Thursday, February 6, 2014

FELCRA BHD. HASILKAN VARIETI PADI BERKUALITI TINGGI...

Sudah lebih daripada tahap kematangan. Itulah status yang harus diberi kepada Pusat Pengeluaran Benih Padi FELCRA Bhd. di Kampung Gajah, Seberang Perak, Perak Darul Ridzuan yang diuruskan oleh 4 anak syarikat milik penuh FELCRA Berhad iaitu FELCRA Plantation Services Sdn. Bhd. yang kini menjangkau usia 22 tahun. 

Sepanjang tempoh penubuhan dan mula beroperasi sejak tahun 1990, Pusat Pengeluaran Benih Padi FELCRA Bhd. merupakan salah satu agensi yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia bagi pembekalan benih padi sah negara untuk kegunaan petani dengan jaminan mutu bijibenih padi yang mampu meningkatkan hasil.
Sejajar dengan peranan sebagai pusat pengeluaran benih padi, FELCRA Bhd. mengambil sikap terbuka serta berkongsi kepakaran dengan Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi yang berkaitan bagi memastikan matlamat sebenar menyediakan benih padi bermutu sepertimana dikehendaki kerajaan, tercapai.



Menurut Pengurus Pusat Pengeluran Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn. Bhd. Encik Abdul Aziz Abdul Hamid, 54, pada mulanya usaha menghasilkan benih padi di pusat itu adalah untuk memenuhi keperluan estet padi FELCRA Berhad Seberang Perak sahaja, serta mendapat kebenaran MARDI yang juga sebagai pengeluar benih asas negara.

Terdapat 3 kategori benih dalam proses menghasilkan bijibenih padi sah untuk kegunaan umum (petani).

i) Benih asas
  • Dikeluarkan oleh MARDI
  • lanya digunakan oleh pengeluar benih sah negara yang dilantik sahaja.
ii) Benih daftar
  • Benih ini terhasil daripada penanaman benih asas dan ianya digunakan oleh pengeluar benih sah negara yang dilantik sahaja.

  iii) Benih Sah
  • Kategori benih ini dihasilkan oleh pengeluar benih sah negara dari penanaman padi daftar.
  • Benih ini diedarkan kepada pengguna/petani.

Keseluruhan aktiviti ini dipantau terus oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Menurutnya, padi baru itu dihasilkan menerusi kajian dan penyelidikan MARDI selama tujuh tahun bersama sebuah syarikat antarabangsa, BASF (M) Sdn. Bhd. (BASF).

Kini terdapat dua varieti terkini dipasaran.

i) MR 220CL
  • Diisytiharkan pada Julai 2010.
ii) MR 269
  • Diisytiharkan pada Disember 2012. 

 
FELCRA Plantation Services sentiasa berkongsi kepakaran 
dengan Jabatan Pertanian dan MARDI untuk menghasilkan 
anak benih berkualiti tinggi.

 

"MR220 CL bukanlah padi hidbrik. la adalah kacukan varieti tempatan MR 220 dan IMI-TR No 1770 iaitu baka padi dari Amerika Syarikat. Hasil kerjasama MARDI dan BASF ini telah membuka ruang untuk menghasilkan benih berkualiti. MR 220 CL ini adalah padi berkualiti yang telah dirasmikan pada Julai 2010 oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ketika itu iaitu Dato' Seri Noh b. Omar bersama Pengerusi FELCRA Berhad ketika itu YB. Dato' Tajuddin bin Abdul Rahman. Varieti MR 220CL ini sudah pasti menjadi salah satu produk berinovasi untuk sektor pertanian negara" kata beliau lagi.



 

Estet FELCRA Berhad telah dipilih oleh MARDI dan BASF sebagai tapak kajian berskala besar bagi kejayaan varieti padi ini bermula tahun 2008. Pada tahun 2010 Pusat Benih Padi FELCRA Berhad sekali lagi diberi penghargaan sebagai tempat pelancaran benih padi berinovasi pada Julai 2010. 


"Susulan daripada kejayaan itu, FELCRA Berhad adalah salah satu pengeluar benih sah negara diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menghasilkan benih terbaru dikenali CL 2.

Benih ini terhasil menerusi penemuan secara inovasi yang antara lain keistimewaannya ialah mampu menghindari daripada berlaku masalah padi angin selain berupaya mengawal kerakusan rumpai yang tumbuh dalam sawah," kata Abdul Aziz ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Benih Padi, FELCRA Berhad Seberang Perak, Kampung Gajah, Perak, baru-baru ini.

Kesemua prosedur tersebut akan melalui satu penilaian ketat oleh DOA sebelum ianya sampai ke tangan petani untuk digunakan. 

 

Pun begitu, FELCRA Bhd. perlu mendapatkan kelulusan Skim Pengesahan Benih Padi (SAP) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Malaysia sebelum benih padi tersebut boleh dijual secara meluas kepada petani, khususnya mereka yang mengusahakan sawah padi.

