Pages

Sunday, August 8, 2010

KUBURKAN JASADKU SATU LIANG LAHAD BERSAMA DEWI KU



Ada dua perkara, segera menarik perhatian orang apabila berbicara tentang Sukarno. Pertama, kehebatannya berpidato. Kedua, sebagai penakluk hati wanita.


Dua kelebihan Sukarno inilah menjadikan beliau terkenal pada zamannya. “Beri aku seribu orang dan dengan mereka aku akan menggerakkan Gunung Semeru. Beri aku sepuluh pemuda yang membara cintanya kepada tanah air dan aku akan menggoncang dunia!”


Begitulah kalimat pernah diucapkan Sukarno yang pernah menjadi Presiden Pertama Indonesia sejak 1945 hingga 1967. Kalimat ini bukan sahaja terkenal di negaranya, Indonesia bahkan di Malaysia, Singapura dan Brunai sampai hari ini.


Sebenarnya, banyak lagi kata-kata keramat Sukarno yang masih diingati oleh pemuja-pemujanya termasuk si penjual ubat ‘kuat’ di Masjid al-Hasanah Bangi, Selangor.


Diceritakan orang, kehebatan Sukarno sehingga sampai ke Mesir. Namanya turut diberi penghormatan oleh pemerintah Mesir ketika itu. Gamal Abdel Nasser mengabadikan sebatang jalan di Cairo dengan nama Ahmed Sukarno.


Pada zamannya, Sukarno dianggap pemidato terbaik di dunia setanding Perdana Menteri Britain, Winston Churchill, Presiden Amerika, John F. Kennedy, pemimpin politik Jerman, Adolf Hitler dan Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser.


Malah sehingga ke hari ini pun belum ada pemimpin Asia yang begitu baik cara penyampaian pidato mereka boleh menandingi kehebatan Sukarno. Sesiapa saja pasti terpaku berjam-jam mendengar pidatonya yang berapi-api!.


Diceritakan orang, Bung Karno pernah berlatih berpidato di hadapan cermin dalam kamar yang gelap dan pengap. Ketika itu Bung Karno dipenjarakan pada zaman penjajahan Belanda. Dalam kamar tidak berjendela itulah siang malam, Bung Karno berpidato berapi-api hanya diterangi api pelita. Walaupun dicemuh dan diejek, Bung Karno tetap berpidato dengan suara lantang bak guruh.


Ada yang mengejeknya: “Hei si Karno, kamu buat apa berpidato depan cermin seperti orang gila saja…” Apa kata Sukarno? Sukarno tidak kisah dituduh berpidato seperti orang gila. Kata Sukarno, biarkan suaranya hanya didengar sang cicak, nyamuk, lipas dan tikus. Biar apa orang hendak kata!


Selepas habis berpidato, Sukarno berkata: “Aku bersiap hendak menjadi orang besar…! Rupanya apa yang dicita-citakan Sukarno menjadi kenyataan apabila dia mengisytiharkan Proklamasi Kemerdekaan 17 Ogos 1947 dan menjadi Presiden Republik Indonesia yang pertama.


Walaupun rakyat mengagumi dan menyayanginya, namun Sukarno memiliki musuhnya tersendiri. Musuh itu bukan orang lain tetapi bekas rakan karibnya sendiri. Dua tahun selepas menjadi Presiden Indonesia, beberapa percubaan bunuh cuba dilakukan Kartosoewirjo, kononnya Bung Karno penghalang pembentukan sebuah Negara Islam Indonesia. Bagaimanapun, kesemua cubaan bunuh itu gagal dan berjaya dipatahkan.


Perlu ditulis di sini bahawa Sukarno seorang yang pemaaf dan tidak berdendam termasuk kepada musuhnya. Sukarno sangat sayang kepada bangsanya. Ini dapat dihidu melalui surat Ratna Sari Dewi kepada Presiden Suharto. Ketika itu Sukarno berada dalam tahanan di Wisma Yaso.


