Thursday, December 28, 2017

MAHU JINAKKAN SUAMI? DATANG JUMPA FARIDAH!...

BETUL ke ada 'benda' dalam badan mak cik? Kalau ya, tolonglah buangkan!" ujar warga emas berusia 90 tahun itu kepada Dr. Faridah Zainuddin yang duduk di sisinya.

Anak lelaki wanita itu terkejut. 

Sebelum ini, sudah ramai pengamal perubatan yang dibawanya ke rumah untuk merawat ibunya. Namun, setiap kali mahu dirawat, ibunya akan menengking, meronta dan enggan memberi kerjasama. Tapi, dengan Dr. Faridah, tiba-tiba saja ibunya tenang dan setuju untuk dirawat.

Sebenarnya, wanita tua itu sudah lama terlantar sakit. Tidak mampu berjalan, hanya terlantar di atas katil. Yang menghairankan, wanita itu makan banyak tapi tubuhnya kurus kering.

Sudah ramai perawat datang, tapi belum ada kesan positif. Bila seorang rakan bercerita tentang kebolehan Dr. Faridah, anak wanita itu terus menghubungi Dr. Faridah dan meminta datang ke rumah ibunya di Kedah.

Sampai di hadapan rumah wanita itu, Dr. Faridah tidak terus melangkah masuk. Menggunakan air garam hitam, Dr. Faridah 'bersihkan' dahulu kawasan sekitar rumah. Bila melangkah ke dalam rumah pun Dr. Faridah lakukan, perkara yang sama,

Akhirnya, dengan mudah wanita itu menyerah diri untuk dirawat.

Melihat keadaannya, Dr. Faridah merasakan usia warga emas itu tidak lama. Jangkaannya tepat. Sebulan selepas dirawat, wanita itu meninggal dunia. Namun, dalam tempoh itu, keadaannya sudah banyak berubah. Wanita itu sudah tidak berselera makan, tidak marah-marah dan gelisah bila dibacakan surah Yasin. Perginya juga mudah. Hanya sesak nafas sedikit sebelum meninggal dalam keadaan tenang.

Kes begitu hanya sebahagian yang ditangani Dr. Faridah. Orang Melayu menyebutnya sebagai saka! Kalau diikutkan, sudah macam-macam pembawa saka yang datang berjumpa Dr. Faridah. Macam-macam versi cerita juga yang keluar. Ada yang kata mereka ada saka harimau, buaya, ular dan sebagainya. Namun bagi Dr. Faridah, apa saja bentuk saka yang disebut mereka, padanya ia tetap sama. Saka itu tetap salah satu unsur negatif yang perlu disingkirkan.

BUKAN hanya orang yang ada saka datang berjumpa Dr. Faridah, yang kena sihir pun ramai. Pernah seorang wanita berusia 30 tahun yang hidupnya tak keruan, badannya seperti dicucuk jarum setiap kali selepas waktu Maghrib. Semuanya angkara bekas teman lelakinya yang marah kerana dia berkahwin dengan orang lain.

Ada juga yang guna ilmu hitam kerana dendam sesama keluarga. Selalunya ada kaitan dengan harta pusaka. Tak dapat harta, dibuatnya orang itu sampai merana dan kurus kering badannya.

Kalau kes sihir, bergantung pada keadaannya. Bagi Dr. Faridah, antara kes saka dan sihir, lebih mudah dia membuang saka. Sebabnya, saka sekali ditarik hingga ke akar umbi, ia tidak lagi kembali.

Berbeza dengan sihir. Walaupun sudah dibuang keluar dari tubuh pesakit, namun si penghantar boleh menujukan ilmunya berkali-kali, bermakna si pesakit masih berisiko disihir lagi.

Selain itu, kes berkaitan rumah tangga juga banyak diterima Dr. Faridah. Kes curang adalah perkara biasa. Selalunya, Dr. Faridah akan 'scan' dahulu, apakah faktor pasangan pesakitnya curang ada kaitan dengan spiritual atau kerana sikap semata-mata.

Kadangkala, mungkin pasangan curang kerana ada faktor ketiga seperti sihir yang turut jadi penyebab. Jika begitu, Dr. Faridah akan 'bersihkan' dahulu unsur-unsur negatif yang dihantar pihak ketiga tersebut. Kemudian, barulah dipulihkan semula hubungan suami isteri itu.

Tetapi, jika pasangan itu curang kerana tabiatnya sendiri, Dr. Faridah hanya sediakan air kosong sahaja. Air itu bukan air biasa. la telah diterapikan dan diniatkan agar pasangan yang curang tertutup hatinya dan kembali kepangkuan keluarga.


Ramai juga golongan isteri diam-diam datang mengadu kepada Dr. Faridah. Ada seorang isteri ni, suaminya malas bekerja. Kalau kerja pun, sebulan dua dah berhenti. Kerjanya hanya makan tidur, malam keluar melepak dengan kawan. Si isterilah yang bertungkus-lumus menampung segala keperluan rumahtangga.

Bila Dr. Faridah scan, itu memang tabiat semula jadi suaminya. Dr. Faridah hanya minta nama penuh suami wanita itu, kemudian dibacakan ke dalam air dan Dr. Faridah suruh wanita itu campurkan air tersebut ke dalam minuman dan masakannya di rumah.

Tak lama kemudian, wanita itu beritahu, suaminya sudah mula berubah sikap. Tidak lagi keluar malam dan sudah mula mencari kerja.

Itu belum lagi kes yang suami panas baran, sikit-sikit naik tangan ke tubuh isteri. Yang suami kaki judi pun ramai juga. Semua Faridah guna kaedah yang sama. Konsepnya, buangkan tenaga negatif yang menjadi sikap negatif suami itu, dan masukkan tenaga positif yang memicu ke arah perubahan positif. Alhamdulillah, dengan izin Allah ramai para suami yang bermasalah sikap telah berubah tanpa mereka sedari.

KAEDAH diguna pakai Dr. Faridah juga mudah. Dia merawat hanya menggunakan tenaga dalaman yang disalurkan pada telur dan garam. Tidak menyakitkan.

Acap kali kita lihat perawat alternatif yang merawat saka selalunya akan 'berdialog' dengan saka atau jin di dalam tubuh pesakit. Kadangkala, pesakit itu akan menjerit, melolong kesakitan, menangis atau ketawa. Dalam interaksi itu, perawat akan memaksa ‘benda’ di dalam badan pesakit itu untuk keluar.

Berbeza dengan Dr. Faridah, konsep rawatannya tidak memerlukan dia untuk berdialog dengan 'benda' di dalam badan pesakitnya. Dia tidak perlu memaksa atau memujuk 'benda' itu keluar, Sebaliknya, teknik. reiki dan aura Dr. Faridah menggunakan tenaga dalaman.

Dengan menggunakan telur sebagai perantaranya, ia akan di alin keseluruh tubuh pesakit. la bukan saja menyedut saka itu keluar, bahkan turut menarik DNA saka itu sehingga ke akar umbi kerana ia sudah bersemadi dalam darah keturunan.


Apabila sudah selesai, telur itu akan dihanyutkan ke sungai. Pesakit pula akan dimandikan dengan air garam hitam bagi membuang segala unsur negatif di dalam badannya. Selalunya, pesakit akan keletihan selepas melalui proses ini. Yang terakhir, pesakit akan mandi semula dengan pati aura bagi mengembalikan tenaga positif  ke dalam tubuh.

Namun, satu syarat Dr. Faridah merawat kes saka, pesakit itu hendak lah bersetuju atau memberi izin untuk dia membuang saka tersebut. Jika tidak, sukar hendak dilakukan kerana empunya tubuh tidak mahu memberi "kunci' untuk membuka laluan bagi membuang saka tersebut.

Sebanyak mana telur digunakan dalam rawatan, ia bergantung pada tahap penyakit tersebut. Kalau kes ringan, hanya beberapa biji telur saja sudah cukup untuk menyedut segala bisa dan tenaga negatif yang ada dalam tubuh pesakit. Namun dalam kes berat seperti sihir, kadangkala Dr. Faridah menggunakan sehingga 10 biji telur. Selalunya, telur yang sudah dialin itu akan terasa lebih berat berbanding sebelumnya.

"Pernah saya alin kan telur pada pesakit yang kena santau. Lepas habis rawatan, dia mahu saya pecahkan telur tu sebab hendak lihat apa yang ada dalam telur tu. Saya tak bagi. Sebab kalau dipecahkan, benda yang dah ditarik masuk itu akan bebas semula. Jadi, apa guna saya susah payah tarik ia masuk dan kurung dalam telur tu?

"Mungkin orang lain bila rawat akan pecahkan telur dan tunjukkan kalau ada benda-benda santau seperti miang buluh, duri, paku, rambut dan sebagainya. Tapi, itu cara mereka. Cara saya bukan be'gitu!" tegas Dr. Faridah yang sudah lebih tujuh tahun menjalankan rawatan ini.

Selain daripada telur yang digunakan sebagai medium untuk menyerap tenaga negatif dalam tubuh pesakit, garam hitam juga adalah bahan utama dalam rawatan Dr. Faridah.

Garam hitam yang ditempah khas dari gunung Himalaya ini bukan garam biasa. la mempunyai konsep penyembuhan dan telah diterapikan dengan ayat-ayat rukyah supaya berfungsi untuk menarik elemen negatif dari sudut spiritual.


Bukan hanya penyakit bersifat gangguan spiritual sahaja, bahkan Dr. Faridah turut menggunakan kaedah yang sama dalam mengatasi pelbagai masalah lain. Antaranya seperti sukar dapat jodoh, sering keguguran atau sukar mendapat kerja.

Malah, Dr. Faridah juga sering dipanggil oleh premis-premis perniagaan yang 'diganggu' kerana perasaan hasad dengki atau mungkin kerana ada sesuatu yang menghuni premis itu.

Selain itu, ramai juga pesakit-pesakit biasa seperti angin ahmar, kencing manis, sakit-sakit badan dan sebagainya mendapatkan rawatan daripada Dr. Faridah.

"Kalau sakit yang memang disahkan oleh perubatan sains pun boleh datang. Tapi ingin saya tegaskan, rawatan ini bukan untuk tujuan menyembuhkan penyakit mereka, tapi untuk mengurangkan atau meringankan simptom kesakitan yang mereka hadapi. Kadangkala, ada juga yang datang kerana sakit fizikal tetapi bila diperiksa, rupa-rupanya ada kaitan juga dengan spiritual tanpa mereka sedar," ujar Dr. Faridah.

