Pages

Sunday, January 2, 2011

KISAH DARI AL QURAN - "PEMILIK KEBUN"

Syeikh Abdullah adalah salah seorang penduduk kota Dharawan yang dikurniakan Allah sebuah kebun yang subur dengan berbagai jenis buah-buahan yang menghiasi ranting-ranting pohon sehingga kebun beliau menjadi seperti salah satu syurga Allah di muka bumi.


Dia juga rajin merawat tanaman dan pohon buah-buahan itu hingga pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap musim.

Syeikh Abdullah juga merupakan seorang hamba Allah yang soleh dan mengetahui hak-hak Allah pada hartanya yang berupa sebuah kebun tanaman yang subur. Setiap kali musim menuai tiba dia tidak pernah lupa untuk mengeluarkan zakat. Akibat dari sifat yang warak itu, Allah telah memberkati kebunya dengan memberi hasil yang berlipat kali ganda.

Salah sebuah kebuan buah-buahan yang sempat dirakam
(gambar hiasan)


Orang-orang fakir dan miskin yang berada dikota itu bebas memakannya tanpa dikenakan sebarang bayaran oleh Syeikh Abdullah. Mereka menganggap kebun Syeikh Abdullah sebagai syurga bagi mereka sementara Syeikh Abdullah terus mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah melalui hasil yang melimpah ruah dari kebunnya.

Syeikh Abdullah dikurniakan Allah tiga orang anak lelaki. Diantara ketiga-tiga anak lelakinya itu, yang sulong dan yang bongsu selalu bersikap tamak dan tidak bersetuju dengan perbuatan ayahnya yang mengeluarkan zakat dan memberi sedekah kepada fakir miskin. Sementara anaknya yang tengah selalu beserta ayahnya dalam setiap tindakan yang dilakukan. Syeikh Abdullah selalu berdoa kepada Allah supaya kedua-dua anaknya itu diberi petunjuk.

Anak yang sulong selalu mempertikaikan akan kewajaran ayahnya memberikan sedekah manakala yang bongsu akan menyokong dan memberi pendapat bahawa jika setiap hasil dari kebun itu dijual nescaya mereka akan menjadi kaya di kota Dharawan ini.

Anak yang tengah berkata: “Itu adalah hak Allah atas tanam-tanaman.”

Si bongsu pula berkata: “Apakah Allah memerintahkan kepada ayah untuk mensia-siakan harta dan memberikannya kepada setiap orang yang mengaku dirinya fakir?’

Si sulong berkata: “Atau barangkali Allah telah memerintahkan kepadanya untuk mel;upakan kita dari hasil buah-buahan ini?’

Anak yang tengah berkata: “Tidak, bahkan Allah lah yang menumbuhkan buah-buahan ini sedang kita tidak melakukan apa-apapun kecuali hanya menanam benih ditanah, kemudian menyiramnya dengan air. Adapun tanam-tanaman itu sesungguhnya Allah memberikan perintah kepadanya sehingga ia menjadi besar, tumbuh dan kemudian menjadi pohon setelah sebelumnya menjadi benih, lalu pepohonan itupun memberikan buahnya dengan perintah Allah.”

Si bongsu berkata: “Ah itu hanyalah cerita kosong belaka dan tidak ada gunanya. Yang jelas, setiap hari kitalah yang menyiramnya dengan air, memelihara dan menjaganya dari hama.”

Anak yang tengah berkata: “Bahkan Allah lah yang menjaganya dari ditimpa api yang akan membakarnya, atau dari hujan yang akan menenggelamkannya, atau dari hama yang tidak dapat kita lihat atau kita atasi. Apa yang dikeluarkan oleh ayah kita adalah sebahagian dari hak Allah dan bukan seluruhnya. Seandainya Allah memerintahkan kita mengeluarkan hak itu seluruhnya, nescaya kita tidak mendapat kebahagiaan apa pun.”

Si sulong berkata: “Kami mengakui terhadap hak Allah, tapi apakah Allah memerintahkan agar ayah kita memberikannya kepada orang-orang fakir dan miskin.

Anak yang tengah berkata: “Ya! Sebab Allah telah memberikan kita harta dan buah-buahan dan dia menjadikan kita orang-orang yang mendapatkan amanah pada kedua hal itu. Sementara Allah pun menjadikan sebahagian orang sebagai orang-orang fakir, agar orang kaya memberikan sebahagian hartanya kepada orang fakir sehingga mereka dapat hidup. Jika kita tidak memberikan apapun terhadap orang-orang fakir, dari mana mereka dan keluarganya akan makan?”

Si sulong lantas berkata: “Lalu kenapa setiap orang dari mereka tidak bekerja sendiri dan makan dari hasilnya?”

Si tengah menjawab: “Sebahagian dari mereka bekerja, tapi Allah lah yang Maha Pemberi rezeki. Dia meluaskan rezeki kepada sebahagian dari kita dan menyempitkannya kepada sebahagian yang lain untuk menguji kita, juga untuk mengetahui dengan nyata siapa yang menunaikan hak Allah dan siapa yang tidak menunaikannya.”

Anak yang bongsu berkata: “Kamu seperti ayah kita dan nampaknya penyakit kepada keluarga kita sudah merupakan penyakit keturunan.”

Anak yang tengah lalu berkata: “Zakat dan sedekah yang dikeluarkan sebagai penyakit? Astaghfirullah hal adzim. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kamu berdua, wahai saudara-saudaraku yang mulia!”

Sudahkah pemilik kebun ini mengeluarkan zakat tanamannya?
(gambar hiasan)

Ketiga-tiga saudara itu kemudian berpisah. Anak yang tengah pergi mengikut jejak ayahnya, sementara kedua saudaranya pergi menjauhkan diri dari ayahnya dan menghabiskan malam-malam berikutnya dengan penuh kemarahan terhadap ayah dan saudara tengahnya.

Salah seorang yang fakir datang kekebun Syeikh Abdullah untuk meminta sejumlah buah-buahan untuk anaknya yang sedang sakit dan menangis tiada hentinya kerana tidak menemui sesuatupun yang boleh dimakan. Syeikh Abdullah kemudian masuk kekebunnya lalu memetik buah-buahannya kemudian memberikan sebahagiannya. Setelah itu Syeikh memberikan sejumlah wang kepada si fakir tersebut.

Tiba-tiba si fakir berdoa dengan suara kuat: “Semoga Allah memberkatimu, pada harta dan ‘Syurga’ mu.

Syeikh kemudian menatap anak-anaknya dan berkata: “Kerana doa-doa seperti inilah Allah memberikan keberkatan kepada kita pada kebun dan buah-buahan kita wahai anak-anakku.”

Anak yang sulong kemudian pergi sambil menggigit kedua-dua bibirnya kerana marah sambil berkata: “Kerana si fakir dan orang-orang seperti inilah kita bakal tidak mendapatkan sebiji buah atau satu dirham pun untuk kita makan.

Syeikh Abdullah kemudian marah dan berkata: “Allah tidak akan memberikan keberkatan apapun kepadamu dan saudara kamu selama kamu dalam keadaan kedekut ini.”

Anak yang tengah cuba menenangkan ayahnya lalu berkata: “Ayah, sesungguhnya saudaraku ini tidak bermaksud apapun melainkan bahawa ayah sudahpun mengeluarkan zakat harta dan buah-buahan sehingga kita tidak perlu lagi bersedekah.

Syeikh berkata: “ Wahai anakku, sesungguhnya sedekah itu dapat memadamkan kemurkaan Allah dan meninggikan darjat orang-orang mukmin di syurga. Sesungguhnya Allah akan memberikan untuk sebiji yang disedekahkan seratus kebaikan. Jika kita bersedekah dengan tujuh biji buah, nescaya Allah akan menjadikan pada setiap biji buah itu pahala seratus biji buah yakni semuanya menjadi tujuh ratus biji buah, sedangkan satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan yang serupa. Jadi jumlah keseluruhannya akan menjadi tujuh ribu kebaikan. Allah akan menambah dan melipat gandakan pahala bagi siapa pun yang Dia kehendaki, sebab Allah Maha Pemberi kurnia yang agung.”

