Pages

Sunday, October 3, 2010

HARGA SEBUAH POTRET

Seorang lelaki kaya berkongsi hobi dengan anak tunggalnya, mengumpul lukisan karya pelukis agung. Kedua-duanya sanggup mengembara kemana sahaja semata-mata mencari lukisan.


Karya seniman tempatan dan luar negara seperti Picasso, Van Gogh dan sebagainya menghiasi dinding kediaman mewah lelaki berkenaan. Rumah agam yang terletak disebuah ladang luas bagaikan galeri lukisan selepas isterinya meninggal dunia beberapa tahun lalu.


Kedua-dua beranak itu menghabiskan waktu santai mereka menatap koleksi lukisan itu tanpa rasa jemu. Sesekali mereka bersembang mencerita kembali kisah menarik di sebalik setiap lukisan yang ada diantaranya dipenuhi misteri.


Suatu hari sianak memberitahu ayahnya yang dia mahu menyertai pasukan tentera laut.


“Ayah bangga dengan sikap kamu itu,” kata ayahnya.


Sianak terpaksa berpisah dengan ayahnya. Sekali-sekala dia pulang menjenguk ayah yang telah tua serta menikmati semula lukisan yang memenuhi dinding banglo rumahnya itu.


Suatu petang beberapa hari sebelum ulang tahunnya yang ke 69, siayah menerima khabar buruk, anak kesayangannya hilang semasa melakukan operasi mengejar lanun. Tiga hari kemudian, anaknya disahkan terkorban terkena tembakan musuh.


Lelaki tua itu hilang semangat. Sambutan ulang tahunnya takkan seceria tahun-tahun sebelumnya. Beliau keseorangan tanpa adanya teman berbual. Tiada kedengaran gelak ketawa rakan kenalan dan lebih menyayat hati tanpa kehadiran insan tersayang disisi.


Awal pagi itu, sedang lelaki itu duduk termenung di ruang tamu, tanpa sebarang makanan atau minuman di atas meja, pintu rumahnya diketuk beberapa kali. “Siapa agaknya yang datang untuk mengucapkan selamat ulang tahun pagi ini?” getus lelaki tersebut. Sambil berjalan ke pintu, dia terkenangkan anak tunggalnya itu.


“Ah…mana mungkin anak yang mati dapat hidup semula,” bisiknya. “Boleh saya masuk?” kata seorang pemuda yang tercegat di muka pintu. Lelaki tua itu gamam. Pemuda itu, yang pasti bukan anaknya, lengkap berpakaian seragam anggota tentera laut.


“Saya kawan karib anak pak cik,” kata pemuda itu lagi menghulurkan tangan. “Anuar nama saya, rakan sepasukan yang sempat bercakap dengan anak pak cik saat dia terkena tembakan musuh,” berkata pemuda itu sebaik dijemput masuk oleh lelaki tua itu.

“Pak cik, anak pak cik jasanya cukup besar. Dia telah menyelamatkan puluhan nyawa anggota lain sebelum dia sendiri kecundang,” anak muda itu meneruskan ceritanya.


“Saya tahu pak cik sangat sedih hari ini. Tiada siapa datang memberikan ucap selamat seperti selalu. “Biarlah saya berikan ucapan itu. Sudilah menerima pemberian saya ini,” kata pemuda itu memberikan hadiah yang dari tadi dikepit di celah ketiaknya.


“Terima kasih…,” balas lelaki tua itu ringkas, lantas meletakkan hadiah yang berbalut kemas itu di tepi dinding. Dia kelihatan mengesat matanya beberapa ketika. Kedua-dua mereka rancak berbual tanpa menyedari hari menjelang petang. Pemuda itu menjelaskan bahawa dia juga seorang pelukis dan tertarik dengan minat dua beranak tersebut.


“Yang saya hadiahkan itu lukisan karya saya pak cik!” kata pemuda itu. Mendengar penjelasan itu, lelaki tua tadi mengambil semula lukisan tadi lalu mengoyakkan bungkusannya.


“Saya akan gantung potret ini pada dinding bilik tamu ini. Inilah lukisan paling hebat pernah saya lihat sepanjang hidup saya,” ujar lelaki itu mengesat-ngesat matanya tatkala melihat lukisan itu iaitu potret anaknya.


