Sunday, March 30, 2014

SUMPAH!!! SEJAUH MANA KEBENARANNYA...

 Potret Mahsuri seperti yang digambarkan oleh pelukis....

SUMPAH Mahsuri ke atas Langkawi benar-benar berlaku. Sebelum wanita itu disula dia menyumpah bahawa Langkawi akan menjadi padang jarak dan padang tekukur hingga tujuh keturunan. Kini setelah tamat tujuh keturunan raja Kedah, maka pulau itu kembali makmur.

Si Tanggang pula disumpah oleh ibunya menjadi batu setelah dia menderhaka kepada ibunya. Di mana letaknya batu itu tidak pula diketahui orang.

Cerita tentang sumpah hanya dianggap sebagai karut kerana hal ini berlaku di zaman lampau yang sukar untuk dikaji kesahihannya. Dan bila kemajuan berlaku di muka bumi ramai orang tidak lagi percaya dengan sumpah.

Bagaimanapun saintis kini mempercayai kesahihan dan kemujaraban sumpah. Contohnya Aleister Crowly pernah menyumpah seorang doktor yang gagal memberitahu jenis dadah yang diambilnya. Dia berkata bahawa apabila dia meninggal doktornya juga akan mengikut jejaknya. Memeranjatkan bila Crowly meninggal dunia, doktornya juga mati kerana cedera di kepala dalam satu kemalangan.

Hal yang demikian membuat para saintis terpinga-pinga tentang apakah Dr. Thompson mati secara kebetulan atau apakah sumpah Crowly dimakbulkan?

Sumpahan yang paling masyhur ialah daripada Tutankhamen. Kubur anak raja Firaun itu diteroka pada tahun 1922 oleh dua orang ilmuan British iaitu Howard Carter dan Lord Carnarvon. Carter agak bernasib baik kerana ketika mengunjungi kubur Tutankhamen, dia membawa seekor burung kenari yang kononnya memberi tuah kepadanya.

 Tutankhamun...

Dan apabila kubur dibuka, burung kenari itu dibaham ular tedung. Sebaliknya Carnarvon jatuh sakit setelah tiga bulan membuka keranda anak raja itu. Dua bulan kemudian dia meninggal dunia. Kononnya sewaktu dia meninggal, seluruh kota Kaherah bergelap. Dan dalam masa yang sama, anjing peliharaannva yang berada di rumahnya di England turut mati pada waktu yang sama.

Dalam pada itu orang-orang yang terlibat membungkas kubur anak raja Firaun itu didapati mati selepas beberapa hari dan dua orang pelawat pertama yang melawat kubur itu mati pada hari mereka melawat kubur itu.

Dalam pada itu Pengarah Muzium Mesir, Dr. Gamal ed Din Mehrez yang memperkecilkan sumpahan daripada anak raja Firaun itu rebah dan mati setelah membuat kenyataan itu.

Daripada keberkesanan sumpah, ramai pakar psikologi yakin bahawa sumpah sememangnya mempunyai kesan. Kita dilarang sama sekali menyumpah anak-anak kita sewaktu marah atau bila dia melakukan kesalahan kerana sumpah daripada mulut ibu atau bapa akan memberi kesan seperti yang diucapkan. Mahukah kita menyaksikan anak kita merana kerana sumpah?

Sekiranya kita berkata anak kita akan jadi syaitan, maka bila besar kelak itulah fiilnya. Maka jauhilah sumpah kepada anak sendiri.

Seorang ahli psikologi Dr. Herbert Basedow memerhatikan orang asli Australia melihat tulang. Menjadi kepercayaan mereka sekiranya tulang yang dilihat itu menuding ke arahnya maka dia akan menerima maut. Itulah petanda sumpah di kalangan masyarakat itu. Kebetulan seorang melihat tulang yang menuding ke arahnya. Dia merasakan sumpahan itu akan berlaku. Mula-mula pipinya pucat, kemudian seluruh wajahnya berkerepot dan kemudian tubuhnya menggeletar dan akhirnya dia rebah. Beberapa lama kemudian dia hilang selera makan dan kemudiannya meninggal dunia.

