Pages

Wednesday, February 1, 2017

PULANGMU DI PAGI TERAKHIR...

Gambar hiasan...

PADA pertengahan tahun 1980-an saya masuk ke asrama sebuah sekolah menengah di Melaka. Waktu itu saya dalam Tingkatan Empat, selepas mendapat keputusan yang agak baik dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Sekarang Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang menggantikan SRP pun sudah ditukar dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Sekolah ini dibina dalam tahun 1960-an. Sesaing dengan saya ramai lagi pelajar dari kampung dan pekan berdekatan. Semuanya dari keluarga petani, penoreh getah, buruh dan pekerja am. Kira-kira kami ni masuk kerana kuota anak orang berpendapatan rendahlah.

Dalam ramai-ramai kawan baru itu, saya rapat dengan Izudin. Dia suruh saya panggil dia Udit.

"Tu nama glamor aku kat kampung, ha ha ha," begitu kata Udit selepas seminggu kami kenal.

Kenapa saya baik dengan Udit? Sebab mula-mula dia pendiam. Hanya selepas saya kongsikan dengannya sabun basuh, minyak rambut, kapur kasut dan mi segera, barulah dia berubah jadi mesra dan kelakar. Hubungan kami terus jadi rapat.

Ayah Udit hanya bekerja kampung. Ibunya sudah meninggal dunia akibat barah payudara. Adik-beradik Udit enam orang, dia anak sulung. Hmm... patutlah pakaian Udit sedikit saja, buruk, alat kelengkapan diri pun kurang.

Selain kemiskinannya, saya juga kasihankan Udit kerana dia sakit jantung berlubang. Kulitnya pucat. Dia tidak boleh bermain dan bersenam macam kami.

Paling saya suka tentang Udit ialah dia rajin sembahyang dan baca al-Quran. Malam-malam sebelum tidur Udit akan baca al-Quran dulu. Hinggakan dalam tidur pun dia mengigau baca al-Quran.

Katil kami dua tingkat. Kami di tingkat bawah, bersebelahan. Sebelum tidur, kadang-kadang saya suruh Udit berzanji perlahan-lahan, atau nasyid asma ul-husna. Suara dia sedap. 

KOPIAH PUTIH...

LIMA bulan berlalu, saya lihat Udit agak lemah.

Dalam sebulan sudah beberapa hari dia tidak ke sekolah. Udit lebih banyak berbaring. Nafasnya pun kadang-kadang mencungap. Bila saya tanya, Udit kata dia okey. Dia tak mahu beritahu ayahnya.

"Ayah aku susah, kalau nak ubatkan aku, nak operate, kena pakai banyak duit. Aku selalu rasa lebih baik aku mati daripada menyusahkan ayah dan adik-beradik lain. Lebih baik ayah aku guna duit dia untuk pelajaran adik-adik aku," kata Udit suatu hari. Sedih pulak saya dengar katanya itu.

Suatu hari, sekitar pukul 5.00 pagi, saya terjaga. Di telinga saya terdengar suara Udit membaca surah-surah lazim. Saya buka mata dan berpaling ke arahnya.

Dari cahaya lampu kaki lima asrama, saya nampak Udit sedang duduk bersila di kepala katil sambil memegang al-Quran berkulit hijau. Udit memakai kopiah dan baju Melayu putih serta kain pelekat biru. Semua saya nampak jelas sebab lampu koridor betul- betul dibelakang katilnya.

Ini kali pertama saya lihat Udit bangun awal dan baca al-Quran di atas katil. 

SEJUK...

ESOKNYA, sekali lagi dalam pukul 5.00 pagi, saya terjaga. Seperti semalam, saya lihat Udit sedang duduk bersila di kepala katilnya sambil memegang sebuah al-Quran berkulit hijau dan membaca surah-surah lazim. Dia memakai baju Melayu dan kopiah putih serta kain pelekat biru, sama seperti semalam.

Terlanjur sudah terjaga, saya tadahkan saja telinga dan dengar bacaannya yang merdu itu. Ralit mendengar, akhirnya saya terlelap. Seperti biasa, saya terjaga apabila dengar laungan azan tidak lama kemudian.

Lampu sudah dibuka oleh kawan- kawan. Dorm terang-benderang. Saya berpaling ke katil Udit.

"Udit... bangun Udit!" saya memanggil Udit yang sedang lena. Badannya mengiring membelakangkan saya. Udit tidak menyahut. Pelik juga, biasanya dia yang bangun dulu. Kalau tertidur pun, senang saja saya kejutkannya.

"Udit... bangun Udit! Subuh!" saya memanggilnya lagi. Dia tidak menyahut.

Oleh sebab Udit tidak juga bangun, saya goncang bahunya. Masih tiada respons. Lima enam kali memanggil tapi tiada respons, dada saya mula berdebar. Rasa lain macam. Kenapa dengan Udit ni?

Kawan-kawan mula datang dan bertanya. Saya angkat bahu. Disebabkan Udit tetap tidak bangun walaupun kami panggil dan goncangkan bahunya, kami tolak badannya supaya terlentang.

Ya-Allah, kami terus tergamam. Muka Udit pucat kebiruan, matanya terpejam.

Saya pegang pipinya. Sejuk. Tangannya juga sejuk. Lehernya pun begitu. Hidungnya tiada lagi nafas bila saya letakkan jari di situ. Kami pegang nadinya pula...

"Panggil warden cepat!" kata saya. Suara saya terketar-ketar, bercampur antara takut, sedih dan terkejut. Kawan- kawan lain pun sama. Kalut dan panik.

"Udit...Udit!" kami terus memanggilnya. Tapi sahabat baik saya itu tidak menyahut lagi. Suasana jadi hingar-bingar.

Beberapa minit kemudian warden sampai dan pagi itu Udit dibawa ke hospital dengan ambulans. Seperti yang kami duga, sewaktu sampai di hospital Udit telah pun meninggal dunia. Kata doktor, berdasarkan keadaan mayat Udit, besar kemungkinan dia meninggal sekitar pukul 2.00 pagi.

Terperanjat saya sebaik-baik mendapat berita itu. Hairan, kalau Udit meninggal pukul 2.00 pagi, macam mana dia boleh duduk baca al-Quran pada pukul 5.00 pagi? Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Jelas depan mata.

Mimpi? Saya yakin, tidak.

Tapi kisah ini belum tamat. Semua barang Udit perlu dipulangkan kepada keluarganya. Warden serahkan tugas itu kepada saya dan beberapa orang kawan.

Sekali lagi saya terkejut. Setelah mengumpul semua pakaian Udit, saya dapati tidak ada sehelai pun baju Melayunya yang berwarna putih. Yang ada ialah wama merah yang dipakai semasa pemergiannya, dan sehelai lagi t berwarna biru.

Kopiah putih pun tidak ada. Yang ada hanya songkok buruknya. Kain pelekat biru juga tiada. Lama saya termenung. Pelik, kalau begitu, siapa sebenarnya yang pagi tadi saya lihat membaca al-Quran di atas katil Udit? Bukan sekali, tapi saya melihatnya dua pagi berturut-turut.

SEMUA NYA SAMA...

Oleh sebab jarak rumah Udit dengan sekolah sekitar 10 kilometer saja, saya mengikut kereta guru pergi ke rumahnya. Inilah saat yang tidak mungkin saya lupakan, walaupun peristiwa ini sudah berlaku lebih 30 tahun lalu.

Semasa menunggu ketibaan jenazah Udit dari hospital, saya lihat ada seorang remaja yang rupa parasnya seiras dengan Udit. Darah saya berderau. Selain raut mukanya, remaja itu memakai baju Melayu dan kopiah putih serta kain pelekat biru. Sama dengan yang saya lihat pada pagi sebelum Udit meninggal dunia!

Saya yakin, itulah adik kembar Udit, yang selalu diceritakannya kepada saya. Cuma adik kembar Udit itu pelajarannya kurang baik, jadi dia berhenti sekolah untuk membantu ayahnya mencari rezeki di kampung.

Itu satu, apabila jenazah Udit sampai dan ahli keluarga mula membaca al- Quran di sisinya, saya lihat adik kembar Udit itu membawa keluar sebuah al-Quran berkulit hijau. Dia mula membaca, dan suaranya persis yang saya dengar pagi tadi!
"Aku sayang adik kembar aku tu. Dia sanggup berhenti sekolah dan tolong ayah aku semata-mata untuk cari duit supaya aku dapat belajar, dapat buat pembedahan..." kata-kata Udit beberapa hari sebelum dia meninggal dunia serta-merta terngiang di telinga saya. Ya-Allah...mungkin inilah jawapannya. Tidak sedar air mata saya mengalir setitis demi setitis. Sahabat... semoga engkau kini berbahagia di sana bersama umat-umat-Nya yang soleh.

Artikel ini dipetik dari Akhbar Mingguan Malaysia 22/1/2017