Thursday, June 25, 2015

KEMBARA DI TANAH GERSANG AL JAWAHER...


Kembara berjalan bersendirian
Mencari jalan pulang
Bilakah masanya embunkan menjelma
Di tanah gersang yang membakar
Alangkah pedihnya nasib kembara
Ditengah khatulistiwa
Tak siapa yang dapat menghilangkan dahaga
Namun tetap ia bertahan

( korus )

Kami semua senasib dengan mu
Wahai kembara di tanah gersang
Mencari kebahgian dalam hidup
Menempuh berbagi rintangan yang ada
Namun bahgia masih impian
Kau masih berjalan dibawah sinar
Bulan bintang yang membimbing mu
Suatu hari kau kan bertemu
Sungai mengalir di taman indah
Nanti di suatu masa

( ulang korus )

MANGSA KARUT...

Bomoh Di Uganda Korbankan Kanak-Kanak Untuk Kaya, Kuasa...

Seorang wanita menunjukkan 
lokasi mayat cucunya, Steven Emmanuel Kirande 
dibuang selepas beberapa anggota badan mangsa dipotong...

Kanak kanak diculik ketika dalam perjalanan ke sekolah sebelum anggota badan mereka dipotong dan mayat mangsa yang dalam keadaan mengerikan dicampak di dalam hutan.

Itulah kisah menakutkan yang menghantui kanak kanak di Uganda akibat kepercayaan karut sebilangan penduduk di negara itu. 

Setiap tahun ratusan kanak-kanak di Uganda menjadi mangsa bomoh yang mempengaruhi golongan elit bahawa dengan mengorbankan kanak-kanak akan menjadikan mereka lebih kaya. 



Pondok milik bomoh yang digunakan untuk melakukan 
amalan korban dengan membunuh kanak-kanak.  

Lebih mengejutkan lagi, jenayah kejam ini dijangka akan meningkat menjelang pilihanraya Uganda yang dijadualkan berlangsung pada 2016.  

Satu pertubuhan kebajikan kanak kanak memberitahu, ahli perniagaan kaya sanggup membayar ribuan pound kepada pengamal perubatan tradisional untuk memburu kanak-kanak miskin.  


Bomoh dibayar ribuan pound oleh ahli perniagaan 
untuk menculik kanak-kanak untuk dijadikan korban.
 

Anggota badan kanak-kanak yang diculik ini kemudiannya dipotong untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit mati pucuk dan meningkatkan kesuburan. 

Bomoh akan memotong beberapa bahagian anggota badan termasuk kemaluan mangsa. Mayat yang sudah dikerat kemudian dibuang di hutan ataupun tapak pembinaan.

 
Mayat kanak-kanak tanpa kepala ini 
dipercayai menjadi mangsa amalan karut di Uganda. 

Lebih kejam lagi apabila anggota badan kanak-kanak yang dipotong itu bukan untuk ubat tetapi dipersembahkan kepada roh yang mengarahkan bomoh melakukan kekejaman berkenaan. 

Bagi mengatasi kekejaman itu, kerajaan Uganda pada Februari lalu, mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menghentikan pembunuhan terhadap kanak kanak. 

Kerajaan juga meluluskan rang undang-undang bagi mendaftarkan semua pengamal perubatan tradisional.  
 
Namun, ahli perniagaan yang membayar ribuan pound untuk ritual kejam berkenaan jarang dikenakan tindakan kerana keengganan bomoh mendedahkan identiti mereka.

Kanak-kanak yang terselamat tetapi mengalami kecederaan teruk pada badan biasanya terpaksa menanggung kecacatan sepanjang hayat.  


Allan Ssembatya bernasib baik kerana ditemui 
masih bernyawa walaupun kemaluan dan 
kepalanya dicederakan bomoh. 

Kerajaan memberi amaran amalan mengorbankan kanak-kanak sukar dihentikan selagi penduduk negara itu mempercayai kepercayaan karut. 

Bagaimanapun, beberapa aktivis kanak-kanak mendakwa pembunuhan kejam itu akan berterusan kerana ia didorong oleh ketamakan.

Sumber: Harian Metro

Sunday, June 14, 2015

MALIM GUNUNG WIRA YANG TIDAK DIDENDANGKAN...


Gempa bumi yang melanda Sabah 5 Jun lalu meragut nyawa 18 individu termasuk empat malim gunung. Sebelum ini, tidak ramai yang ambil tahu mengenai tugas malim gunung, namun bencana alam berkenaan mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka. 
 
Daripada 18 yang terkorban, empat adalah malim gunung iaitu Velarian Joannes, 27, Ricky Masirin, 28, Joseph Selungin, 32, dan Roby Sapingi, 31.

Wira tidak didendang ini mempertaruhkan nyawa untuk menjaga keselamatan pendaki, namun takdir menentukan mereka akhirnya bersemadi di Gunung Kinabalu, tempat mereka mencurah masa dan tenaga untuk membantu orang lain mencapai cita-cita mendaki puncak antara gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan keselamatan pada mulanya menemui jalan buntu akibat faktor cuaca dan ketika itulah malim gunung menunjukkan sikap bertanggungjawab mereka untuk membantu dengan mendaki Gunung Kinabalu bagi mengesan serta membantu pendaki yang selamat.


 
 Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin

Hasil bantuan malim gunung, Op Kinabalu yang di­jalankan sejak gempa melanda akhirnya mencapai kejayaan. Kafe Ahad mengambil peluang untuk menemubual pendaki termuda Gunung Everest dari Asia Tenggara yang juga pendaki tujuh puncak Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin untuk mengulas berkaitan malim gunung.

 
Siapa malim gunung?

Bagi orang luar, istilahnya ialah penunjuk arah, namun di sini mereka digelar malim gunung. Me­reka akan membawa peserta selain menjaga kese­lamatan peserta sepanjang tempoh pendakian atau ke­tika turun.


Peserta pula hendaklah sentiasa mendengar arahan malim gu­nung atau taklimat diberinya. Biasanya, sebelum menjadi malim gunung, mereka terlebih dulu bertugas sebagai pengangkut barangan atau porter.


Malim gunung di Gu­nung Kinabalu ini saya akui memang kuat daripada fizikal serta mental kerana mereka perlu berada di lokasi setinggi kira-kira 3,000 meter pada setiap tiga hari iaitu ketika membawa pendaki naik atau turun. Setiap tahun, mereka mendaki Gunung Kinabalu antara 80 hingga 120 kali.


Tahap kecergasan menjadi faktor utama untuk mendaki gunung. Bagaimana saudara melihat faktor ini dalam kalangan malim gunung bertugas di Gunung Kinabalu?

Malim gunung di Gunung Kinabalu mampu memikul beban sehingga 80 kilogram dan ia menun jukkan betapa cergasnya mereka.

Mereka melakukan perkara sama hampir setiap hari selama belasan atau puluhan tahun dan tidak pernah gagal melaksanakan amanah diberi oleh pengurusan atau pendaki.

Malim gunung di Gunung Kinabalu memang terkenal dalam kalangan pendaki sebagai memiliki tahap kecergasan tinggi serta tidak pernah mengeluh dengan beban kerja.

Saya sendiri akan mendapatkan nasihat atau berbincang dengan malim gunung di situ jika ke sana kerana mereka lebih arif tentang laluan juga keadaan cuaca di pergunungan berkenaan.

 
Sebelum ini, masyarakat tidak sedar peranan malim gunung, namun mula membuka mata sejak gempa melanda Sabah. Apa kepentingan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu?

Malim gunung penting dalam pendakian, malah mereka juga sebenarnya adalah aset berharga negara berdasarkan kepakaran yang dimiliki. 

Berdasarkan apa yang berlaku, kita boleh lihat bahawa malim gunung ini lebih terkedepan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa di Gunung Kinabalu.
Dari segi kudrat, malim gunung memang sukar untuk ditandingi dalam operasi berkenaan, kita mung kin boleh memberi mereka nasihat tentang sesuatu perkara, namun daripada segi kudrat untuk operasi, mereka tetap yang terbaik.
Malim gunung boleh di serap ke dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana mereka sebenarnya pakar dalam hal berkaitan pergunungan dan jika ada bencana di lokasi seperti itu, golongan inilah yang perlu dihantar terlebih dulu bagi operasi mencari dan menyelamat.

