Pages

Saturday, April 24, 2010

AKU DI PENJARA PUDU

Aku ada seorang kawan. Beliau berasal dari Kedah dan bertugas sebagai wader di Penjara Pudu. Tugasnya adalah sebagai pembantu kepada tukang sebat.

Pada suatu hari dalam tahun 1996, dia telah menelefon aku, ketika itu aku masih dalam tugas di pejabat aku yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Melalui gagang telefon kedengaran suaranya bertanya "Hang free tak hari ni....."? aku tanya, kenapa?. Dia lalu menjawab "Kalau hang free, aku nak mintak hang datang ke Penjara Pudu sekarang".

Di dalam kepala aku, bermacam perkara timbul. "Apa hal member aku ajak ke Penjara Pudu?. Tergesa-gesa pulak tu". Setahu aku Penjara Pudu telahpun ditutup, semua banduan telah di pindahkan ke penjara baru yang terletak di Sungai Buloh.

"La ni aku tengah kerja, waktu rehat aku pukul 12.45 tengahari, sekarang baru pukul 11 pagi, aku pulak tengah sibok sebab ada kawan datang dari pejabat Wilayah. Dia datang sebab nak uruskan loan rumah."

Aku dulu bertugas di Cawangan Perjawatan, tugas aku pada masa tu menguruskan loan rumah, loan kereta, motosikal, dan loan komputer, setiap hari ada saja staf yang datang berjumpa aku samada mereka datang dari Ibu Pejabat atau dari pejabat Wilayah atau Kawasan, tujuannya adalah untuk membuat pinjaman seperti yang aku terangkan di atas. Keadaan ini membuatkan aku tidak dapat bergerak kemana-mana sewaktu menjalankan tugas.

"Hari ni aku tak boleh datang, esok bolehlah sebab rasanya belum ada staf yang telefon buat appointment nak datang". Tapi hang belum bagi tau lagi sebab apa suruh aku datang". Ada apa hal...?

"Macam ni.....dalam seminggu ni aku kena bertugas jaga Penjara Pudu yang dah kosong...Aku dengar nanti ada ura-ura Kerajaan nak buat pamiran untuk bagi peluang kepada orang ramai untuk melawat ke dalamnya. Kira Kerajaan nak buat duit la tu. Jadi sebelum diusik apa-apa dan masih original lagi, aku nak ajak la hang datang tengok apa yang ada di dalam penjara ni. Aku tau hang mesti mau punya, hang kan suka benda-benda misteri....". Tapi kalau hang nak datang tak boleh datang ramai-ramai, dua orang cukup."

"Bila aku tahu member aku ajak melawat Penjara Pudu, aku terus saja bersetuju kerana selama ni aku tahu Penjara Pudu hanya melalui pembacaan saja dan memang takkan ada peluang nak masuk ke dalam punya kalau tak ada apa-apa kesalahan jenayah yang aku lakukan.....Heeeee...mintak jauhlah dan simpang malaikat 44, aku tak sanggup nak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depanku.

Penjara Pudu yang dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal, terletak di Jalan Hang Tuah. Ia mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaannya telah dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Esok pada hari yang dijanjikan, pukul 12.45 tengahari aku bersama member pejabat aku iaitu Hanif atau panggilan mesranya 'Yop' (sebab dia orang Perak, berasal dari Chenderong Balai, Telok Intan) telah pergi ke Penjara Pudu bagi memenuhi undangan kawan aku tu. Dari pejabat aku di Bukit Bintang ke Penjara Pudu hanya 2 km saja dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai dengan menaiki motosikal. Aku berkira-kira 1 jam cukup la kot untuk melawat..sempat la balik ke pejabat sebelum pukul 2 petang.

Ketika sampai di pintu depan Penjara Pudu, kawan aku tu dah sedia menanti..."Hang ada bawak kamera tak?, kalau ada mai sini aku ambik gambar hangpa berdua, jom masuk kedalam, aku bawak melawat dan terangkan satu persatu sambil hangpa berdua berposing".

Apabila aku melangkah saja kedalam Penjara Pudu yang dah lengang tu, secara tiba-tiba bulu roma ku meremang dan badan aku merasa seram sejuk, ini adalah kerana aku tahu selain memenjarakan banduan, Penjara Pudu juga digunakan untuk melaksanakan hukuman gantung sampai mati mandatori kepada banduan-banduan yang melakukan kesalahan yang membolehkan mereka dijatuhi hukum gantung tersebut.

