Thursday, February 26, 2015

KISAH MATAHARI YANG SENTIASA SUJUD KEPADA ALLAH S.W.T...

Gambar hiasan...

Dari Abu Dzar r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bertanya kami: "Tahukah kamu semua kemanakah matahari itu selalu pergi?"

Lalu kami berkata: "Hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang tahu."

Kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda: "Matahari itu berjalan sehingga sampai di perhentiannya iaitu di bawah 'Arasy, kemudian matahari itu sujud, ia sujud sehingga datang perintah Allah: "Bangkitlah dan kembalilah ke tempatmu semula! Setelah matahari mendapat perintah dari Allah S.W.T. maka dia pun muncul kembali seperti biasa di tempatnya dan dia meneruskan perjalanannya seperti biasa sehingga kembali di tempat perhentiannya di bawah 'Arasy. Lalu matahari sujud lagi sehingga datang perintah Allah S.W.T.: "Bangkitlah dan kembalilah ke tempatmu semula! maka matahari pun bangun dan ia pun terbit semula seperti biasa di tempatnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi: "Matahari itu tidak pernah mungkir sedikit pun hingga ia sampai kembali ke tempat perhentiannya di bawah 'Arasy. Dan apabila matahari menerima perintah dari Allah S.W.T. yang bermaksud: "Bangunlah dan muncullah kamu di tempat kamu biasa tenggelam." Maka pada masa itulah akan terbit matahari di sebelah barat.

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Tahukah kamu semua bilakah hal ini akan terjadi (terbitnya matahari sebelah barat), ianya akan terjadi pada hari di mana iman seseorang itu tidak berguna lagi, jika sebelumnya dia tidak beriman."

Semua ciptaan Allah S.W.T. sentiasa tunduk dan sujud pada Allah kecuali manusia dan jin yang ingkar, manusia mempunyai akal fikiran yang baik dan dapat memahami dan melihat dan merasai segala ciptaan Allah, tetapi malangnya masih banyak lagi yang ingkar pada perintah Allah.

Kalaulah matahari yang begitu kuat kuasa yang Allah berikan padanya sentiasa sujud pada Allah, jadi mengapakah kita yang lemah ini sangat degil dan keras kepala tidak mahu sembah Allah.

Kalau kita masih berdegil juga, sila lihat firman Allah dalam surah Al-Hajji ayat 18 yang bermaksud: "Tidakkah engkau tahu, bahawa kepada Allah sujud (tunduk) siapa yang di langit dan siapa yang di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata dan kebanyakan manusia , tetapi kebanyakan (manusia yang lain ) berhak mendapat azab . Barang siapa yang dihinakan Allah, maka tidak adalah baginya orang yang akan memuliakannya, sesungguhnya Allah membuat apa-apa sahaja yang dikehendakinya.

DENDAM DAN IRI HATI SEORANG KHALIFAH...

Memang tidak ramai manusia apabila sudah memegang kuasa, kadang-kadang menggunakan kekuasaannya itu untuk membalas dendamnya kepada orang yang diperintahnya. Tidak kurang pula orang yang menjadi korban itu adalah manusia yang tidak berdosa, bahkan manusia yang berjasa kepada negara.

Pada masa Khalifah Al-Walid memerintah Daulat Bani Umaiyah, terdapat seorang panglima perang yang gagah berani dan cerdik bernama Musa bin Nusair. Panglima perang ini sudah berusia 60 tahun namun gerakan dan kecergasannya tidak kalah dengan orang muda. Panglima besar ini bercita-cita untuk menyebarkan syiar Islam di daratan Eropah melalui pantai Afrika Utara. Untuk tujuan ini, beliau memujuk orang bawahannya bernama Tarik bin Ziyad seorang panglima perang dari suku Barber memimpin pasukan Islam ke sana.

Setelah menyeberangi laut sempit dari pantai Afrika Utara, Tarik bin Ziyad berhasil mendarat di daratan Eropah. Sebaik saja mendarat di daratan Eropah itu, Tarik memerintahkan agar semua kapal-kapal yang digunakannya untuk menyeberang, dibakar kesemuanya. Dengan cara demikian, walau apapun yang terjadi tentera Islam tidak akan lari dari peperangan. Tarik berpidato di hadapan pasukannya: "Al-Aduwwu amamakum! Wal bahru wara-akum! Fakhtaruu ayyuma syiktum!" Yang ertinya: "Musuh ada di hadapanmu! Sedangkan di belakangmu terbentang lautan! Maka pilihlah yang mana satu yang engkau mahu!"