Malam itu, lelaki tua menghabiskan masa mengalihkan beberapa lukisan mahal untuk diganti dengan lukisan pemberian rakan anaknya itu. Dia kemudian duduk di kerusi malas sambil menatap potret anaknya yang hilang itu. Pada riak wajahnya, walaupun itu sekadar lukisan, namun dia semacam dapat merasai kelibat kehadiran anaknya. Dengan rasa bangga, dia memberitahu jiran dan rakan-rakannya, itulah lukisan paling hebat di dunia.


Sejak itu, lelaki tua menghabiskan masa merenung potret anaknya sambil air matanya merembes. Ada kalanya dia lupa makan minum. Akibatnya, kesihatan lelaki tua itu sering terganggu.


Genap usianya 69 tahun, 3 bulan dan 6 hari, lelaki tua yang kesepian itu menghembuskan nafas terakhir dirumahnya. Hanya dua tiga kerat jiran tetangga yang menyaksikan dia menarik nafas akhirnya.


Atas wasiatnya, kesemua lukisan yang terpampang pada dinding banglo mewah lelaki itu dilelong sembilan bulan kemudian, pada hari ulang tahun kelahirannya.


Ini kerana pada hari itulah lelaki berkenaan yang patah hati mendapat semula ‘semangat’ menerusi pemberian lukisan potret anaknya. Hari dinantikan pun tiba. Ruang galeri penuh sesak dengan para pembida yang datang sejak awal pagi.


“Kami memiliki banyak lukisan untuk dilelong. Namun menurut wasiat, proses lelongan mesti bermula dengan bidaan untuk lukisan ini terlebih dahulu,” jerit seorang petugas lelong penuh semangat.


Hadirin kemudian dipertonton dengan lukisan potret anak lelaki tersebut. Galeri yang asalnya bising, langsung senyap tanpa suara. Masing-masing dilihat tidak berminat dan ada yang berkira-kira membida lukisan-lukisan mahal selepas tawaran lelong lukisan potret anak hartawan itu.


“Kita mulakan dan siapa berhajat membuka bidaan pada nilai terendah RM100?” jerit pelelong. Matanya meliar memandang setiap hadirin. Malangnya, setelah beberapa minit menanti, tiada seorang pun berminat. Ramai dilihat berbisik-bisik kemudian membisu.


Seorang pembida bangun bersuara: “Siapa peduli lukisan itu! Lebih baik kita lupakan dan langkau sahaja dengan lukisan lain.”


Hadirin mengangguk-angguk tanda setuju dengan pendapat pembida itu. “Tak boleh! Kita mesti mula dengan lukisan ini dahulu,” tegas pelelong bersuara serius.


Akhirnya, setelah beberapa minit menunggu, seorang anak muda mengangkat tangan. “Boleh tak saya bida lukisan itu pada nilai RM100 kerana itulah sahaja wang yang saya ada.”


“Lagipun abang saya kawan orang dalam potret itu yang bergadai nyawa kerana negara,” ujar anak muda itu sambil para hadirin memandangnya penuh sinis.


“Baiklah, siapa ada bidaan yang lebih tinggi? Soal petugas lelong. Suasana galeri senyap. “Pertama…,kedua…,dan ketiga…Habis!


“Awak kini boleh ambil lukisan ini,” kata pelelong kepada pemuda itu. Hadirin dilihat menarik nafas lega kerana akhirnya ada orang yang sanggup membeli lukisan tersebut.


“Sekarang bolehlah kami membida lukisan seterusnya,” kata pembida lain. Petugas lelong tersenyum dan kemudian memaklumkan bahawa proses lelongan sudah pun berakhir. Ramai terkejut dan tidak berpuas hati.


“Bukankah masih banyak lagi lukisan yang bernilai jutaan ringgit untuk dilelong?” Tanya seorang pembida berang. Suasana di ruang galeri menjadi kecoh.


“Kami mahukan penjelasan apa sebenarnya berlaku?” kata seorang pembida. “Baiklah, memandangkan ramai yang bertegas hendakkan jawapan, saya akan jelaskan…,” hadirin yang tadinya bising kembali senyap semula.


“Menurut wasiat si mati, sesiapa sanggup membeli potret anaknya itu, maka dia berhak mendapat semua lukisan yang ada,” jelas pelelong itu.


“Inilah nilai sebenar lukisan tersebut. Biarpun murah, namun nilainya menyamai semua lukisan yang sedia ada!” ujarnya lagi sambil tersenyum. Hadirin terpinga-pinga!

1 comment:

  1. http://razifyahil.blogspot.com

    xde link utk follow blog ni ke?
    seksa tul nak cari blog ni..

    ReplyDelete