Tuesday, April 1, 2014

ASAL USUL TEH...

Pekerja-pekerja sedang memetik 
daun teh di ladang...

TERDAPAT bermacam-macam cerita mengenai asal usul teh. Orang-orang Cina percaya bahawa teh ditemui oleh maharaja mereka, Shen-Nung pada tahun 2737 SM. Baginda menemuinya secara tidak sengaja.

Pada suatu hari, sedang baginda tekun merebus air di satu perburuan, beberapa helai daun daripada pohon yang berhampiran luruh ke dalam air rebusan itu. Daun-daun tersebut mengeluarkan sejenis keharuman yang memikat sehingga baginda terdorong untuk menghirup air tadi.

Sebaik sahaja diminum, baginda terasa begitu segar dan bermaya, lalu baginda memperkenalkan minuman tersebut di istananya. Sejak itu teh mula mendapat tempat di kalangan pembesar istana dan akhirnya diterima di kalangan rakyat jelata.

Orang-orang India pula meletakkan penemuan teh ke atas Darma Bodhivista, seorang sami Buddha yang bertapa tujuh tahun tanpa tidur.

Pada tahun kelima pertapaannya, beliau diserang rasa mengantuk yang amat sangat. Dalam keadaan terdesak, beliau memetik beberapa helai daun daripada rimbunan pokok yang berhampiran lalu mengunyahnya.

Daun-daun itu ternyata mengembalikan tenaga beliau untuk meneruskan pertapaan dengan semangat yang kental. Rupa-rupanya daun yang dipetik itu ialah teh.

Orang-orang Jepun juga mempunyai dongengnya sendiri, tetapi agak berbeza. Mereka mendakwa bahawa apabila Darma terasa mengantuk, tidak kelihatan, malah tidak wujud sebarang pokok teh yang memberangsangkan itu. Sebaliknya, sami itu telah mencabut kelopak matanya un­tuk mengelakkan ia daripada tertutup, lalu mencampakkannya ke tanah. Beliau kemudiannya terperanjat melihat dua pohon teh yang subur tumbuh di situ!

Walau apa pun legendanya, pada hakikatnya tabiat meminum teh bermula lebih kurang 3,000 tahun dahulu di Wilayah Szechuan, China.

Teh ialah minuman yang pa­ling popular di dunia. Tidak hairanlah sekiranya sejumlah 768,500,000,000 cawan teh diminum setiap tahun di seluruh dunia. Great Britain yang terkenal dengan kebiasaan meminum teh dan seterusnya mengembangkan tradisi itu di dunia. Negara itu juga memegang rekod dunia sebagai pengimport teh yang terbesar. Penggunaan teh perkapita di situ juga adalah yang tertinggi di dunia — setiap seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak British meminum hampir 4 cawan teh setiap hari! 
 
 Teh yang siap dibancuh telah sedia 
untuk dihidangkan...

Sejak berabad-abad lamanya, teh yang dihasilkan daripada daun-daun dan pucuk-pucuk muda yang dahulunya dikenali sebagai tumbuhan liar, mempunyai pengaruh yang kuat ke atas ekonomi negara-negara pengeluar teh, pedagang teh mahupun negara penggemar teh sendiri. Untuk sekian lama, perniagaan teh mempunyai kedudukan utama di England. Teh juga merupakan sumber tukaran wang asing yang terbesar untuk Sri Lanka. Di India, teh menduduki tangga kedua sebagai sumber pendapatan eksport, yang turut memberi peluang pekerjaan yang paling banyak berbanding lain-lain industri di negara itu. Teh pernah memainkan peranan utama di dalam beberapa peperangan.

Misalnya, peristiwa 'Jamuan Teh Boston' pada tahun 1773 menjadi punca yang mencetuskan Perang Kemerdekaan Amerika. Para pejuang nasionalisme Amerika telah menghumban bertong-tong teh dari­pada sebuah kapal Inggeris ke laut kerana membantah pengenaan cukai baru ke atas wilayah koloni oleh kerajaan England.