Setelah bertempur dengan hebat dan berani, terpacaklah panji-panji Islam di sana.

Tiada berapa lama kemudian panglima besar Musa bin Nusair mendarat di Eropah bersama pasukannya setelah mendengar kemenangan yang dicapai oleh Tarik bin Ziyad. Beliau datang dengan melalui jalan berasingan dengan jalan yang dilalui oleh Tarik bin Ziyad. Beliau menakluk kota-kota dan benteng yang belum sempat ditakluk oleh Tarik, dengan demikian penyebaran Islam di tanah Sepanyol itu berjalan dengan cepat.

Dengan usaha gigih panglima Musa bin Nusair ini, kini empayar Islam terbentang luas dari Asia ke Afrika sampai ke Eropah. Tibalah masanya bagi panglima besar ini untuk balik ke Damaskus setelah melakukan penaklukan bertahun-tahun. Beliau akan melaporkan hasil kejayaan besarnya dan menyerahkan harta rampasan yang tak ternilai harganya kepada Khalifah Walid bin Abdul Malik.

Ketika panglima Musa bin Nusair sampai di Palestin, dalam perjalanannya itu, Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang sakit tenat dan menunggu ajal. Di sebalik kejayaan yang dicapai oleh Musa dan di sebalik penderitaan yang sedang dialami oleh Khalifah Walid yang sedang sakit, rupanya ada manusia yang bersifat aneh. Orang itu ialah Sulaiman bin Abdul Malik saudara kepada Khalifah Walid, dan dia pula yang akan menjadi Khalifah apabila Khalifah Walid wafat. Sulaiman merasa iri hati terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh Panglima besar Musa bin Nusair. Dia ingin agar kejayaan Musa dalam memperluas empayar Islam di Afrika dan di Eropah berpindah kepada dirinya. Dengan kata lain dia ingin mencari populariti di atas titik peluh dan darah pengorbanan orang lain. Maka Sulaiman yang sudah dipastikan akan menjadi Khalifah sebaik saja Khalifah Walid wafat, menghantar surat kepada panglima Musa yang sedang berada di Palestin. Dalam surat itu Sulaiman menyuruh agar panglima Musa melambat-lambatkan perjalanannya atau menangguhkan kemasukannya ke Damaskus. Permintaan Sulaiman ini dapat disedari oleh Musa yang alim ini. Dia sedar bahawa Sulaiman ingin mengambil alih kepopularannya untuk dirinya yang akan menjadi Khalifah. Tetapi panglima Musa yang sudah berjuang berpuluh tahun itu tidak mahu diperbodohkan oleh Sulaiman yang bakal jadi Khalifah.

Dengan berani dan terus terang, panglima Musa menyampaikan pesanan kepada Sulaiman: "Anda telah mengkhianat! Demi Allah, anda telah membuat tipu helah dan tidak jujur. Demi Allah, aku tidak akan berhenti untuk menunggu, aku juga tidak akan berjalan dengan melambat-lambat dan juga tidak akan tergopoh-gapah. Tapi aku akan berjalan sebagaimana biasa saja, jika aku ditakdirkan menemui Amirul Mukminin dalam keadaan masih hidup, maka aku pasti sampai ke sana sebelum beliau wafat. Tapi jika sekiranya ajalnya sampai lebih dahulu sebelum aku tiba, maka itu adalah kehendak Allah."

Utusan itu segera pulang dan memberitahu pesanan Musa kepada Sulaiman. Maka tercabarlah Sulaiman sebelum menjadi Khalifah. Tiada berapa lama Musapun sampai ke Damaskus dan disambut dengan besar-besaran oleh para pegawai dan rakyat sebagai panglima yang telah berjasa. Ternyata Khalifah Al-Walid masih hidup. Musa segera melaporkan hasil perjalanan dan penaklukan pasukan perang yang dipimpinnya sambil memperlihatkan harta rampasan yang sangat banyak dan sangat berharga kepadanya. Khalifah masih sempat menyaksikan kejayaan itu dan menerima seperlima dari harta rampasan tersebut.

Sayangnya, tiga hari kemudian Khalifah Al-Walid wafat dalam usia 43 tahun.

Dengan wafatnya Khalifah Al-Walid, maka saudaranya Sulaiman bin Abdul Malik memegang jawatan Khalifah Daulat Bani Umaiyah yang ketujuh. Khalifah yang satu ini lain daripada yang lain. Kalau Khalifah yang sebelumnya sangat membanggakan dan menyanjung para pahlawan yang telah berjasa kepada negara serta menempatkan mereka pada jawatan-jawatan yang patut, Khalifah Sulaiman bersifat sebaliknya. Dia sangat benci dan iri hati terhadap kepopularan para panglima perangnya. Maka sebaik saja dia menjawat Khalifah, pro­gram utama yang dilaksanakannya ialah melepaskan rasa dendam, iri hati dan dengkinya. Untuk itu dia telah memanggil, mengugut, mengancam dan menurunkan beberapa orang berjasa dari jawatannya. Padahal di tangan merekalah Daulat Bani Umaiyah dapat bertahan dan semakin luas. Dan berkat merekalah para datuk-datuk dan ayahnya dapat bersenang-lenang di atas kerusi tahta kerajaan, sehinggalah dirinya mewarisi kemewahan pula.

Khalifah Sulaiman memanggil panglima Musa bin Nusair untuk meluahkan dendam hatinya: "Wahai Musa! Engkau ini sudah melampau. Engkau telah berani melanggar perintahku. Demi Allah, akan kukurangkan bilangan pasukanmu, kumpulanmu akan kucerai beraikan, hartamu akan kumusnahkan,. lalu aku akan menurunkan engkau dari kedudukanmu yang sekarang. Kerana dia, kau telah salah gunakan untuk memperolehi cita-cita kebesaranmu, malah engkau telah mengatasnamakan keluarga Abu Sufyan dan keluarga Marwan dengan sesuka hatimu."

Musa bin Nusair bukannya budak kecil, bukan pula orang bodoh seperti kerbau dicucuk hidung. Beliau tahu dari mana datangnya kebesaran Daulat Bani Umaiyah. Oleh kerana itu dengan sangat beraninya dia menjawab ugutan Khalifah itu dengan terus terang.

Kata Musa: "Wahai Amirul Mukminin, aku tidak merasa melakukan sebarang dosa kepada siapapun, kerana aku telah memberikan taat setiaku kepada khalifah-khalifah sebelum anda. Dan aku patut menjaga hati orang yang mendudukkan aku di tempat yang sepatutnya aku duduki."

Kemudian dia berkata lagi: "Adapun apa yang anda sebutkan tadi bahawa bilangan pasukanku akan dikurangkan, kumpulanku akan diceraiberaikan, hartaku akan dimusnahkan dan aku akan diturunkan dari kedudukanku, adalah kuasa Allah semata-mata dan akan kembali kepadaNya. Dialah yang mengurniakan nikmat dan kebaikan kepada aku, jadi kepadaNyalah sepatutnya aku mohon pertolongan."

Kata-kata panglima Musa itu sebenarnya adalah merupakan nasihat orang tua yang telah banyak makan garam kepada anak muda yang baru melangkah agar menyedari dirinya. Namun bagi Khalifah Sulaiman yang di dalam hatinya sudah tertanam benih-benih kedengkian dan dendam, nasihat itu dianggapnya suatu cabaran lagi atas kedudukannya. Maka dendam dan dengki Khalifah Sulaimanpun segera dinyatakan dalam bentuk pemberhentian para pegawai yang mempunyai populariti tinggi di mata rakyat kerana jasanya.

Mereka yang jadi mangsa dan diturunkan dari jawatannya itu antaranya panglima Musa bin Nusair, putera-putera panglima Musa bin Nusair iaitu panglima Abdul Malik bin Musa dan panglima Abdul Aziz bin Musa, panglima Kutaibah dan keluarga panglima Al-Hajjaj.

Pada suatu hari kepala mayat Abdul Aziz bin Musa yang terbunuh di Andalusia dibawa orang ke Damsyik dan diserahkan kepada Khalifah. Khalifah Sulaiman memanggil Musa bin Nusair dan mencampakkan kepala panglima itu ke hadapan Musa.

"Kenalkah engkau kepala siapa ini?" Tanya Khalifah kepada Musa.

Musa menjawab: "Ya. Ini adalah kepala Abdul Aziz bin Musa."

Rombongan yang membawa kepala Abdul Aziz berdiri dan menceritakan kepada orang ramai tentang pembunuhan panglima itu. Setelah mereka bercakap, berdirilah Musa sambil berkata: "Rahmat Allah ke atas kepala Abdul Aziz ini, wahai Khalifah! Demi Allah, sesungguhnya usia manusia ada di dalam ketentuanNya. Saya mengenali Abdul Aziz ini sebagai seorang yang pada siangharinya berpuasa dan malamnya bersembahyang serta lemah lembut kepada kaum Muslimin yang ada di bawah pimpinannya. Senang bagi siapa saja yang mengenalinya untuk memberikan persaksian begini kepadanya, akan tetapi engkau telah bunuh orang seperti dia."

Kebencian Khalifah Sulaiman terhadap panglima Musa tidak pernah habis-habis, ada saja sesuatu yang kata-kata perli yang ditujukan kepadanya. Pada suatu hari di sekeliling Khalifah Sulaiman ada ramai orang. Musa datang ke situ. Tiba-tiba saja Khalifah berkata: "Telah hilang sengat orang tua itu." sambil berkata demikian, tangannya menunjuk kepada Musa yang baru datang itu. Musa yakin bahawa kata-katanya ditujukan kepada dirinya, namun dia tidak jelas apa yang dikatakan. Maka setelah mengucapkan salam, Musa berkata: "Tadi Khalifah mengatakan sesuatu ketika saya baru masuk ke sini, dan saya percaya bahawa kata-kata itu ditujukan kepada saya."

Dengan sombongnya Khalifah Sulaiman berkata: "0...ya. Aku mengatakan, telah hilang sengat orang tua itu."

Dengan tegas pula Musa berkata: "Demi Allah, meskipun engkau katakan demikian, tapi mesti diingat, bahawa orang tua itu telah memberikan sumbangan besar pada agamanya, hidupnya telah ditumpukan sepenuhnya untuk jihad di jalan Allah dan telah menyiarkan agama Allah di merata ceruk dunia. Di tangan saya Allah telah menyempurnakan janjiNya kepada NabiNya. Memang saya tidak dapat bekerjasama dengan engkau, tapi saya telah bekerjasama dengan ayah dan datuk anda dalam jangka masa yang lama."

Khalifah Sulaiman tidak berani membantah keterangan Musa itu. Kerana di sekelilingnya ramai saksi-saksi hidup yang benar-benar mengetahui apa yang dikatakan oleh Musa itu memang benar belaka.

Supaya tidak dianggap membisu, Khalifah Sulaiman berkata: "Benarkah demikian?" Berulang kali, dan berulangkali pula Musa menjawab: "Memang demikian kenyataannya."

Menurut catatan sejarah, panglima Musa bin Nusair telah disingkirkan oleh Khalifah Sulaiman ke Madinah Al-Munawwarah. Di situlah pahlawan dan panglima besar Islam itu mengakhiri hayatnya pada tahun 98 Hijrah.

MIMPI SEORANG SAHABAT...

Tufail bin Amr Ad-Dausy adalah seorang yang mempunyai kedudukan tinggi di zaman jahiliyah. Di samping terkenal sebagai orang yang dermawan, penyair dan gagah berani, dia juga menjadi ketua kabilah Daus. Ketika pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji, dia telah terpegun apabila mendengar seseorang membaca kalimah-kalimah yang sangat indah yang tak pernah didengarnya sebelum ini. Setelah sekian lama memasang telinganya untuk menyemak kalimah demi kalimah yang didengarnya, akhirnya dia membuat kesimpulan bahawa kalimah itu bukan buatan manusia. Maka diapun menghampiri orang yang sejak tadi menarik perhatiannya itu kerana beribadah dengan cara lain dari yang lain. Ternyata orang itu memang seorang Nabi yang menerima wahyu dari Tuhan Pencipta alam ini. Ketika itu juga Tufail mengucapkan: "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah."

Sebagaimana sahabat-sahabat lain, sebaik sahaja Tufail memeluk Islam dia telah menyediakan dirinya untuk kepentingan Islam selama 24 jam, siap maju ke medan tempur bila semboyan perang berbunyi.

Suatu hari Tufail pernah memohon kepada Rasulullah: "Hai Rasulullah! Tempatkanlah kami di sayap kanan pasukan tuan dalam setiap peperangan yang tuan pimpin."

Permintaan ini diterima oleh Rasulullah. Maka Tufail Ad-Dausy bersama anak buahnya yang terdiri dari putera-putera kabilah Dausy telah membentuk satu pasukan kecil yang diberi nama 'Pasukan Mabrur". Tufail bersama anak buahnya terus menerus ikut dalam setiap peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. sehingga hari pembebasan kota Makkah. Di zaman Khalifah Abu Bakar, Tufail dan anak buahnya yang belum menemui syahid tetap mengikuti setiap peperangan. Pada waktu peperangan melawan beberapa orang murtad dan nabi palsu, Tufail bersama anak buahnya masuk di dalam senarai tentera yang di hantar ke Yamamah untuk memusnahkan Musailamah Al-Kazzab. Berangkatlah Tufail bersama anak buahnya. Anaknya sendiri Amr bin Tufail pun ikut dalam pasukan itu.


Dalam perjalanan menuju Yamamah itulah Tufail sempat tidur ketika rehat di waktu malam, pada malam itu dia bermimpi. Pada pagi esoknya dia bercerita kepada teman-teman sepasukannya yang juga dihadiri oleh anaknya. "Malam tadi aku bermimpi". Kata Tufail memulakan ceritanya. : "Cuba kalian tafsirkan mimpiku ini!".

Sahabat-sahabatnyabertanya: "Bagaimana mimpimu itu?"


Tufail menjawab: "Aku bermimpi kepalaku dicukur. Seekor burung keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya. Anakku Amr menuntut dengan sungguh-sungguh agar dia dibenarkan ikut bersamaku, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana antaraku dan dia ada dinding."

Sahabat-sahabat Tufail tidak ada yang dapat menyusun kata-kata untuk mentafsirkan mimpinya itu. Tetapi di dalam hati mereka ada jangkaan bahawa mimpi itu baik.

"Itu sebuah mimpi yang baik." Begitulah komen yang dapat keluar dari mulut sahabat-sahabat Tufail.

Kerana di antara mereka tidak ada yang mengeluarkan penafsiran yang sebenar, Tufail berkata: "Sekarang aku akan cuba tafsirkan sendiri.

Kepalaku dicukur, ertinya kepalaku akan dipotong. Burung yang keluar dari mulutku, ertinya nyawaku akan keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya, ertinya tanah digali orang, lalu aku dikuburkan."

Kemudian Tufail berkata lagi: "Aku berharap semoga aku tewas sebagai syahid. Adapun anakku, dia juga berharap supaya mati syahid seperti aku, tetapi permohonannya akan dikabulkan kemudian."

Demikianlah Tufail mentafsirkan mimpinya sendiri dan dia sangat berharap agar mimpinya itu menjadi kenyataan.

Apabila pasukan kaum Muslimin sampai di Yamamah, terjadilah pertempuran hebat antara tentera kaum Muslimtn dan pasukan Musailamah. Ternyata pasukan Musailamah sangat kuat dan jumlahnya sangat ramai hingga kaum Muslimin terdesak dan khemah-khemahnya sempat musnahkan oleh tentera Musailamah. Tetapi berkat kepandaian dan kecerdikan Khalid bin Walid yang memimpin pasukan Islam, pasukan nabi palsu itu dapat dikalahkan setelah mengorbankan nyawa yang sangat banyak dan Musailamah sendiri terbunuh.