Ketika kami melalui pondok kawalan, tiba-tiba kawan aku bersuara, "kat pondok kawalan inilah ramai warder yang bertugas pada waktu malam selalu menerima gangguan... ada ketikanya kerusi yang ada kat dalam terbang keluar seolah-olah dibaling atau dicampak keluar oleh seseorang, padahal pada masa tu tiada sesiapapun di dalamnya..."

"Tapi benda-benda macam ni dah biasa dah bagi setiap warder yang bertugas di sini..depa dah lali dah, aku ingat kalau hangpa berdua kena ganggu macam ni, mau terkencing dalam seluark, dan silap haribulan boleh demam seminggu".

Hampir sejam kami melawat ke dalam, bergambar sakan dan mendapat serba sedikit penerangan dari member aku maka kami pun mengakhiri lawatan dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya...

Selepas lawatan percuma ini, aku telah membuat lawatan susulan selama 3 kali lagi kedalam Penjara Pudu iaitu ketika pamiran dibuka kepada orang ramai dan tiketnya aku kena bayar la...apa lagi....., kalau tak silap aku sekeping tiketnya berharga RM15 sekali masuk.

3 kali melawat tu kerana pertamanya kawan-kawan pejabat aku ajak, kedua abang dan kakak ipar aku yang ada kat KL ni ajak dan kali ketiga pulak ialah apabila mak dan ayah aku datang dari Taiping dan teringin nak masuk. Ayah aku kata Penjara Taiping pun tak buat pamiran macam ni....

Member aku yang aku ceritakan tadi, apabila pindah ke Penjara Sg. Buloh telah dipindahkan ke unit berkuda selepas tu...dan apabila setiapkali aku bertemu dengannya tak dak cerita lain yang dia ceritakan melainkan seronok sangat dapat bertugas di unit berkuda..."hari-hari aku naik kuda" kat rumah naik kuda, kat penjara pun aku naik kuda, katanya sambil berseloroh".

Berita buruk yang aku terima mengenainya selepas beberapa bulan tidak bertemu ialah dia telah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya dan mengalami kecederaan yang teruk..sehingga sekarang beliau masih belum pulih sepenuhnya dan fikirannya kini banyak terganggu dan kadang-kadang hilang ingatan dan kadang-kadang ok, sekarang, dia hanya diberi tugas-tugas di dalam pejabat sahaja.

Baru-baru ni aku ada pergi melawat dia dirumahnya di Cheras dan keadaannya masih macam tu jugak.

Kawan aku 'Yop' pulak baru saja pencen umur 55 tahun pada Januari 2010 yang lalu dan kali terakhir dia menelefon aku bertanya khabar ialah pada Jumaat 22 April, 2010 lepas.

Gambar-gambar yang aku persembahkan di bawah ini tak berapa terang sebab dah dirakam 14 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1996 melalui kamera biasa pulak tu...gambar-gambarnya aku scan dan masuk ke dalam artikel ni....kalau kamera digital, aku yakin gambarnya mesti terang...

Sebahagian gambar dan keterangan dalam artikel ini diambil dari laman web Jabatan Penjara Malaysia.



Aku dan Yop bergambar dihadapan
pintu masuk Penjara Pudu.
Ia siap dibina pada tahun 1895

Bentuknya menyerupai Penjara Kindy Bogambia berbentuk X

Tembok Penjara Pudu ini dibina pada Februari 1891
dan siap sepenuhnya pada Ogos 1892. Ia dibina dari batu bata
yang di lepa dengan simen yang diimport dari negeri
koloni British. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja
bernilai RM15,360.90 iaitu harga pada tahun 1800an dahulu


Mural sepanjang 384 meter dan setinggi 4.5 meter
yang menghiasi tembok Penjara Pudu
merupakan yang terpanjang di dunia


Kolam tempat para banduan mandi
'Bilik Asingan'.
Banduan yang dijatuhi hukuman mati
akan diletakkan dibilik ini

'Bilik Akhir'. Banduan akan dipindahkan ke bilik ini
apabila hukuman gantung sampai mati mandatori akan dijalankan

'Bilik gantung'. Digunakan sejak tahun 1960.
Seramai 180 orang pesalah telah menjalani
hukuman gantung sampai mati mandatori disini.

