Thursday, July 2, 2015

ULAM BAIK UNTUK KESIHATAN...

Berbagai jenis sayur ulam...

MAKANLAH ulam kerana ia baik untuk kesihatan". Ayat itu biasa kita dengar, tetapi tidak ramai yang tahu khasiat yang terkandung dalam ulam-ulaman yang banyak dijual di pasar malam dan pasaraya.

Ulam adalah tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam yang perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti pucuk ubi.

Biasanya ulam dimakan dengan nasi bersama sambal belacan, cencaluk atau budu. Dahulu, ulam mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung. Tetapi, ia kini semakin popular di kalangan warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi hidangan istimewa di hotel-hotel terkemuka.

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya. Ulam-ulaman seperti rebung, cekur manis, jering, petai, pucuk paku dan ulam raja adalah antara yang cukup popular dan mudah didapati di pasaran. Ulam seperti Peluntas, pucuk betik dan pucuk kadok pula sukar dicari tetapi ia juga dikenali.

Ulam Petai

Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat kerana ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat di dalamnya tidak dimusnahkan oleh haba.

Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan penting sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.

Ulam pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dapat membantu peredaran darah di samping meningkatkan kesihatan kulit. Dr Robert D. Willix dalam bukunya. Health and Longevity, menggelar pegaga sebagai 'herba ajaib' kerana ia dapat meningkatkan peredaran darah dan membantu mencantikkan kulit.

Ulam Pegaga...

Dua jenis ulam yang sangat popular ialah tumbuhan hutan iaitu jering dan petai. Jering didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fostorus, vitamin A, B dan C. la juga dikatakan boleh menjadi penawar kepada pesakit kencing manis biarpun rasanya pahit dan kuat berbau.

Sementara itu, petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi jika dibandingkan dengan tumbuhan hutan yang lain iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, Bl, B2 dan C. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang mengalami masalah cacing.

Sumber rujukan : Majalah Agro Malaysia Sept - Dis 2011 

No comments:

Post a Comment