Dalam peperangan yang dahsyat itu, Tufail bin Amr Ad-Dausy mendapat luka parah dan tewas di medan tempur. Sementara anaknya yang meneruskan perjuangan ayahnya, terkena hentakan pedang musuh hingga kudung tangan kanannya.

Setelah peperangan berakhir, Amr bin Tufail balik ke Madinah dengan meninggalkan ayah dan tangan kanannya terbang terlebih dahulu ke syurga dari Yamamah. Separuh mimpi Tufail telah jadi kenyataan, dia telah syahid dalam memerangi nabi palsu.

Dengan hanya mempergunakan tangan sebelah kiri, Amr bin Tufail masih tetap mengikuti perjuangan Islam sampai pada masa Khalifah Umar bin Al-Khattab. Pada suatu hari Amr bin Tufail menghadiri majlis Khalifah. Apabila makanan dihidangkan, orang di dalam majlis itu menjemput Amr agar makan bersama, tetapi dia menolak dan bahkan menjauhkan diri.
Melihat itu Khalifah bertanya: "Mengapa? Barangkali engkau lebih suka makan kemudian. Atau mungkin engkau malu kerana tanganmu itu?"

Amr menjawab: "Betul, ya Amirul Mukminin!"

Khalifah berkata: "Demi Allah, aku tidak akan makanan ini, sebelum dianya disentuh oleh tangan kudung itu. Demi Allah, tidak seorangpun, yang sebahagian tubuhnya telah berada di dalam syurga, melainkanengkau.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab pula tentera Islam berangkat ke Yarmuk untuk memerangi pasukan Rom yang jumlahnya 240,000 orang. Peperangan ini memakan masa yang panjang. Kalah dan menang silih berganti dikuasai oleh kedua-dua belah pihak. Namun pada akhirnya pasukan Islam dapat memenangi perang ini setelah mengorbankan putera-putera Islam yang berjumlah 3,000 orang. Setelah perang selesai, tentera Islam memeriksa dan mengumpulkan mayat-mayat syuhada' yang bergelimpangan di sana-sani. Dari sekian ribu syuhada' yang meniarap itu terdapat satu di antaranya pahlawan sebelah tangan. Dia itu adalah Amr bin Tufail yang telah kudung tangan kanannya. Sempurnalah tafsir mimpi Tufail bin Amr. Dua anak beranak Tufail bin Amr Ad-Dausy dan Amr bin Tufail dan Amr bin Tufail telah sama-sama syahid di medan perang.

Allahu Akbar.

Wednesday, February 25, 2015

PEMBEBASAN DARI GANGGUAN JIN DAN SYAITAN...

Dah lama aku tak update blog...bukan sebab tak ade bahan atau cerita-cerita yang hendak dikongsi...tapi banyak urusan keluarga yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Bila dah ke hulu ke hilir tu...faham-faham sajelah...badan pun penat dan lesu...jadi balik rumah apa lagi nak buat...tidur awal lah jawabnya...Disebabkan itulah aku dah lama tak mengadap komputer di rumah untuk update cerita-cerita baru di dalam blog atau di Facebook.

Sekarang dah masuk tahun baru...nampaknya semangat nak berblog dah datang semula walaupun dah hampir dua bulan berlalu.

Kisah kali ini aku nak sambung balik cerita pasal rumah adik aku yang diganggu Jin dan Syaitan yang telah disiarkan pada bulan November 2014 yang lalu. Kepada para pembaca yang tertinggal kisah permulaannya, bolehlah klik di sini. Tajuknya 'Diganggu Jin dan Syaitan'. Selepas itu kisahnya disambung lagi di sini dan tajuknya 'Upacara Menghalau Jin dan Syaitan'.

Artikel ini adalah penutup kepada kedua-dua kisah yang dipaparkan melalui kedua-dua link di atas. Setiap yang bermula mesti ada pengakhirannya. Jadi begitulah apa yang telah dilalui oleh adik aku dan keluarganya selama tempoh sepuluh tahun menderita mengalami gangguan-gangguan itu.