Surat bertarikh 16 April 1970 itu berbunyi: “Tuan Suharto, Bung Karno itu saya tahu benar-benar sangat mencintai Indonesia dan rakyatnya. Sebagai bukti bahawa meskipun ada lawannya yang berkali-kali menteror (cuba membunuh) beliau, beliau pun masih mahu memberikan pengampunan kalau yang bersangkutan itu mahu mengakui kesalahannya.


“Dibanding dengan Bung Karno, maka ternyata di balik senyuman Tuan itu, Tuan mempunyai hati yang kejam, Tuan telah membiarkan rakyat, iaitu orang-orang PKI dibantai. Kalau saya boleh bertanya: Apakah Tuan tidak mampu dan tidak mungkin mencegahnya dan melindungi mereka agar tidak terjadi pertumpahan darah?” tulis Ratna Sari Dewi.


Berbalik kepada kegemaran Sukarno mencintai wanita. Daripada sekian banyak isteri Sukarno (Sembilan orang semuanya), hanya dua orang sahaja yang menemani Bung Karno lewat hari kematiannya iaitu Hartini dan Ratna Sari Dewi. Isteri-isteri lain telah diceraikan.


Dua wanita ini, Hartini dan Ratna Sari Dewi mendapat takhta paling istimewa di hati Bung Karno. Cinta Sukarno terhadap dua wanita ini bak Gunung Semeru. Pada Hartini, Bung Karno berwasiat: “Jika meninggal, makamkan aku di sebelah kubur Hartini!”


Pada Ratna Sari Dewi pula, Bung Karno berwasiat: “Kuburkan jasadku satu liang lahad dengan Sari Dewi.”


Seperti diwawancara majalah Tempo (1999), Hartini menceritakan mengenai kegemaran Sukarno menjurus kepada wanita cantik. “Cintanya kepada wanita yang cantik adalah beban bagi saya. Walaupun saya sudah berusaha menerima dia (Sukarno) sebagaimana adanya, dia sangat mencintai keindahan dalam kecantikan wanita,” beriitahu Hartini, isteri ketiganya.


Kisah percintaan paling popular ditulis sepanjang zaman tentulah antara Sukarno dan Ratna Sari Dewi, seorang gadis cantik yang dipuja-pujanya semasa bertemu di kelab malam Akasaka’s Copacabana, Tokyo pada 16 Jun 1959.


Ratna Sari Dewi seorang geisha yang tiada cacat cela di mata Sukarno. Ketika itu Sari Dewi atau nama asalnya Naoko Namoto, melayani Bung Karno di kelab malam tersebut yang amat terkenal di kalangan tetamu asing. Kecantikan Naoko begitu mempesona, sehingga Sukarno gelisah tatkala bertentang mata. Selepas pertemuan pertama, panahan dewi asmara membuatkan Bung Karno bergelora. Pertemuan seterusnya menyusul di Hotel Imperial, Tokyo tempat Bung karno menginap.


Cinta Bung Karno tidak bertepuk sebelah tangan. Seterusnya Naoko dijemput bertandang ke Bali. Cinta Naoko dan Sukarno semakin mekar dan akhirnya mereka menikah. Jika hendak ditulis kisah Sukarno dengan wanita-wanita yang pernah dicintainya tentulah boleh dijadikan novel untuk dibaca sepanjang zaman.


Seorang penjual ubat ‘kuat’ lelaki di Masjid al-Hasanah di Bangi pernah bertanya kepada jemaah yang mendengar ceramah ubat ‘kuatnya. “Kenapa ratna sari Dewi tidak berkahwin selepas Sukarno meninggal? Siapa boleh jawab?” Soal si penjual ubat.


Jemaah yang asyik mendengar, tertunggu-tunggu jawapan si penjual ubat ‘kuat’ itu. Penjual ubat ‘kuat’ itu menyambung: “Sari Dewi kata tak ada lelaki sehebat Sukarno. Ini yang kita nak. Jangan bila kita pergi kerja, isteri di rumah dikerjakan orang! Minta maaf, saya suka cakap terus terang!”


