Wednesday, June 10, 2015

LUBANG API BIMBANGKAN PENDUDUK URUMQI...


BEIJING 10 April - Penduduk yang tinggal di sekitar bukit di luar bandar Urumqi, Xinjiang melahirkan kebimbangan dengan kemunculan sebuah lubang yang mengeluarkan haba panas dan api di kawasan itu sejak beberapa minggu lalu.

Portal berita People's Daily On­line melaporkan, haba panas sehingga mencecah 792 darjah Cel­sius itu boleh dirasai sejauh dua kilometer dari lubang tersebut.

Portal berita Mail Online pula melaporkan, rakaman video menunjukkan dahan pokok terbakar apabila penduduk menolaknya ke arah lubang seluas kira-kira 910 sentimeter lebar itu.

Penduduk tempatan memberitahu media China bahawa mereka menyedari kawasan berkenaan agak panas sebelum lubang ber­kenaan muncul.

Biro Geologi Meitian Xinjiang memaklumkan, kawasan tersebut tidak terletak di kawasan gunung berapi.

Seorang jurutera biro itu, Huang Wei berkata, lubang terse­but mungkin muncul selepas lapisan arang batu di dalam tanah habis terbakar yang menyebabkan lapisan permukaan runtuh.

"Fenomena ini telah wujud di kawasan berkenaan sejak bebera­pa dekad lalu," katanya kepada stesen televisyen China Sentral TV Station. 

Beliau berkata, asap boleh dilihat keluar dari tanah di bukit ber­kenaan ketika musim bunga dan musim luruh.

Penyelia Biro Kejuruteraan Kebakaran Meitian Xinjiang, Chen Long berkata, kawasan itu dipenuhi lombong arang batu pada 1970-an.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment