Monday, August 3, 2015

BERKAT BELA KUCING JALANAN...

Nurul Hasniza Daud bersama salah seekor kucing belaannya.
Kisahnya seperti di bawah...

Kata orang, kalau kita rajin bela kucing, rezeki kita akan murah, satu perkara lagi kalau kita suka bela kucing, Allah akan memberikan jalan kepada kita supaya kita cepat dapat pergi ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji atau sekurangnya-kurangnya buat umrah. 

Tetapi, sejauh mana kebenarannya tidaklah dapat dipastikan.

Ayah, abang dan kakak-kakak aku termasuk di dalam kategori orang yang suka membela kucing. Arwah ayah pernah menangis kerana kucing kesayangannya mati akibat dilanggar kereta. Sebelum kucing tu mati, arwah ayah berusaha memberikan rawatan kepada kucingnya itu, walaubagaimanapun takdir Allah telah menentukan yang akhirnya kucing itu mati juga dipangkuannya. Beberapa minggu jugaklah dia bersedih hati sebelum dapat penggantinya yang baru.

Bagi diri aku pula pada asalnya memang sukakan kucing, kalau nampak kucing liar yang kelaparan aku akan berusaha untuk memberinya makan atau menyelamatkannya jika ada yang cuba mengganggu. Tetapi selepas kahwin, aku tidak boleh lagi membawa kucing masuk ke dalam rumah secara sembarangan kerana isteri aku memang seorang yang sangat takutkan kucing. 

Kalau takut kena gigit atau kena cakar tu memang adatlah sebab semua orang takut kalau kena macam tu. Tapi takut isteri aku kepada kucing ni lebih dari tu. Sebagai contoh, kalau kami pergi makan kat luar atau ketika berada di dalam rumah, bila isteri aku nampak je kucing datang menghampiri, dia mula menggelisah, semuanya serba tak kena. salah satu perbuatannya yang ketara ialah kakinya mesti diangkat ke atas dan duduk bersila di atas kerusi sebab dia tak nak kucing tu menggesel-gesel di kakinya. Dia tak akan turun dari kerusi sebelum kucing tu diusir jauh-jauh.

Rupanya isteri aku seorang yang penggeli, bukan saja takut kena gesel, bulu kucing tu saja pun dah boleh membuatkan ia bersin tak henti-henti. Satu lagi hidungnya sangat sensitif dengan bau kencing kucing. Bila dia terbau je kencing kucing dia mula sesak nafas. Bagi mengelakkan semua itu berlaku maka aku terpaksa menjauhkan kucing dari kawasan rumah.  

Bagi mereka yang dikurniakan sifat penyayang kepada kucing, ianya satu kurniaan Allah yang tidak ternilai, lebih-lebih lagi ia juga salah satu dari sunnah Nabi. 

Pengalaman orang yang suka bela kucing ni macam-macam. Ada yang bila dia tengok kucing, hatinya tenang, damai dan tenteram, ada pula yang akan terhibur dengan keletah kucing belaannya dan ada pula yang suka berjalan-jalan di taman dengan bertemankan kucing kesayangannya.

Sekarang mari kita ikuti kisah dan pengalaman Nurul Hasniza Daud dari Gemas, Negeri Sembilan tentang kucing belaannya seperti yang tersiar di Sinar Harian.

Ikuti kisahnya...

GEMAS - Meskipun kehidupan tidak mewah, namun situasi itu tidak pernah menghalang seorang wanita memelihara semua kucing jalanan yang dikutipnya di sekitar Gemas dan Segamat.

Malah, Pengurus Mini Pusat Transfomasi Luar Bandar (RTC) Seri Gemas, Nurul Hasniza Daud, 23, itu menganggap bantuan diberikan kepada semua kucing jalanan adalah seperti pintu rezeki yang melimpah ruah bukan sahaja kepada dirinya bahkan seluruh keluarga.

Hasniza atau lebih selesa dipanggil Niza berkata, selain mengutip kucing jalanan untuk dibela, dia juga pemah menyelamatkan beberapa kucing yang menjadi mangsa kemalangan sehingga ada antaranya sembuh kembali.


"Kebanyakan kucing, Niza kutip di tepi jalan termasuk di stesen minyak. Ada juga yang mengalami masalah kesihatan dan cacat anggota seperti tempang," katanya.