Seorang juara lumba kapal Donald Campbell cukup percaya kepada benda-benda karut. Dia menghias sekitar rumahnya dengan benda berwarna biru. Seringkali dia membawa patung anak beruang. Banyak kepercayaan pelik yang dianggapnya sebagai kebaikan. Dan apa kala dia mendapat sesuatu perkara ganjil, maka dia yakin padah buruk akan menimpanya.

Sebelum menyertai perlumbaan di Tasik Coniston, Campbell menarik sehelai daun pakau 'ace spade' dan percaya ia akan terkorban dalam perlumbaan itu yang sememangnya berlaku pada dirinya.

Lantaran adanya rasa taksub kepada sesuatu perkara maka seseorang mungkin dilanda oleh perasaan takut. Umpamanya suara burung hantu menandakan kedatangan jin dan syaitan yang mana ramai orang menggigil bila mendengar suara burung itu. Ada pula orang yang percaya bahawa hujan atau gerimis di waktu panas terik membayangkan kemalangan berdarah. Ertinya dia harus tunda tugas dan kerja pada ketika itu.

Mastika 9/97...

PETUA PENJAGAAN RAMBUT...

Gambar hiasan...


RESIPI TRADISIONAL LEBATKAN RAMBUT WANITA...


MASYARAKAT hari ini lebih cenderung menggunakan produk-produk moden yang ditawarkan di pasaran untuk menjaga kebersihan dan kesihatan rambut. Berbagai-bagai jenama syampu, perapi dan tonik yang diedarkan mendapat sambutan hangat di kalangan pengguna-pengguna yang umumnya tidak sedar tentang kesan sampingan daripada bahan-bahan kimia yang terkandung dalam produk-produk itu.


Ketidakserasian dengan produk yang digunakan boleh menyebabkan  rambut menjadi kering dan rapuh. Akibatnya, rambut mudah putus atau gugur dan ini bukan sahaja menjejaskan kecantikan bahkan juga menggugat keterampilan diri secara keseluruhannya.

Dalam hubungan itu, sebahagian besar daripada kaum wanita memilih khazanah lama untuk menjaga kesihatan rambut. Apa yang menakjubkan, rambut mereka tetap cantik dan berseri, lebat dan hitam, lambat beruban dan jarang mengalami masalah seperti kelemumur, terbelah atau berbiji. Apakah rahsia mereka?

Hajah Hawa binti Kamoi, seorang bidan kampung berusia 69 tahun, memberikan jawapannya. Menurutnya, orang dulu-dulu menggunakan berbagai-bagai jenis herba dan barangan tempatan untuk menjaga kesihatan dan kebersihan rambut mereka.


Hajjah Hawa Kamoi...

"Pada zaman dulu mana ada syampu. Orang dulu-dulu guna bahan-bahan tradisional untuk men­jaga rambut mereka," kata Hawa ketika ditemui di rumahnya di Kam­pung Nakhoda di Batu Caves, Selangor.

Hajah Hawa berkata antara kaedah-kaedah tradisional yang amat berkesan untuk menjaga kesihatan rambut ialah dengan menggunakan akar sintok, sejenis kayu berasal daripada kulit pokok sintok yang dititik-titik hingga menyerupai akar. Ia berfungsi sebagai syampu untuk membersih, mengilat dan melembutkan rambut serta membunuh kutu. Hasilnya, rambut men­jadi cantik dan berseri, bebas dari­pada masalah kelemumur dan lambat beruban.


Akar Sintok...

Cara penggunaannya ialah dengan merebus akar sintok dengan air dalam periuk besar hingga mendidih kemudian biarkan hingga sejuk. Sewaktu hendak mandi, siram air rebusan itu ke atas rambut. Akar sintok yang telah menjadi lembut digosok-gosok pada kulit kepala hingga berbuih.

Sesudah bersintok, limau purut pula digunakan bertujuan mengharumkan rambut. Limau dipotong-potong kemudian diramas pada rambut. Biarkan untuk seketika kemudian bilas dengan air bersih.

Sifat akar sintok yang berbuih semasa diramas juga membolehkannya digunakan sebagai sabun. Ia digosok-gosok pada kulit untuk menanggalkan daki serta membersihkan badan.

