Thursday, March 5, 2015

TIADA TAKZIAH DI BUMI PALESTIN...

Gambar menunjukkan empat pemuda Palestin maut 
dalam satu serangan oleh tentera Zionis Israel...

PADA mata kasar, raungan kesedihan akibat kehilangan keluarga tersayang, sesuatu yang lumrah bagi kebanyakan keluarga di Palestin. Sedih, kerana keluarga yang mereka bina selama ini pergi menghadap Illahi sekelip mata.

Di situ keimanan dan kesabaran teruji. Namun kesedihan itu bukan tanda kalah! Kesedihan itu bercampur dengan air mata kegembiraan. Sedih kerana kehilangan dan terpaksa berpisah dengan orang tersayang buat selama-lamanya namun gembira apabila yang pergi, gelaran syuhada dibawa bersama.

Tempat mereka sudah tentu ada di syurga Allah. Namun yang tinggal, nasib mereka belum diketahui. Lantas, berhadapan dengan ambang maut bukan satu ketakutan. Tiada istilah takut mati di bumi Palestin. Mereka telah lama bersedia untuk itu!


Buktinya, seorang ahli keluarga yang kehilangan keluarga tersayang enggan menerima ucapan takziah. Sebaliknya ucapan itu dilontarkan pula dengan persoalan, "Kenapa kami harus menerima ucapan takziah? Kerana yang mati itu adalah syuhada. Kamu sepatutnya mengucapkan tahniah kerana keluarga kami dipilih untuk mati syahid!" Begitu kata-kata seorang penduduk Palestin kepada Awang Suffian ketika datang menziarahi keluarga yang menjadi mangsa pengeboman Zionis Israel. Begitu jugalah yang terjadi kepada keluarga Addallou yang kehilangan keseluruhan ahli keluarganya. Yang terselamat hanya dirinya yang kebetulan keluar daripada rumah ketika itu serta dua anaknya, seorang belajar di Turki dan seorang lagi tidak tinggal bersamanya.

Kanak-kanak yang tidak berdosa paling banyak menjadi korban 
dalam setiap serangan yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel...

Ketika orang yang datang menziarahinya kesemuanya menangis mengenang nasib keluarga tersebut, Addallou hanya berkata," Saya redha dengan apa yang berlaku. Semuanya syahid dan kita masih tak tahu ke mana nasib kita.""Ternyata ungkapan kata-kata itu memeranjatkan kami. Walhal kami yang datang, tidak seorang pun tidak menitiskan air mata melihat betapa ranapnya sebuah sasaran bedilan Zionis Israel. Namun mereka tidak, Bahkan bangga apabila keluarga mereka dipilih untuk mati syahid," kata Awang Suffian.

Salah seorang bapa mangsa sedang 
di tenangkan oleh saudara mara dan rakan-rakan...

Lantas, ucapan takziah tidak wujud di bumi Palestin. Jangan sesekali memberi takziah kerana mereka tidak pernah meminta lafaz tersebut. Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh mereka ialah bertakbir memuji kebesaran Allah sambil melaungkan "Allahu Akbar", berulang-ulang kali.

"Sedih? Memang sedih.

Dalam dunia ini, siapa yang tidak sedih jika kehilangan keluarga tersayang? Tapi dalam kesedihan itu ada semangat yang kita mungkin tidak mampu untuk melakukannya sebagaimana rakyat Palestin tunjukkan kepada kita," ujar Awang Suffian.

Lagi gambar-gambar yang menunjukkan 
kanak-kanak Palestin yang terkorban...

Melihat atas semangat untuk terus hidup dan berjuang, Aman Palestin berusaha menjalankan pelbagai projek termasuk menyediakan ladang tanaman. Peruntukan sebanyak RM1 juta digunakan untuk kerja-kerja perladangan termasuk membiayai tiga buah telaga serta jalan raya untuk menghubungkan kawasan pertanian dengan pasar. "Seramai 70 keluarga petani terlibat mengusahakan ladang tanaman tersebut. Dan hasilnya dijual di pasar dengan harga yang murah. Menariknya hasil tana­man itu juga dapat dinikmati bersama penduduk di Jabbariyah, utara Gaza.

"Keadaan peperangan yang melanda Palestin, sedikit pun tidak mengubah pola harian kehidupan masyarakat Palestin. Urusan mereka berjalan seperti biasa. Bercucuk tanam, menternak, menjual barangan di pasar dan menangkap ikan menjadi rutin harian kehidupan mereka. Bahkan anak-anak Palestin masih ke sekolah " ujarnya lagi.

Dipetik dari Majalah Al islam Sept 2014...

1 comment: