seperti syarikat dan kilang di negara Jepun. Sejak tahun 1986, idea pengurusan pejabat daripada negara matahari terbit ini telah tersebar ke seluruh dunia termasuklah negara Malaysia melalui Dasar Pandang ke Timur. Daripada perkataan Jepun ianya telah disesuaikan pula dengan patah perkataan dalam Bahasa Malaysia iaitu Sisih (Seiri), Susun (Seiton), Sapu (Seiso), Seragam (Seiketsu) dan Sentiasa Amal (Shitsuke).

Kaedah Amalan 5S adalah menjadi salah satu pendekatan terbaik bagi mengubah persekitaran pejabat menjadi kemas, teratur dan kondusif yang akan dilaksanakan di Ibu Pejabat FELCRA Berhad di seluruh negara, walaubagaimanapun ianya akan di praktikkan di ibu pejabat terlebih dahulu.

Pelaksanaan Amalan 5S yang menyumbang kepada persekitaran berkualiti ini juga dapat melahirkan warga FELCRA Berhad yang bermotivasi, kreatif, inovatif dan berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan.

Amalan ini bertujuan mempertingkatkan perkhidmatan yang cekap dan berkualiti serta menjamin keselamatan dokumen, rekod individu dan peralatan secara berterusan.

Pelaksanaan Amalan 5S ini, jika berjaya dilaksanakan, akan memberi impak yang besar kepada Syarikat dan staf. Amalan 5S bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran pejabat tetapi juga kepada aspek kualiti yang lain seperti kualiti kerja dan kualiti peribadi staf. Impak pelaksanaan Amalan 5S ini dapat dipecahkan kepada 4 kategori utama iaitu:

1. Persekitaran kondusif, berkualiti dan selamat. 

Amalan 5S akan menjadikan persekitaran pejabat yang lebih kondusif, selesa, ceria dan menarik. Ini akan memberi dorongan kepada staf merasa lebih seronok dan bersemangat untuk bekerja. Di samping itu, pelanggan dan pelawat yang berurusan, akan merasa selesa dan tenang apabila berada di pejabat.

Amalan 5S juga akan menjadikan persekitaran pejabat yang lebih berkualiti dan selamat untuk staf serta pelanggan. Ini berlaku apabila semua peralatan serta mesin berada di tempatnya, tersusun dan teratur di
samping penyelenggaraan peralatan yang berkaitan keselamatan diselenggara dengan berjadual.

2. Mempercepatkan tugas. 

Peningkatan kualiti kerja ini merangkumi semua aspek kerja staf terutamanya dalam mencapai dan mencari sesuatu fail dan peralatan. Pengurangan masa capaian ini telah berjaya meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja staf dan bahagian terutama dalam aspek pengurusan fail/doket dan capaian peralatan/alat tulis. Dengan menggunakan konsep di dalam Amalan 5S iaitu Seisi (Susun), pengurusan fail dan doket adalah lebih cekap, sistematik dan selamat.

3. Mengurangkan pembaziran. 

Amalan 5S yang akan dilaksanakan ini diharap dapat mengurangkan pembaziran dalam Syarikat seperti mengurangkan pembaziran masa dan mengurangkan pembaziran wang Syarikat. Dengan melaksanakan Amalan 5S pada Sistem Pengurusan Fail Jabatan. Ianya juga dapat mengurangkan pembaziran masa mencari dan kos penggantian fail/alat tulis/peralatan yang tidak dapat dikesan atau hilang.

4. Kakitangan berkualiti, kreatif dan cemerlang. 

Kesan-kesan sebelum ini iaitu persekitaran kondusif, berkualiti dan selamat akan mempercepatkan tugas dan mengurangkan pembaziran serta akan turut memberi kesan besar kepada staf. Amalan 5S yang akan diamalkan ini di harap akan berjaya menanam dan meningkatkan nilai-nilai positif di dalam diri staf seperti bertanggungjawab, kreatif dan inovatif, berdisiplin, kerja berpasukan, bangga dengan Bahagian/Cawangan dan sayang kepada Syarikat Ini adalah kerana Amalan 5S akan melibatkan semua staf dan ianya sentiasa perlu diamalkan.

Saksikan gambar-gambar yang telah dirakam di sepanjang 3 hari kursus ini berlangsung.