Monday, March 2, 2015

KISAH ABU BAKAR SIDIQ R.A. TANPA PAKAIAN...

Diriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Bakar Sidiq r.a. telah mendermakan hartanya ke jalan Allah sebanyak 40,000 dinar dengan cara sembunyi dan mendermakan 40,000 dinar lagi dengan cara terang-terang.

Abu Bakar Sidiq r.a. telah membelanjakan semua hartanya ke jalan Allah sehingga tidak ada apa-apa dan beliau tidak pernah keluar dari rumah beliau selama tiga hari kerana sudah tidak ada lagi walaupun sehelai kain untuk dipakai.

Satu hari Rasulullah S.A.W. telah pergi ke rumah Abu Bakar Sidiq, beliau telah melihat keadaan Abu Bakar Sidiq, maka beliaupun pergi ke rumah puterinya Siti Fatimah. Setelah menceritakan hal tentang Abu Bakar Sidiq r.a. maka Siti Fatimah merasa sedih kerana dia juga tidak mempunyai apa-apa untuk membantu Abu Bakar Sidiq r.a.

Sewaktu perkahwinan Ali r.a. dengan Fatimah, Rasulullah S.A.W. telah mengundang Abu Bakar Sidiq r.a., Umar r.a., Utsman r.a. dan Usamah r.a. untuk membawa barang Fatimah r.a. Antara barang-barang yang mereka bawakan ialah alat pengiling, alat penumbuk gandum, kulit yang disamak, sebuah bantal, sebuah kendi dan sebuah piring.

Apabila Abu Bakar r.a. melihat barang-barang ini maka beliau menangis lalu berkata: "Ya Rasulullah S.A.W., inikah barang perkahwinan Fatimah?", kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Wahai Abu Bakar inipun sudah cukup banyak bagi orang yang masih ada di dunia."Siti Fatimah keluar sebagai pengantin dengan memakai pakaian dari bulu yang mana pakaian Siti Fatimah itu mempunyai tampal sebanyak 12 tampalan jahitan.

Setelah Rasulullah S.A.W. keluar dari rumah Fatimah dengan resah, maka Fatimah pun mengambil bantal yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W. pada hari perkahwinan berserta dengan kain yang ditenun dengan tangannya sendiri lalu diberikan kepada pembantunya supaya diserahkan kepada Abu Bakar Sidiq r.a. dan memberikan sedikit pesanan.

Sebaik saja pembantunya sampai kerumah Abu Bakar Sidiq maka diapun menyampaikan pesanan yang dipesan oleh Siti Fatimah: "Sesungguhnya kami telah mengetahui apa-apa yang telah engkau lakukan terhadap hak-hak ayah dan sesungguhnya kami tidak mempunyai apa-apa kecuali sebiji bantal yang dihadiahkan oleh ayahku pada hari perkahwinanku dan sehelai kain ini."

Setelah pembantu itu menyerahkan bantal dan kain tersebut maka Abu Bakar r.a.. pun segera memakai kain tersebut tanpa dijahit tetapi dilekatkan dengan duri-duri kurma supaya kain itu tidak tersingkap, ia berbuat demikian kerana beliau sangat rindu benar untuk melihat Baginda Rasulullah S.A.W., beliau berjalan menuju ke rumah Rasulullah S.A.W. hanya dengan kaki yang tidak berkasut.

Setelah dia menziarahi Rasulullah S.A.W. maka pada malam itu turunlah malaikat Jibrail menemui baginda Rasulullah S.A.W. dengan berpakaian sama seperti yang dipakai oleh Abu Bakar r.a.

Rasulullah S.A.W. terkejut melihat akan keadaan Jibrail A.S. lalu berkata: "Wahai saudaraku Jibrail, aku belum pernah melihat kamu berpakaian begini sebelum ini". Lalu berkata Jibrail A.S.: "Wahai Rasulullah S.A.W., engkau melihat saya berpakaian seperti ini adalah sesungguhnya para malaikat di langit pun berpakaian seperti ini juga, ini adalah kerana cinta mereka kepada Abu Bakar r.a. dan untuk menyesuaikan dengan dia. 

"Kata Jibrail A.S. lagi: "Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya Allah S.W.T. mengirim salam kepada engkau dan berfirman pada engkau, katakan kepada Abu Bakar adakah dia rela kepadaku sebagaimana aku rela kepadanya."

Kemudian Rasulullah S.A.W. memberitahu berita yang disampaikan oleh Jibrail A.S. kepada Abu Bakar r.a. Sebaik saja beliau mendengar berita tersebut sambil menangis Abu Bakar berkata: Ya Tuhanku, aku telah rela padaMu dan Engkau telah rela kepadaku," sebanyak tiga kali.


Banyak kisah-kisah sedih para sahabat yang kita baca dan kebanyakannya kita ingat sebagai bahan sejarah. Apakah harus kita lupakan saja kisah sedih seperti yang dialami oleh Abu Bakar Al Siddiq r.a. Kita sepatutnya renung dan fikir kesan dari cerita ini dan harus bersujud kepada Allah S.W.T. sebab kemewahan yang Allah S.W.T. limpahkan kepada kita.

Adakah kita mendengar berita yang mengatakan orang yang sangat miskin hingga tidak ada pakaian untuk dipakai maka sudah tentu tidak, Allah S.W.T. memberi kemewahan dalam semua macam, tapi sayang hari ini manusia hanya berkata kekayaan dimiliki adalah apabila memiliki kereta yang besar, rumah yang besar, harta yang banyak dan macam-macam lagi. Apakah kita sedar dan bersyukur setiap hari kita dapat menikmati makanan yang mewah dan lazat sedangkan Rasulullah S.A.W. dan Aisyah tidak pernah dapat makanan selama sebulan selain buah tamar saja. Memang kita tidak dapat lakukan seperti apa yang Rasulullah S.A.W. dapat lakukan tapi hendaklah kita bersyukur terhadap apa yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita.

Tidaklah kaya seseorang yang kaya sekiranya dia tidak sujud kepada Allah, sebaliknya orang yang demikian adalah orang yang paling hina di sisi Allah dan di akhirat kelak neraka Jahanamlah tempatnya.

Wahai saudara-saudaraku, syukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita nescaya Allah akan tambahkan kepada kita rezeki yang mewah. Allah jualah yang tahu mengapa diberi kekayaan kepada seseorang dan kemiskinan kepada seseorang kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil lagi bijaksana.

No comments:

Post a Comment