Menurut Hawa, yang mempelajari ilmu perbidanan daripada ibu mentuanya sejak mendirikan rumah tangga bersama-sama Abdul Latif bin Fakeh pada 1947, kekerapan mencuci rambut dengan sintok dan limau purut akan menghasilkan rambut yang sihat.

Sebagai seorang bidan, Hawa kerap menggunakan sintok terutamanya untuk membersihkan daki sawan yang terdapat pada kepala bayi yang baru dilahirkan.

Hawa, yang turut mewarisi ilmu perubatan tradisional daripada bapanya yang merupakan seorang bomoh, mempunyai petua untuk melambatkan proses rambut beruban. Petuanya ialah dengan mencukurkan rambut sehingga tujuh kali yang menurut Hawa terbukti berkesan untuk melambatkan rambut beruban semasa usia tua. Bagaimanapun, petua ini hanya sesuai diamalkan ke atas bayi yang baru dilahirkan.


"Seelok-eloknya dimulakan semasa upacara mencukur rambut kerana jika ditunggu lebih lama, rambut bayi tumbuh semakin lebat. Bila sudah lebat, tentu rasa sayang untuk mencukur rambutnya hingga botak," kata Hawa yang mempunyai enam orang anak berusia antana 27 hingga 53 tahun.


Setiap kali selepas dicukur botak, kepala bayi hendaklah disapu minyak kelapa untuk menggalakkan pertumbuhan rambut. Apabila rambut tumbuh semula, cukur lagi.

Lakukan begini sehingga tujuh kali, iaitu setiap dua atau tiga minggu sekali bergantung pada lambat atau cepat rambutnya tumbuh.


"Sesetengah bayi cepat tumbuh rambut, sesetengahnya pula lambat. Rambutnya hendaklah dicukur sehingga tujuh kali, insya-Allah rambut lambat beruban semasa usia tua," kata Hawa, yang berasal dari Kampung Batu, Rembau, Negeri Sembilan.
Bagi kanak-kanak yang beram­but jarang atau nipis, cuba amalkan buah keras, minyak bijan, minyak kelapa atau santan untuk mengga­lakkan pertumbuhan rambut.

Petua melebat, menghitam dan mencantikkan rambut

SEBAGAI pengamal per­ubatan traditional, Hawa mempunyai banyak petua untuk menjaga kesihatan rambut. Petua-petua itu, yang mengguna­kan bahan-bahan tem­patan, se­suai diamalkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira tua atau muda. Semuanya bertujuan untuk menyubur, melebat, menghitam dan melembutkan rambut.

Kata orang, kejayaan lahir daripada kegigihan dan ketekunan. Begitulah juga halnya dalam soal menjaga rambut. Kekerapan dan ketekunan mengamalkan petua-petua ini akan menghasilkan rambut yang cantik dan berseri, lembut dan bersinar.

Antara bahan-bahan tempatan yang boleh digunakan untuk menjaga kesihatan rambut secara tradisional ialah:

Orang-aring: Sejenis rumput yang tumbuh di kawasan terbiar, di tepi jalan atau longkang atau di kawasan lembap. Minyak kelapa (seelok-eloknya dibuat sendiri) dipanaskan di dalam periuk. Masukkan daun orang-aring, kacau hingga garing, dan biarkan sejuk. Sapu pada rambut dan kulit kepala pada setiap hari. Rambut akan tumbuh dengan lebat dan lambat beruban.


Rumput Orang-Aring...

Minyak bijan: Disapu pada rambut dan kulit kepala pada waktu pagi atau malam. Ia berfungsi melebat, menyubur dan menguatkan rambut, sekali gus melenyapkan masalah rambut gugur. Sesuai untuk kanak-kanak yang berambut jarang dan nipis.

Minyak kelapa: Seelok-eloknya dimasak sendiri. Cara dan fungsi penggunaannya sama seperti minyak bijan, iaitu melebat, menyubur dan menghitamkan rambut.