Anak yang tengah berkata: “ Apa lagi pahala untuk orang-orang yang bersedekah, ayah?”

Syeikh berkata : “Allah akan memberikan pahala kepadanya yang tidak Dia berikan kepada seseorang manusia pun.”

Sesungguhnya pada hari kiamat, matahari dekat dengan kepala sehingga manusia memerlukan naungan dan air kerana sangat haus. Mereka tidak akan mendapatkannya selain naungan Arasy Allah.

Diantara tujuh kelompok yang akan Allah masukkan kedalam naunganNya pada hari yang tiada naungan selain naunganNya adalah orang-orang yang mengeluarkan sedekahnya dengan tangan kanan, kemudian menyembunyikannya dari tangan kiri sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanan.”

Anak yang bongsu menjawab dengan nada sinis: “Tapi didunia kita perlu harta, bukan kebaikan.”

Anak yang tengah menjawab: “Tapi di akhirat kita tidak memerlukan apapun selain kebaikan dan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Ketika kamu berdiri di hadapan Allah, tidak akan pernah berguna harta dan kekayaan itu, sebab itu akan hilang dan lenyap setelah kematianmu.”

Syeikh Abdullah berkata: “Ketahuilah bahawa orang yang tidak mengeluarkan zakat harta itu akan Allah jadikan pada hari kiamat kelak sebagai tontonan bagi yang lain, kerana Allah akan menyeksanya dengan seksaan yang pedih. Orang yang tidak mengeluarkan zakat akan dikurung pada hari kiamat dalam kurungan yang diperbuat dari api, hingga Allah selesai dari menghisab semua makhlukNya mula dari Adam a.s hingga orang yang paling terakhir matinya.

Allah kemudian mengalihkan perhatianNya dengan pandangan yang murka kepada orang-orang yang tidak mengeluarkan zakatnya. Setelah itu hartanya akan berubah nmenjadi kalung api dilehernya, kemudian api membakar harta emas dan perak simpanannya. Selanjutnya, kening, lambung dan punggungnya akan diseterika dengan api itu.”

Saudara sulong berkata tanpa mendengar perkataan ayahnya: “bahkan aku akan bertaubat sebelum mati dan Allah akan mengampuniku. Dengan demikian, aku dapat menikmati harta di dunia dan syurga di akhirat.”

Meskipun ayahnya tidak mendengar, namun Allah dapat mendengar, sebab Dia adalah Zat yang Maha Mendengar segala suara. Tiada sesuatu pun yang samar bagi-Nya, kerana Dia adalah Zat yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Allah tidak akan menerima taubat orang yang melakukan dosa dan lupa bahawa Allah hanya menerima taubat dari orang-orang yang berniat untuk taubat, bukan orang-orang yang berniat untuk maksiat.

Semuanya kemudian berpisah ketika waktu solat telah tiba. Ketika Syeikh Abdullah bersujud, dia memanjatkan doanya: “Ya Allah, berilah petunjuk kepada anak-anakku.”

“Aku berpesan kepada kamu untuk berbuat baik kepada orang-orang fakir dan tidak melupakan zakat hak Allah yang ada pada kebun kita,”

Demikianlah perkataan Syeikh Abdullah di atas pembaringannya saat sedang sakit tenat sehingga tidak lama kemudian sakitnya ini membawa kepada kematian. Rupanya Allah menghendaki lelaki yang baik dan pemilik ‘syurga’ itu wafat, beberapa saat sebelum musim tuaian tiba.

Ketiga-tiga bersaudara itu kemudian kembali setelah mereka memakamkan ayah mereka. Mereka menangisi kematian ayahnya dan bersedih kerana berpisah dengannya. Setelah itu setiap daripada mereka pulang ke rumah masing-masing.