Teh turut mendapat tempat di dalam upacara keagamaan. Dalam abad ke-12, sami-sami Buddha Zen Jepun mendapati minuman yang menyegarkan ini membantu mereka tahan berjaga ketika bermeditasi. Lantas, wujudlah chado atau "upacara teh" — istiadat berbentuk disiplin kerohanian melalui upacara teh tersebut.

Teh menjadi minuman yang popular di Eropah setelah diperkenalkan oleh para pedagang dalam tahun 1610. Ia meningkatkan lagi perdagangan yang sedia mewah di kalangan pelayar dan rumah-rumah perniagaan, terutamanya di London.

Sehingga tahun 1721, China memonopoli bekalan teh, tetapi tidak lama kemudian, penawaran tidak berupaya memenuhi permintaan. Berikutan itu, orang-orang Eropah memulakan penanaman teh di India dalam tahun 1823, dan seterusnya di Sri Lanka, Jawa serta Afrika iaitu negara-negara pengeluar teh yang utama di dunia dewasa ini.

Hari ini, pengeluaran teh dunia berjumlah lebih kurang 2,340 bilion kilogram setahun. India menduduki tangga teratas dengan pengeluaran lebih kurang 675,000 juta kilogram setahun, China, negara asal teh menjadi pengeluar teh yang kedua terbesar dengan menyumbangkan 22% keluaran teh dunia. Negara pengeluar teh dunia yang lain ialah Sri Lanka, Turki, Rusia, Indonesia dan Jepun.

Teh dikelaskan kepada dua kategori iaitu teh tanah tinggi dan teh tanah rendah. Setiap satunya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Walau bagaimanapun, teh tanah tinggi didapati lebih bermutu. Daripada kategori ini, terdapat pula 3 jenis teh yang setiap satunya diha­silkan mengikut kaedah pemprosesan yang berlainan. Teh-teh itu adalah seperti berikut:- 


  • Teh Hitam : diperam sepenuhnya, kadangkala dipanggil Teh Sri Lanka atau Teh Inggeris.
  • Teh Hijau : teh yang tidak diperam tetapi dikukus dan diasapkan selepas dipetik. Teh Jepun termasuk di dalam kategori ini.
  • Oolong atau Teh Oulong (Naga Hitam) : teh separa peram yang dilayukan di bawah panas matahari, digulung perlahan, kemudiannya diasapkan. Teh Cina ialah teh dari jenis ini.
Terdapat lebih daripada 3,000 jenis teh di dunia. Sepertimana beberapa minuman lain, nama teh diambil sempena nama daerah atau kebun teh di mana ia berasal. Misalnya teh jenis Assam yang ditanam di Cameron Highlands berasal dari Wilayah Assam di India.


Terdapat juga teh yang diperisakan dengan minyak, bunga-bungaan, pati dan herba, Earl Grey adalah salah satu teh yang paling dikenali di antara teh-teh itu. Tiap-tiap jenis teh boleh dikenali berdasarkan ciri-ciri yang tertentu. Teh hitam yang baik dikenali menerusi rasa, kerangsangan, keharuman, kekayaan keperisaan, warna, kepekatan dan kesegarannya.

Teh hitam yang dikilang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan gred pecahan daun. Teh diasingkan kepada empat saiz pecahan utama, dikenali sebagai "Daun" (Lead), "Dipecahkan" (Broken), "Anginan" (Fannings) dan saiz yang paling halus, dikenali sebagai "Serbuk" (Dust) di kalangan para peniaga. Satu kesilapan tafsiran yang lazim terjadi ialah anggapan bahawa "Orange Pekoe" ialah sejenis teh seperti Assam. Panggilan itu sebenarnya ialah satu istilah teknik yang menerangkan sejenis gred daun teh dan biasanya dirujuk kepada teh India atau Sri Lanka.

No comments:

Post a Comment