Ruangan dalam penjara.
Suatu ketika dahulu dipenuhi dengan banduan

Aku dan Yop didalam penjara

Salah satu sel yang menempatkan seorang banduan
yang mempunyai bakat dan minat melukis

Diantara bilik sel yang sempat dirakam

Bilik sumber ilmu
Banduan juga diberi peluang membaca

Dapur tempat memasak untuk
diberi makan kepada semua banduan

Bangunan A ialah bilik yang menempatkan
Pegawai yang menjaga

Bilik janakuasa

Troli yang digunakan untuk mengangkut makanan
yang telah siap dimasak untuk para banduan

Gambar ini menunjukkan bahawa Penjara Pudu
telah dikelilingi oleh bangunan pencakar langit. Oleh kerana
peredaran masa dan pesatnya Kuala Lumpur membangun
maka Penjara yang berada di tengah-tengah bandaraya
tidak lagi sesuai dan perlu dipindahkan. Akhirnya
lokasi baru dipilih iaitu di Sungai Buloh

10 comments:

  1. assalamulaikum en ahmad jais, saya dari akhbar kosmo tertarik dengan artikel yg Tuan tuliskan ini. boleh saya temubual Tuan berkenaan pengalaman Tuan di sana? boleh Tuan hubungi saya di emel saya am8108@gmail.com atau berikan no telefon Tuan di emel berkenaan untuk saya hubungi kemudian? Kalau boleh secepat mungkin. Terima kasih Tuan

    ReplyDelete
  2. Assalam.. Saya student dari Fakulti Pengurusan Rekod UITM Puncak Perdana diberi tugasan bagi menjalankan kajian tentang bangunan bersejarah di Malaysia. Saya ingin bertanya adakah encik mempunyai kenalan atau orang yang boleh saya temubual bagi menjalankan kajian ini?Boleh kah saya mendapatkan nombor telefon atau sebarang cara untuk saya hubungi orang tersebut. Saya memilih Penjara Pudu Bagi menjalankan kajian. Oleh itu saya ingin meminta kerjasama dari pihak encik untuk membantu saya menjayakan kajian ini. Boleh encik hubungi saya di emel syud.suhaimi@gmail.com atau encik berikan no telefon di emel agar saya boleh hubungi kemudian. Terima Kasih atas kerjasama yang diberi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam Syud Suhaimi...
      Pegawai warder yg mengiringi lawatan saya tempoh hari telahpun meninggal dunia 2 minggu lepas.

      Tq.

      Delete
  3. Subhanallah...tarikh artikel 24/4/2010....last coment 24/4/2015....

    ReplyDelete
  4. Very kreatif dan kelakar (tergelak) semasa membaca.. terima kasih artikel dari AJ dan Yop..yg membuatkan saya membaca sehingga habis dan berpuashati seolah2 saya turut sama berada dlm sesi lawatan berkenaan.. tkasih.. ilmu

    ReplyDelete
  5. ďapat juga lihat bahagian2 dalam penjara pudu. tkasih AJ.

    ReplyDelete
  6. Terbaik perkongsian tuan. Gambar2 yang eksklusif dan legend.

    ReplyDelete
  7. Wah.. dah lama artikel ni.. seronok saya membacanya.. namun saya berasa sedih sebab tidak dapat mengunjungi penjara pudu sehingga ia dirobohhkan ..

    ReplyDelete
  8. Aku adalah salah satu bekas banduan di pnjara pudu.num badan 195/96.block asingan...sejarah hitam yg xkan aku lupakan smpai bila bila.masa tu umur aku 18tahun.la ni umur aku dh 42.walaupun xla lama pn aku kena tahan kt dlm.sempat jugak la aku beraya kt dlm tu pada tahun 1996.walaupun aku dlm tu cuma 1bln 15 hari.tu dh ckup tuk mengajar aku erti kebebasan.nilai kemanusiaan yg terhad.aku kluar dn kini aku menjadi manusia yg menghargai setiap detik kebebasan dan kehidupan.

    ReplyDelete