Friday, February 7, 2014

PELAJAR SMK JABI DISERANG HISTERIA...



ALOR SETAR 3 Feb. - Kejadian histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi, Pokok Sena di sini Khamis lalu berulang hari ini apabila lebih 10 pelajar dikatakan ternampak lembaga berambut panjang dan dipenuhi darah di tandas sekolah.

Salah seorang pelajar, Nur Syamimi Ibrahim, 16, mendakwa, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika waktu rehat iaitu semasa dia dan beberapa rakan berbual-bual di tepi bangunan kelas.

"Ketika berehat di tepi kelas, saya dengar ada pelajar perempuan menjerit. Selepas itu saya tidak se darkan diri sehinggalah ada guru merenjiskan air penawar ke muka.

"Ini kali kedua saya kena (histeria). Khamis lalu saya diserang histeria selepas nampak lembaga dengan wajah menakutkan, berambut panjang sehingga tumit dan berlumuran darah di dalam tandas sekolah," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Permatang Limau di sini hari ini.

Menurut Nur Syamimi, selepas sedar dia terdengar rakannya menjerit dengan berkata tempat tinggalnya di sebatang pokok telah ditebang.

"Bagaimanapun, cikgu beritahu tidak ada sebatang pokok pun di sekolah ditebang sebelum ini," katanya.

Nur Syamimi kemudian menerima rawatan daripada pengamal perubatan tradisional, Md. Noh Hanapi, 50, dari Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena di sini.

Pelajar tingkatan empat itu memberitahu, dia dan pelajar yang diserang histeria diberi kelonggaran tidak ke sekolah minggu ini bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) se-kolah tersebut, Syed Ibrahim Syed Embun memberitahu, kejadian dipercayai berpunca juadah pulut kuning dan gulai ayam yang disediakan kantin sekolah pada Khamis lalu, iaitu pada hari pertama histeria berlaku.

"Pada Khamis lalu, saya ada makan pulut kuning dan gulai ayam di kantin. Tidak lama selepas itu, saya terdengar bisikan meminta sedikit pulut kuning dan gulai ayam yang saya makan pagi itu.

"Mungkin itu makanan orang dulu-dulu 'menjamu' kepada jin dan kemungkinan histeria ini berlaku disebabkan pulut kuning dan gulai ayam tersebut," dakwanya.

1 comment:

  1. mgapa org melayu yg sering di gangu histeria?....kononnya saka,ya ke?

    ReplyDelete