Tuesday, February 23, 2016

SINGKAP MISTERI 'MASJID JIN'...


Masjid Lama Panchang Bedena di sini, menyimpan misteri tersendiri kerana bukan setakat dikunjungi penduduk setempat, tetapi dipercayai turut diimarahkan 'makhluk' lain.

Berikutan pelbagai perkara aneh berlaku di masjid yang dibina sejak 1905 itu, penduduk setempat turut menggelarnya sebagai 'masjid jin'.

Kejadian jemaah yang tertidur dalam masjid khususnya di hadapan mimbar, diangkat atau dialihkan ke tempat lain didakwa perkara biasa berlaku di situ.

Malah, ada penduduk mendakwa pernah bertembung makhluk ghaib yang dipercayai jin ketika beribadat di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Lama Panchang Bedena, Shamsul Kamar Samad, 43, berkata gelaran masjid jin bermula apabila penduduk mendakwa ketika awal pembukaannya, kawasan itu sentiasa kelihatan terang pada waktu malam, seolah-olah ada orang sedang menggunakannya.

Beliau berkata, ketika itu suara orang berzikir dan alunan bacaan al-Quran juga dikatakan sering kedengaran pada waktu malam dan subuh, sedangkan tiada penduduk kampung berada di masjid berkenaan.

"Sejak itu, ia digelar masjid jin kerana penduduk percaya ada makhluk ghaib lain menghuni kawasan ini turut menjadikannya sebagai tempat untuk beribadah.

'Berjemaah' dengan jin

"Beberapa penduduk yang singgah untuk solat di masjid ini juga berkongsi pengalaman 'berjemaah' dengan jin, kerana mendengar bacaan zikir berkumpulan namun apabila menoleh, mereka hanya bersendirian," katanya.

Shamsul Kamar yang menguruskan masjid itu sejak lebih 10 tahun lalu berkata pelbagai pengalaman sukar dipercayai dikongsikan penduduk kampung terbabit.

"Pada 2007 ketika masjid ini sedang dibaik pulih, pekerja yang terbabit dalam urusan berkenaan mendakwa dialihkan ketika tidur di hadapan mimbar.

Mimbar di dalam Masjid Lama Panchang Bedena... 

"Pekerja itu mendakwa menumpang tidur kerana kepenatan tetapi apabila tersedar dia berada di bawah tangga masjid sedangkan sebelum itu dia berbaring di hadapan mimbar," katanya.

Shamsul Kamar berkata, beliau sendiri pernah terdengar seakan bunyi tapak kaki orang berjalan ke arahnya ketika mengemas bersendirian tetapi tidak ada penduduk yang datang.

"Mungkin mainan perasaan tetapi saya tidak nafikan mungkin jin menggunakan masjid ini untuk beribadah. Namun, mereka tidak pernah mengganggu jemaah. Paling penting niat kita untuk beribadah kepada Allah di masjid ini," katanya.

Penduduk dan ahli jawatankuasa masjid mempercayai situasi itu mampu berlaku kerana al-Quran menerusi ayat 56 surah Az-Zariyat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku

Batang pinang, rumbia

Shamsul Khamar berkata, masjid itu dibina bekas ketua kampung yang digelar Penghulu Orang Jawa.

Katanya, ketika awal pembinaan, masjid terbabit dibina menggunakan batang pinang sebagai lantai dan dinding serta beratap rumbia.

"Namun, pada 1979, masjid ini dibaik pulih menggantikan binaan asal yang rosak tetapi empat tiang seri dikekalkan kerana masih kukuh walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, selain ia juga tidak boleh dipaku.

"Pada 2007, masjid ini sekali lagi berubah wajah dan dibesarkan dengan menggantikan dinding dan bumbung dengan kayu cengal yang dibawa khas dari Terengganu dengan bantuan Muzium Negeri," katanya.

Reka bentuk binaan jeriji tingkap 
yang menghiasi Masjid Lama Panchang Bedena...

Masih mengekalkan ciri unik selain memaparkan konsep tradisional Melayu terutama struktur binaan dindingnya yang tidak menggunakan paku, Masjid Lama Panchang Bedena kini diletakkan di bawah pemantauan Muzium Negeri sebagai Harta Warisan Negara.

Selain pengalaman serta kejadian mistik yang berlaku di masjid jin, kolam yang digali sebagai kemudahan jemaah mengambil wuduk juga dikatakan tidak pernah kering walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Pada masa sama, masjid itu kini semakin kurang digunakan terutama sejak masjid baharu kampung itu dibina pada 2007, terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.

Sumber : BH
Penulis Norashikin Leman

No comments:

Post a Comment