Pernah seorang wanita berusia 50 tahun yang sudah hampir setahun terpaksa solat dengan duduk di atas kerusi kerana sakit lutut. Lalu Faridah bantu dan tidak lama kemudian, dia sudah mampu untuk solat berdiri.

"Teknik rawatan ini boleh juga dilakukan penyembuhan secara jarak jauh. Konsepnya sama. Saya buangkan yang negatif dan alirkan tenaga positif. Orang Nampak macam mudah, tapi sebenarnya ia gunakan tenaga dalaman.

"Apa pun, sebelum nak berikhtiar, kita kena yakin. Kena berdoa minta pada Allah. Saya bukan bomoh atau pawang. Saya cuma gunakan ilmu yang diberi Allah untuk membantu sesama insan. Dengan izin-Nya, insya-Allah ada perubahan positif," ujar Faridah.

Oh ya, untuk para isteri yang pening kepala suami asyik buat perangai tu, cuba-cubalah jumpa Faridah. Jangan risau, tak perlu bawa suami pun. Manalah tahu, suami yang hidung belang, tahi judi, pembengis atau pemalas tu mungkin boleh dibetulkan semula sikapnya. Syhhhh... jangan beritahu suami tau!

NOTA: Jika mahu menemui Dr. Faridah, anda boleh datang ke Pusat Rawatan Faridah Aura Therapy di Bandar Saujana Putra, Selangor. Sebelum itu, sebaiknya anda lebih dahulu menghubungi Dr. Faridah di talian 017-6066519/012-6328934 untuk pertanyaan lanjut.

Dipetik dari Majalah Mastika 8/2016
Pengarang : Desi Ernita Dahnin @ Nita

Wednesday, December 27, 2017

TANGISAN HIBA SI GADIS BUNUH DIRI...


SARJAN Muhammad Hassan, 50, memandu kereta merentasi Jambatan Sultan Ismail, menghubungkan bandar Muar dan seberangTanjung Agas. 

Kenderaan di atas jambatan itu sesak bertali arus. Sebaik berada di tengah-tengah jambatan, tiba-tiba fikiran Muhammad melayang, teringat suatu peristiwa sekitar lapan tahun lalu. Kejadian di mana seorang gadis bertindak membunuh diri dengan terjun dari jambatan tersebut.

Entah mengapa, sukar pula Muhammad melupakan tragedi tersebut. Sebagai anggota Jabatan Per- tahanan Awam Malaysia (JPAM), sudah menjadi rutin dia mengendalikan pelbagai kes. Ada kes lebih dahsyat dan ngeri diuruskannya seperti mengutip cebisan daging mangsa kemalangan, kepala mangsa pecah, mati terbakar dan macam-macam lagi.

Tapi kes wanita bunuh diri itu sukar dilupakan. Muhammad ingat lagi, pihaknya mendapat panggilan daripada polis memaklumkan ada satu kejadian bunuh diri di Jambatan Sultan Ismail, Muar.


Muhammad dan rakan-rakan diminta segera membantu kerja mencari dan menyelamat. Pukul 6.00 petang, Muhammad tiba bersama bot dan beberapa orang anggota lain. Muhammad lihat, bomba dan polis marin sudah pun tiba di lokasi. Waktu itu, Muhammad belum tahu lagi identiti mangsa secara jelas dan mengapa mangsa bertindak membunuh diri. Orang awam hanya melaporkan, ada wanita terjun dari jambatan tersebut pada pukul 5.30 petang sebelum hilang dalam air.

Petang itu juga, operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Malangnya, sehingga pukul 7.30 malam, jasad wanita itu gagal ditemui. Disebabkan hari gelap, operasi ditangguhkan.

Pulang ke rumah, baru Muhammad dapat tahu identiti wanita itu. Rupa-rupanya, mangsa merupakan penduduk kampungnya sendiri. Muhammad kenal gadis itu termasuk semua ahli keluarganya.

Ya, gadis itu memang cantik. Tubuhnya kurus, kulitnya putih gebu. Usianya pun masih muda. Tapi, kenapa gadis itu bunuh diri? Apa puncanya? Muhammad belum ada jawapan.

Esoknya, operasi mencari disambung. Dari pagi membawa ke malam, mayat gadis itu masih gagal ditemui. Berdasarkan pengalaman Muhammad, memang agak sukar untuk mencari mayat gadis itu. Kebiasaannya, pada hari pertama mayat mangsa akan tenggelam. Pada hari kedua pula, mayat mula terapung, tetapi akan tenggelam semula apabila cuaca panas atau sewaktu matahari terik.


Hanya pada hari ketiga, barulah mayat betul-betul terapung atau timbul di permukaan air kerana jasad sudah membengkak. Tubuh mayat dipenuhi air. Lagi pula, mangsa dikatakan terjun sekitar pukul 5.30 petang.

Waktu itu, air sedang pasang dan kemungkinan besar mayat mangsa akan bergerak naik ke hulu sungai. Ada kemungkinan juga mayat akan turun semula ke hilir apabila air surut. Itu pun jika mayat tidak tersangkut pada akar pokok bakau.

MASUK hari ketiga, operasi mencari diteruskan. Bot dipandu rakan setugas Muhammad meluncur perlahan di tepi tebing paya bakau. Selepas Asar, bot Muhammad sudah pergi sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa terjun. Semasa melalui suatu kawasan, mata Muhammad terpandang sesuatu yang terdampar di gigi air. Muhammad terus mengamati objek tadi.

"Sah! Mayat!" jerit Muhammad pada rakan-rakannya.

Bila dihampiri, memang benar objek tadi mayat seorang wanita. Mayat itu berada dalam keadaan tersembam ke lumpur dan masih lengkap berpakaian baju kebaya. Separuh badannya sudah terbenam dalam lumpur. Muhammad turun dari bot dan menghampiri mayat tadi lalu membalikkannya.

Ya Allah! Wajah mayat wanita itu sudah tiada. Mukanya sudah membengkak dan isi-isi sudah terlerai. Tiada rupa lagi. Perut mayat itu juga sudah mengembung bagai mahu pecah. Baju kebaya yang dipakainya sudah sendat kerana perutnya mengembang seperti belon.


Adakah itu mangsa yang dicari? Muhammad belum pasti kerana muka yang hancur menyebabkan sukar mereka membuat pengecaman. Tapi berdasarkan pakaian, sama seperti mangsa yang memakai baju kebaya semasa bertindak terjun dari jeti.

Petang itu, mayat dibawa ke Jeti Sabak Awor. Di sana, mayat diserahkan kepada anggota polis. Muhammad dan anggota lain pula, bersiap-siap untuk mengemas peralatan dan pulang semula ke pejabat. Operasi mencari dihentikan.

Dalam perjalanan pulang, Muhammad mendapat tahu memang benar mayat ditemuinya adalah mangsa sebenar. la disahkan oleh ahli keluarganya.

Sampai di pejabat, Muhammad bersihkan badan. Bot yang digunakan dalam operasi pula diletakkan di belakang pejabat. Sepatutnya Muhammad perlu membasuh bot tersebut kerana air daripada mayat membuatkan bot berbau hanyir dan busuk. Tapi kerana terlalu penat, Muhammad tangguhkan dahulu.

"Esok sahajalah aku basuh," bisik Muhammad pada diri sendiri.

Malam itu, ketika sedang terbaring di pejabat, Muhammad terdengar sesuatu. la seperti suara esakan tangis seorang perempuan. Bunyinya mendayu-dayu dan begitu sedih sekali. Muhammad menjengah mukanya ke tingkap, mencari arah bunyi itu. Bila diamati, seperti datang dari arah bot yang digunakannya tadi.

"Takkan hantu gadis tu kut," bisik Muhammad. Perasaan seram sejuk mula datang. Bulu romanya menegak dan meremang. Muhammad mematikan diri dalam bilik. Di luar masih jelas suara tangisan yang mendayu-dayu itu. Semakin lama mendengar suara tangisan itu, seolah-olah membuatkan Muhammad faham. Tangisan itu seperti mengharapkan sesuatu daripada Muhammad.

Tanpa bertikir panjang, Muhammad terus membaca surah al-Fatihah di dalam hati dengan niat disedekahkan kepada arwah gadis tersebut. Selesai baca sahaja, tangisan itu semakin kuat. Kali ini Muhammad membaca dengan suara lantang pula. Selesai dia membaca, serta-merta suara tangisan merintih itu hilang.

Keesokan harinya, baru Muhammad tahu punca gadis yang dipanggil Zara itu membunuh diri. Mendengar puncanya, Muhammad menggeleng kepala. Sedih Muhammad dibuatnya. Singkat benar fiki ran gadis itu, memilih menyelesaikan masalah dengan membunuh diri. Cara yang dipilih itu salah di sisi agama dan berdosa besar.

Muhammad mendapat tahu, Zara sebenarnya menjadi korban konflik dalaman antara teman lelaki dan keluarga. Zara sebenarnya telah mengandung anak luar nikah. Bila Zara mengadu pada keluarga, keluarganya tak mahu ambii tahu. Zara dibuang keluarga sendiri. Senang cakap, pandai buat pandai tanggung.

Kemudian, Zara jumpa pula teman lelakinya dan menceritakan tentang kandungannya itu. Tetapi teman lelaki pula tak mahu bertanggungjawab. Semasa dalam kereta itu, berlaku perang mulut. Sampai di jambatan tersebut, si gadis bertindak keluar dari kereta. Zara mengugut untuk membunuh diri.

Waktu itu teman lelakinya hanya membiarkan sahaja. Dia fikir Zara tak akan lakukannya. Lagi satu, lelaki itu juga tak dapat memberhentikan keretanya di atas jambatan untuk memujuk kerana akan menghalang laluan.

Apabila berpatah balik, rupanya Zara bertindak nekad. Belum sempat teman lelakinya berbuat apa-apa, Zara terus terjun ke sungai Muar. Zara nekad menamatkan hidupnya dengan tragis di dalam sungai itu.Teman lelaki pula hanya mampu melihat kekasihnya terkapai-kapai dalam air, sebelum tenggelam dan hilang dari mata.

Kejadian itu amat menyedihkan Muhammad. Sanggup gadis itu memilih jalan berdosa untuk selesai kan masalah. Sudahlah buat dosa berzina, selesaikan pula masalah dengan cara membunuh diri. Bagi Muhammad, memang masalahnya di dunia ini selesai. Tapi bagaimana pula nasibnya di akhirat sana? Tidak takutkah dia dengan dosa dan hukuman azab yang menanti?

Sebab itu Muhammad mahu pembaca mengambil pengajaran dari pengalamannya itu. Bagi Muhammad, setiap masalah ada penyelesaiannya. Sekiranya kita berbuat salah, masih ada jalan untuk kembali ke jalan lurus.

Keduanya, jika ada antara ahli keluarga punyai masalah, cubalah membantunya sebaik mungkin. Begitu juga sekiranya mereka buat salah. Janganlah dihina atau dipinggirkan daripada keluarga. Sebaliknya bimbing dan bantulah mereka kembali ke pangkal jalan. Itulah yang sebaik-baiknya.

Dipetik dari Majalah Mastika 8/2016
Pengarang : Kairul Anwar Yusop

Monday, December 25, 2017

AWAS! TAMBAH AURA BUKAN UNTUK TAMBAH 'CAWANGAN' YA...


WANITA tua berusia 60an itu duduk di depan Fariza Ahmad. Anak wanita itu yang bernama Jamilah duduk di sisi ibunya. Fariza kemudian mengeluarkan dua batang rod besi kuning. Kedua-dua besi itu ditarik memanjang, bagaikan batang antena. Kemudian, Fariza memegang kejap kedua-dua besi dan dihalakan tepat kepada wanita tua di hadapannya.

Perlahan-lahan besi itu bergerak. la bergerak ke depan dan akhirnya bersilang antara satu sama lain. Fariza kemudian mengeluarkan sebotol minyak kecil. Dititiskan beberapa titisan minyak ke tapak tangan wanita tersebut.

Dia menyuruh wanita itu membaca selawat, hidu bau-bauan minyak pada tangannya dan kemudian sapukan pada wajah hingga ke rambut. Wanita itu menurut apa yang disuruh Fariza.

Kemudian, untuk kali kedua Fariza halakan lagi dua batang rod besi itu. Sama seperti tadi, batang besi itu bergerak ke depan sehingga bersilang antara satu sama lain.


"Bersilang lagi, macam tadi juga...." bisik Fariza dalam hati. Dia syak ada sesuatu pada wanita itu. Selalunya selepas memakai minyak yang diberi, 'bacaan' pada batang rod yang digunanya akan berubah. Tapi berbeza pada wanita tua ini.

"Suruh mak terus pakai minyak ni. Jangan lupa mandikan juga mak dengan titisan minyak ni," beritahu Fariza kepada Jamilah.

Malam itu, Jamilah menghubungi Fariza. Dia beritahu ibunya tak senang duduk, sentiasa gelisah dan mengadu panas. Esoknya, selepas mandi dengan campuran minyak yang diberi Fariza, ibu Jamilah muntah-muntah sehingga badannya lemah tak bermaya.

"Saya rasa ada sesuatu yang ganggu ibu awak. Kesan minyak itu selalunya akan berlawanan jika seseorang itu ada gangguan jin atau makhluk halus. Bawa ibu awak berjumpa ustaz atau pengamal perubatan alternatif," beritahu Fariza.

Jamilah menurut saranan tersebut. Setelah berubat, barulah dia tahu rupa-rupanya ada gangguan saka pada ibunya. Selepas saka itu berjaya 'di-buang', nampak perubahan ketara pada ibu Fariza. Paling penting, ibunya sudah lembut hati untuk solat dan melakukan amal ibadah.

Kisah ibu Jamilah salah satu antara kes yang ditemui Fariza. Sudah ramai orang yang ditemuinya ada kaitan dengan gangguan makhluk halus. Malah, kebanyakannya tidak sedar ada entiti lain yang 'menumpang' dalam diri mereka.

Pernah seorang wanita marah-marah pada Fariza. Katanya, badannya sakit-sakit dari kepala hingga ke pinggang selepas memakai minyak yang diberi Fariza. Bila diselidik, barulah tahu ada makhluk halus yang mengikut wanita itu sejak sekian lama.

Ada juga beberapa kes, mereka terdengar bunyi-bunyi aneh di dalam rumah. Bunyi itu hanya mula kedengaran sejak penghuninya membawa pulang dan memakai minyak yang dihasilkan oleh Fariza.

Bila dipanggil ustaz untuk 'melihat', rupa-rupanya ada 'benda' lain yang sudah lama menumpang di dalam rumah mereka. Pernah juga Fariza gunakan rod besinya untuk menguji kehadiran entiti di rumah tersebut. Bila dihalakan ke arah bilik yang selalu datang bunyi- bunyi aneh, rod dipegang Fariza bersilang. Itu tandanya ada aura negatif di situ.

Selalunya bila dapat tahu tanda-tanda begitu, Fariza akan syorkan pada orang tersebut agar segera berubat.

"Maaf, saya tak boleh mengubat. Saya bukan perawat. Cuma, saya ada sejenis minyak yang membantu untuk mengesan jika ada unsur lain atau sesuatu yang tak kena pada badan atau sekeliling kita," ujar Fariza.

BEGINI permulaan ceritanya. Lebih kurang dua tahun lalu, Fariza mempelajari ilmu tentang aura atau simulasi cakra dalam tubuh manusia. Antaranya untuk membuka titik-titik positif dalam tubuh bagi menghasilkan tenaga positif dalam kehidupan. Dari situ, Fariza menghasilkan sejenis minyak yang membantu untuk meningkatkan aura positif si pemakai. Minyak ini dihasilkan daripada gabungan ekstrak bunga-bunga berserta sitrus limau dan lemon.

Mula-mula, Fariza hanya memberi rakan-rakannya untuk memakai minyak yang dihasilkan sendiri di rumah. Lama-kelamaan, semakin ramai orang bertanyakan minyak tersebut. Kebanyakan mereka meminta minyak itu untuk tujuan dipermudahkan urusan pencarian rezeki. Menurut mereka, selalunya selepas memakai minyak aura ini, rezeki senang masuk.

"Setiap benda tak kira hidup atau mati ada aura tersendiri. Begitu juga dengan manusia, sentiasa ada aura dan aura setiap orang pula berbeza," ujar Fariza.

Untuk mengetahui tahap tinggi atau rendahnya aura seseorang itu, Fariza akan menggunakan 'besi ajaib' yang juga disebut sebagai dowsing rod. la adalah logam yang digunakan sebagai medium untuk mengesan tenaga positif atau negatif dan telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu.

Konsepnya lebih kurang sama seperti antena yang boleh mengukur frekuensi. Bila dihalakan rod itu pada seseorang, rod itu akan bergerak untuk 'mengukur' aura orang tersebut, jika kecil bukaan rod, bermakna aura orang itu lemah. Jika lebar bukaannya, bermakna aura orang itu kuat. Tetapi, jika aura itu bersilang, ini yang agak susah. Bersilang tandanya kurang bagus. Orang itu lebih banyak dikelilingi aura negatif. Boleh jadi juga ada unsur lain seperti gangguan jin yang menyebabkan keadaan tersebut.


"Bila ada 'benda' yang menumpang dalam badan kita, frekuensi badan kita akan menurun. Makhluk halus ini frekuensinya halus dan rendah, berbeza dengan kita manusia yang berfrekuensi kasar dan tinggi.

"Bila ada makhluk halus, ia akan ganggu frekuensi manusia dan turunkan aura positif. Sebab itu bila ada orang pakai minyak ini, dia rasa tak selesa, panas, sakit badan dan marah-marah. Sebenarnya itu tindak balas 'makhluk' yang menumpang dalam dirinya sebab minyak ini fungsinya untuk menyeimbangkan semula aura manusia. Bermakna ia tingkatkan semula aura positif sedangkan 'makhluk' itu tak selesa berada dalam keadaan aura kita yang tinggi. Sebab itu 'dia' marah," ujar Fariza lagi.

Mungkin juga kerana minyak ini turut dibacakan dengan doa-doa ruqyah, makhluk halus yang ada pada si pemakai terasa 'panas'. Namun, Fariza tegaskan minyak ini hanya boleh digunakan sebagai pengesan jika benar ada gangguan halus pada si pemakai, bukan sebagai penawar.

"Sebab itu bila terbukti ada tanda-tanda gangguan makhluk halus selepas mereka pakai minyak ini, saya suruh mereka segera pergi berubat. Minyak ini bukan untuk merawat, tapi kalau digunakan se bagai pencegah atau 'pendinding' daripada makhluk halus, itu mungkin boleh," kata Fariza.

BUKAN hanya berkaitan gangguan makhluk halus, kebanyakan yang datang menemui Fariza meminta minyak ini untuk urusan kerja. Ada juga mereka yang sudah acap kali hadir temu duga kerja, tapi tiada satu pun yang berjaya. Setelah memakai minyak diberi Fariza, barulah dapat pekerjaan.

Ada pula yang kerjanya dalam bidang pemasaran, tapi selalu gagal membuat jualan. Ada yang berniaga, tapi sukar hendak mencari pelanggan. Tak kurang juga yang sering berdepan dengan majikan atau orang sekeliling yang panas baran sehingga menyukarkan kerjanya.

Tapi, semua itu berubah setelah mereka menggunakan minyak Fariza. Ibaratnya, mereka menggunakan minyak itu atas niat agar dipermudahkan urusan pencarian rezeki mereka.

Bukan itu saja, acap kali juga Fariza berjumpa dengan suami atau isteri yang menghadapi masalah ru mah tangga. Ada isteri yang mengeluh suami tidak mempedulikan mereka lagi. Ada yang hampir sampai bercerai kerana suami panas baran.

Tapi setelah memakai minyak Fariza, keadaan berubah. Aura positif yang terhasil bukan saja mengubah tenaga si pemakai, bahkan memberi kesan pada orang sekeliling. Suami yang sebelum itu panas baran mulai lembut hati dengan isteri.


"Pokok pangkalnya apa niat kita semasa pakai minyak itu. Caranya mudah saja, selawat sambil sapukan minyak itu dan niat mohon yang baik-baik dari Allah. Insya-Allah, semuanya akan jadi baik semula dengan izin-Nya," pesan Fariza.

Pernah juga seorang gadis yang tangan dan kakinya lebam-lebam datang berjumpa Fariza. Menurut gadis itu, lebam-lebam itu selalunya muncul selepas dia bangun tidur pada pagi hari, dan ia lebih banyak ketika dia sedang haid. Ada orang tua pernah beritahu gadis itu, lebam itu tanda pelesit suka padanya.

