Pages

Thursday, March 18, 2010

SEORANG POLIS TRAFIK, KAWAN BAIKNYA DAN SURAT SAMAN...

Sebuah kisah yang menarik untuk dikongsi bersama. Semoga mendapat iktibar.. 

Suatu Hari....... Dari kejauhan, lampu lalulintas di satu persimpangan itu masih menyala hijau. Harun segera menekan pedal minyak kenderaannya. Dia tak mau terlambat. Apalagi ia tahu penempatan di situ cukup padat sehingga lampu merah biasanya menyala cukup lama.

Kebetulan jalan di depannya agak lengang. Lampu berganti kuning. Hati Harun berdebar berharap semoga ia boleh melepasi lampu hijau itu dengan segera. Tiga meter sebelum garis jalan, lampu merah menyala. Harun bimbang, haruskah ia berhenti atau terus saja. "Ah, takkan nak brake mendadak," fikirnya sambil terus memandu laju.

Priiiiiiiiiiiiiiit! Di seberang jalan, seorang pegawai polis melambaikan tangan memintanya berhenti. Harun menepikan kenderaannya agak jauh sambil mengumpat dalam hati. Dari cermin pandang sisi ia melihat pegawai polis itu. Wajahnya tak terlalu asing baginya.

Jamal rupanya! Sahabat baiknya semasa di sekolah menengah dulu. Hati Harun agak lega. Dia cepat-cepat keluar sambil melambai mesra. "Pekabo, Jamal! Lamanya tak jumpa...last jumpa, masa aku kawen dulu"

"Aku baik je." Tanpa senyum.

"Alahai...aku ndak cepat nih. Bini aku dah lama menunggu di rumah."
"Oh ye ke?" Nampaknya Jamal ragu.

"Ye la Mal, hari ini bini aku punya birthday. Dia dan anak-anak sudah menyiapkan semuanya. Tentu aku tidak boleh terlambat, kawan-kawannya pun sedang menunggu "

"Aku paham. Tapi, sebenarnya aku dah lama peratikan kau...selalu sgt kau langgar lampu merah di persimpangan ini." 

Harun mesti ganti strategi. 

"Jadi, kau nak menyaman aku ker? Tapi tadi aku tidak melanggar lampu merah. Sewaktu aku jalan lampu kuning masih menyala."

Berdusta sedikit boleh melancarkan keadaan fikir Harun.

"Ok. Sebenarnya aku nampak jelas. Tolong keluarkan lesen dan kad pengenalan."

Dengan kesal Harun menyerahkan lesen dan kad pengenalan lalu masuk ke dalam kenderaan dan menutup kaca tingkapnya. Sementara itu Jamal menulis sesuatu di buku catatannya. Beberapa saat kemudian Jamal mengetuk kaca tingkap kereta harun. Harun memandang wajah Jamal dengan penuh kecewa. Diturunkan tingkap sedikit saja.

 "Ah, satu inci cukup untuk memasukkan surat saman." Fikir Harun.

Tanpa berkata-kata Jamal terus kembali ke tempat dia bertugas. Harun mengambil surat saman yang diselitkan Jamal.

Tapi!!!, hei apa ini. Ternyata lesen memandu dan ic dikembalikan bersama sebuah nota. Kenapa ia tidak menyaman aku. Lalu nota ini apa?  Semacam gurauan atau apa?

Tergesa-gesa Harun membuka dan membaca nota yang berisi tulisan tangan Jamal.

"Harun...Kau tahu kan, aku dulu ada seorang anak perempuan dan seorang isteri yang cantik. Sayang, mereka sudah meninggal dunia. Dilanggar pemandu yang tidak memperdulikan lampu merah di persimpangan ini. Pemandu itu dihukum penjara selama 3 bulan. Sekarang pemandu itu bebas bertemu isteri dan memeluk ketiga2 anaknya lagi. Sedangkan anak dan isteriku sudah tiada. Hari ini aku sendirian menyesali peristiwa itu. Yang pergi tidak akan kembali lagi. Beberapa kali aku cuba memaafkan pemandu itu tetapi sangat sukar. Begitu juga kali ini bila sahabatku sendiri memandu seperti pemandu itu. Aku kecewa teramat sgt. Berhati-hatilah ketika memandu Run" - Jamal.

Harun terkedu. Ia segera keluar dari kenderaan mencari Jamal. Namun, Jamal sudah meninggalkan pos tempat ia bertugas. Sepanjang jalan pulang, ia memandu perlahan dengan hati tak tentu sambil berharap kesalahannya dimaafkan. Tak semestinya anggapan kita adalah sama dengan pengertian orang lain.

Boleh jadi suka kita adalah duka rakan kita. Hidup ini sangat berharga, jalanilah dengan penuh hati-hati, mengerti perasaan orang lain dan bertimbangrasa. 

Cerita ini dipetik dari blog Ambuyat….

LELAKI TERPENDEK DUNIA MENINGGAL DUNIA

Gambar fail menunjukkan Pingping
bersama lelaki tertinggi dunia, Sultan Kosen dari Turki
yang setinggi 246.5 sentimeter pada 14 Januari 2010


Pingping

LONDON - Lelaki paling pendek di dunia He Pingping yang setinggi 75 sentimeter telah meninggal dunia di Rom, Itali pada Sabtu lalu kerana kompilasi jantung, kata Guinness World Record kelmarin.

Pingping yang berasal dari China dan kerdil sejak kecil akibat penyakit tumbesar terbantut itu berada di Rom untuk mengambil bahagian dalam satu rancangan televisyen, The Road Show.

Dia kemudiaanya dihantar ke sebuah hospital pada 3 Mac lalu selepas mengadu sakit dada. Doktor di hospital itu mendapati dia mengalami masalah jantung dan kolestrol tinggi.

Ketua pengarang Guinness World Record, Craig Glenday pernah mengukur ketinggian Pingping di pedalaman Mongolia pada 2008.

"Sejak kali pertama saya melihatnya, saya tahu dia ialah seorang yang istimewa. Dia menceriakan hidup setiap orang yang ditemuinya selain menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang dianggap pelik atau luar biasa." tambah Glendy.

Pihak Guinness World Record menyatakan pengganti Pingping akan diumumkan. Sebelum ini remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar berusia 18 tahun mempunyai ketinggian 51 sentimeter mendakwa pada Februari lalu bahawa dia ialah orang yang paling layak untuk memegang gelaran lelaki terpendek dunia. - Agensi.


Sumber berita dipetik dari akhbar Kosmo Rabu 17 Mac 2010

Monday, March 15, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU

Bergambar bersama pasangan pengantin
Dari kiri Shamsuddin, AJ, Faridah Hanum, Abd. Razak dan Abd. Rani

Pasangan pengantin bergambar bersama kaum keluarga

Duduk depan dari kiri : Jamaliah dan ibu pengantin perempuan
Duduk belakang dari kiri : Salina, Aishah, Asni dan ibu ku Pn. Habsah
Berdiri belakang : Adik Muhammad Amsyar

13 Mac 2010, (Sabtu), dua pupu aku iaitu Faridah Hanum bt. Yacob telah selamat melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati iaitu Abd. Razak b. Ismail bertempat di Batu 22 1/4, Kg. Telok Dendang, Kg. Gajah, Parit, Perak.

Faridah Hanum yang bertugas di Hospital Universiti, Kuala Lumpur telah bertemu jodoh dengan suaminya yang berasal dari Telok Intan dan kini bertugas sebagai anggota polis di Kelantan.

Selamat Pengantin Baru di ucapkan kepada pasangan mempelai dengan iringan doa dan harapan semoga kalian berdua di rahmati Allah Subhanahuwataala dan memperolehi kebahagiaan sehingga ke akhir hayat, serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah yang berbakti kepada kedua ibu bapanya, agamanya, bangsa dan negara. Amin.

Friday, March 12, 2010

GANGGUAN JIN DAN SYAITAN

Ustaz Abdullah Mahmud sedang menyampaikan kuliah

Kaum muslimat sentiasa memberikankomitmen setiap kali kuliah diadakan

Diantara ribuan kaum muslimin yang hadir

Tengahari semalam tanggal 11 Mac 2010 pukul 1 petang, Biro Agama Syarikat telah menjemput Ustaz Abdullah bin Mahmud, seorang penceramah bebas untuk memberikan satu kuliah agama yang bertajuk ‘Gangguan Jin terhadap Manusia Berdasarkan Kajian Al Quran’.

Berikut adalah beberapa maklumat yang sempat dicatatkan sepanjang kuliah berlangsung .

Didalam Al Quran, Al Jin telah disebutkan sebanyak 22 kali, Al Jan 7 kali, Ashsyaitan 68 kali, Ashsyayatin 17 kali, Muhammad 1 kali, Musa lebih kurang 40 kali.

Berdasarkan kepada keterangan diatas, kita dapati bahawa jumlah Ashsyaitan dan Ashsyayatin yang dicatatkan didalam Al Quran adalah sebanyak 85 kali lebih banyak dari Al Jin dan Al Jan yang dicatat sebanyak 29 kali sahaja.

Ini menunjukkan bahawa syaitan yang dirujuk sebagai kafir adalah musuh paling nyata bagi umat manusia dan tidak pernah jemu serta sentiasa berusaha untuk menipu dan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. Berbanding Syaitan, makhluk jin pula adalah beragama Islam.

Syaitan biasanya mengganggu manusia dengan beberapa cara dan kaedah yang berbeza-beza, antaranya dengan cara yang menyeluruh iaitu serangan melalui penyakit. Seseorang yang diserang penyakit secara tiba-tiba dan tidak tahu puncanya adalah dipercayai telah terkena gangguan syaitan.

Selain serangan secara menyeluruh, syaitan juga akan mengganggu manusia dengan kaedah yang kedua iaitu serangan secara sebahagian. Serangan secara sebahagian ini biasanya menyerang anggota badan dan fizikal manusia seperti serangan penyakit angin ahmar.

Kaedah serangan dan gangguan yang ketiga pula adalah serangan secara berterusan di mana manusia yang diganggu dengan cara berterusan ini akan sentiasa merasa sakit dan tidak tahu sampai bila ianya akan sembuh.

Kita biasa dan sering melihat seseorang itu kerap ternampak bayang, lintasan atau menyerupai seseorang yang kita kenal, Orang melayu kita sebut sebagai ‘Hantu Raya’. Serangan dengan kaedah ini adalah cara yang keempat iaitu serangan secara imbasan.

Biasanya Syaitan akan mengganggu manusia semasa tidur atau dalam keadaan jaga. Jika dalam keadaan tidur, tanda-tanda yang boleh dikenal ialah giginya atas dan bawah akan berlaga dan mengeluarkan bunyi bergemerincing. Selain itu seseorang akan bermimpi seperti jatuh tangga, jatuh dari tempat yang tinggi, terbang, berkahwin, melahirkan anak, menyusui anak, diberi anak, berada di dalam rumah kosong yang jauh dan tidak tahu di mana, terkejut ketika sedang lena, dipatuk ular, dikejar binatang buas, ketawa atau menangis sehingga mengalir air mata, berjalan-jalan, berada di kuburan dan kena tindih.

Gangguan waktu jaga pula ialah apabila seseorang itu merasa sakit kepala secara tiba-tiba, mengantuk (biasanya berlaku bila seseorang itu hendak bersembahyang, berzikir, atau ketika hendak membaca Al Quran). Tetapi apabila seseorang itu tidak mengerjakan ibadat seperti diatas, maka rasa mengantuknya akan hilang.

Gangguan waktu jaga juga boleh menyebabkan seseorang itu merasa malas, suka menyepi diri atau suka menyendiri dan boleh juga menjadi seorang yang pelupa. Selain itu seseorang yang diganggu semasa jaga, badannya akan menggeletar dan menggigil. Bagi kaum wanita pula akan berlaku pendarahan haid yang tidak henti-henti atau haid tidak datang langsung.

Apakah yang menyebabkan berlakunya gangguan Syaitan atau Jin kepada seseorang manusia itu. Menurut Ustaz Abdullah lagi bahawa boleh jadi seseorang itu ada melakukan kezaliman atau orang lain yang melakukan kezaliman dan musibahnya akan ditimpakan kepada sesiapa sahaja. Kemungkinan lain yang boleh dikaitkan pula ialah apabila makhluk Jin yang melakukan kezaliman.

Selain gangguan Syaitan, kita juga tidak terlepas dari kejahatan manusia yang mempunyai perasaan hasad dengki menyebabkan mereka mengunjungi bomoh untuk melakukan sihir atau santau terhadap kita. Biasanya bomoh yang dikunjungi untuk menjalankan kerja-kerja sihir atau santau akan meminta mereka yang berkenaan menyediakan peralatan seperti rambut, janggut, sikat yang ada rambut tertinggal dicelahnya, selaput mayang, selaput kurma jantan, habuk mayang pinang , miang buluh dan sebagainya.

Ustaz Abdullah Mahmud menasihatkan kita semua supaya rambut atau janggut kita yang dipotong atau gugur akibat disikat hendaklah ditanam supaya tidak boleh disalah guna oleh mereka yang mempunyai niat jahat atau khianat terhadap kita.

Tuesday, March 9, 2010

ALLAHYARHAM ISMAIL NORDIN DALAM KENANGAN

Petang tadi 9 Mac 2010, kira-kira pukul 1.20 pm, aku menerima satu sms dari Kak Ani memaklumkan Abang Mail (panggilan kami kepadanya) telah meninggal dunia dan akan dikebumikan selepas Zohor nanti.

Setelah mendapat berita tersebut, aku telah membuat keputusan supaya terus sahaja ke tanah perkuburan kerana aku merasakan tidak sempat lagi kerumahnya kerana ketika aku keluar dari pejabat tadi azan Zohor sedang berkumandang dari masjid berhampiran.

Walaupun Kak Ani tidak memaklumkan tanah perkuburan mana Arwah akan dikebumikan, tetapi aku dapat mengagak bahawa arwah mesti akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Jalan Kuari, Cheras, Kuala Lumpur, kerana sebelum inipun ibu mertua beliau yang tinggal bersama-samanya telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira 4 tahun dulu dimana aku juga turut mengiringi jenazahnya kekubur tersebut.

Allahyarham tinggal di tingkat 7, Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur yang mana aku ketahui kebanyakan penduduknya akan di kebumikan di tanah perkuburan itu.

Ketika aku sampai di tanah perkuburan kira-kira pukul 2 petang, aku dapati jenazah telahpun selesai dikebumikan dan saudara mara bagi keluarga Allahyarham sudahpun bersiap-siap untuk pulang. Aku merasa sedikit kecewa kerana tidak sempat menatap jenazah buat kali terakhir. Tetapi aku merasa hairan kerana dalam ramai-ramai mereka itu, tak seorang pun yang aku kenal.

Setelah aku bertanyakan kepada salah seorang dari mereka barulah aku tahu jenazah yang dikebumikan itu bukan jenazah Allahyarham Ismail yang aku ingin ziarahi. Jenazah Allahyarham akan tiba dalam sedikit waktu lagi. Sementara menantikan ketibaannya aku mengambil keputusan untuk ke surau berhampiran bagi menunaikan sembahyang Zohor.

Allahyarham Ismail b. Nordin adalah suami kepada Pn. Halijah bt. Hanifa (aku panggil Kak Jah) dimana keluarga Kak Jah ini adalah jiran terdekat dan rumahnya bersebelahan dengan rumah keluarga aku di Simpang, Taiping, Perak ketika taman perumahan kami siap dibina pada tahun 1970 dahulu dan kami sama-sama berpindah pada tahun tersebut, ketika itu umur aku dalam 9 tahun dan umur Kak jah mungkin dalam 17 tahun, ia juga mempunyai seorang adik bernama Zulkifli yang umurnya sama sebaya dengan aku. Zulkifli ini telahpun meninggal dunia, tapi aku tak ingat dah berapa tahun dia meninggal dan aku juga tidak sempat balik menziarahinya kerana lewat diberitahu. Tetapi aku sempat berbual dengannya ketika aku berkunjung kerumahnya kira-kira dua minggu sebelum ia meninggal dunia. Perubahan beliau yang dapat aku rasakan ialah setelah berbual hampir setengah jam dengannya tapi lepas tu dia boleh tanya aku "hang ni sapa". maunya aku tak hot, kawan dari kecik, rumah pula bersebelahan, boleh dia tak kenal aku. Tapi tulah orang melayu kata "buang tebiat". Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Amin.

Berbalik pada cerita asal tadi, setelah Kak Jah berkahwin dengan Allahyarham Ismail ni, maka mereka pun berpindah ke kuarters kakitangan Penjara Pudu, Kuala Lumpur kerana Allahyarham ni bertugas sebagai warder di Penjara Pudu, aku pula ketika itu sudahpun bekerja di Seberang Perak, berhampiran pekan Kg. Gajah, Perak. Setiap kali kalau aku ada urusan di Kuala Lumpur, aku pasti singgah di rumah mereka untuk bertanya kabar.

Apabila aku bertukar ke Kuala Lumpur, dan jika aku ingin menyaksikan perlawanan bolasepak di Stadium Merdeka, aku akan meletakkan motosikal aku dirumahnya dan berjalan kaki ke stadium tersebut yang jaraknya hanya 500 meter sahaja.

Setelah Allahyarham bersara maka mereka berpindah di flat Dewan Bandaraya Sri Kota, Bandar Tun Razak ini sehinggalah sekarang. Setelah aku berkahwin dan mulai sibuk dengan keluarga maka aku sudah jarang mengunjungi mereka lagi, kali terakhir aku berjumpa Allahyarham ialah pada 28 November 2007 (hampir 3 tahun tak jumpa) ketika aku terserempak dengannya di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur dan sempat berbual selama 10 minit sahaja kerana kami masing-masing ada urusan yang perlu disegerakan.

Jenazah hanya tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 3 petang dan ketika aku bertanya, Kak Jah memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal kira-kira pukul 11 pagi ketika mereka sedang bersiap-siap untuk ke HUKM kerana Allahyarham perlu mendapatkan rawatan bagi penyakit paru-paru yang dihidapinya. Rupa-rupanya Allah telah menjemput beliau terlebih dahulu sebelum ia sempat mendapatkan rawatan. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak yang telah dewasa. Usianya ketika meninggal adalah dalam lingkungan 60 tahun.

Aku mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama-sama para solehin. Al Fatihah...Amin.

"Dari Allah kita datang kepada Allah kita dikembalikan."

Aku menunggu sehingga jenazah selesai dikebumi dan di talkinkan dan sampai di pejabat kira-kira pukul 4.15 petang dalam keadaan perut yang amat lapar, manakan tidak, pagi tadi pukul 9, aku hanya minum nescaffe tarik, air barli dan dua biji telur setengah masak (Motek rendek), je.


Saturday, March 6, 2010

BADMINTON ALL ENGLAND 2010

Pasukan badminton Kumpulan Pengurusan Estet 2009.
Berdiri depan dari kiri : Linda, Siti Norhaya, Siti Rahayu,
Hairi, Azizi dan Mohd Suhaimi manakala berdiri belakang
dari kiri : Hj. Noor Zahari dan Ahmad Jais

Pasukan Bola Tampar Kumpulan Pengurusan Estet 2009.
Duduk depan dari kiri : Mohd Khusaini dan Mohd Ridhuan
manakala berdiri belakang dari kiri : Othman Abdullah,
Ahmad Jais, Mohd Suhaimi, Rajesh, Abd. Malik dan Mat Isa

Bercakap tentang sukan, hanya 5 jenis permainan sahaja yang aku minat, ('minat giler' kata remaja zaman sekarang) dan sentiasa mengikuti perkembangannya. Sukan tersebut adalah bolasepak, badminton, bola tampar dan ping pong manakala indoor game pula ialah karom dan catur. Aku cuba berjinak-jinak dengan sukan Bowling, tapi langsung tiada 'ummph' bagiku.

Mulai Rabu ini 10 Mac 2010, kejohanan badminton All England edisi ke 100 akan bermula dan diikuti pada bulan Jun 2010 nanti pula akan berlangsung satu lagi pertandingan sukan antarabangsa iaitu kejohanan bola sepak Piala Dunia dengan tuan rumahnya negara Afrika Selatan.

Sebagai peminat bagi kedua-dua jenis sukan ini, bagi aku, tahun 2010 amat ceria dan menjadikan aku lebih bersemangat untuk melalui hari-harinya tambahan pula ianya boleh diikuti secara langsung melalui tv berbayar ASTRO.

Kejohanan badminton All England 2010 ini adalah kejohanan badminton yang paling berprestij dan menjadi idaman setiap pemain untuk merangkul kejuaraannya tambahan pula kejohanan badminton tertua ini menyambut ulang tahunnya yang ke 100.

Situasi ini sudah tentu akan menurunkan semua pemain terbaik dunia untuk mengambil bahagian. Jika sebelum ini aku merasa kempunan tidak dapat melihat kelibat Lin Dan dari China maka kali ini Lee Chong Wei yang dikatakan pemain terbaik dan nombor satu dunia perlu membuktikan bahawa dengan kehadiran Lin Dan pun beliau mampu menjadi juara.

Jadi, jika ia ingin memenuhi impiannya itu maka beliau perlulah terlebih dahulu menewaskan pemain Indonesia yang dijangka berdepan dengannya iaitu Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia di pusingan kedua. Sebelum itu diperingkat awal ia akan bertemu pemain India iaitu Chetan Anand yang dijangka akan dapat ditewaskannya dengan mudah.

Jika ia melepasi ke suku akhir, ia dijangka akan bertemu pula dengan jaguh muda Denmark iaitu Jan O Jorgensen.

Seterusnya jika ia melangkah ke separuh akhir pula, ia dijangka samada akan bertemu jaguh veteran Denmark iatu Peter Hoeg Gade atau bekas juara Olimpik dari Indonesia iaitu Taufik Hidayat. Jika Lee Chong Wei menjadi juara maka beliau adalah pemain kedua merangkulnya selepas Mohd Hafiz Hashim menjuarainya pada tahun 2003 lalu.

"Chong Wei ni macam tahu je niat hatiku", apabila dalam satu wawancara ia telah berkata "Disudut hati saya memang saya mengimpikan untuk bertemu Lin Dan pada perlawanan akhir. Lagi pun saya sudah lama tidak menentangnya. Saya rasa peminat (aku minat Lin Dan je masa kini dan Heryanto Arby masa dulu) juga memang menanti-nantikan pertembungan kami di Seluruh England nanti," kata Chong Wei.

So, jika Lee Chong Wei ingin menjadikan aku sebagai peminat nombor satunya maka ia perlu lah terlebih dahulu menjadi juara All England ini dengan mengalahkan Lin Dan sebab lain-lain pemain semuanya dah kepenghujung kecuali Chetan Anand dan Jan O Jogersen yang masih mentah. Jika hajat Lee Chong Wei tak sampai maka aku mengucapkan 'good bye' padanya dan marilah joint kelab badminton aku seperti gambar di bawah yang pada masa ini ingin mendapatkan seorang jurulatih.

Pemain-pemain badminton KESURA dalam satu kejohanan
di Dewan Badminton, Taman Ibu Kota, Gombak,

Pemain sedang mendengar taklimat
sebelum kejohanan bermula

Ayu (belakang) dan Siti Mariam (depan) pemain badminton wanita
yang mewakili Kumpulan Pentadbiran dan Kewangan sedang beraksi

Linda dari pasukan Kumpulan Pengurusan Estet sedang
melakukan servis dan Siti Norhaya bersedia di belakang

SYILING ZAMAN ISKANDAR ZULKARNAIN DITEMUI

Gambar yang dikeluarkan oleh SANA, agensi berita Syria
pada 2 Mac, 2010 merakamkan duit syiling perak semasa
zaman Iskandar Zulkarnain yang ditemui di utara Syria
kira-kira dua minggu lalu oleh seorang lelaki di kawasan Manbej
ketika menggali di atas tanah untuk membina rumah di situ. - AP

Lebih 250 duit syiling perak semasa zaman pemerintahan Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) ditemui di utara Syria.

Ketua Arkeologi di bandar purba Aleppo, Youssef Kanjo berkata, duit syiling tersebut ditemui dua minggu lalu di utara Syria oleh seorang lelaki tempatan yang sedang membina rumah barunya.

Lelaki itu menyerahkan duit yang ditemuinya kepada pihak berkuasa, menurut Youssef dalam satu temubual menerusi telefon dengan The Associated Press.

Tarikh syiling terbabit ialah pada zaman pemerintahan Yunani, antara abad keempat hingga pertama Sebelum Masihi iaitu selepas raja Macedonia, Iskandar memperluaskan empayar Greek ke Asia Barat dan ketika era penaklukannya.

Duit syiling terbabit memiliki gambar Iskandar dan Tuhan Yunani, Zeus yang sedang duduk di atas takhtanya.

Selepas zaman penaklukan Iskandar, kebanyakkan negara bekas jajahannya di Asia Barat menggunakan terus mata wang tersebut.

"Penemuan ini amat penting dan akan menambahkan lagi koleksi arkeologi kami ketika zaman pemerintahan Yunani". kata Youssef - AP