Selepas Ustaz Halim selesai melakukan upacara pemulihan rumah dengan membaca ayat-ayat Al Quran, menyuruh kami melakukan azan semasa beliau menabur garam, lada hitam dan menyembur cuka di setiap penjuru rumah dan di pokok semambu tempat tinggal makhluk tersebut maka Ustaz pun memanggil kami lalu berkata:

"Pokok Semambu yang kat depan rumah tu kena tebang cepat sikit, kalau boleh, tebang esok lagi bagus, biar makhluk tu lari terus dan tak ada peluang nak datang balik...tebang tu biar korek dengan akar-akarnya sekali...tapi kalau tak boleh sebab takut rosak pulak jalan kat depan tu...potonglah sehingga kepangkalnya sahaja separas dengan jalan dan lepas tu sembur racun supaya ianya mati...." Itulah pesan Ustaz Halim pada kami semua. Kamipun angguk tanda setuju untuk melakukan apa yang disuruh oleh Ustaz Halim itu.

Upacara itu selesai pada jam 2.30 pagi dan kamipun bersurai. Pada malam itu, aku dan Abang Joe tidur di rumah abang Izhar sebab esok pagi kami nak ke Kulim, Kedah sebab ada majlis pernikahan anak saudara kami Ahmad Faizal di sana.

Walaupun Ustaz Halim suruh kami tebang pokok tu cepat, tapi disebabkan kesuntukan masa dan perlu hari yang sesuai maka selepas dua minggu ianya berlalu barulah pokok Semambu itu ditebang. Adik aku telah mengupah orang untuk menebangnya dengan kos RM200.00. Aku dan Abang Joe yang tidak dapat pulang pada hari tersebut hanya mengikuti perkembangannya dari jauh sahaja dan juga dari gambar-gambar yang dihantar melalui WhatsApp oleh Anak saudaraku Eika.

Setelah beberapa minggu berlalu...

Satu hari, aku melefon adik aku untuk bertanya khabar. Disamping itu aku juga ingin mengetahui akan perkembangan kehidupan mereka samada masih lagi diganggu atau tidak.

Menurut adik aku, selepas pokok Semambu tu dah ditebang, satu pagi beberapa hari selepas itu ketika waktu hampir nak Subuh, anaknya yang sering diganggu sebelum ini ada mendengar bunyi ketukan di tepi dinding bilik tidurnya. Beliau yang terkejut dan terjaga mendengar ketukan itu turut juga mendengar bunyi seakan-akan suara esakan tangis mirip suara gadis yang mendayu-mendayu seperti orang sedih. Anaknya itu yang agak berani cuba meninjau untuk mengetahui dari arah mana suara itu datang. Setelah diamati ia tidak melihat sesiapapun di situ dan ia menganggap itu adalah mainan perasaannya sahaja. Setelah hampir dua minit berlalu maka suara esakan tangis itupun terus hilang dan tidak kedengaran lagi sehingga ke hari ini.

Begitulah pada hari-hari seterusnya yang dilalui mereka. Kini kehidupan mereka kembali tenang dari gangguan Jin dan Syaitan. Bunyi ketukan serta esakan tangis yang didengari itu adalah yang terakhir kalinya.Wallahuaklam....




Saksikan beberapa keping gambar yang sempat dirakam 
semasa kerja-kerja penebangan pokok dilakukan...

Salah seorang pekerja sedang menebang pokok Semambu 
yang dikatakan dihuni oleh makhluk Jin dan Syaitan...

Jika dilihat pada fizikal pokok yang besar ini semua orang 
akan percaya bahawa pokok yang besar macam inilah tempat 
yang Jin paling suka tinggal tambah pula jika ia dipuja oleh tuan rumah sebelum ini...




Abang Mie iaitu biras adik aku turut membantu 
dalam kerja-kerja penebangan pokok ini...

Pokok yang telah ditebang akan diangkut dan dibuang 
dengan menggunakan motosikal roda tiga... 




Seperti saranan Ustaz Halim bahawa pokok ini mesti ditebang 
hingga kepangkalnya dan tunggulnya hendaklah diracun supaya ia mati...


Pokok yang telah tumbang digergaji supaya ia senang diangkut untuk dibuang...




PERMOHONAN SEORANG PAHLAWAN...

Gambar hiasan...