Sanggup kejarkan kucing kemalangan ke klinik

Menurut Niza, pernah suatu hari dia membawa seekor kucing ke klinik di Segamat, iaitu kira-kira 40 kilometer dari Gemas selepas melihat kucing berkenaan menjadi mangsa kemalangan.

"Sejak itu, Niza beri namanya Accident. Accident koma dua minggu dan menurut doktor, Accident buta dan lumpuh akibat kecederaan di kepala susulan kemalangan itu.

Niza diberitahu ada saraf-sarafnya yang bermasalah dan nyawa Accident 50/50 sahaja. Namun, selepas dua minggu akhirnya Accident sembuh.

"Ada juga kucing yang Niza pelihara hanya dapat hidup seminggu dan akhirnya mati. Bagaimanapun, Niza rasa gembira apabila ada kucing yang sakit kemudian boleh bangun serta tidak terlantar sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sentosa, di Gemas.

Niza berkata, boleh dikatakan dia kerap mengunjungi klinik veterinar di Gemas dan Segamat bagi memastikan kucing yang dibelanya sihat serta tidak mengidap penyakit walaupun hanya selesema.

"Biasalah bila bawa kucing ke klinik paling kurang pun mesti ada dalam tangan RM50 ke RM100. Tapi Niza tak kisah dan percaya rezeki Niza sentiasa mencukupi, malah, ibu dan adik juga sering membantu membeli makanan buat si comel Niza.


"Malah, keluarga Niza tidak pernah berkira untuk membeli makanan kucing ataupun berkongsi nasi yang digaulkan dengan ikan goreng," katanya.

Rezeki semakin melimpah ruah

Niza berkata, dia percaya kecenderungannya untuk menyayangi serta menjaga kucing jalanan menjadikan rezekinya semakin melimpah-ruah sehingga pada tahun lalu, dia pernah memenangi hadiah utama berupa kereta Perodua Viva yang dianjurkan sebuah pasar raya di Gemas.

"Memang rasa bersyukur sangat pada masa itu, mungkin rezeki yang Niza dapat hari ini adalah berkat menjaga puluhan kucing jalanan semasa menetap di Tampin sejak 2001 lagi," katanya.

Menurut Niza, dia sekeluarga berpindah ke Gemas selepas ibunya Noraih Othman, 58, bertukar tempat kerja di Pejabat Daerah Kecik Gemas (PDGK) selain menjaga neneknya, Nah Adam, 80, dan dua ibu saudara yang sakit. 


"Ketika di Tampin, kami ada tujuh kucing tetapi bila berpindah ke Gemas kucing-kucing berkenaan tidak dibawa berpindah. Masa itu Niza rasa sedih sangat dan akhirnya ibu membenarkan Niza membela balik kucing jalanan.

"Kadang kala dalam marah-marah, ibu ada juga bawa kucing jalanan balik ke rumah kerana kesian katanya yang pernah menjaga lebih 50 kucing jalanan dan kini hanya 16 sahaja yang tinggal.

Tidak hirau persepsi masyarakat sekeliling

Niza berkata, selain menjaga kucing jalanan, dia juga sekurang-kurangnya seminggu sekali akan memberi makan kaki ayam kepada anjing terbiar di sekitar Gemas.

Malah menurutnya, dia juga bimbang masyarakat setempat salah faham terhadap tindakannya, namun berikutan rasa tanggungjawab, dia tidak menghiraukan persepsi tersebut terutamanya ketika menyelamatkan anak anjing terjatuh di dalam longkang.

"Takut juga anjing itu mati, jadi Niza kenalah selamatkannya. Bagaimanapun, bagi tujuan kebersihan, Niza sentiasa bawa sabun khas untuk tujuan menyamak.


"Sekarang lebih seronok bila rakan-rakan yang takutkan kucing sudah semakin mesra dengan kucing. Malah, ada rakan yang dahulunya takut dengan anjing, kini sudah boleh menemani Niza ketika memberi makanan kepada anjing terbiar," katanya.

6 comments:

  1. Hehe..mekasih awak..sudi share pasal kita😂 May God bless you

    ReplyDelete
  2. Nyza kat mana eh? Nyza terima tak kalau sy nak bg kucing xlarat nak jaga lgpon banyak kucing kat rumah huhu boleh tak?

    ReplyDelete