Wednesday, February 12, 2014

TANGISAN MISTERI POKOK PETAI...


PADA awal bulan Mac lalu, penduduk Kampung Lembah Raja, Kepala Batas, Pulau Pinang gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan menangis seperti air hujan. Difahamkan, pokok tersebut yang berketinggian kira-kira 10 meter telah mengeluarkan air mata itu melalui dahannya.



Menurut pemilik pokok berkenaan, Norhayati Abdul Karim, 38, dia mula menyedari kejadian tersebut sewaktu sedang menjemur kain di bawah pokok petai itu yang ditanam oleh arwah bapanya kira-kira 35 tahun lalu. Pada mulanya, Norhayati menyangka titisan air yang terkena pada badannya adalah air hujan. Peliknya, apabila dia mendongak ke langit, didapati cuaca cerah dan tiada tanda hujan.


Selepas beberapa minit berada di bawah pokok tersebut, barulah dia sedar titisan air itu berpunca daripada dahan pokok petai dan bukannya hujan. Jelas Norhayati, dia terkejut kerana seumur hidupnya tidak pernah melihat kejadian seumpama ini. Malah, katanya lagi, pada tahun ini pokok petai miliknya itu baru saja menghasilkan buah.


 
Ekoran dakwaan itu, kediaman Norhayati mula dipenuhi penduduk kampung yang datang berpusu-pusu untuk melihat sendiri pokok petai tersebut. Akibat teruja untuk melihat kejadian itu, ada di antara mereka sanggup menunggu sehingga pukul 4.00 pagi.


Bukan itu saja, ramai juga daripata mereka yang menadah air di bawah pokok terbabit dan meminumnya.


Seorang penduduk tempatan, Sopian Ahmad pula memberitahu, baju yang dipakainya didapati basah selepas berada beberapa minit di bawah pokok petai berkenaan. Dia turut meminum sedikit air yang Ditadah dari pokok petai itu dengan niat sebagai ubat. Katanya, rasa air tersebut sedikit payau.

 

Kisah tangisan misteri pokok petai itu kemudian terbongkar apabila ada pihak mendakwa air yang keluar menerusi dahan pokok itu adalah air kencing reriang. Ini diakui oleh seorang pakar serangga, Profesor Dr. Zaidi Mdl Isa. Jelasnya, reriang atau riang-riang adalah sejenis serangga yang banyak hinggap di atas pokok berkenaan. la mengeluarkan cecair dipercayai air kencing pada setiap lima hingga enam saat.



Kata Dr. Zaidi lagi, lazimnya cecair tersebut dikeluarkan oleh riang-riang betina sewaktu proses mengawan. la adalah satu fenomena alam yang semula jadi tetapi kedudukan pokok petai tersebut yang terletak berhampiran rumah telah menyebabkan ramai orang menganggapnya pelik.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meminum air yang kononnya keluar dari sebatang pokok petai 'menangis' kerana dikhuatiri mungkin mengandungi virus Leptospirosis (air kencing tikus).

Menurut Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow, peringatan tersebut adalah bertujuan agar orang ramai berhati-hati kerana hari ini banyak penyakit berjangkit yang berpunca daripada serangga atau binatang termasuk virus Leptospirosis yang disebarkan melalui air. Tambah Subbarow, tindakan sesetengah penduduk yang meminum air tersebut berkemungkinan boleh menyebabkan mereka terdedah kepada risiko pelbagai penyakit yang tidak diketahui.

Hal ini turut mendapat perhatian Pensyarah dari Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Hawaze Jaafar. Jelasnya, agak sukar untuk menerangkan punca sebenar kejadian itu. Tapi, jika dilihat daripada aspek fisiologi tumbuhan, terdapat satu proses semula jadi yang berkemungkinan menyebabkannya berlaku. la dipanggil proses transpirasi atau perpeluhan. Lazimnya, proses itu berlaku pada semua tumbuhan untuk menstabilkan suhu persekitaran.

Jelas Dr. Hawaze lagi, proses tersebut boleh berlaku pada tiga bahagian utama tumbuhan iaitu dahan atau batang, daun dan akar. Ketika proses ini berlaku, ketiga-tiga bahagian tersebut akan mengeluarkan titisan air sehinggalah suhu kembali stabil. Dianggarkan, sebanyak 90 hingga 95 peratus kandungan air yang berada dalam tumbuhan akan tersejat selepas berlakunya proses transpirasi.

Di samping itu, bagi mengelakkan amalan pemujaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah menempatkan beberapa anggota penguatkuasanya mengawasi pokok petai tersebut.

Menurut Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Jaafar Ismail, anggotanya telah ditugaskan selama 24 jam di lokasi terbabit untuk mengelakkan berlakunya aktiviti pemujaan. 


Dipetik dari Majalah Infiniti Mei 2011

5 comments:

  1. Semuanya karut bin marut.Kurafat sahaja.

    ReplyDelete
  2. Bukan karut dan marut...zaman nabi dimadinah pokok tamar menangis...dan tangisan itu didengari oleh rasulullah......

    ReplyDelete
  3. Tak payahlah nak samakan taraf kita ni dengan Rasulullah.Buatlah kajian saintifik dulu.Buat analisis air yang keluar tu dari mana.Tak payah sebarlah berita2 daif macam ni.

    ReplyDelete
  4. Nama diguna haji bakar
    Tapi k0men macam hati terbakar
    Tahniah zainudin

    ReplyDelete