"Dari semasa ke semasa pihak MARDI sentiasa berusaha mencari penemuan baru dalam menghasilkan benih terbaik, sehinggalah pada pameran ekspo MAHA International 2012, MARDI berjaya memperkenalkan benih padi MR 269 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Adalah dianggarkan jutaan ringgit kerugian dialami oleh petani di seluruh negara akibat masalah padi angin dan jumlah tersebut meningkat setiap tahun. Untuk mengatasi masalah ini, pakej sistem pengeluaran padi baru kepada para petani khususnya bagi menangani masalah padi angin yang dikenali sebagai Sistem Pengeluaran Clearfield. 


Tambah beliau, menerusi Sistem Pengeluaran Clearfield, petani hanya perlu menggunakan benih padi jenis baru ini bersama racun rumpai Imidazolinone yang dihasilkan BASF selain mengikuti cara pengurusan tertentu yang ditetapkan.

"Petani boleh menggunakan sistem ini sekurang-kurangnya untuk dua musim secara intensif dan mengikut protokol yang telah ditetapkan dan ia berupaya menyelesaikan masalah padi angin pada sawah masing-masing," katanya.

Prestasi benih padi tersebut telah diuji secara bersepadu di estet padi FELCRA Bhd Seberang Perak di sini dan hasil yang diperolehi menerusi benih baru tersebut setanding dengan MR 220 iaitu di antara 5.5 hingga 7.0 metrik tan setiap hektar. 


"Benih padi ini dihasilkan mengikut spesifikasi yang tetapkan oleh Jabatan Pertanian bermula dari penanaman sehinggalah proses pengeluaran. Antara kaedah-kaedah yang dibuat, contohnya di kilang kita, padi benih dikeringkan, buat pemilihan yang betul sehingga akhir sekali kita menggunakan mesin Optical Length Sorter menggunakan teknologi dari Korea," kata beliau lagi. 


Dalam pada itu, kemudahan insfrastruktur untuk menghasilkan sesuatu produk ialah kilang. Dengan memiliki seramai 19 orang pekerja di kilang penghasilan benih padi yang juga digembeling 20 kakitangan pejabat dan makmal, FELCRA Bhd. tidak menghadapi masalah untuk meneruskan agenda penghasilan benih padi berkualiti.

Kilang terbabit yang dibina di lokasi sama iaitu di Seberang Perak, Kampung Gajah, Perak dan beroperasi 24 jam dijadikan sandaran FELCRA Bhd. bagi menjayakan program atau aktiviti berkaitan penghasilan benih padi berkualiti tinggi. 

Beberapa orang pekerja sedang menyusun rak yang berisi 
anak benih padi di Unit Semaian Padi FELCRA Berhad.

Mengenai pencapaian pengeluaran hasil padi, Abdul Aziz menjelaskan bahawa buat masa ini FELCRA Bhd. memiliki empat ribu hektar sawah yang ditanam dengan benih keluaran Pusat Benih Padi FELCRA Bhd. yang mendapat saliran pengairan dari Sungai Perak. 


Pada musim tuaian baru-baru ini, pengeluaran hasil di kawasan sawah diusahakan FELCRA Bhd. mencecah sebanyak 7.02 metrik tan. Walaupun pencapaian itu agak baik, tapi FELCRA Bhd. belum berpuas hati dan sedang rmenyusun program bagi meningkatkan pengeluaran hasil tanaman sebanyak antara 13 dan 14 tan metrik setahun. 


Melihatkan perkembangan ini, petani yang memiliki sawah padi perlu menggunakan benih yang dihasilkan oleh agensi yang dilantik. Ini kerana, FELCRA Bhd. hanya mengeluarkan benih tersebut untuk pasaran Semenanjung Malaysia, dalam erti kata lain membantu petani mendapatkan bekalan benih dengan mudah. 


Petani tidak perlu bimbang untuk menggunakan benih keluaran agensi ini kerana proses penghasilan, termasuk kajian dilakukan dengan lebih teliti serta mematuhi spesifikasi Jabatan Pertanian untuk menghasilkan benih bermutu tinggi. 


Dalam hubungan ini, FELCRA Bhd. membekalkan benih padi "keluarannya sebanyak 4,000 mt/musim (8,000 mt/ tahun) dan lebih kurang 600 hingga 650 mt/musim untuk estet padi FELCRA Bhd. Seberang Perak selain turut membekalkannya untuk petani di seluruh Malaysia. 





Bagi mengelak petani daripada berdepan risiko dipermainkan pihak tertentu bagi mendapatkan benih terbaik, Abdul Aziz menyarankan mereka supaya menggunakan benih yang dikeluarkan pengeluar benih sah negara yang dilantik. 




Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai benih padi keluaran FELCRA Plantation Services Sdn Bhd boleh hubungi di talian 05-6235598, Ibu Pejabat 03-41426000 atau menelefon Abdul Aziz, 019-5141460.

Sumber artikel ini dipetik dari 
Majalah Agro Malaysia Bil: 10 > Sep - Dis 2013

No comments:

Post a Comment