Buah mengkudu: Digunakan sebagai syampu untuk mencuci rambut. Pilih buah yang masak berwarna kuning dan ramas di dalam air dan tapis. Ambil airnya sahaja. Seelok-eloknya diembunkan selama satu malam. Pagi esoknya bolehlah disapu pada rambut sebelum dibilas dengan air bersih. Mujarab untuk melebat, menghitam dan mengilatkan rambut. Jangan guna syampu selepas mencuci rambut dengan buah mengkudu.


Buah Mengkudu...

Santan: Sapu hingga rata pada rambut dan kulit kepala dan balut dengan plastik pembalut rambut. Biarkan selama sejam sebelum dicuci dengan syampu dan dibilas dengan air bersih. Kaedah ini menggalakkan pertumbuhan rambut, mengilatkan rambut serta menjauhkan masalah rambut gugur.
Buah keras: Berfungsi melebat dan menghitamkan rambut. Buah keras dibuang kulit. Isinya dibakar sebelum ditumbuk halus dan dicampur dengan minyak kelapa kemudian disapu pada rambut dan kulit kepala pada waktu malam. Bila bangun tidur pada waktu pagi, rambut hendaklah dicuci hingga bersih. Sesuai diamalkan oleh mereka yang berambut jarang atau berkepala botak. Lakukan pada setiap hari selama beberapa bulan. Juga mujarab bagi wanita yang berada dalam pantang untuk mengelakkan rambut gugur. Isi buah keras dibakar dan ditumbuk halus sebelum dimasukkan ke dalam santan. Sapu pada rambut kemudian dengan plastik pembalut  dan biarkan selama setengah jam sebelum dibilas dengan air suam.  




Buah Keras...

Daun inai:Mengatasi masalah kelemumur. Daun ditumbuk halus sebelum dilumur pada kulit kepala yang telah disiram air kemudian dibalut dengan plastik. Biarkan selama setengah jam sebelum dicuci hingga bersih.

Kangkung: Kangkung dipotong-potong dan dibersihkan kemudian direndam dalam baldi berisi air bersih dan dibiarkan semalaman. Air rendaman kangkung itu digunakan untuk mencuci rambut. Elakkan daripada menggunakan syampu. Kulit kepala mungkin terasa pedih semasa dicuci tapi jangan bimbang. Itu adalah kesan daripada tindak balas air rendaman kangkung ke atas kelemumur. Sesuai diamalkan pada setiap hari.

Daun dan buah limau purut:Digunakan untuk mencantik dan mengharumkan rambut, terutamanya jenis keriting halus. Daun dan buahnya diramas dalam air dan air itu hendaklah digunakan untuk mencuci rambut. Amalkan pada setiap hari dan lihatlah perubahannya.


Limau Purut...

Daun bunga raya putih: Fungsinya mengatasi masalah rambut kering, mencantik dan melembutkan rambut. Daun diramas dengan tiga gelas air sehingga keluar lendirnya kemudian disapu pada rambut dan kulit kepala. Biarkan untuk seketika sebelum dibilas dengan air bersih. Amalkan tiga kali seminggu.

Daun turi: Dikenali sebagai daun keti di sebelah utara. Jika rambut berwarna perang dan tidak bermaya, inilah jawapannya. Ambil segenggam daun turi dan tumbuk hingga halus dan lumur pada rambut sebelum dibungkus dengan plastik pembalut rambut. Biarkan selama setengah jam sebelum dicuci dengan air bersih. Amalan merawat rambut dengan daun turi akan menghasilkan rambut yang hitam, cantik dan menawan.

Daun rambutan: Sesuai untuk kanak-kanak atau orang-orang dewasa yang berambut jarang dan nipis. Ia menggalakkan pertum­buhan rambut, melebat dan meng­hitamkan rambut. Daun rambutan muda diramas dalam baldi berisi air hingga keluar lendirnya kemudian disapu ke rambut dan kulit kepala. Biarkan selama setengah jam sebelum dibilas dengan air bersih. Lakukan dua hari sekali. 

Kacang hijau: Menggalakkan pertumbuhan rambut terutamanya bagi mereka yang berkepala botak. Ambil segenggam kacang hijau dan rendam semalaman. Air rendaman itu digunakan untuk mencuci rambut dan kulit kepala setiap pagi dan malam.

Mastika 9/97
Karangan Azizah Ismail.