Alhamdulillah, selepas menggunakan minyak diberi Fariza, tanda lebam itu hilang dan tidak muncul lagi pada tangan dan kaki gadis itu. Bukan itu saja, ramai ibu-ibu yang minta minyak ini untuk anak-anak mereka. jika anak-anak itu degil, panas baran dan susah hendak belajar, mungkin minyak ini boleh dijadikan salah satu ikhtiar.

"Saya suruh ibu-ibu ajar anak mereka pakai minyak ini. Mana anak yang panas baran itu akan lembut hatinya. Yang susah belajar itu akan rasa tenang dan mula rasa mudah hendak belajar.

"Jangan silap, minyak ini bukan buat budak yang bodoh jadi pandai. Bukan macam tu. Bila anak pakai minyak ini, fikirannya akan tenang sebab aura positifnya sudah meningkat. Dia tidak akan cepat stres atau marah. Bila belajar, otaknya mudah beri tumpuan dan serap apa yang diajar," jelas Fariza.

Ada juga orang yang sukar lekat jodohnya mencuba minyak ini. Bila berkawan, ada saja masalah. Tak pernah dapat bertahan lama. Bila sudah pakai minyak aura Fariza, urusan jodohnya seperti dipermu- dahkan. Tak lama kemudian, akhirnya berkahwin.

Ha... kalau anda yang masih bujang di luar sana boleh lah cuba minyak ini. Kuatkan aura positif anda, mudah-mudahan bertemu jodoh dengan izin Allah.

Tapi, kalau ada suami-suami yang hendak tingkatkan aura mereka sebab nak tambah 'cawangan', err... yang itu Fariza tak galakkan.

Awas! Kalau aura positif meningkatpun, tak bermakna para suami yang ada hati nak tambah kuota akan selamat daripada balingan pinggan mangkuk. He he he...

• Nak tahu lebih banyak pasal minyak aura ini, hubungi Fariza di talian 019-7769900.

Sumber : Mastika Mac/2016
Wartawan : Desi Ernita Dahnin @ Nita

Thursday, December 14, 2017

AN-NASR SURAH TERAKHIR DITURUNKAN...

Video bacaan surah An-Nasr

Turun Pada Hari Tasyrik

Surah an-Nasr merupakan surah terakhir yang diturunkan berdasarkan beberapa hadis. Menurut Imam Nasa'i, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Abbas al-Sahabi, beliau (Ibn Abbas) bertanya kepada Ibn 'Utbah, "Wahai Ibn 'Utbah, tahukah engkau, apakah surah terakhir yang diturunkan?" Ibn 'Utbah menjawab, "Ya, aku tahu,"lantas membacakan Surah an-Nasr. Lalu dinyatakan oleh Ibn Abbas dengan katanya, "Benar." (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa surah terakhir yang diturunkan ialah Surah an-Nasr. Surah ini diturunkan sewaktu hari-hari tasyrik iaitu antara 11 hingga 13 Zulhijjah. la diturunkan sewaktu Baginda SAW melaksanakan haji yang diistilahkan dalam sejarah peradaban Islam dan sirah Rasul sebagai haji wada' atau haji perpisahan kerana inilah kali terakhir Rasulullah ' SAW mengerjakan ibadah haji. Rasulullah SAW wafat selepas beberapa minggu/bulan Baginda kembali ke Madinah.

Kenyataan ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazar dan al-Baihaqi daripada Ibn 'Umar dengan katanya: "Surah ini diturunkan ke atas Rasulullah SAW pada pertengahan hari-hari tasyrik. Justeru, Baginda mengetahui bahawa ia adalah simbolik kepada Perpisahan. Maka Baginda mengarahkan tungganganya yang dinamakan al-Qaswa', agar bergerak mencari tempat yang strategik untuk memberi khutbah kepada manusia yang bersamanya pada waktu itu. Di sinilah baginda mengucapkan khutbah terakhirnya yag masyhur itu. Dalam khutbah tersebut Baginda menggariskan secara kasar garis panduan bagaimana seharusnya manusia hidup selepas ketiadaannya nanti.

Dalam satu hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi, daripada 'Ikrimah dan Ibn Abbas, Ibn Abbas berkata: "Apabila turunnya Surah an-Nasr ini maka Baginda SAWmemanggil anak kesayangannya, Fatimah r.a. dan bersabda: 'Wahai anakku Fatimah, Sesungguhnya ayahanda melihat dengan turunnya ayat ini maka sekarang adalah merupakan saat-saat terakhir ayahanda bersamamu sebelum kematianku.' Kemudian Fatimah r.a. menangis dan setelah beberapa ketika kemudian dilihat beliau tersenyum. Beliau berkata setelah tersenyum, Aku diberitahu oleh ayahandaku mengenai saat kewafatannya (dengan turunnya Surah an-Nasr, kemudiaan Rasulullah SAW bersabda dengan berkata, 'Sabarlah wahai anakandaku Fatimah kerana sesunguhnya anakanda nanti merupakan individu pertama yang akan mengiringiku'. Lantas Fatimah r.a. berkata 'justeru, aku tersenyum'."

Fatimah r.a. menangis kesedihan kerana beliau akan ditinggalkan oleh ayahandanya, Rasulullah SAW namun setelah diberitakan bahawa beliaulah orang pertama dari kalangan keluarga dan juga Sahabat-sahabat Baginda yang akan mengiringi Baginda, maka kesedihan bertukar dengan kegembiraan.

Demi Allah, benar bahawa sesungguhnya tiada kesedihan dan dukacita yang paling tinggi selain daripada kewafatan Rasulullah SAW. Justeru, individu yang menyintai Allah dan Rasul-Nya akan berusaha menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutannya, sunnah Rasulullah akan diturutinya dan sirah Rasulullah akan ditatapinya. Namun, bagi individu yang angkuh dan sombong, lagi jahil dan dungu pastinya tidak menganggap sunnah dan ajaran Rasulullah SAW sebagai sesuatu yang bernilai lagi berharga.

Apa gunanya hidup selepas kewafatan Baginda sekiranya sunnah Baginda tidak kita ikuti? Apa nilainya nafas kehidupan yang diberikan andainya ajaran Baginda kita kesampingkan? Namun persoalan-persoalan ini hanya diinsafi dan diketahui jawapannya bagi individu-individu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Tiada lagi satu surah yang lengkap diturunkan setelah turunnya surah ini. Oleh itu, ia dikira sebagai surah terakhir yang diturunkan. Terdapat beberapa ayat diturunkan selepas surah Ini, namun satu surah yang lengkap ialah Surah an-Nasr ini. Manakala ayat terakhir yang diturunkan ialah daripada Surah al-Baqarah ayat 281: "Dan takutlah kamu kepada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukan dan mereka tidak sekali-kali dizalimi."

Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa ayat terakhir ialah daripada Surah al-  Ma'idah ayat tiga, kebanyakan jumhur ulama berpendapat bahawa ayat 281, Surah al-Baqarah itu adalah yang terakhir. Wallahualam.

TANDA DAN RAWATAN KEMURUNGAN...

Gambar hiasan...
Selalunya, tanda-tanda kemurungan hanya dapat disedari apabila masalah tersebut sudah pun lama berlaku dan menjejaskan kehidupan pesakit tersebut. Hampir kesemua pesakit "depression" ini pasti mengalami masalah 'mood' rendah hampir pada setiap masa. Pesakit turut hilang minat atau tidak berasa seronok apabila melakukan hobi atau apa-apa perkara yang mereka gemari sebelum dilanda kemurungan. Malah, mereka akan lebih suka untuk menyendiri di bilik tanpa melakukan apa-apa dan tidur sepanjang hari. Ahli keluarga juga akan mendapati si pesakit tersebut mula tidak mahu untuk menguruskan diri sendiri seperti mandi, menukar pakaian atau mengemas diri.

Pesakit kemurungan turut selalu berasa cemas tanpa sebab (anxiety), berasa tidak selesa di khalayak ramai, mudah marah, rasa bersalah tidak bertempat, sentiasa gelisah dan berasakan tidak berupaya langsung untuk mengubah keadaan diri. Malah, mereka akan mula mengalami penurunan (atau penambahan) berat badan, selalu sakit-sakit, selera makan meningkat (atau menurun) dan rasa sentiasa penat. Jikalau pesakit tersebut tidak mendapat sebarang bantuan atau sokongan, dikhuatiri pesakit kemurungan ini akan mula mempunyai perasaan untuk mencederakan diri sendiri ataupun yang lebih serius lagi, mempunyai rancangan untuk membunuh diri.

RAWATAN MODEN UNTUK KEMURUNGAN

Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), rawatan atau bantuan yang sewajarnya membantu hampir 85 peratus pesakit kemurungan klinikal di Malaysia. Setelah disahkan mempunyai kemurungan klinikal, pesakit selalunya diberi rawatan moden seperti sesi-sesi kaunseling, terapi atau pengambilan ubat antikemurungan yang berterusan. Namun, selalunya pesakit kemurungan terpaksa bergantung kepada ubat antikemurungan sepanjang hayat. Malah, ramai pesakit yang memerlukan gabungan rawatan kaunseling, terapi dan ubat antikemurungan untuk mampu hidup normal seperti orang lain.

Hakikatnya, rawatan-rawatan moden ini tidak berkesan jikalau ahli keluarga dan sahabat terdekat tidak memberi sokongan atau bantuan kepada si pesakit. Ahli keluarga dan sahabat harus memantau akan keadaan pesakit ini dari semasa ke semasa. Perhatian ini akan menunjukkan kepada pesakit bahawa mereka masih disayangi dan diperlukan.

Di dalam al-Quran turut ada suruhan Allah SWT untuk menyayangi insan lain. Firman Allah SWT: "Dan sayangilah manusia sebagaimana Allah sayang kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat bencana."

RAWATAN KEMURUNGAN MENGGUNAKAN AL QURAN

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit kemurungan mengalami perubahan positif yang ketara selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Firman Allah SWT: "Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (Al-A'raf 7: 204) Pesakit yang mengamalkan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran secara konsisten setiap hari akan mendapati pemikiran dan perasaan mereka menjadi lebih positif dan tenang. Malah, dengan izin Allah SWT ramai pesakit yang telah beransur-ansur dikurangkan dos ubat antikemurungan selepas mengamalkan rawatan perubatan al-Quran ini. Ada juga yang sudah tidak perlu mengambil ubat tersebut untuk mengawal 'mood' dan pemikiran mereka.