Ketika pagi menyingsing, mereka pergi menuju ke kebun tempat mereka menyediakan segala sesuatu untuk musim tuaian yang sudah dekat waktunya. Mereka menyediakan kebun mereka untuk menjemput musim tuaian ini dengan penuh kebahagiaan kerana kebun tersebut memberikan hasil buah-buahan yang berlimpah ruah.

Buah-buahan yang ada di atas pohon itu seperti bintang yang menyinari langit atau lampu yang menghiasi pepohonan. Kurnia itu begitu melimpah dan rezeki itu sangat banyak, sehingga masing-masing dari mereka melihat ‘syurga’ itu dan mengharapkan seandainya ayah mereka masih hidup, nescaya dia akan turut merasakan kebahagiaan mereka, kerana buah-buahan yang begitu banyak.

Ketiga-tiga orang itu kembali ke rumah mereka dan mereka mula bergaduh sesama mereka.

Anak sulong berkata: “Atas alasan apa kita harus memberikan harta kita kepada orang-orang fakir.”

Anak yang tengah menjawab: “Ini adalah hak Allah, dan Dia telah memerintahkan ini kepada kita untuk mengeluarkannya. Demikian juga ayahmu pun telah mewasiatkannya kepadamu sebelum dia meninggal dunia.”

Anak bongsu berkata: “Sesungguhnya ayah kita itu bodoh. Dia memberikan buah-buahan dan hartanya kepada orang-orang fakir. Seandainya kita menjual buah-buahan itu, nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya dan kita pun dapat menyimpan harta yang banyak.

Anak yang tengah menjawab: “Kamu memaki ayahmu dan menuduhnya bodoh dan kamu juga melarang zakat?”

Anak sulong berkata: “Janganlah kamu memaki ayah kita. Inilah kesalahan darimu. Namun kamu benar jika kamu mengatakan bahawa pada tahun ini kita tidak akan memberikan sedikit pun dari buah-buahan itu kepada orang-orang fakir.”

Anak yang tengah berkata: “Bagaimana? bagaimana mungkin kamu melarang sesuatu yang telah Allah perintahkan kepada kita. Apakah kamu telah lupa akan semua hal yang pernah dikatakan tentang hal ini?”

Anak bongsu berkata: “Dia saudara tuamu. Dengarlah apa yang dia katakan. Laksanakan apa yang dia perintahkan, kecuali kami pun akan mengharamkanmu mendapatkan buah-buahan ini.”

Anak sulong berkata: “Saudaraku, itu adalah harta kita, sedang ayahmu semoga Allah merahmatinya kerana telah mengeluarkan zakat selama bertahun-tahun lamanya. Kita akan menyimpan harta ini dan tidak mengeluarkan zakatnya hanya untuk tahun ini saja. Setelah itu, kita akan mengeluarkan zakat harta ini setiap tahun.”

Anak yang tengah berkata: “Jangan lakukan itu saudaraku, sebab barang siapa yang tidak memberikan zakat sekali, maka untuk selanjutnya berat baginya untuk mengeluarkannya.”

Anak bongsu berkata: “Zakat, hak Allah, orang-orang fakir. Tinggalkan semua ini. Marilah kita buat kesepakatan, nescaya kita akan menjadi orang yang kaya raya. Harta dan buah-buahan itu akan menjadi milik kita, sedang orang-orang fakir itu, cukuplah mereka mendapatkan zakat di waktu-waktu yang sebelumnya.”

Anak sulong barkata: “Aku mempunyai idea.”

Anak bongsu bertanya: “Apa itu ?”

Anak sulong berkata: “Kita akan menuai pada malam hari dan kita akan memetik buah-buahan itu sebelum Subuh, sebelum orang-orang fakir dan miskin itu masuk ke dalam kebun. Apabila orang-orang fakir itu datang pada pagi hari, mereka tidak akan mendapatkan buah-buahan itu sedikit pun. Meraka kemudian kembali tanpa membawa buah-buahan dan kita dapat melakukan apa yang kita inginkan.”

