Wednesday, March 2, 2016

PEMANDU VAN JENAZAH...

Gambar sekadar hiasan...

TENGAH hari itu saya diminta oleh pihak hospital untuk menghantar jenazah seorang wanita berusia awal 30-an ke kampung kelahirannya di sekitar Ayer Tawar, Perak.

Perjalanan saya kali ini ditemani oleh salah seorang sahabat bernama Azli yang juga merupakan pembantu perubatan yang sama bertugas dengan saya di hospital tersebut.

Mengikut cerita yang saya dengar, jenazah itu tersimpan hampir dua minggu lamanya di bilik mayat kerana ada pertikaian antara beberapa pihak berhubung status si mati yang dilihat agak mengelirukan.

Ceritanya begini, melalui beberapa sumber yang saya dengar, arwah meninggal dunia akibat mengambil dadah secara berlebihan di rumah sewanya di Kuala Lumpur. Sebelum itu, arwah dikatakan 'berparti' bersama rakan-rakannya, namun setelah dilihat tidak sedarkan diri, arwah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Arwah menemui ajalnya ketika dalam perjalanan ke hospital. Dari ketika mayatnya ingin dibedah siasat doktor yang bertugas telah terlihat beberapa lukisan tattoo yang banyak tertera di anggota badannya.

Pihak hospital menghubungi keluarga arwah di kampung untuk memaklumkan berita tersebut dan meminta agar mereka datang ke hospital untuk mengenal pasti jenazah arwah. Memang benar! Setelah ibu bapa arwah datang ke hospital untuk sesi pengecaman, mereka mengesahkan jenazah tersebut memang merupakan anak mereka.

Namun demikian pihak hospital terpaksa menangguhkan dahulu proses membawa pulang jenazah tersebut, kerana ada beberapa perkara lain yang perlu disiasat terutamanya bila mengetahui arwah tinggal bersama rakan-rakan yang bukan beragama Islam. Mereka bimbang kalau-kalau arwah ada menukar status agama.

SAYA memandu kenderaan jenazah petang itu dalam keadaan tenang. Walaupun perjalanan agak jauh, sudah menjadi asam garam kehidupan saya sejak ditugaskan memandu van jenazah. Sudah setiap ceruk rantau saya pergi, baik ke utara, selatan mahupun pantai timur.

Lagipun kebiasaannya setiap perjalanan saya akan ditemani oleh sahabat baik saya, Azli. Tidak wujud rasa takut, bosan mahupun mengantuk kerana Azli memang pandai berceloteh. Ada saja topik perbualannya sehinggakan kami terlupa yang jenazah ada bersama-sama di belakang.

Saya memasang alunan ayat-ayat suci Al-quran di dalam kenderaan sambil berbual-bual kosong dengan Azli. Walaupun jam baru menunjukkan angka 4.00 petang, namun langit di luar hitam pekat.

Kilat dan petir sudah mula sabung-menyabung. Lebih kurang 200 meter di hadapan saya sudah lihat hujan turun dengan lebatnya. Saya mula memasang siren dan memegang stereng dengan sekemas- kemasnya.

Saya merempuh hujan lebat tersebut dengan bacaan bismillah. Azli diam membatukan sambil matanya memandang tajam ke arah jalan raya di hadapan. Pada waktu begini kami perlu berhati-hati kerana jika hujan turun lebat, pandangan di hadapan agak terbatas.

Sedang kami berdua tekun melihat jalan di hadapan, tiba-tiba kedengaran bunyi gegaran yang cukup kuat dari arah belakang. Kemudian saya rasa kenderaan yang saya pandu seolah-olah digoncang dengan kuat oleh sesuatu...

GROOMMM... GROOMMMM... GROOMMMM...

Tubuh saya dan Azli terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Azli memandang saya dengan seribu persoalan. Saya dapat melihat wajahnya yang bertukar pucat ketika itu. Saya memegang stereng dengan kemas, takut-takut kalau kenderaan yang saya pandu ini tiba-tiba hilang kawalan pula.

"Bang, kenapa pulak dengan van ni? Tiba-tiba aje bergoncang dan terhuyung-hayang macam ni? Tayar pecah ke?" soal Azli dengan penuh tanda tanya.

"Ishhh, taklah... kalau tayar pecah mesti ada bunyi, lepas tu pulak mesti kenderaan ni tak balance langsung. Mungkin sebab banyak terlanggar air bertakung kat jalan raya ni kut..." jawab saya cuba meredakan ketegangan.

Azli mengangguk-angguk tanda faham, namun dari riak wajahnya saya tahu dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan saya sebentar tadi. Saya memandang jalan raya di hadapan. Hujan di luar nampaknya semakin menggila seolah-olah tiada tanda untuk berhenti dalam waktu terdekat ini.

Ketika suasana di dalam kenderaan bertukar sunyi, tiba-tiba saya perasan seolah-olah ada suatu objek yang mengganggu dan menghalang pandangan saya ke belakang melalui cermin sisi di hadapan. Saya mula berdebar-debar dan rasa tidak sedap hati.

Saya menguatkan semangat dan cuba memberanikan diri menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya saya apabila saya melihat satu lembaga berpakaian putih dan berambut panjang sedang duduk tunduk di sisi keranda, seolah-olah sedang bertafakur di atas pemergian jenazah.

Jantung saya berdegup kencang. Saya cuba menoleh untuk kali kedua kerana ingin memastikan apa yang saya lihat sebentar tadi adalah sesuatu yang sahih.

Memang sah! Lembaga itu masih wujud. Saya mendiamkan diri sambil membaca ayat-ayat suci Al- quran, peluh mula membasahi dahi dan baju yang saya pakai.

Azli yang perasan dengan sikap saya memandang saya dengan seribu persoalan, lantas tanpa berfikir panjang terus menoleh ke belakang untuk melihat sendiri apa yang saya tinjau sebentar tadi. Dan sebaik dia memandang ke belakang, matanya terus terbeliak seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Bang... apa tu, bang? Apa tu?" tanyanya pada saya dengan suara yang terketar-ketar.

Saya akui memang saya amat takut ketika itu. Kaki saya sendiri menggigil dan menggeletar ketika menekan pedal minyak. Namun sebagai seorang yang diberi amanah dan kepercayaan untuk menggalas tugas ini, saya cuba bersikap tenang.

Saya tidak mahu keadaan menjadi lebih kelam-kabut, silap hari bulan kenderaan yang saya pandu hilang kawalan dan boleh mengakibatkan kemalangan.

"Baca aje apa-apa yang kau tau, Li.. Insya-Allah takde apa-apa berlaku. Ini semua kerja syaitan yang nak menakut-nakutkan kita," jawab saya cuba menenangkan keadaan.

Saya lihat mulut Azli berkumat-kamit membaca sesuatu. Saya sendiri tidak tahu ayat atau surah apa yang dibacanya kerana bunyi hujan lebat yang menimpa bumbung kenderaan menjadikan pendengaran saya agak terbatas.

Sedang saya sendiri asyik mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran, tiba-tiba saya terdengar sayup-sayup suara tangisan yang mendayu-dayu dari arah belakang. Bunyi tangisan tersebut amat syahdu sekali, seolah-olah sengaja dilagukan sedemikian rupa.

Bulu tengkuk saya meremang tinggi. Demi Allah! Saya tidak pernah diuji sedemikian rupa. Azli semakin tak keruan, dia memandang saya seolah-olah meminta pandangan apa yang perlu dilakukannya ketika itu. Mukanya pucat lesi, kiranya jika ditoreh memang langsung tiada darah yang meleleh keluar.

"Sabar Li... sabar... ini semua kerja syaitan. Kau kuatkan semangat, baca aje apa-apa yang kau tahu...," saya sedaya upaya cuba memberikan semangat kepadanya.

Suara tangisan tersebut berlarutan hampir lima minit lamanya, saya cekalkan hati dan kuatkan semangat untuk terus memandu. Hujan di luar juga semakin reda, mungkin akan berhenti sedikit masa lagi. Nun jauh di hadapan saya dapat lihat keadaan jalan raya juga sudah bertukar terang. Alhamdullillah, saya menarik nafas lega.

Azli masih rancak membaca ayat-ayat suci Al-quran. Suara tangisan yang mendayu dari lembaga putih di belakang kenderaan juga sudah semakin tidak kedengaran.

Saya memberanikan diri menoleh ke belakang. Alhamdullillah, saya mengurut dada kelegaan. Makhluk tersebut sudah hilang dari pandangan. Saya menyeka peluh di dahi. Baru tenang rasa hati saya.

Sumber :  Buku Pemandu Van Jenazah Siri 2...

No comments:

Post a Comment