Pages

Sunday, July 25, 2010

JANGAN IKUT MACAM SAYA

Razali Abu Zahar (bukan nama sebenar) 27, adalah penghuni ‘bilik akhir’, di sebuah penjara. Beliau di jatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi setelah di dapati bersalah di bawah Akta 39B Dadah Berbahaya.

Setelah tujuh tahun menghuni bilik itu, Razali berubah. “Banyak yang saya pelajari di sini…daripada seorang yang jahil, saya kini mampu mengimami sembahyang jemaah. Banyak doa saya hafal walaupun sebelum ini Fatihah pun saya tak tahu,” katanya lagi.

Sebagai seorang yang sedang menunggu saat kematian, Razali hanya mampu berserah kepada Allah dan sesekali meratapi kesilapan silamnya.

Sementara menunggu detik hukuman di laksanakan, beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung agar hukuman di ringankan.

Razali yang di temui di ‘bilik akhir’ nya menceritakan resah hati dan kekesalannya terlibat dengan jenayah itu. Razali memulakan kisahnya...Imbang PenuhSebelum di tahan pihak berkuasa, kehidupan saya cukup mewah. Pendapatan sebagai pemandu jengkaut, sekadar ‘cukup makan’ tidak menghalang saya berlagak sebagai tokoh korporat. Kerja itu hanyalah sekadar mengabui mata masyarakat. Walhal hakikat sebenarnya saya mengedar dadah.

Semuanya kerana kawan. Sering tidak cukup wang, kawan-kawan mendorong saya melakukan perniagaan itu. Kata mereka, ia kerja mudah. Saya setuju, dan bermulalah segalanya.

Percubaan saya yang pertama mendatangkan hasil yang cukup lumayan. Saya mencuba kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya…Dalam tempoh itu gaya hidup saya berubah. Dengan pendapatan RM30 ribu sebulan hasil jual dadah, saya mampu memiliki kereta mewah dan sebuah motosikal berkuasa tinggi.


Makan minum tidak lagi di gerai. Sebaliknya hotel-hotel yang mewah menjadi ‘tempat permainan’ saya. Ketika mendapatkan bekalan, saya menggunakan motosikal, untuk lebih memudahkan pergerakan. Untuk melicinkan lagi bisnes, saya menyewa rumah di tiga bandar. Changlun, Alor Setar dan Ipoh. Sekali sekala berkunjung ke Kuala Lumpur, saya tinggal di bilik suite hotel bertaraf lima bintang yang kadar sewanya RM1,000 semalaman. Setiap kali di hotel, saya di temani perempuan yang berlainan.

Tidak cukup dengan dosa itu, saya menyimpan pula gadis-gadis kilang di ketiga-tiga rumah sewaan dan setiap kali singgah, gadis-gadis itu menjadi tempat saya memuaskan nafsu. Saya tinggalkan emak berseorangan di kampung kerana tidak tahan leterannya. Tidak pernah saya fikirkan tentang makan minum emak lagi. Saya rasakan leteran ibu mengganggu hidup saya.

Bagaimanapun cuma setahun sempat bermewah. Suatu petang dalam perjalanan pulang dengan bekalan baru dari negara jiran, saya di perangkap. Sekatan jalan oleh polis membuatkan saya panik. Terlalu besar bilangan mereka, sengaja menunggu ketibaan saya. Tiap seorang di lengkapi raifal M-16.

Laluan saya di rentangi kawat berduri. Saya tidak ada pilihan lain, kecuali memperlahankan kelajuan motosikal dan berhenti. Lebih sepuluh anggota polis meluru, memeriksa saya dengan kasar. Sekilo ganja di atas tangki minyak di rentap. Saya terus di gari.

Mereka sebenarnya menunggu saya kerana sebaik menaiki land rover, kawat berduri di angkat. Semua anggota pulang ke pengkalan semula seperti nelayan yang pulang dengan tangkapan lumayan. Saya di tempatkan di Balai Polis Changlun. Ketika itulah kekesalan perlahan-lahan merangkak dalam diri. Semakin lama semakin tertekan.

Seminggu kemudian, emak, dua orang kakak dan bapa saudara mengunjungi saya. Melihat wajah ibu, kakak dan pak long, air mata berhamburan…Itulah pertama kali saya menangis selepas melewati alam kanak-kanak.

“Apa pasai macam ni Di…” Tanya emak dalam loghat utara tersekat-sekat. Saya tidak sanggup menatap wajahnya. Emak kemudian memegang kedua-dua belah tangan saya yang bergari…Saya tunduk, yang kedengaran hanyalah sedu-sedan emak dan kakak. Emak yang tidak pernah saya hiraukan, kakak-kakak dan pak Long yang saya alpakan selama ini rupanya amat menyayangi saya. Saya yang salah anggap selama ini.

Tiada guna kekesalan lagi. Saya perlu menghadapi kenyataan. Setiap yang bersalah pasti menerima hukuman. Saya redha, tetapi hati cukup sedih apabila emak tidak lagi datang. Cuma kunjungan kakak pengubat luka. Setiap kali bertanya tentang emak, kakak menjawab dengan tangisan.

“Emak sakit Di…Dia macam hilang akai,” kata kakak setelah bertubi-tubi saya bertanya. Jawapan itu membuatkan saya terjelepuk. Mata berpinar. Saya tidak lagi mampu menangis. Itulah kasih emak…Walaupun saya abaikan begitu lama, kasihnya tidak pernah surut.

Saya sentiasa berdoa agar emak kembali sihat dan syukur, doa saya di kabulkan. Ibu kembali normal dan dapat hadir pada setiap perbicaraan. Ibu pengsan di galeri mahkamah sebaik hukuman di jatuhkan. Kabarnya emak menghabiskan RM300 ribu untuk yuran guaman. Emak menjual tanah tinggalan arwah ayah sementara bakinya di sumbangkan pak long.

Sejak terkurung di penjara selama tujuh tahun, emak tidak pernah jemu melawat saya. Setiap minggu, ada saja buah tangan yang di bawa. Pada pertemuan-pertemuan itu, emak mengaku tidak pernah lekang bibirnya berdoa akan kesejahteraan saya setiap kali solat. Aduh!!! tidak dapat saya gambarkan keadaan ibu kerana dia seolah-olah terhukum sama.

Kini sudah tujuh tahun berlalu. Hukuman belum di laksanakan. Sebagai orang Islam, Razali menghabiskan waktunya beribadat, memohon keampunan dengan rasa kesal. Guru-guru agama di penjara membantu Razali mendekatkan diri dengan Allah. Dari seorang yang tidak tahu membaca Al Fatihah, Razali kini mampu menjadi imam dan hafal pelbagai doa.

“Penjara mengubah hidup saya…sekalipun sudah terlambat tetapi masih belum terlewat,” kata Razali. “Saya redha dengan hukuman yang di kenakan…semoga Allah mengampuni segala dosa saya. Cuma satu harapan saya. Janganlah ada sesiapa yang bercadang untuk meniru apa yang saya lakukan. “Biarlah saya seorang yang kesal. Ingatlah, menyesal kemudian tidak berguna…” kata Razali lagi.


Mastika Jan 1999 (m/s 76-79)

No comments:

Post a Comment