Pages

Thursday, September 10, 2015

KOS SARA HIDUP TINGGI - KAD KREDIT BUKAN PENYELESAIAN...

TAHUKAH anda, jumlah individu muflis kerana hutang kad kredit pada tahun lalu ialah 1,873 orang yang mana jumlah hutang kad kredit tertunggak ini mencecah RM21.6 bilion sehingga September tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak RM591 juta adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

Dewasa ini, penggunaan kad kredit di kalangan golongan muda kini bagaikan satu kemestian bagi menunjukkan status dan gaya hidup moden tanpa menyedari mereka bakal menjadi 'hamba' hutang seumur hidup.


Sedar atau tidak, keadaan itu berlaku gara-gara golongan ini gagal menguruskan penggunaannya dengan baik dan berhemah. Ambil sahaja contoh penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan tahun lepas,

Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus, Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.


Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus. Pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 peratus daripada 55 peratus.

Malah, laporan menyebut penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus, Diakui, ramai rakyat beralih kepada penggunaan kad kredit sama ada kerana kekurangan tunai berikutan kenaikan kos sara hidup atau cuba berjimat menggunakan wang tunai, Pengguna lebih selesa menggunakan kad kredit di stesen minyak kerana mereka boleh terus mengisi minyak tanpa perlu ke kaunter yang kadang-kadang terpaksa beratur, terutama apabila ramai pelanggan.


Seperti juga pasar raya atau premis perniagaan lain, pengusaha stesen minyak turut membayar komisen sekurang-kurangnya satu peratus kepada bank apabila pelanggan menggunakan kad kredit.

Dalam keghairahan menggunakan kad kredit, ramai pula yang tidak sedar kadar faedah yang dikenakan 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun iaitu satu jumlah cukup tinggi, Caj akan dikenakan jika individu mengeluarkan wang tunai menggunakan kad kredit di ATM.

Apabila masalah hutang sudah kronik timbul gejala sosial lain seperti keruntuhan rumah tangga, anak terbiar, pelajaran terabai dan pelbagai masalah lain,

Satu program pendidikan dan kesedaran mengenai kaedah menguruskan kewangan perlu diperkenalkan bagi mengelak rakyat, terutama generasi muda boros berbelanja. Ini kerana kelulusan mudah bagi permohonan kad kredit dan pinjaman juga banyak mendorong gaya berbelanja di luar kemampuan yang akhirnya menyebabkan kesukaran menguruskan kewangan peribadi.

Usahlah terjebak dalam hutang kad kredit, Eloklah kita ikuti pepatah Melayu iaitu 'ukur baju di badan sendiri' dengan berbelanja mengikut kemampuan sendiri dan bukan melebihi pendapatan.

Sumber : Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur...