Pages

Friday, March 12, 2010

GANGGUAN JIN DAN SYAITAN

Ustaz Abdullah Mahmud sedang menyampaikan kuliah

Kaum muslimat sentiasa memberikankomitmen setiap kali kuliah diadakan

Diantara ribuan kaum muslimin yang hadir

Tengahari semalam tanggal 11 Mac 2010 pukul 1 petang, Biro Agama Syarikat telah menjemput Ustaz Abdullah bin Mahmud, seorang penceramah bebas untuk memberikan satu kuliah agama yang bertajuk ‘Gangguan Jin terhadap Manusia Berdasarkan Kajian Al Quran’.

Berikut adalah beberapa maklumat yang sempat dicatatkan sepanjang kuliah berlangsung .

Didalam Al Quran, Al Jin telah disebutkan sebanyak 22 kali, Al Jan 7 kali, Ashsyaitan 68 kali, Ashsyayatin 17 kali, Muhammad 1 kali, Musa lebih kurang 40 kali.

Berdasarkan kepada keterangan diatas, kita dapati bahawa jumlah Ashsyaitan dan Ashsyayatin yang dicatatkan didalam Al Quran adalah sebanyak 85 kali lebih banyak dari Al Jin dan Al Jan yang dicatat sebanyak 29 kali sahaja.

Ini menunjukkan bahawa syaitan yang dirujuk sebagai kafir adalah musuh paling nyata bagi umat manusia dan tidak pernah jemu serta sentiasa berusaha untuk menipu dan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. Berbanding Syaitan, makhluk jin pula adalah beragama Islam.

Syaitan biasanya mengganggu manusia dengan beberapa cara dan kaedah yang berbeza-beza, antaranya dengan cara yang menyeluruh iaitu serangan melalui penyakit. Seseorang yang diserang penyakit secara tiba-tiba dan tidak tahu puncanya adalah dipercayai telah terkena gangguan syaitan.

Selain serangan secara menyeluruh, syaitan juga akan mengganggu manusia dengan kaedah yang kedua iaitu serangan secara sebahagian. Serangan secara sebahagian ini biasanya menyerang anggota badan dan fizikal manusia seperti serangan penyakit angin ahmar.

Kaedah serangan dan gangguan yang ketiga pula adalah serangan secara berterusan di mana manusia yang diganggu dengan cara berterusan ini akan sentiasa merasa sakit dan tidak tahu sampai bila ianya akan sembuh.

Kita biasa dan sering melihat seseorang itu kerap ternampak bayang, lintasan atau menyerupai seseorang yang kita kenal, Orang melayu kita sebut sebagai ‘Hantu Raya’. Serangan dengan kaedah ini adalah cara yang keempat iaitu serangan secara imbasan.

Biasanya Syaitan akan mengganggu manusia semasa tidur atau dalam keadaan jaga. Jika dalam keadaan tidur, tanda-tanda yang boleh dikenal ialah giginya atas dan bawah akan berlaga dan mengeluarkan bunyi bergemerincing. Selain itu seseorang akan bermimpi seperti jatuh tangga, jatuh dari tempat yang tinggi, terbang, berkahwin, melahirkan anak, menyusui anak, diberi anak, berada di dalam rumah kosong yang jauh dan tidak tahu di mana, terkejut ketika sedang lena, dipatuk ular, dikejar binatang buas, ketawa atau menangis sehingga mengalir air mata, berjalan-jalan, berada di kuburan dan kena tindih.

Gangguan waktu jaga pula ialah apabila seseorang itu merasa sakit kepala secara tiba-tiba, mengantuk (biasanya berlaku bila seseorang itu hendak bersembahyang, berzikir, atau ketika hendak membaca Al Quran). Tetapi apabila seseorang itu tidak mengerjakan ibadat seperti diatas, maka rasa mengantuknya akan hilang.

Gangguan waktu jaga juga boleh menyebabkan seseorang itu merasa malas, suka menyepi diri atau suka menyendiri dan boleh juga menjadi seorang yang pelupa. Selain itu seseorang yang diganggu semasa jaga, badannya akan menggeletar dan menggigil. Bagi kaum wanita pula akan berlaku pendarahan haid yang tidak henti-henti atau haid tidak datang langsung.

Apakah yang menyebabkan berlakunya gangguan Syaitan atau Jin kepada seseorang manusia itu. Menurut Ustaz Abdullah lagi bahawa boleh jadi seseorang itu ada melakukan kezaliman atau orang lain yang melakukan kezaliman dan musibahnya akan ditimpakan kepada sesiapa sahaja. Kemungkinan lain yang boleh dikaitkan pula ialah apabila makhluk Jin yang melakukan kezaliman.

Selain gangguan Syaitan, kita juga tidak terlepas dari kejahatan manusia yang mempunyai perasaan hasad dengki menyebabkan mereka mengunjungi bomoh untuk melakukan sihir atau santau terhadap kita. Biasanya bomoh yang dikunjungi untuk menjalankan kerja-kerja sihir atau santau akan meminta mereka yang berkenaan menyediakan peralatan seperti rambut, janggut, sikat yang ada rambut tertinggal dicelahnya, selaput mayang, selaput kurma jantan, habuk mayang pinang , miang buluh dan sebagainya.

Ustaz Abdullah Mahmud menasihatkan kita semua supaya rambut atau janggut kita yang dipotong atau gugur akibat disikat hendaklah ditanam supaya tidak boleh disalah guna oleh mereka yang mempunyai niat jahat atau khianat terhadap kita.

No comments:

Post a Comment