Thursday, April 26, 2018

RISIKO "MATI MENGEJUT" KETIKA BERSUKAN...

Gambar sekadar hiasan...

Kebelakangan ini semakin ramai masyarakat khususnya generasi muda mula gemar melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk menjalani gaya hidup lebih sihat serta aktif. 

Biasanya ia dilakukan pada hujung minggu, ada yang cenderung berjoging di taman, mengunjungi gimnasium, berbasikal mahupun memilih sukan lasak yang mencabar adrenalin mereka menerusi aktiviti berakit berarus deras dan mendaki gunung untuk kekal cergas. 

Kecenderungan minat dalam aktiviti mengeluarkan peluh ini sebenarnya dari satu sudut dilihat sebagai suatu yang sangat positif. Apatah lagi, sebelum ini kita sering kali gusar mengenai peningkatan statistik kadar obesiti negara dalam kalangan generasi muda. 

Akan tetapi, tahukah anda aktiviti fizikal yang sinonim dengan gaya hidup sihat' ini juga sebenarnya sangat berisiko mengancam nyawa seseorang itu tanpa disedari? 

Tahap kesedaran masyarakat untuk membabitkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan sangat bagus tetapi adakah mereka melakukan dalam keadaan selamat? Lebih buruk lagi, apabila mereka yang sudah lama tidak bersukan. 

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiothorasik, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, ia sangat berbahaya kerana seseorang itu mungkin sudah penat ketika melakukan aktiviti fizikal tetapi tetap memaksa diri sekali gus mendedahkannva kepada risiko 'mati mengejut'. 

Hakikatnya, isu mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baru, malah sudah beberapa kes berhubung dengannya dilaporkan dalam media sekali gus memerlukan permasalahan ini diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh. 

Misalnya pada awal Mac tahun ini, seorang guru lelaki berusia 39 tahun maut ketika bermain badminton di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar, Balik Pulau akibat serangan jantung. 

Dalam bulan sama juga, hasrat seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mahu menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak kesampaian apabila disahkan meninggal dunia ketika bermain futsal di Taman Cahaya, Sabak Bernam. 

Pada tahun lalu, lelaki berusia 49 tahun rebah dan tidak sedarkan diri kctika bermain futsal sebclum disahkan meninggal dunia di gelanggang futsal di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. 

Begitu juga pada 2016, seorang lelaki berusia 33 tahun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas bermain futsal bersama rakannya di Subang Jaya. 

Ini sebahagian kes mangsa mati mengejut dan apa yang membimbangkan kebanyakan mereka masih muda dan berusia bawah 50 tahun. 

Kematian ini sekali gus membuktikan usia muda bukan jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah. 

Mengulas lebih lanjut mengenainya, Dr Jeffrey berkata punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan disebabkan serangan jantung akibat penyumbatan salur darah koronari jantung. 

"Keadaan ini dapat dikenal pasti dengan pemeriksaan doktor dan ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan. 

"Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan adalah sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan. Ini kerana bukan semua aktiviti fizikal sesuai untuk kita." 

"Ada sesetengahnya ikut kawan. Apabila kawan pergi berlari marathon, kita pun hendak buat juga, apabila dia daki bukit, kita pun nak juga. Tetapi, kita tidak periksa kesihatan dan tidak tahu tahap apa atau setakat mana keupayaan diri." 

"Pengalaman saya aktif bersukan basikal sejak lima tahun lepas mendapati ada beberapa rakan mengadu sakit dada apabila buat aktiviti sukan. Apabila saya tanya adakah mereka buat pemeriksaan kesihatan terlebih dulu, ramai kata tidak," katanya. 

Trend semasa orang ramai yang ingin menyertai sukan ekstrem atau yang memerlukan daya kctahanan, kecergasan fizikal tinggi seperti larian marathon, berbasikal boleh membahayakan sekiranya ada kelainan jantung yang tidak dikenal pasti terlebih dulu. Bagaimanapun, permasalahan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan bahkan golongan aktif aktiviti fizikal juga tidak terkecuali. Malah, sudah beberapa atlet tempatan mahupun luar negara yang masih muda meninggal dunia secara mengejut ketika beraksi di padang.

Pada September 2017, Ketua Jurulatih Bola Sepak Remaja, Majlis Sukan Negeri Kelantan berusia 48 tahun rebah secara tiba-tiba semasa mengendalikan klinik bola sepak Rexcoco di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang sebelum meninggal dunia di Hospital Gua Musang. 

Manakala pada Disember 2007, Kapten Kelab Bola Sepak Scotland, Motherwell, Phil O'Donnell, 35, rebah selepas jantungnya gagal berfungsi semasa perlawanan antara Motherwell menentang Dundee United. 

O'Donnel sempat diberi rawatan oleh paramedik sebelum dibawa ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. 

"Masih ada tanggapan orang yang aktif sukan tidak akan diserang penyakit tetapi realiti adalah sebaliknya. Kebanyakan atlet atau ahli sukan kompetitif berusia muda yang mati mengejut di gelanggang sukan disebabkan hypertrophic obstructive cardiomyopathy' iaitu suatu kelainan jantung di mana otot jantung bengkak dan menghalang pengaliran darah keluar dari jantung. 

"Biasanya pesakit yang dilahirkan dalam keadaan ini (kongenital) ada kaitan genetik. Boleh menyebabkan mati terkejut semasa aktiviti sukan ekstrem akibat daripada otot jantung yang bengkak menutup jalan keluar pcngaliran darah dari jantung. 

"Disebabkan itu, amat penting pemcriksaan kesihatan. Misalnya, seseorang atlet akan tahu status kesihatan mereka sebelum terlibat dalam sesuatu perlawanan, sama ada mempunyai kapasiti untuk tingkatkan lagi tahap kecergasan mereka atau sebaliknya," katanya. 

"Setiap lelaki berusia lebih 40 tahun dan wanita yang berusia lebih 45 tahun wajib melakukan pemeriksaan kesihatan. Ini kerana, wanita menopaus terdedah kepada risiko sakit jantung disebabkan hormon estrogen dan progesterone yang melindungi mereka sebelum ini sudah berakhir. 

"Lelaki pada peringkat umur 40 tahun turut berisiko sakit jantung terutama mereka yang ada darah tinggi, kencing manis, kolesterol lemak yang tinggi dalam badan, hisap rokok dan faktor genetik," katanya. 

Pemeriksaan kesihatan secara berkala sama ada bagi atlet, golongan yang aktif bersukan mahupun baru berjinak-jinak dalam aktiviti fizikal dapat mengelak sebarang risiko kesihatan yang tidak dijangka ketika bersukan. Bernama

Artikel ini dipetik dari Harian Metro 26 April 2018...


No comments:

Post a Comment