Apakah keupayaan malim gu­nung di Gunung Kinabalu boleh diketengahkan?

Sudah tentu, mereka memang mampu menaikkan imej Malaysia di luar negara. Saya berpendapat golongan ini terasa kerana mereka tidak diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan seperti terbabit dengan pendakian Gunung Everest.

Pada saya, mereka perlu diberi peluang untuk melakukan pendakian seperti itu. Sebahagian daripada mereka berbakat untuk diketengahkan bagi mendaki Gunung Everest, namun tidak berpeluang berbuat demikian.
Saya bukan malim gunung, namun ada kepakaran dalam pergunungan Alpine yang bersalji serta berais.

Keadaan berkenaan berbeza dengan Gunung Kina­balu, namun secara asasnya teknik serta skil pendakian hampir sama.

Jika mereka diberi peluang, saya pasti tiada masalah untuk malim gunung berkenaan mencipta nama sekali gus menaikkan imej Malaysia.


Apa yang menyebabkan malim gunung kuat daripada segi flzikal dan mental?


Saya biasa bersama-sama dengan malim gunung di Gunung Kinabalu dan mereka juga seperti kita. Bezanya ialah tugas mereka menyebabkan golongan berkenaan perlu mendaki sebelum turun dengan kerap. 

Ia umpama peribahasa alah bisa tegal biasa. Apabila sudah biasa, mereka mampu mendaki dengan lebih pantas. Malim gunung tinggal di kawasan pergunungan sejak kecil dan pada umur berkenaan, mereka sudah dibiasakan dengan keadaan persekitaran gunung.

Bagi individu normal seperti kita, mungkin kita cergas kawasan bawah pergunungan, namun tidak ketika di atas kerana tekanan graviti selain paras oksigen yang semakin menipis.

Namun bagi malim gu­nung, ia keadaan biasa dan kerana itu mereka mampu menghabiskan pendakian hingga ke puncak dalam tempoh tiga jam saja berbanding kita iaitu sehingga lapan jam.


Mungkin ada pantang larang yang diberi oleh malim gunung kepada pendaki yang boleh saudara kongsikan dengan pembaca?

Setiap pendaki perlu hormat pada adat atau budaya malim gunung. Tidak perlu kita bersikap lebih sudu dari kuah atau mempertikaikan perkara yang mereka lakukan.

Ini kerana, kita tidak perlu mengikut upacara dijalankan sebaliknya hanya perlu hormat saja kerana mereka juga punya pegangan tersendiri.

Contoh, di Gunung Ever­est sendiri, sherpa di situ tidak membenarkan ayam disembelih apabila sudah melepasi paras 4,000 meter.

Kita juga tidak perlu bercakap besar atau bersikap kurang ajar kepada malim gunung kerana apa yang kita tahu mengenai lokasi berkenaan sangat sedikit berbanding mereka.

Apa yang kerajaan boleh beri atau iktiraf peranan malim gunung?


Bukan setakat pingat atau sumbangan, kebajikan ma­lim gunung perlu diberi perhatian. Kerajaan juga perlu memberi peluang kepada golongan ini untuk mengikuti pelbagai kurus keselamatan di dalam dan luar negara. Pada masa sama, kera­jaan juga harus beri mere­ka peluang untuk mencipta nama di luar negara seperti menghantar mereka mengikuti pendakian di Everest dan sebagainya.

Melaluinya, sekurang kurangnya ada ikon dari Gunung Kinabalu yang boleh dilahirkan, mereka inilah yang akan menjadi ikon ke­pada rakyat Sabah.

Pada masa sama, jangan hanya beri pengiktirafan kepada malim gunung mengikut musim seperti ketika tragedi saja. Ini kerana, pe­ranan mereka tidak pernah habis seperti dalam membantu menjana ekonomi negara melalui kehadiran pelancong di Gunung Kinabalu.

