Pages

Sunday, May 8, 2011

INGIN MASUK SYURGA SENDIRI

Inilah salah satu contoh orang yang bersifat ego, iaitu ingin masuk syurga sendiri tanpa memikirkan orang lain.


Abu Yazid al-Bustami adalah seorang yang terkenal sebagai sangat rajin bermunajat kepada Allah. Dia bermunajat kepada Allah. Dia bermunajat kerana ingin masuk syurga.


Hatinya selalu berdukacita. Fikirannya pula seolah-olah melayang sudah sampai di Arasy Tuhan. Hati kecilnya berbisik, “inilah tempat Rasulullah s.a.w., semoga aku kelak menjadi jirannya di syurga.”


Ketika dia tersedar dari khayalannya, terdengar olehnya suara menyeru, “Ada seorang hamba yang kelak menjadi tetanggamu di syurga. Dia tinggal di negeri ini.”


Lalu dia teringin untuk mencari hamba yang kelak menjadi tetangganya di syurga. Abu Yazid pun keluar rumah untuk mencari hamba yang dimaksudkan. Dia berjalan kaki hingga sejauh 100 farsah dan tiba di negeri hamba yang disebutkan.


Ketika dia bertemu hamba berkenaan, seorang lelaki menasihatinya. “Mengapa engkau mencari orang yang fasiq dan peminum arak? Pada hal dari tanda-tanda di dahimu, kau adalah seorang yang soleh.”


Mendengarkan nasihat itu, Abu Yazid termangu seketika. “Jika demikian, suara yang menyuruhku sewaktu bermunajat itu agaknya suara syaitan! Mengapa aku harus menurutinya?”


Lalu dia mahu melangkahkan kaki untuk kembali. Pun hatinya berbisik lagi. “Aku datang dari jauh. Aku ke mari untuk menemui hambamu itu. Atau… agaknya aku belum terjumpa hamba yang dimaksudkan! ? Ya! Bagaimanapun aku tak akan pulang sebelum bertemu dia.”


“Di manakah tempatnya sahabat itu?” Tanya Abu Yazid.


“Dia sekarang sedang mabuk-mabuk di tempat ini,” ujar lelaki itu.


Abu Yazid menuju hamba yang disebutkan itu. Benar! Dia menyaksikan di situ, ada 40 orang lelaki yang sedang mabuk kerana meminum khamar sementara hamba yang dicarinya itu sedang duduk di tengah-tengah mereka. Memandangkan keadaan sedemikian Abu Yazid berasa kesal dan putus asa. Dia mahu meninggalkan tempat itu. Tetapi sebaik saja melangkah, hamba itu memanggilnya. “Hai Abu Yazid! Mengapa engkau tidak jadi masuk ke dalam rumahku? Tidakkah engkau datang dari jauh, semata-mata untuk menemuiku? Katanya engkau mencari hamba sebagai tetanggamu di syurga kelak!”


Mendengarkan kata-kata begitu, Abu Yazid termasygul. Dia tertanya-tanya, bagaimana hamba itu mengetahui maksud kedatangannya sedangkan dia belum menyatakan isi hatinya.


“Engkau begitu cepat mahu meninggalkan tempat ini tanpa mengucapkan salam, tanpa perjumpaan dan memberI nasihat,” kata sahabat itu menambahkan lagi kemasygulan Abu Yazid.


Dalam keadaan begitu, Abu Yazid terpaku. Mulutnya bagaikan terkunci rapat. Tetapi di dalam hatinya jelas bergelut sesuatu.


“Sudahlah Abu Yazid. Kau tak perlu banyak berfikir dan merasa hairan. Yang menyuruhmu datang ke mari telah memberitahuku. Ayuh! Masuklah ke rumahku. Duduklah barang seketika,” ajak hamba itu.


Dengan sedikit keraguan Abu Yazid menurutinya masuk ke dalam rumah dan duduk di antara lelaki-lelaki lain yang sedang mabuk khamar itu.


“Apa sebenarnya yang terjadi di rumah ini, dan apa pula perananmu di sini?” Tanya Abu Yazid.


“Hai Abu Yazid! Untuk masuk syurga, kita tidak boleh bersifat ego. Kita tidak boleh cuma ingin kesenangan sendiri. Itu bukan sifat utama dan mulia bagi seorang lelaki seperti engkau.” Katanya memula nasihat.


“Dulu ada 80 orang fasiq yang mabuk-mabuk seperti yang kau lihat kini. Kemudian aku berusaha menarik mereka bertaubat dan menjadi tetanggaku kelak di syurga. Akhirnya 40 orang berjaya meninggalkan tabiat fasiq, melainkan bakinya 40 orang ini. Inilah tugasmu untuk mengajak supaya bertaubat dan agar dapat menjadi tetanggamu kelak di syurga.” Tambah hamba itu lagi.


Bagaikan disambar petir, hati Abu Yazid mendengar ucapan sahabat itu. Hatinya luluh dan merasa terpanggil agar mengikuti jejak sahabat itu. Dan dia bertekad untuk menyedarkan 40 orang fasiq itu sebagai jirannya di syurga kelak.


Kepada 40 orang yang sedang mabuk khamar itu, sahabat itu memperkenalkan Abu Yazid al-Bustami. Abu Yazid dikatakan akan mengajak mereka untuk sama-sama menghuni syurga. Akhirnya, dengan dakwah dan usaha yang khusus, 40 orang itu telah sedar, insaf dan bertaubat.


Mereka itulah jiran Abu Yazid di syurga kelak.

No comments:

Post a Comment