Pages

Sunday, October 17, 2010

APAKAH AYAH MASIH SEPERTI SEMALAM?

Salah sebuah buku
yang mengupas tentang alam kubur.
-gambar hiasan-

Suatu petang selesai solat Asar, Hassan Al-Bashri duduk di bawah pokok kurma di hadapan rumahnya. Tiba-tiba melintas sekumpulan anak muda dari hujung kampung mengusung jenazah.


Di belakang kumpulan itu berduyun-duyun saudara mara mengekorinya. Sementara itu, anak perempuan si mati berjalan di bawah usungan tersebut mengiringi jenazah dengan lelehan air mata. Rambutnya mengerbang dan sesekali dia tersedu-sedu.

Hassan bangkit daripada tempat duduknya dan turut menghantar jenazah hingga ke kawasan perkuburan. Sewaktu berjalan dia terdengar gadis itu merintih:

“Ayah…ayah! Kenapalah malang sangat nasib saya, terpaksa menempuh keadaan begini.”

Mendengar rintihan itu, Hassan mempercepatkan langkahnya lalu menghampiri gadis itu. “Anakku, kau tidak akan dapat menemui ayahmu lagi selepas ini,” kata Hassan kepada gadis itu yang kelihatan terperanjat. Di tenungnya tepat-tepat wajah orang tua yang tak dikenalinya itu.

Melihat gadis itu masih dalam keadaan terpinga-pinga, Hassan mempercepatkan langkahnya mendahului kumpulan pemuda yang mengusung jenazah. Setelah mengimamkan sembahyang jenazah, Hassan terus pulang.

Tinggallah anak gadis si mati di sisi kubur ayahnya. Sekejap dia bersimpuh, sekejap lagi dia berlari. Ketika hari hampir senja barulah dia berjalan pulang. Sewaktu meninggalkan tanah perkuburan itu dia sempat berbisik.

“Ayah, awal pagi esok saya akan datang lagi.”

Keesokan paginya setelah solat Subuh, mengaji dan sembahyang sunat, Hassan duduk menghirup udara pagi di bawah pokok kurma. Sedang tangannya ralit menghitung tasbih, mata pula tidak lepas memandang jalan berpasir yang terbentang di hadapannya, dia ternampak berbalam-balam seseorang sedang berjalan ke arahnya.

“Kemana arah tujuannya, berjalan sendirian di subuh-subuh begini,” bisik Hassan. Semakin lama semakin hampir dan jelas, dia anak gadis si mati yang ditemuinya semalam.

Gadis itu sambil berjalan menangis teresak-esak tanpa menghiraukan Hassan yang sedang memerhatikannya.

“Tentu ada sesuatu yang hendak dilakukannya, baik aku ikut,” bisik Hassan sendirian. Lalu diekorinya gadis itu.

Sampai di hujung jalan gadis itu membelok ke kawasan perkuburan. Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, dia terus menuju ke kubur ayahnya. Gadis itu kemudian merebahkan badannya di atas kubur sementara mukanya disembamkan ke tanah.

Hassan memerhatikan dari jauh. Kemudian dia terhendap-hendap menuju ke sebatang pokok besar berhampiran. Dari celah dahan pokok itu dia mengintai perlakuan gadis tersebut.

Gadis itu sedang meratap memanggil-manggil ayahnya. “Bagaimanalah ayah tinggal dalam gelap sendirian dan tidak ada penghibur?”


gambar hiasan

“Ayah, akulah yang membentangkan tilammu semalam, tapi siapa pula yang membantumu malam tadi. Semalam tangan inilah yang menyelimutkan tubuhmu. Malam tadi siapa pula yang melakukannya.”

“Wahai ayah! Akulah yang mengambilkan minuman, makanan dan menyuapkannya ke mulut ayah, tapi kini siapa pula yang melakukannya?”

“Semalam akulah yang memakaikan bajumu, tapi hari ini siapakah yang membantumu?”

“Ayah… masih terdengar suara ayah memanggil namaku semalam,tapi hari ini suara itu tiada lagi,” katanya mendayu-dayu.

Ratapan anak gadis itu benar-benar menyentuh hati Hassan. Dia keluar perlahan-lahan dari tempat persembunyian dengan harapan kehadirannya tidak akan disedari. Diatur langkahnya penuh cermat menghampiri gadis yang sedang mendakap kubur ayahnya. Bahu gadis itu ditepuknya lembut sebaik menghampirinya.

“Wahai anakku, janganlah meratap sedemikian di atas kubur ayahmu. Mahukah kamu, kalau saya ajarkan ucapan yang harus kamu lakukan?”

gambar hiasan

Gadis itu menoleh dan agak lama dia menatap wajah Hassan. Mungkin dia terkenangkan pertemuannya dengan imam itu semalam. Apabila pertanyaannya tidak dijawab, Hassan mengulanginya sekali lagi. Barulah gadis itu mengangguk sambil mengesat air matanya.

“Katakan begini: “Kelmarin akulah yang menghadapkan ayah ke kiblat. Adakah keadaan ayah masih seperti semalam atau ayah sudah berpaling?”

“Ayah, aku mengapani jasadmu dengan kain putih yang baik. Adakah ia masih baik atau sudah koyak rabak?”

“Semalam sewaktu jasad ayah diturunkan ke liang lahad, ia masih sempurna. Adakah ia masih begitu atau sudah reput dimamah cacing?”

“Wahai ayah, ada ulama mengatakan, setiap yang mati akan ditanya urusan iman. Adakah ayah dapat menjawab setiap soalan?”

“Ulamak berkata lagi, ada yang diberikan Allah kubur yang lapang namun ada pula yang sempit. Bagaimana kubur ayah…sempit atau lapang?”

“Ada pula yang mendapat kain kapan dari syurga dan ada pula yang terimanya dari neraka. Kain kapan ayah dari mana?”

“Kubur itu ibarat taman-taman syurga atau lubang-lubang neraka. Kubur ayah taman syurga atau lubang neraka?”

“Ada kubur yang merangkul si mati seperti ibu merangkul anaknya. Namun ada juga yang menghimpit si mati hingga berselisih tulang rusuk.

“Adakah kubur itu merangkul atau menghimpit ayah?”

“Wahai ayah, orang yang beriman menyesal lantaran kurang melakukan kebaikan, manakala yang jahat pula menyesal kerana sering melakukan kejahatan semasa hidup. Adakah ayah antara ahli kubur yang menyesal kerana kurang melakukan kebaikan atau sering berbuat jahat?”

“Wahai ayah, semalam apabila aku memanggilmu, kau terus menyahut. Tapi hari ini, sudah puas kupanggil, tapi tiada jawapan.”

”Aku tidak akan dapat berjumpa denganmu lagi sehingga datangnya kiamat. Ya Allah…janganlah Engkau halang aku daripada bertemu dengan ayahku di akhirat kelak,” ajar Hassan.

Kemudian anak gadis itu memandang Imam Hassan Al Bashri lalu berkata: “Wahai tuan, terima kasih atas nasihatmu yang baik itu. Sesungguhnya ia cukup menyedarkan aku yang sedang lalai,” jawab gadis itu lalu berhenti menangis.

No comments:

Post a Comment