Anak yang tengah berkata: “Saudaraku, takutlah kamu kepada Allah. Mengapa kamu tidak bertasbih kepada Allah dan memanjatkan puji dan bersyukur kepada-Nya atas kenikmatan yang telah Dia kurniakan kepada kamu dan memohon keampunan kepada-Nya?”

Anak bongsu menjawab: “Kami akan memohon keampunan, tapi setelah menuai nanti.”

Malam telah menyelimutkan kegelapannya kepada alam, sehingga sebahagian manusia tidak boleh melihat sebahagian yang lain, kerana kegelapan malam yang pekat.

Dari rumah Syeikh Abdullah ketiga orang bersaudara itu pergi secara sembunyi-sembunyi di pagi yang masih gelap kerana mereka takut didengar oleh salah seorang miskin, Oleh kerana saudara yang tengah dikhuatirkan akan membongkar rahsia itu, maka kedua-dua saudaranya pun memintanya bersumpah dengan nama Allah bahawa hari itu tidak akan ada seorang miskin pun yang menemui mereka.

Buah yang telah dipetik sedia untuk dipasarkan

Hal itu dilakukan oleh kedua-dua orang itu kerana mereka tahu bahawa saudaranya yang tengah pasti akan menanti perintah mereka. Dengan demikian, mereka berkeyakinan mampu untuk mencegah agar tidak mengeluarkan zakat. Masing-masing dari mereka dalam perjalanannya menuju ke kebun dibuai oleh khayalan akan mendapatkan harta yang banyak, yang akan masuk ke dalam bekas mereka setelah mereka dapat menjual buah-buahan itu. Jika harta itu telah masuk ke dalam bekas mereka, maka mereka dapat membeli berbagai barang, kemudian menjualnya lagi, sehingga harta mereka akan bertambah dan semakin bertambah, sampai menjadi seperti gunung layaknya.

Dengan harta itu, mereka akan membeli kebun yang banyak, sehingga mereka tidak hanya memiliki sebuah kebun, tetapi seribu kebun. Selanjutnya, orang-orang miskin akan menjadi hamba dan pembantu mereka.

Mereka berjalan dengan membawa impiannya masing-masing, hingga mereka sampai di kebun itu. Tiba-tiba mereka menemui kegelapan yang sangat pekat, hingga salah seorang dari mereka hampir tidak dapat melihat tangannya sendiri.

Saudara sulong kemudian berseru: “Mengapa gelap ini? Aku tidak dapat melihat pintu kebun.”

Saudara bongsu menjawab: “Aku benar-benar tersesat. Kita tersesat jalan.”

Saudara yang tengah berkata: “Bahkan kita menjadi orang yang tidak mendapat hasil apa-apa. Allah telah mengharamkan kita dari buah-buahan di kebun itu. Tidakkah sekarang kamu melihat lokasi kebun itu telah menjadi tanah yang kosong. Sekarang Allah telah menghukum kita, sehingga ‘syurga’ yang ayah kamu telah bersusah payah di sana dan kamu tidak ingin mengeluarkan zakat darinya itu pun terbakar habis dan menjadi arang. Bukankah telah aku katakan kepada kamu bahawa hal itu akan terjadi jika kamu tidak bertasbih dan berrsyukur kepada-Nya ?”

“Maha Suci Tuhan kita. Sesungguhnya kita adalah orang-orang yang zalim.”

Mereka kemudian saling mencela, dan berkata: “Aduhai, celakalah kita. Sesungguhnya kita ini adalah orang-orang yang malampaui batas lagi zalim. Mudah-mudahan Allah akan memberi pengganti kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik daripada kebun kita ini. Sesungguhnya kita telah bertaubat kepada Allah dan sesungguhnya kita mengharapkan keampunan dari Tuhan kita.”

Namun mereka menyesal pada saat penyesalan tidak lagi berguna dan mengakui dosa setelah datang hukuman. Oh, seandainya saja mereka mengeluarkan zakat harta mereka sebagaimana yang telah Allah perintahkan kepada mereka nescaya perkara sebegini tidak akan terjadi.

No comments:

Post a Comment