Ada pihak mencadangkan hanya pendaki berusia 18 tahun ke atas dibenarkan mendaki Gunung Kinabalu?


Saya tidak setuju dengan cadangan ini kerana ia merencatkan pembangunan golongan muda khasnya remaja. Di luar negara, kanak kanak berumur 10 tahun sudah digalakkan untuk terbabit dengan aktiviti mendaki gunung.

Mendaki Gunung Kinabalu sebenarnya tidak berisiko jika kita patuh pada arahan, undang-undang ditetapkan, berpakaian sesuai, ikut laluan dibenarkan se­lain menurut arahan malim gunung.

Kematian membabitkan kanak-kanak di Gunung Kinabalu sebenarnya akibat gempa bumi dan bukan kerana kecuaian.

Gempa bumi boleh berlaku di mana-mana dan tidak setakat hanya di gunung. Mengapa perlu ada cadangan seperti ini kerana ia sebenarnya tidak logik serta tidak masuk akal.

Dalam hidup, kita perlu berani mendepani cabaran dan belajar untuk menikmati anugerah yang Tuhan kurniakan.

Undang-undang ditetapkan di Gunung Kinabalu sendiri ketat dan ia antara yang terbaik membabitkan undang-undang di pergunungan di seluruh dunia.

Kita bukan sepatutnya menghalang aktiviti sihat ini sebaliknya menggalakkan remaja menyertainya tetapi dengan kaedah yang betul dan tidak menyalahi undang undang.


Bantuan untuk malim gunung yang terjejas?

Kerajaan boleh membantu dengan menggaji atau memberi elaun kepada mereka untuk membina semula laluan di Gunung Kinabalu yang terjejas kerana mereka pakar serta faham dengan selok-belok disitu.

Malim gunung ini pasti mampu membantu anggota tentera atau pihak berkaitan yang diamanahkan untuk membina semula laluan.

Dengan bantuan malim gunung, kerja berkenaan pasti menjadi semakin mudah selain mempercepatkan tem­poh baik pulih laluan. 


Gunung Kinabalu adalah gunung tersibuk di dunia dengan setiap hari, tidak ku­rang 200 pendaki mendaki gunung berkenaan. Jika laluan tidak dibina dengan cepat, bukan saja negara akan rugi daripada segi kemasukan pelancong, malah malim gunung juga sukar untuk menyara keluarga.

Apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf malim gunung?


Malim gunung memiliki kepakaran tersendiri dan ia pasti bertambah baik jika ke­rajaan menyediakan tempat khas untuk mereka menjalani pelbagai kursus kemahiran bersesuaian daripada agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta agensi lain yang berkaitan.

Semua kepakaran ini jika digabungkan bakal menjadikan malim gunung lebih menyerlah dan sempurna.

Mereka juga boleh diberi kursus bahasa kerana pelancong yang datang ke situ turut membabitkan warga Eropah dan negara lain.  


Ditulis oleh Nazarali Saeril, Metro Ahad.

Friday, June 12, 2015

PENGURUSAN JENAZAH KOMERSIAL...


HUKUM mengurus jenazah adalah fardu kifayah bagi umat Islam. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan manusia itu akan menanggung dosa.

Penekanan sedemikian kerana pengurusan jenazah perlu disegerakan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Janganlah kamu tangguhkan pengurusan jenazah apabila tiba (kematian)." (Riwayat Ibn Majah).

Justeru, tidak hairanlah, kursus pengurusan jenazah antara yang paling kerap diadakan, sama ada di masjid, surau, sekolah, hatta ia turut dianjurkan oleh pelbagai organisasi milik orang Islam di negara ini.


Tidak cukup dengan itu, ilmu pengurusan jenazah turut dibukukan bagi memudahkan umat Islam membuat rujukan jika ada kekeliruan atau sebagai bahan ulang kaji.

Namun begitu, ada satu lagi aspek yang mungkin jarang dibincangkan secara terbuka adalah soal kos pengurusan jenazah. Mungkin ramai yang menganggapnya sebagai satu sumbangan terakhir kepada si mati. Sedangkan aspek itu sebenarnya cukup relevan dengan gaya hidup masyarakat hari ini yang sibuk dengan urusan kerja dan ditambah pula dengan peningkatan kos hidup.