Selain itu, ramai juga yang kemurungan disebabkan oleh gangguan-gangguan makhluk halus sama ada yang datang sebagai saka ataupun yang dihantar melalui sihir. Gangguan-gangguan ini sering kali mempengaruhi pemikiran dan perasaan pesakit sehinggakan pesakit akan berasa sangat tertekan, sedih dan merasakan diri mereka sangat tidak berguna dan hanya menyusahkan orang lain.

SURAH UNTUK DIAMALKAN

Maka, setiap pesakit kemurungan yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus. Perawat akan mengeluarkan gangguan tersebut sekiranya ada dan seterusnya memberikan ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:

  • Surah Muhammad ayat 21 hingga 32
  • Surah Thaha ayat 120 hingga 135
  • Surah az-Zumar ayat 59 hingga 75
  • Surah an-Nahl ayat 81 hingga 89

KAEDAH AMALAN

1. Kaedah amalan ayat-ayat al-Quran tersebut ialah,

  • pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu Surah Muhammad tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu Surah Thaha tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.
2. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu

  • memohon doa kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.
3. Pesakit haruslah ingat bahawa apa-apa

  • penyembuhan hanyalah dengan izin daripada Allah SWT. Oleh itu, kita janganlah berputus asa dan sentiasalah berdoa kepada Allah SWT. Seperti di dalam Surah Yusuf ayat 12, Allah SWT berfirman: "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

Kesimpulannya, apabila ada rakan-rakan atau ahli keluarga yang mengaku menghadapi kemurungan, kita tidak seharusnya memandang remeh akan isu tersebut. Dan jangan pula kita membuat pelbagai persepsi negatif atau prejudis terhadap mereka. Di kalangan rakyat Malaysia, penyakit mental sering dikaitkan dengan tanggapan negatif dan perkara yang sangat memalukan untuk diakui. Kita harus berfikiran terbuka dan positif supaya pesakit kemurungan klinikal ini mendapat sokongan dan bantuan yang sepatutnya untuk mengharungi dugaan hidup ini. Bersikap prejudis dan menjauhkan diri daripada mereka akan menyebabkan pesakit tersebut terus dilanda kemurungan dan mungkin hilang pertimbangan lalu membunuh diri.

Sumber      : Majalah Anis
Pengarang : Hj. Lokman Abdul Hamid, 
                    Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al-Hidayah

Wednesday, December 13, 2017

JAUHI PENYAKIT 3 SERANGKAI...


Tidak keterlaluan di katakan 'ibu' segala kerosakan dan kemusnahan nilai kemanusiaan masa ini adalah kerana cintakan dunia.

Tanpa mengira masa, manusia berlumba-lumba membolot sebanyak-banyaknya kekayaan dan habuan dunia. Tiada seorang pun mahu tertinggal di belakang. Orang Islam juga menjadi pelumba' demi mengejar kesenangan dan kemewahan.

Adakalanya, prosedur standard operasi (SOP) pencarian sumber keduniaan itu jelas menyalahi hukum syariat, tetapi disebabkan hati sudah digelapkan kemilau dunia, segalanya tidak dipedulikan lagi. Urusan dosa dan pahala bukan lagi menjadi keutamaan. Dalam era millenium ini, semakin ramai umat Islam lupa kepada nasib yang pernah menimpa umat terdahulu. Di dalam al Quran dan sirah diterangkan kisah golongan zaman silam yang rakus harta dunia sehingga lupa hukum syariat. Akhirnya, mereka menerima nasib malang apabila Allah SWT menimpakan azab yang amat dahsyat. 

Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabatnya, Sabdanya yang bermaksud, Kelak akan menimpa umatku penyakit (perilaku buruk) umat umat terdahulu, iaitu sikap sombong, kufur nikmat, lupa syariat agama dalam memperoleh kenikmatan duniawi. Mereka berlumba-lumba mengumpulkan harta dan berrnegah-megah dengan kekayaan harta benda. Mereka terjerumus dalam jurang kesenangan dunia, saling bermusuhan, iri hati dan berdendam sehingga mere­ka tidak segan silu mela kukan kezaliman.' (Hadis diriwayatkan Imam At Tirmidzi)

Apa yang diberitahu Rasulullah SAW itu sudah pun berlaku pada hari ini. Suasana kehidupan manusia yang saling berdengki, iri hati dan melakukan pelbagai kezaliman saban kali berlaku. Pentas kehidupan sudah tidak sejernih dulu lagi. Ia penuh dengan babak dan gaya yang jauh menyeleweng daripada hukum syarak.

Dalam hadis itu lagi menerangkan, tiga perilaku buruk yang boleh menjerumuskan manusia ke kancah keruntuhan nilai kemanusiaan adalah bersikap sombong, kufur nikmat dan lupa syariat agama ketika memperoleh nikmat duniawi.

Tiga sikap keji itulah memusnahkan ketamadunan umat terdahulu. Masyarakat Mesir Purba di bawah rejim Firaun contohnya, bukan calang calang tahap kreativiti dan daya intelektual mereka.

Hingga sekarang, kita masih dapat lihat peninggalan artifak sejarah kegemilangan mereka seperti binaan piramid. Kita boleh bayangkan bagaimana tingginya keupayaan intelek dan ilmu khususnya dalam bidang seni bina serta kejuruteraan masyarakat Mesir dulu.

Sayangnya, masyarakat sehebat itu 'berpayung' di bawah naungan pemerintah yang ingkar kepada aja ran di bawah rasul Allah SWT.

Akibatnya, Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan Allah SWT di dasar Laut Merah semasa mereka mengejar Nabi Musa. Firaun dengan sombong dan bergaya selaku 'Tuhan' kepada rakyatnya dengan tindakan yang sarat dengan kezaliman.

Tidak hairanlah mengapa baginda begitu risau umatnya akan dirundung permasalahan jiwa yang sama. Demi kian juga nasib diterima beberapa lagi umat terdahulu.

Semuanya menunjukkan punca mereka dilaknat dan ditimpa kemusnahan adalah kerana sikap sombong me­reka yang memiliki kepandaian dan ilmu pengetahuan, apatah lagi apabila me­reka memperoleh kekayaan duniawi. Sombong dengan pemilikan harta kekayaan membawa kepada kufur nikmat Allah. Ia bertentangan de­ngan seruan dakwah dibawa rasul Allah dan baginda SAW

Islam menyeru umatnya supaya bersikap syukur dengan menunaikan hukum syariat seperti mengeluarkan zakat, berwakaf dan bersedekah. Dalam Islam, kekayaan adalah wasilah buat sese orang mukmin menabur bakti kepada kemaslahatan ummah bukannya demi kepentingan peribadi saja.

Penyakit 'tiga serangkai' iaitu sombong, kufur nikmat dan lupa syariat agama itu perlu dihindari setiap individu mukmin.

Rasulullah SAW bcrsabda bermaksud. 'Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan terhadap kamu sepeninggalan aku nanti ialah jika kekayaan dunia dibukakan untuk kamu. Dan kamu pun berlumba lumba mendapatkannya. Sesungguhnya, kekayaan dunia akan menghancurkan kamu sebagaimana menghancurkan umat umat pada masa lalu."(Hadis riwayat Bukhari)

Segala kerisauan baginda SAW lebih 14 abad lalu itu menjadi kenyataan dan berbudaya tegar dalam diri sesetengah umatnya. Paling mustahak, umat Is­lam perlu mengejar status "jutawan akhirat'. Tidak bermakna orang Islam tidak boleh menjadi kaya dan berstatus jutawan atau hartawan. Yang menjadi kerisauan apabila nikmat melimpah ruah mcnyebabkan seseorang itu lalai pada syariat agama.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud, "Demi Al­lah. Dunia ini dibandingkan dengan akhirat ibarat seseorang yang mencelupkan jarinya ke dalam laut yang mana air yang tersisa di ja­rinya ketika diangkat itulah nilai dunia ini." (Hadis ri­wayat Imam At Tirmidzi).

Sumber : Harian Metro
Penulis : Mohd Rizal Azman Rifin
               pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, 
               Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

BIJIH TIMAH LONJAK EKONOMI IPOH...

Mungkin ramai tidak mengetahui, Ipoh, Perak adalah bandar raya keempat terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.

Antara penyumbang pencapaian itu ialah disebabkan perkembangan pesat yang berlaku di Ipoh hasil kegiatan perlombongan bijih timah satu ketika dahulu.

Bukan itu saja, ia turut menjadikan Ipoh lebih terkenal berbanding daerah di negeri lain hanya kerana kekuatannya yang kaya dengan hasil mineral berkenaan.

Namun begitu, sebelum mengetahui lebih lanjut sejarah Ipoh yang berada dalam daerah Kinta, perlulah diketahui asal usul namanya. Berdasarkan sejarah, nama itu diambil daripada pohon 'epu' atau lebih dikenali sebagai pokok ipoh.

Masjid Panglima Kinta yang dibina pada tahun 1898...

Masjid Panglima Kinta kini sebagai 
Bangunan Warisan Negeri Perak...

Difahamkan, masyarakat Orang Asli menggunakan getah pokok itu yang dikatakan beracun sebagai panahan sumpit mereka untuk memburu haiwan dalam hutan. Manakala orang Cina pula menyebutnya sebagai Ipoh atau Paluh.

Pada 27 Mei 1988, Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mengisytiharkan Ipoh sebagai bandar raya. Sejarah pentadbiran Ipoh bermula dengan pembinaan kawasan lapang pertama pada 1898 yang kini dikenali sebagai Padang Ipoh.

Kawasan pentadbiran Ipoh berkembang hingga menyeberangi Sungai Kinta dan wujudnya pekan baru (Ipoh New Town) ke jalan Anderson pada 1905 hingga 1914.

Istana Riswin pada tahun 1986

Bangunan Istana Riswin tidak banyak perubahan...

Pada 1905 hingga 1915 'Kinta Sanitary Board North' diwujudkandan pada 1916 hingga 1941, 'Kinta District Board' pula yang diwujudkan di bawah pentadbiran tentera British. Pada 1954 hingga 1956 'Ipoh Menglembu Town Council' ditubuhkan.