Salah seorang keluarga terdekat Rasulullah S.A.W. yang beruntung adalah Abdullah bin Jahsy. Dia yang masih sepupu baginda memeluk Islam sebaik saja agama Allah ini dikumandangkan. Dengan demikian dia termasuk As-Sabiqunal Awwalun (golongan orang yang mula-mula masuk Islam.)

Sebagai As-Sabiqunal Awwalun, Abdullah bin Jahsy telah banyak mengalami penderitaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy, hingga terpaksalah dia berhijrah dua kali. Pertama ke Habasyah dan yang kedua ke Madinah. Sewaktu hijrah ke Madinah itulah rumahnya yang banyak dengan barang-barang berharga telah dicuri oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Mereka dengan seronok dan rakusnya menceroboh rumah Abdullah dan mengaut barang-barangnya.

Setelah di Madinah, Abdullah bin Jahsy sentiasa bersiap sedia untuk menentang orang kafir Quraisy. Pertama sekali dia ditugaskan oleh Rasulullah ialah memimpin pasukan kecil yang bertugas merisik gerak-gerik orang Qjuraisy Makkah. Dalam gerakan ini Abdullah dan para sahabatnya berhasil membunuh dan menawan pihak musuh walaupun tidak direstui oleh Rasulullah. Setelah itu Abdullah ikut terlibat dalam perang Badar dan perang Uhud.

Dalam perang Uhud ini, ada satu peristiwa penting yang sangat mengharukan telah dialami Abdullah. Peristiwa itu dituturkan oleh teman seperjuangan Abdullah yang sentiasa berdampingan dengannya iaitu Saad bin Abi Waqas yang termasuk juga As-Sabiqunal Awwalun. Saad bin Abi Waqas yang sempat hidup lama setelah wafatnya Rasulullah tidak pernah melupakan pengalamannya ketika bersama Abdullah.

Ketika perang Uhud itu, Abdullah bin Jahsy menemui Saad bin Abi Waqas dan bertanya: "Apakah engkau tidak berdoa?"

Saad bin Abi Waqas menjawab: "Tentulah berdoa."

Kemudian kedua-dua sahabat itu pergi mencari tempat yang agak jauh dari pandangan mata untuk bermunajat kepada Allah. Pertama sekali Saad berdoa: "Ya Tuhanku! Jika kami akan dipertemukan dengan musuh, pertemukanlah saya dengan musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan bertempur melawannya. Berilah saya kemenangan, sehingga musuh itu tewas di tangan saya kemudian akan kurampas kelengkapannya."

Ketika Saad bin Abi Waqas berdoa, Abdullah bin Jahsy ikut mengaminkannya dengan khusyuk. Kini giliran Abdullah sendiri berdoa untuk dirinya:

"Wahai Allah! Berilah saya rezeki seorang musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan melawannya demi Engkau, tetapi kemudian dia kembali menewaskan saya pula. Kemudian dia memotong hidung dan telinga saya. Apabila saya berjumpa dengan Engkau esok, Engkau akan bertanya kepada saya: "Mengapa hidung dan telingamu kudung wahai Abdullah?" Saya akan menjawab: "Kerana membela agama Allah dan Rasul Engkau!" Lalu Engkau berkata: "Benar engkau."

Selepas berdoa itu Abdullah terus maju ke medan tempur. Mula-mula kaum muslimin dapat mengundurkan tentera kaum Quraisy, namun kemudian kaum Muslimin terdesak dan kaum musyrikin mengganas. Beberapa orang islam yang syahid mereka cincang-cincang sebagai meluahkan rasa dendamnya di medan Badar. Apabila perang telah selesai, di dapatinya Abdullah bin Jahsy menemui syahid. Rohnya telah dibawa naik oleh Malaikat sementara badannya betul-betul seperti apa yang dia minta kepada Allah iaitu hidung dan telinganya telah dipotong oleh orang kafir Quraisy. Bukan hanya setakat itu sahaja, hidung dan telinga yang telah dipisahkan dari badannya itu didapatinya ditusuk dengan seutas tali dan digantungkan pada sebatang pokok. Allah telah mengabulkan doa pahlawanNya, esok Dia pula yang akan mengganti hidung dan telinga itu.