Bagi yang berduit, soal kos itu tidak menjadi persoalan, tetapi untuk kalangan yang berpendapatan sederhana dan miskin, ia sesuatu yang mungkin membebankan.

Tidak hairanlah, berdasarkan pengalamannya sebagai seorang pengurus jenazah Islam yang berpengalaman, Mohd. Zainal Khamis menyatakan, soal kos sering kali dipersoalkan oleh waris si mati. Tetapi beliau menegaskan bahawa kos yang dikenakan itu bukan sesuatu yang baharu.

 

"Persamaan fardu kifayah tersebut dengan 10 atau 20 tahun lalu adalah pengurusan itu digerakkan oleh duit atau upah kepada pelaksananya.

"Kalau 10 atau 20 tahun lalu, upah itu lebih dikenali sebagai sedekah waris si mati kepada pelaksananya," katanya ketika ditemui di Puchong, baru-baru ini.

Cuma apa yang menjadi pertikaian hari ini apabila waris si mati melihat bayaran itu dalam bentuk bil. Lebih terkejut lagi bila dia tidak menyangka jumlah bil itu agak mahal.

Bayaran itu merangkumi proses memandikan mayat sehingga kepada ia dihantar ke kubur untuk tujuan pengebumian.

TIDAK SERUPA TAPI SAMA

Mohd. Zainal yang juga Pengarah Eksekutif Bumijez Sdn. Bhd. menjelaskan, proses pengurusan jenazah yang bermula dengan mandi, kafan, solat jenazah dan pengebumian melibatkan kos tertentu.

Mungkin ada di kalangan waris si mati atau umat Islam tidak nampak kos tersebut kerana mereka beranggapan ia sebagai sagu hati atau sedekah.

"Cuma kita tidak nampak dan tidak kira sebagai kos, tetapi sekarang bila ada pihak tertentu senaraikannya, maka kita teruskan katakan sebagai kos.

"Kalau yang faham, tidak mengapa, tetapi bagi yang tidak faham, akan membawa kepada pertikaian," katanya.

Kos pertama adalah tanah kubur. Walaupun ia tanah wakaf tetapi hari ini orang yang mahu gali atau sediakan kubur, sudah tentu perlu dibayar.

Kalau dahulu, kita bagi duit minum kopi atau barangan tertentu kepada pengali kubur atas khidmat yang diberikan.

Samalah dengan proses mandi jenazah kerana kita pastinya akan bagi wang sagu hati atau kain pelekat kepada mereka yang memandikan jenazah satu ketika dahulu.

Selain penggunaan van jenazah, kain kapan dan bahan wangi lain untuk mengafankan jenazah pula perlu dibeli yang mana itu sudah tentu ada kos.

Tetapi ada sesetengah masjid atau surau menggunakan pendekatan bahawa setiap penggunaan itu perlu digantikan oleh waris si mati.

"Begitu juga dengan sembahyang jenazah. Kita beri sagu hati, sama ada dalam bentuk wang atau hadiah, dan semua itu melibatkan kos yang perlu si waris bayar.

"Imam baca talkin, tak akan kita ucap terima kasih sahaja? Setidak-tidaknya, kita bagi kain atau lain-lain barangan dan itu pun kos juga," katanya.

LEBIH TINGGI

Usaha pihak tertentu menetapkan kos bagi pengurusan jenazah seharusnya dilihat sebagai satu langkah yang perlu dihargai. Ini kerana, Mohd. Zainal memberitahu, konsep sedekah dalam pengurusan jenazah itu ada ketikanya menyukarkan mengawal pengeluaran wang tunai.

"Tidak kiralah ia membabitkan pemberian wang sagu hati atau pembelian hadiah kepada mereka yang menguruskan jenazah.


"Ada ketikanya, kita tidak perasaan sedekah itu telah meninggikan kosnya," katanya yang turut mengusahakan syarikat pengurusan jenazah, Al Barzah Enterprise.