Kemudian, Ipoh dinaik taraf sebagai perbandaran dan dikenali Majlis Perbandaran Ipoh pada Mei l962. Perisytiharan itu sekali gus menjadikan Ipoh sebagai bandar pertama di negara ini dinaik taraf perbandaran selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Kemajuan di Ipoh berlaku secara berterusan dan tahun lalu diumumkan sebagai Bandar Perniagaan Sosial kelima di dunia selepas Pistoia di Itali, Barcelona (Sepanyol), Wiesbaeden (Jerman) dan Fukuoka (Jepun). 

Bangunan kolonial di jalan Sultan Iskandar

Kini ia dilebarkan bagi mengelakkan kesesakan...

Projek pembangunan mega bernilai RM2.1 bilion yang dibawa ke Ipoh dijangka memberi perubahan landskap yang besar di bandar raya berkenaan dalam masa beberapa tahun akan datang. 

Meskipun jarak kedudukannya lebih 200 kilometer dari Kuala Lumpur, tidak mustahil bandar raya itu mampu menyaingi kemajuan ibu negara.

Bulatan Sultan Yussuf pada 1963
dan menjadi antara mercu tanda Ipoh...

Landskap Bulatan Sultan Yussuf lebih menarik
 berlatar belakang bangunan moden...

Hospital Fatimah, Ipoh pada tahun 1974... 

Kini Hospital Fatimah merupakan
satu daripada  lima buah hospital swasta di Ipoh...


Sumber : Harian Metro
Wartawan : Nor 'Asyikin Mat Hayin

Monday, December 11, 2017

PENANGAN MI REBUS BATU GAJAH...


Dihidangkan panas dengan mi, cekodok dan tauhu yang banyak cukup mengenyangkan. Limpahan kuahnya yang pekat dan 100 peratus rasa ubi membuatkan hidangan mi rebus disajikan cukup enak dimakan.

Itulah penangan Mi Rebus Batu Gajah yang menjadi juadah utama Ghani Corner, Kiosk 37, Taman Medan, Petaling Jaya.

Mengetengahkan resipi warisan sejak tahun 1960, keenakan Mi Rebus Batu Gajah terletak pada dua bahan utamanya iaitu kuah dan cekodok.

Diusahakan Haslinda, 29, dan adiknya, Mohd Hazeri, 25, yang meneruskan legasi arwah bapa mereka, Abdul Ghani Mat Piah. Haslinda yang lebih mesra dengan panggilan Linda berkata, selain menggunakan resipi daripada arwah ayahnya, kepekatan kuah mi rebus yang melimpah menjadi kunci kepada keenakan hidangan itu.


"Bagi memastikan kuah mi rebus ini pekat dan enak. kami menggunakan 100 peratus ubi tanpa tepung sedikit pun.

"Cekodok yang juga resipi arwah ayah menjadi pelengkap kepada hidangan ini sehingga ada pelanggan sanggup datang dari jauh untuk menikmati keenakan mi kami," katanya.

Kepelbagaian bahan yang dihidangkan bersama mi rebus juga antara faktor ia menjadi pilihan penggemar.

"Sepinggan mi rebus yang dihidangkan turut diletakkan telur rebus, tauhu dan kentang.

"Idea meletakkan bahan tambahan ini dicetuskan arwah ayah supaya pelanggan kenyang selepas menikmati hidangan," katanya.

Berjualan di pasar pagi dan pasar malam di Taman Medan, mereka turut menawarkan ayam, daging dan sotong kepada pelanggan yang mahukan mi rebus berlauk.


Selain Mi Rebus Batu Gajah, Ghani Corner turut menghidangkan Ghani Char Kuetiau Original Penang. Hidangan dimasak sendiri oleh Hazeri, juadah ini diperkenalkan setahun lalu berikutan permintaan pelanggan yang mahukan menu ringkas panas dan sedap.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya mengambil masa sebulan untuk mempelajari cara penyediaan Ghani Char Kuetiau Original Penang mengikut resipi hidangan popular di Pulau Pinang itu.

"Saya juga belajar membuat kicap khas yang digunakan untuk memasak char kuetiau kerana ia menjadi penyedap kepada hidangan ini," katanya.

Beliau turut menyediakan kuetiau goreng udang dan kerang. 

Dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam, Ghani Corner turut menyediakan nasi lemak, rojak pasembur dan rojak mi.

Sumber : Harian Metro
Wartawan : Suliati Asri

Monday, December 4, 2017

NIKMAT REZEKI TERBESAR...

"Berdoa lah, 
kerana doa itu adalah senjata orang mukmin"... 

Wahai Rasulullah, siapalah yang sudi berkahwin dengan saya. Wajah saya hodoh serta bukan daripada kalangan yang terhormat. Saya juga tidak mempunyai wang untuk dijadikan hantaran,” luah Juwaibar sayu.

Rasulullah memujuknya dengan tenang, "Wahai Juwaibar, dengan Islam Allah mengangkat martabat kaum yang tertindas menjadi orang yang mulia.

Semua manusia sama nilainya di sisi Allah. Berkulit putih mahupun hitam. Quraisy mahupun ajam, semuanya anak cucu Adam. Di sisi Allah, orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertakwa. Demi Allah, dengan ketakwaan dan keikhlasanmu, engkau termasuk seorang daripada sahabatku yang terhormat."

Kelu lidah pemuda Bani Yamamah itu. Air matanya menitis.

Rasulullah menyambung lagi, "Ketua kabilah Bayadhah bernama Ziyad bin Labid terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan keluarganya pula daripada kalangan yang terhormat. Pergilah bertemu Ziyad dan katakan, aku meminta dia mengahwinkan anak perempuannya yang bernama Zulfa denganmu."

Juwaibar tergamam lagi. Dari lubuk hatinya, terasa berbunga gembira dengan pujukan Rasulullah. Tetapi, dia khuatir akan penerimaan Ziyad.

"Ya Allah, berilah petunjuk kepadaku. Apa yang harus aku lakukan? Adakah Ziyad akan menerima lamaran yang Rasulullah cadangkan? Aku tidak sanggup mengingkari perintah Rasulullah," Juwaibar merintih sambil mengumpul kekuatan untuk melaksanakan perintah Rasulullah. Akhirnya digagahi juga langkahnya menuju ke rumah Ziyad.

Saat Mengagumkan

"Apa? Benarkah seperti yang engkau katakan, Juwaibar?

Aku tidak akan mengahwinkan Zulfa kecuali dengan pasangan yang sekufu dengannya. Biar aku pastikan dahulu kebenaran kata-katamu daripada mulut Rasulullah sendiri," jawab Ziyad tegas dan segera bertindak seperti yang diucapkannya.

Alangkah malunya Juwaibar. Namun dia tegar menyerahkan untung nasibnya kepada ketentuan Allah. Dalam pada itu, tanpa Juwaibar sedari, Zulfa turut mendengar apa yang ayahnya perkatakan. Beliau lalu mendapatkan bapanya untuk menyelesaikan persoalan yang timbul daripada perintah Rasulullah tersebut.

"Ayah, usahlah bersangka buruk terhadap Juwaibar. Mustahil dia berani berbohong atas nama Rasulullah. Panggillah dia semula...," rayu Zulfa supaya ayahnya rela mengahwinkannya dengan Juwaibar.

Akhirnya Ziyad mengalah. Dia meminta Juwaibar menunggunya pulang daripada bertemu Rasulullah. Bagi Juwaibar pula, jika diikutkan hatinya, dia ingin segera meninggalkan tempt itu. Tetapi ketaatan nya kepada Rasulullah telah melembutkan semula hatinya. Dia pasrah kepada ketentuan llahi.

Di pihak Ziyad pula, dia segera pergi menemui Rasulullah SAW untuk memastikan kebenaran kata-

kata Juwaibar. Ziyad terus mengajukan soalan kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, benarkah tuan tuan menyuruh Juwaibar mengahwini Zulfa? Sedangkan aku telah merancang untuk mengahwinkan anakku Zulfa dengan lelaki yang sekufu dengannya."

Rasulullah merenung Ziyad, lalu berkata, "Ketahuilah wahai Ziyad, Juwaibar adalah seorang lelaki yang bertakwa. Setiap pemuda yang bertakwa sedarjat dengan gadis yang bertakwa. Sudah tentu mereka sekufu. Tetapi barangkali engkau merasa darjatmu lebih rendah kerana iman Juwaibar lebih tinggi di sisi Allah."

Sesungguhnya Ziyad tidak mampu menyangkal penjelasan Rasulullah. Terlalu buruk pandangannya kepada Juwaibar. Sedangkan puterinya yangjelita mengakui keutamaan takwa. Akhirnya Ziyad bersetuju anaknya dijodohkan dengan Juwaibar.

Berkat Takwa Rezeki Dilimpahkan

Meriah! Pihak keluarga Zulfa membuat persiapan. Seluruh kabilah Bayadhah bergotong-royong membina rumah besar untuk pasangan pengantin. Berbagai-bagai bentuk kemewahan disediakan. Segalanya bagaikan mimpi buat Juwaibar. Harta kekayaan serta isteri yang jelita, umpama syurga yang dibentangkan buat Juwaibar. Sebagai rezeki terbesar dan tertinggi bagi ganjaran takwa.

Namun, bagi Zulfa kegembiraannya bukan pada harta serta kemewahan. Suami bertakwa cukup membahagiakannya. Keindahan cahaya takwa dalam diri Juwaibar menawan pandangan mata serta menambat kecintaan hati Zulfa. Apalah ertinya wajah tampan, seandainya jiwa ketandusan iman. Iman dan takwa itulah kemewahan sebenar yang direzekikan sebagai rezeki terbesar dan tertinggi di sisi Allah. Itulah puncak kebahagiaan hidup insan.

Namun sesuatu yang aneh berlaku dalam rumah tangga yang baru didirikan oleh Juwaibar. Setelah beberapa hari dinikahkan, Juwaibar tidak menghiraukan isterinya Zulfa. Setiap malam dia asyik membaca al-Quran dan solat sunat hingga ke subuh. Begitulah perlakuannya sehingga merisaukan Zulfa. Masalah Juwaibar itu akhirnya sampai juga kepada pengetahuan Rasulullah.

Rasulullah memanggil Juwaibar dan bertanya, "Apakah engkau tidak sukakan perempuan?"

"Bukan begitu ya Rasulullah. Tetapi tidak layakkah saya bersyukur kepada Allah.