Itulah cerita Sukarno yang masih diberi nafas baru oleh si penjual ubat di Masjid al-Hasanah, Bangi. Kehebatan Sukarno berjaya menakluk sembilan hati wanita cantik dan muda menjadi senbutan ramai. Walaupun usia Sukarno semakin meningkat, aura cinta serta keinginan menakluk hati wanita muda dan cantik tidak pernah padam.


Ini terbukti, apabila isteri terakhir Sukarno, Heldy Djalar dikahwini ketika berusia 18 tahun, beza 48 tahun dari usia Sukarno. Perkahwinan itu bertahan dua tahun sebelum kejatuhan Sukarno pada tahun 1967 dan dihumbankan dalam tahanan di Wisma Yoso, Jakarta.


Episod cinta Sukarno sentiasa bergelora. Lihatlah deretan isterinya dari Oetari, Inggit Garmasih, Fatmawati, Hartini, Dewi Sukarno, Haryati, Yurike Sanggar dan Kartini Manoppo.


Kartini Manoppo misalnya, bekas pramugari syarikat penerbangan Indonesia, Garuda. Sukarno jatuh cinta pada Kartini apabila melihat potret wajah wanita itu yang dilukis oleh pelukis terkenal Basuki Abdullah. Mereka bernikah pada tahun 1959.


Yurike dikahwini ketika berusia 18 tahun. Fatmawati (20) tahun. Hanya Inggit Garmasih wanita yang tua lebih 15 tahun daripada Sukarno.


Satu tindakan paling berani dilakukan Sukarno ialah apabila secara gentleman meminta izin untuk berkahwin dengan Hartini. Peristiwa itu berlaku selepas dua hari Fatmawati melahirkan Guruh Sukarnoputra. Fatmawati ialah ibu kepada Megawati Sukarnoputri, bekas Presiden Indonesia.


Walaupun peristiwa itu melukakan hati Fatmawati sehingga berpindah ke Jalan Sriwijaya, Jakarta namun wanita itu tetap menghormati Sukarno atas ‘keberaniannya’.


“Terlepas daripada perasaanku, satu hal yang patuit dipuji. Bung Karno tidak hipokrit,” tulis Fatmawati dalam sebuah buku berjudul Catatan Kecil Bersama Bung Karno.


Bak kata Sukarno: “Seorang isteri akan memaaf dan melupakan perbuatan suaminya yang salah, tetapi jika suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain…isterinya mungkin akan memaafkannya tetapi tidak akan pernah melupakannya sehingga akhir hayat...”


Dalam wawancara yang dilakukan Cindy Adams, penulis biografinya , secara terang-terangan Sukarno berkata: “I’m a very physical man, I must have sex everyday!”


Pernah dalam satu wawancara, Sukarno yang mengagumi kecantikan wanita berkata: “Tuhan menciptakan wanita penuh dengan keindahan. Saya fikir setiap lelaki normal senang melihat keindahan yang ada pada diri wanita!”


Pada masa lain pula, Sukarno pernah mengatakan: “Aku menjunjung Nabi Besar. Aku mempelajari ucapan-ucapan baginda dengan teliti. Jadi, moralnya bagiku adalah bukan suatu dosa atau tidak sopan kalau seseorang mengagumi perempuan yang cantik. Dan aku tidak malu bernbuat begitu kerana melakukan itu pada hakikatnya aku memuji Tuhan dan memuji apa yang telah diciptakan-Nya!”


Mastika Mac 2010 (m/s 74-80)

3 comments:

  1. adakah presiden malay sejantan Soekarno?

    ReplyDelete
  2. maaf bro... di malay kaya nya gak ada presiden.... wong mereka budak nya england... nyium tangan ratu ko...

    ReplyDelete
  3. yang 9 tu semua murahan........buat malu aja....janytan ape????haha

    ReplyDelete