Bagaimanapun, Mohd. Zainal tidak menafikan ada individu atau syarikat pengurusan jenazah yang mengambil kesempatan dengan menawarkan kos yang tidak munasabah.

Keadaan itu wujud kerana persaingan khususnya jika kematian itu berlaku di hospital sama ada swasta atau kerajaan.

"Pada saya untuk atasinya, setiap keluarga mesti bersedia untuk menghadapi kematian. Bukan hanya dari segi amalan tetapi juga bagaimana untuk urus kematian.

"Salah satunya mengenal pasti syarikat pengurusan jenazah yang berdaftar dengan jabatan agama negeri supaya kita tahu kos yang perlu dikeluarkan.

"Ada juga sesetengah itu menawarkan pakej atau keahlian tertentu yang mungkin bersesuaian dengan keupayaan kewangan kita," katanya.

 

Thursday, June 11, 2015

DALAM DAKAPAN KINABALU...

Op Kinabalu ditamatkan secara rasmi. 
Semua 18 disah meninggal ditemui...
 Op Kinabalu selama enam hari bagi menjejak mangsa gempa bumi secara rasmi ditamatkan semalam selepas identiti dua warga Singapura yang dilaporkan hilang dikenal pasti pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.


Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, susulan pengesahan itu, pihaknya menghentikan kerja mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi kejadian pada jam 12 tengah hari semalam. "Semua operasi SAR ditutup selepas semua mangsa yang dilaporkan hilang sudah disahkan identiti mereka manakala proses pembersihan di lokasi kejadian sudah selesai.


"Bagaimanapun, polis sentiasa bersiap sedia mengaktifkan semula pusat gerakan sekiranya diperlukan atau berlaku gempa bumi susulan,"katanya ketika sidang media di Taman Kinabalu, semalam.


Mohd Farhan berkata, sebanyak 56 gegaran susulan termasuk gegaran pertama bermagnitud 5.9 pada jam 7.15 pagi jumaat lalu direkodkan sepanjang enam hari Op Kinabalu dilancarkan.


"Polis akan sentiasa berhubung dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Sabah untuk memantau keadaan dari semasa ke semasa."Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam operasi ini antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Renjer Taman-Taman Sabah (TTS), malim gunung dan penduduk kampung,"katanya. Sementara itu, kejadian gempa berkenaan juga menaikkan nama malim gunung sebagai individu yang paling penting dalam menyelamat semua mangsa yang terperangkap di atas gunung sebaik gempa berlaku.


Dinobatkan sebagai wira tidak didendang, malim gunung ini tanpa mengira keselamatan sanggup mendaki antara gunung tertinggi di Asia Tenggara itu selepas usaha menyelamat menggunakan helikopter tidak dapat dijalankan akibat cuaca buruk.


Malah, dalam kalangan mereka juga empat malim gunung turut terkorban. Setakat ini, 14 mayat mangsa sudah diserahkan kepada waris dan ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan manakala empat lagi mayat termasuk dua dalam bentuk cebisan masih disimpan di HQE manakala dua mayat lagi iaitu warga China dan Jepun masih menunggu waris membuat pengecaman.


Jumlah kematian akibat gempa bumi di Gunung Kinabalu berjumlah 18 orang terdiri enam rakyat Malaysia iaitu empat malim gunung dan dua pendaki, Singapura (10), Jepun, China dan Filipina masing-masing satu.

Laporan Oleh :

Mohd Razlan Salleh, Junaidi Ladjana,
Fardy Bungga dan Erdiehazzuan
Harian Metro...

Wednesday, June 10, 2015

KAUM YANG TERCICIR...

Dari udara, ia kelihatan seperti pulau indah dengan pantai yang menakjubkan dan hutan tebal yang masih belum diteroka.

Bagaimanapun pelancong atau nelayan tidak berani menjejakkan kaki di pulau yang terletak di Lautan Hindi ini disebabkan reputasi penduduknya yang menakutkan.