Saya seorang pemuda miskin, hitam lagi hodoh. Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah mengurniakan saya seorang isteri yang jelita, di samping harta yang banyak dan rumah yang besar. Izinkanlah saya menyatakan rasa syukur saya sekurang-kurangnya selama tiga malam berturut- turut. Sesudah itu saya akan laksanakan tanggungjawab yang sepatutnya."

Mendalam sungguh ketakwaan Juwaibar, sehingga sepenuh keseronokannya diabadikan dalam munajat ke hadrat Allah. Cinta kasih llahi telah memenuhi segenap hati kecil Juwaibar, bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152:

"Ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepada- Ku. Dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku."

Berbahagialah setiap muslimah yang beroleh pasangan hidup umpama Juwaibar. Ketakwaan menguasai seluruh keseronokan, kegembiraan serta kebahagiaan. Itulah rezeki dan nikmat terbesar yang akan membawa setiap insan kepada kebahagiaan yang hakiki dan abadi di hadapan Rabbul Izzati.

Sumber : Majalah Haluan Edisi 8

Saturday, November 11, 2017

LAWATAN DELEGASI PEMERINTAH PROVINCI NUSA TENGGARA BARAT, INDONESIA KE FELCRA BERHAD KAWASAN KERANGAI PENAGOH, NEGERI SEMBILAN...

Hari ini 10 November 2017 bersamaan hari Jumaat merupakan hari bersejarah bagi Pengurusan dan staf FELCRA Berhad Kawasan Kerangai Penagoh, Negeri Sembilan kerana sebentar nanti mereka akan menerima kunjungan hormat dari Delegasi Pemerintah Provinci Nusa Tenggara Barat, Mataram Indonesia dalam lawatan kerja sehari mereka di Kawasan ini.

Sempena lawatan ini pihak delegasi akan mengambil kesempatan untuk bersua kenal dengan Pengurusan Kawasan, melihat dan menyelami sendiri permasalahan yang dihadapi oleh Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang kesemuanya dari Lombok dan seterusnya akan dibawa melawat ke perumahan pekerja ladang yang telah disediakan bagi mendapatkan gambaran yang sebenarnya.

Di pihak Ibu Pejabat pula, Bahagian Pengurusan dan Guna Tenaga, Kumpulan Perladangan diketuai oleh Pengurus Besarnya Tn. Haji Mohd Hanafiah b. Ambar beserta para pegawainya terdiri dari En. Rafi'uddin, Mr. AJ (penulis), En. Rafia Olhusni dan En. Hafiz. Turut sama adalah wakil dari FAISB iaitu Pengurusnya En. Azhar b. Ahmad dan dua orang pegawainya iaitu En. Hairi dan En. Iswandi.

Hasrat untuk mengadakan lawatan ke FELCRA Berhad ini telah disuarakan melalui surat permohonan dari Pemerintah Provinsi Nusa Tenggara Barat, DINAS TENAGA KERJA DAN TRANSMIGRASI yang berpejabat di Jalan Majapahit, Nombor 29A, Mataram bertarikh 24 Oktober 2017.

Melalui perbincangan yang diadakan, pihak Pengurusan di Ibu Pejabat telah bersetuju memenuhi permintaan mereka untuk mengadakan lawatan ke salah satu projek FELCRA Berhad. Atas beberapa faktor dan kelebihan yang ada, maka FELCRA Berhad Kawasan Kerangai Penagoh, Negeri Sembilan telah dipilih bagi menyambut kedatangan tetamu dari negara jiran Indonesia ini. 

Kelihatan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di projek ini 
telah berbaris di sepanjang jalan masuk untuk menyambut 
ketibaan Pegawai-pegawai mereka dari Indonesia...

Pegawai-pegawai dari Pejabat Pengurus Besar Wilayah (PBW) Tengah juga sudah sedia menanti ketibaan rombongan tersebut. Dari kiri: En. Norhizam Yusoh (Pengurus Perladangan Wilayah Tengah), Tn. Haji Mat Sundari Suratman (Pengurus Kawasan Kerangai Penagoh), Tn. Hj. Mohd Hanafiah Ambar, (Pengurus Besar Pengurusan dan Guna Tenaga, HQ), Tn. Hj. Ahmad b. Hj. Salleh (Pengurus Besar Wilayah Tengah) dan En. Othman Manaf, Eksekutif Kanan Pej Pengurus Besar Wilayah Tengah.   

Setelah menunggu hampir satu jam, maka tepat jam 9.30 pagi, rombongan delegasi seramai 13 orang yang diketuai oleh Tn. Guru Haji Mahally Fikri pun tiba. Turut sama di dalam rombongan beliau adalah pegawai-pegawainya yang terdiri dari En. Johry, En. Suhendra, Drs. Hj. Wartiah, Drs. H. Wildan, En. Ahmad Yardiansyeh, Haji Syafarionser, Hjh. Rahmah, Dr. M. Agus Patria, En. Abdul Hadi, Hjh. Nurlaela Chairunisa dan En. Sukardy. 

Mereka telah bertolak dari tempat penginapan di Hotel Corus, Kuala Lumpur jam 7 pagi menaiki 5 buah kereta pacuan 4 roda yang diketuai oleh En. Muhd Rafi'uddin, Pengurus Pentadbiran Bahagian Pengurusan dan Guna Tenaga, Kumpulan Perladangan, Ibu Pejabat, Kuala Lumpur yang juga bertindak sebagai pegawai pengiring. 

Ketibaan delegasi dengan kenderaan Hilux 
disambut oleh Pegawai-pegawai FELCRA...  

Tn. Hj. Ahmad b. Hj. Salleh selaku Pengurus Besar Wilayah Tengah berbesar hati menerima kunjungan tersebut dan telah memperkenalkan pegawai-pegawainya kepada ketua delegasi, Tn. Haji Mahally Fikri.

Kegembiraan jelas terbayang di wajah mereka
kerana dapat bersua muka bagi
 membentuk persefahaman
di sektor perladangan
 ke dua buah negara...




Tn. Haji Mat Sundari, Pengurus Kawasan Kerangai Penagoh
 mempersilakan Tn. Guru Haji Mahally
berjalan ke khemah yang disediakan untuk
diperkenalkan kepada TKI yang sudah menanti
 sejak pukul 8 pagi tadi... 


Ketibaan Tn. Guru Haji Mahally dan rombongannya telah disambut oleh TKI yang telah berbaris menanti dengan penuh sabar. Pertemuan mereka kelihatan sangat menggembirakan dan penuh mesra. TKI turut melahirkan rasa terharu dan dihargai. Kerinduan pada keluarga selama bertahun-tahun sedikit terubat dengan kunjungan ini.     

Kegembiraan jelas terbayang 
di wajah masing-masing...

Kesempatan diambil untuk bertanya khabar...

Cuaca panas terik tidak menghalang 
pegawai-pegawai yang terlibat 
untuk menyambut ketibaan 
rombongan delegasi ini... 

Ketua Delegasi terus bersalam-salaman
dan bertanya khabar dengan
semua TKI yang berbaris...


Kelihatan pokok-pokok sawit yang diusahakan 
hidup subur menghijau hasil dari penjagaan yang rapi...
  



Barisan staf Kawasan Kerangai Penagoh yang diketuai oleh Pn. Hjh.Rusilah Ali (3 dari kanan) dan tiga jejaka tampan dari HQ siap sedia untuk menyambut tetamu di khemah yang disediakan.

Rombongan seterusnya di bawa ke khemah untuk menikmati 
sarapan pagi yang telah disediakan...





Kelihatan juga En. Yunus, 3 dari kiri, 
Pengurus Perladangan Wilayah Tengah 
sedang berbual mesra dengan salah seorang delegasi...


Turut kelihatan dari kiri En. Nazri Yaakop, PK Temeris, 
En. Haron Ariffin, Pengurus Perladangan Wilayah Tengah 
dan En. Yusof Ramli, PK Lakai. Turut hadir adalah
 En. Norazmi Ahmad, PK Serting (tiada dalam gambar)...



Tiga orang wakil peserta turut dijemput 
dalam program lawatan ini.

Staf wanita Kawasan Kerangai Penagoh.
dari kanan: Pn. Hjh. Rusilah Ali, Pn. Siti Hasmah Mohamed
dan Pn. Hjh. Siti Zaleha Zainal bergambar bersama
 salah seorang pegawai delegasi...


Selepas menikmati sarapan pagi, rombongan delegasi dibawa ke ruang legar kabin untuk mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh Tn. Haji Mat Sundari b. Suratman, Pengurus Kawasan FELCRA Berhad Kerangai Penagoh.

Sebelum itu mereka sama-sama menyanyikan lagu 'Felcra Maju ke Era Baru' yang merupakan lagu rasmi Syarikat yang digubah khas oleh komposer terkenal tanahair dan diikuti dengan tayangan video yang memaparkan kejayaan Syarikat sepanjang penglibatannya dalam memajukan sektor perladangan dan perniagaan melalui anak-anak syarikatnya. Keuntungan yang dijana akan disumbangkan kepada negara melalui pembayaran cukai yang manafaatnya akan dapat dinikmati bersama dengan semua rakyat.

Para delegasi dibekalkan dengan 
buku taklimat yang telah disediakan...

Pn. Siti Hasmah bt Mohamed,
Pen. Eks. Pembangunan Peserta
Pejabat PBW Tengah
bertindak sebagai Pengacara majlis.
Syabas diucapkan kepada beliau kerana
berjaya mengendalikan tugas dengan cemerlang...

Para pegawai dan tetamu telah mengambil tempat
untuk mendengar ucapan...

Para jurugambar dari kedua-dua belah pihak
tidak melepaskan peluang untuk merakam
gambar-gambar menarik sepanjang lawatan ini..

Turut kelihatan adalah
tiga orang wakil peserta dan TKI...

Wajah-wajah TKI sangat ceria kerana diberi pelepasan.
 Gaji mereka tetap dibayar walaupun hari ini tidak bekerja...

Kelihatan Tn. Haji Ahmad salleh sedang meneliti data
dan maklumat terutama tentang pencapaian hasil Kawasan...


En. Rafia Ol Husni diberi tanggungjawab
untuk memimpin bacaan doa...


TKI turut memenuhi khemah yang disediakan
diluar untuk mendengar ucapan...

Tn. Hj. Mat Sundari Suratman,
Pengurus Kawasan Kerangai Penagoh
sedang menyampaikan taklimat...

