Wednesday, February 25, 2015

PERMOHONAN SEORANG PAHLAWAN...

Gambar hiasan...

Salah seorang keluarga terdekat Rasulullah S.A.W. yang beruntung adalah Abdullah bin Jahsy. Dia yang masih sepupu baginda memeluk Islam sebaik saja agama Allah ini dikumandangkan. Dengan demikian dia termasuk As-Sabiqunal Awwalun (golongan orang yang mula-mula masuk Islam.)

Sebagai As-Sabiqunal Awwalun, Abdullah bin Jahsy telah banyak mengalami penderitaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy, hingga terpaksalah dia berhijrah dua kali. Pertama ke Habasyah dan yang kedua ke Madinah. Sewaktu hijrah ke Madinah itulah rumahnya yang banyak dengan barang-barang berharga telah dicuri oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Mereka dengan seronok dan rakusnya menceroboh rumah Abdullah dan mengaut barang-barangnya.

Setelah di Madinah, Abdullah bin Jahsy sentiasa bersiap sedia untuk menentang orang kafir Quraisy. Pertama sekali dia ditugaskan oleh Rasulullah ialah memimpin pasukan kecil yang bertugas merisik gerak-gerik orang Qjuraisy Makkah. Dalam gerakan ini Abdullah dan para sahabatnya berhasil membunuh dan menawan pihak musuh walaupun tidak direstui oleh Rasulullah. Setelah itu Abdullah ikut terlibat dalam perang Badar dan perang Uhud.

Dalam perang Uhud ini, ada satu peristiwa penting yang sangat mengharukan telah dialami Abdullah. Peristiwa itu dituturkan oleh teman seperjuangan Abdullah yang sentiasa berdampingan dengannya iaitu Saad bin Abi Waqas yang termasuk juga As-Sabiqunal Awwalun. Saad bin Abi Waqas yang sempat hidup lama setelah wafatnya Rasulullah tidak pernah melupakan pengalamannya ketika bersama Abdullah.

Ketika perang Uhud itu, Abdullah bin Jahsy menemui Saad bin Abi Waqas dan bertanya: "Apakah engkau tidak berdoa?"

Saad bin Abi Waqas menjawab: "Tentulah berdoa."

Kemudian kedua-dua sahabat itu pergi mencari tempat yang agak jauh dari pandangan mata untuk bermunajat kepada Allah. Pertama sekali Saad berdoa: "Ya Tuhanku! Jika kami akan dipertemukan dengan musuh, pertemukanlah saya dengan musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan bertempur melawannya. Berilah saya kemenangan, sehingga musuh itu tewas di tangan saya kemudian akan kurampas kelengkapannya."

Ketika Saad bin Abi Waqas berdoa, Abdullah bin Jahsy ikut mengaminkannya dengan khusyuk. Kini giliran Abdullah sendiri berdoa untuk dirinya:

"Wahai Allah! Berilah saya rezeki seorang musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan melawannya demi Engkau, tetapi kemudian dia kembali menewaskan saya pula. Kemudian dia memotong hidung dan telinga saya. Apabila saya berjumpa dengan Engkau esok, Engkau akan bertanya kepada saya: "Mengapa hidung dan telingamu kudung wahai Abdullah?" Saya akan menjawab: "Kerana membela agama Allah dan Rasul Engkau!" Lalu Engkau berkata: "Benar engkau."

Selepas berdoa itu Abdullah terus maju ke medan tempur. Mula-mula kaum muslimin dapat mengundurkan tentera kaum Quraisy, namun kemudian kaum Muslimin terdesak dan kaum musyrikin mengganas. Beberapa orang islam yang syahid mereka cincang-cincang sebagai meluahkan rasa dendamnya di medan Badar. Apabila perang telah selesai, di dapatinya Abdullah bin Jahsy menemui syahid. Rohnya telah dibawa naik oleh Malaikat sementara badannya betul-betul seperti apa yang dia minta kepada Allah iaitu hidung dan telinganya telah dipotong oleh orang kafir Quraisy. Bukan hanya setakat itu sahaja, hidung dan telinga yang telah dipisahkan dari badannya itu didapatinya ditusuk dengan seutas tali dan digantungkan pada sebatang pokok. Allah telah mengabulkan doa pahlawanNya, esok Dia pula yang akan mengganti hidung dan telinga itu.

No comments:

Post a Comment