Pelancong yang mendarat atau menghampiri Pulau Sentinel Utara berisiko diserang suku kaum yang menolak peradaban moden serta memilih untuk tidak berhubung dengan dunia luar.Setiap kali penduduk pulau itu berinteraksi dengan orang luar, ia akan membabitkan keganasan. Pada 2006 suku pribumi Sentinel ini membunuh dua lelaki yang menangkap ikan secara haram berhampiran pulau itu.


Kaum ini juga pernah memanah dan merejam batu terhadap pesawat dan helikopter yang terbang rendah untuk misi pemantauan.


 

Terletak di Teluk Benggala, Pulau Sentinel Utara adalah milik India dan kekal misteri walaupun berpenghuni sejak kira kira 60,000 tahun lalu.

Tidak banyak yang diketahui mengenai penduduk Sentinel ini, termasuk bahasa, amalan ritual dan pulau yang mereka anggap sebagai hak mutlak mereka.

Terlalu bahaya bagi orang luar untuk mendekati mereka kerana sikap permusuhan mereka terhadap pendatang. Ini bermakna gambar mereka jarang dirakam dari jarak dekat dan hampir tidak dilihat dalam klip video. Kebanyakan gambar dan rakaman video yang ada mengenai mereka kurang berkualiti.




Laporan mengenai jumlah penduduk pulau itu juga bercanggah. Kebanyakannya menganggarkan mereka berjumlah antara puluhan hingga beberapa ratus.

Sehingga ini, masih belum jelas kesan tsunami 2004 ke atas penduduk pulau ini yang membentuk sebahagian daripada rangkaian Kepulauan Andaman India.


Bagaimanapun, tsunami berkenaan dipercayai tidak memusnahkan semua kaum itu. Seorang daripada mere­ka dirakam cuba memanah helikopter pengawal pantai India sejurus selepas bencana berkenaan.

Sering digelar 'Stone Age tribe' (kaum Zaman Batu) gelaran yang biasanya akan mencetuskan kemarahan penduduk Sentinel mungkin kaum yang paling terpencil di dunia dan kerajaan India memilih untuk tidak mencampuri urusan mereka.


Sebelum ini, kerajaan India pernah cuba menjalinkan hubungan dengan mereka tetapi gagal. Ia mendorong India melarang sebarang usaha untuk berhubung dengan penduduk pulau berkenaan di samping mengharamkan mana mana pihak untuk berada dalam lingkungan lima kilometer dari pulau itu.

Sementara penduduk lain perlu bekerja dan membelanjakan wang untuk makanan serta pakaian, penduduk Sentinel masih bercawat dan memburu untuk mendapatkan makanan, baik di darat mahupun laut. Bagaimanapun, perairan sekeliling pulau itu kini di lihat terancam oleh kegiatan penangkapan ikan secara haram. Survival International, pertubuhan sukarela yang memperjuangkan hak suku kaum, menyifatkan pendu­duk Sentinel sebagai 'masyarakat paling terdedah kepada ancaman di dunia' kerana mereka tidak mempunyai perlindungan terhadap wabak seperti selesema dan demam campak.



Memandangkan mereka hidup begitu terpencil, peluang penduduk pulau ber­kenaan untuk pupus sama sekali akibat jangkitan sangat tinggi.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Survival Interna tional Stephen Corry berkata: "Suku kaum Kepulauan Andaman India pupus akibat penyakit sewaktu British menjajah kepulauan itu pada 1980an.

"Kaum terbaru yang pupus ialah suku Bo. Orang terakhir dari suku Bo mati empat tahun lalu. Satu cara pihak berkuasa Andaman boleh menghalang kepupusan suku lain ialah memastikan Pulau Sentinel Utara dilindungi dari anasir luar."

Menurut pertubuhan itu, penduduk pulau Sentinel Utara 'sangat sihat, sentiasa berwaspada dan hidup makmur' walaupun mendapat ancaman dari luar dan menjalani kehidupan cara kuno. Pemusuhan mereka terha­dap orang luar berpunca daripada konflik lalu. Survival International berkata, 'dunia luar mendedahkan me­reka kepada keganasan dan penghinaan.'


Sumber :Harian Metro.