Selepas nyanyian lagu rasmi Syarikat dan tayangan video, Tn. Hj. Mat Sundari Suratman, Pengurus Kawasan Kerangai Penagoh telah memberikan taklimat tentang latarbelakang Kawasan dan projek yang diterajuinya. 

Menurutnya, Kawasan Kerangai Penagoh merupakan salah satu dari 20 Kawasan yang terletak di bawah Pentadbiran Pengurus Besar Wilayah Tengah. Dalam mentadbir Kawasan ini beliau telah dibantu seramai 11 orang staf yang terdiri dari 5 orang staf pentadbiran dan 5 orang staf ladang.

Kawasan yang mempunyai 10 buah projek (ladang) dan diusahakan dengan tanaman kelapa sawit ini berkeluasan 1,774.83 hektar. Setakat ini luas ladang berhasil adalah 1,010.22 hektar manakala luas ladang yang belum berhasil adalah 764.610 hektar. 

Bagi menguruskan kerja-kerja di ladang, Kawasan ini mempunyai 78 orang tenaga kerja Asing (TKA) yang terdiri dari 41 warga Indonesia, 14 warga Bangladesh manakala selebihnya 5 orang adalah warga tempatan. Semua pekerja ini diselia oleh seorang mandor. 

Mereka ditempatkan di 3 blok penginapan iaitu blok A, blok B dan blok C. Satu blok lagi adalah blok terbaru yang dibina dan dikenali sebagai Penginapan Sementara Bujang Pekerja Ladang atau Kabin yang telah mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan.

Demi menjamin keselesaan, Blok A yang mempunyai 11 pintu menempatkan 22 orang TKA, Blok B, 6 pintu menempatkan seramai 15 orang, Blok C, 6 pintu dihuni seramai 18 orang dan 16 orang lagi menghuni di Penginapan Sementara Bujang Pekerja Ladang atau Kabin.

Kabin dalam pembinaan... 

 Kabin yang sudah siap dibina
dengan harga RM120,000 satu set (16 orang TKA)
yang selepas ini akan dikenali sebagai
Penginapan Sementara Bujang Pekerla Ladang.





Menurut Tn. Haji Mat Sundari lagi dari analisa pendapatan (gaji) yang dikeluarkan, rata-ratanya TKA ini memperolehi gaji antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan dan ke atas. Rekod gaji TKA yang pernah dicapai oleh seorang pekerja adalah RM5,000 iaitu di mana ketika pokok mengeluarkan hasil yang banyak sehinggakan TKA terpaksa melakukan kerja-kerja lebihmasa bagi menjamin hasil dapat dikeluarkan semuanya. 

Sebagai penghargaan dan motivasi, beliau mengkehendaki supaya bekalan makanan tengahari disediakan secara percuma dan dihantar terus ke ladang untuk sarapan tengahari mereka. Ini adalah bertujuan supaya TKA tidak balik dan dapat meneruskan pekerjaan  sehingga ke petang harinya. 


Selain mendapat rehat yang cukup, kesihatan TKA juga sentiasa dipantau. Mereka yang tidak sihat akan segera dihantar ke hospital atau klinik walaupun di malam hari bagi mendapatkan rawatan dan keesokannya akan diberi cuti sakit jika mendapat kelulusan dari doktor yang merawat.

Bagi TKA  yang tidak 'perform' selama 3 bulan berturut-turut yang akan dinilai melalui gaji yang diterima setiap bulan kurang dari RM1,000, mereka ini akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasan dan diberi nasihat. Jika perkara ini berterusan mereka akan dirujuk ke Kumpulan Perladangan, Ibu Pejabat. Keputusan akan dibuat samaada TKA ini akan ditamatkan permitnya dan dihantar pulang atau dipindahkan ke kawasan lain yang berminat untuk mengambilnya.



Tuan Guru Hj. Mahally Fikri
sedang menyampaikan ucapan...

Selepas selesai taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Kawasan Kerangai Penagoh, kini tibalah pula giliran Tn. Guru Haji Mahally Fikri untuk menyampaikan ucapannya. 

Dalam kata-katanya, beliau melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih serta syukur kerana pihak Kerajaan Malaysia dan FELCRA Berhad telah dapat mengujudkan peluang-peluang pekerjaan di sektor perladangan kepada Rakyat Indonesia khasnya dari Pulau Lombok. 


Beliau juga amat berterima kasih kepada Pengurusan Kawasan kerana sentiasa mengambil berat akan permasalahan TKI, sentiasa memupuk semangat persaudaraan yang erat, saling hormat menghormati di antara penduduk tempatan dan TKI. Beliau juga merasa amat bangga dengan TKI yang bekerja di sini kerana sentiasa sabar dengan berbagai dugaan yang dihadapi serta sanggup berkorban meninggalkan keluarga yang jauh di sana demi mencari rezeki yang halal. Beberapa firman Allah s.w.t turut dibacakan bagi mengukuhkan ucapan beliau. Beliau berjanji akan menyampaikan maklumat hasil dari lawatan ini ke pihak berwajib di sana.


Para hadirin sedang memberikan sepenuh perhatian
terhadap apa yang disampaikan oleh
Tn. Guru Haji Mahally Fikri...


Selesai ucapan Tn. Guru Haji Mahally, kini tibalah masanya untuk Pengurus Besar Wilayah Tengah, Tn. Haji Ahmad b. Haji Salleh menyampaikan amanatnya.

Memulakan ucapan, Tn. Haji Ahmad mengucapkan terima kasih kepada Tn. Guru Haji Mahally dan rombongannya kerana memilih Wilayah Tengah sebagai destinasi lawatan. Beliau memaklumkan bahawa Wilayah Tengah yang diterajui olehnya adalah gabungan dari tiga negeri iaitu Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Negeri Melaka. Tanggungjawabnya dalam mentadbir urusan pentadbiran, perladangan dan sosial di Wilayah Tengah tidak akan tercapai dengan baik jika tiada sokongan dari semua pihak baik dari pegawai mahupun staf. Para peserta sebagai tuan tanah yang dimajukan oleh FELCRA Berhad sentiasa memerhati tindak tanduk yang dilakukan. Setiap langkah diawasi dan jika tersilap ianya akan mengundang padah. Oleh itu sikap berhati-hati dan waspada sentiasa diamalkan.


Tn. Haji Ahmad juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan dan Guna Tenaga Ibu Pejabat kerana sehingga bulan Oktober 2017, seramai 277 orang TKI telah dapat dibekalkan kepada Kawasan-kawasan di Wilayah Tengah yang menghadapi masaalah kekurangan pekerja. Beliau berharap bilangan tersebut akan terus bertambah dari semasa ke semasa.   

Di samping itu, beliau juga amat berbangga dengan Pengurus Kawasan Kerangai Penagoh, Tn. Haji Mat Sundari kerana dapat menyediakan prasarana yang baik kepada TKI, menjaga kebajikan, dan dapat menghidupkan aktiviti untuk mereka seperti solat berjemaah di surau, mengadakan bacaan Yassin setiap malam Jumaat, menyambut hari pekerja setiap tahun dan mengadakan jamuan Hari Raya. Aktiviti sukan juga tidak dilupakan. Dengan wujudnya keharmonian yang dipupuk selama ini terutama di antara pekerja Indonesia dan Bangladesh persengketaan dan pergaduhan akan dapat dibendung dan dihindari.




Beliau berharap agar lawatan dari pihak Pemerintah Provinsi Nusa Tenggara tidak berhenti setakat ini sahaja kerana pihak FELCRA sentiasa membuka pintu untuk lawatan-lawatan yang seterusnya bukan sahaja di Wilayah Tengah tetapi juga ke Wilayah-Wilayah lain untuk bersua muka dengan TKI yang sentiasa dahaga dan menanti kunjungan dari pegawai mereka dari Indonesia.

Akhir kata Tn. Haji Ahmad mengucapkan selamat jalan dan berharap agar pihak delegasi yang diketuai oleh Tn. Guru Haji Mahally Fikri serta rombongannya selamat pulang ke Negara mereka dengan selamat dan semoga dapat berjumpa lagi.

En. Hairi Suradi, Pengurus FAISB adalah
pegawai yang bertanggungjawab menguruskan
kemasukan  TKA ke FELCRA Berhad...

Sessi soal jawab...
Oleh kerana TKI berpuashati dengan pengurusan kawasan,
hanya satu soalan sahaja yang dikemukakan iaitu
berkenaan dengan jaminan dari kerajaan Indonesia
tiada apa-apa caj yang dikenakan apabila TKI
telah tamat bekerja dan pulang ke Negaranya...


Soalan telah dijawab dengan baik
oleh Drs. H. Wildan...



Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati
kepada Tn. Guru Haji Mahally Fikri
oleh Tn. Hj Ahmad Haji Salleh ...

Dan kepada Drs. H. Wildan...

Sessi berfoto dengan para delegasi...








Tn. Guru Haji Mahally Fikri dan Tn. Hj. Mat Sundari
merakam gambar bersama untuk kenang-kenangan...

Menu makan tengahari yang
disediakan oleh pihak Kawasan


Sebelum makan doa untuk keberkatan
dibacakan oleh En. Rafia Ol Husni...



3 orang wakil peserta sedang mengambil
sarapan tengahari yang disediakan...



Pegawai delegasi mengambil kesempatan
merakam gambar bersama staf Kawasan
sebagai kenang-kenangan...


Keberangkatan pulang para delegasi ke Kuala Lumpur
 untuk acara seterusnya...

Mr. AJ dan En Rafia
bergambar bersama staf Kawasan...

Kami juga tak lepaskan peluang untuk bergambar
bersama gadis-gadis staf Kawasan
yang manis menawan dan
bertungkus lumus bagi menjayakan majlis.
"Budimu akan sentiasa di kenang"...

Bergambar ramai sebelum kami pulang ke Kuala Lumpur
 dan harap semoga dapat berjumpa lagi...

Ucapan Penghargaan...


Kumpulan Perladangan mewakili Pihak Pengurusan Ibu Pejabat mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Pengurusan Kawasan FELCRA Berhad Kerangai Penagoh yang diketuai oleh Tn. Haji Mat Sundari b. Suratman kerana berjaya melaksana dan mengendalikan program lawatan ini dengan cemerlang.

Adalah diharapkan supaya semua pegawai dan staf Kawasan ini terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan terutamanya dalam pengurusan ladang di mana ianya akan menjadi contoh teladan yang baik kepada kita semua warga FELCRA Berhad. Insha Allah. Amin.