Pages

Saturday, December 24, 2011

KEMATIAN YANG SESUAI DENGAN DOANYA...

Petang menjelang, seperti biasa pada hari Khamis, Siti sudah mempersiapkan segalanya. Sepinggan nasi, semangkuk sayur, lauk sekadarnya serta secawan teh pun telah dihidangkan di meja makan. Rupanya menu yang disajikan hari ini sudah cukup untuk berbuka puasa nanti tatkala Azan Maghrib berkumandang.

Perempuan ini memang melakukannya sendiri, tidak meminta bantuan kepada orang lain meski pun umurnya sudah meningkat dan fizikalnya juga sudah lemah.

Dia ikhlas melakukannya. Bukan anak-anaknya tidak peduli terhadap keperluan Siti, malahan anak-anaknya seringkali menawarkan diri untuk tinggal bersama dan memenuhi keperluan sehari-hari bersama dalam keadaan seadanya.

Mohammad, anaknya yang sulung pun berkali-kali memohon agar ibunya tak perlu melakukan aktiviti tersebut dan menikmati hari-harinya berkumpul bersama keluarga, tapi Siti rupanya tidak mahu menyusahkan orang lain termasuk anak-anaknya.

Dia ingin lebih masa lapang untuk beribadah, bersolat, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Amalan begitu telah lama dilakukan sejak lama suaminya meninggal dunia, dia mengisi sisa-sisa hidupnya dengan amalan-amalan yang lebih berkah di rumah kecil yang sederhana.

Dia ingin dibuatkan pondok sendiri, agar boleh melakukan aktiviti hariannya dengan tenang. Dan rumah atau pondok itu bersebelahan dengan rumah anak sulungnya. Bagi perempuan ini, bukan harta dan kekayaan yang akan dibawa nanti ke akhirat, namun amalan-amalanlah yang nanti akan dipertanggungjawabkannya.

Dia sedar nanti di akhirat tidak ada yang boleh menolong dirinya kecuali amalan baik yang dilakukannya semasa didunia. Maka dia ingin sisa umurnya tidak disia-siakan untuk bergumul dengan persoalan duniawi yang pasti tak akan habisnya.

Dunia, menurutnya tempat bagi umat manusia untuk berlindung barang sejenak, tempat untuk mempersiapkan bekal untuk menghadapi kehidupan yang lebih kekal, yakni di akhirat. Setiap hari sebahagian besar waktunya dihabiskan untuk mendapat redhaNya. Untuk mencukupi keperluan sehari-hari, dia membuat makanan ringan seperti kerepek atau jagung goreng yang dibungkus dalam plastik dan diletakkan ke beberapa gerai dan kedai terdekat.

Hal ini dilakukan setiap pagi setelah menunaikan solat Dhuha dan mengaji Quran. Hampir tak pernah dilewatkannya setiap habis solat fardhu beserta solat sunat Qabliyah dan Ba'diyahnya, dia lanjutkan dengan zikir kemudian dilanjutkan dengan membaca al-Quran.

Tradisi ini dilakukan sejak muda hingga sekarang. Kerana dia juga percaya bahawa dengan meluangkan masa dengan al-Quran boleh menghindarkan dirinya dari menjadi "nyanyuk" atau pelupa apabila usia makin tua kelak.

Setiap ada kegiatan keagamaan selalu diikutinya. Solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Subuh disurau atau masjid, hampir tak pernah ditinggalkan kecuali ada keuzuran seperti hujan lebat atau keadaan badan yang tidak sihat.

Demikian pula solat Tahajjud juga dilakukannya setiap malam di pertiga akhir hingga Subuh tiba. Tak ketinggalan berpuasa sunat Isnin dan Khamis yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. pun tak pernah ditinggalkannya

Perasaan Siti sudah lega kerana makanan untuk berbuka puasa sudah terhidang. Nasi, sayur, lauk serta segelas teh juga sudah terhidang di meja. Tinggal menunggu azan maghrib tiba. Biasanya saat maghrib tiba, dia akan berbuka puasa terlebih dahulu dengan meminum teh dilanjutkan dengan solat baru kemudian makan nasi.

Mengingat waktu Maghrib sedia tiba, sementara dia tak ingin menunda-nunda Solat Maghrib, maka segera dia mengambil wuduk. Dibelakang rumah Siti ada bilik mandi tertutup terbuat dari anyaman buluh. Disebelahnya, terdapat tempayan kecil yang disanggah empat batang bambu tua. Cucunyalah yang biasa membantunya mengambilkan air telaga sebelah untuk mengisi tempayan untuk mandi.

Selesai berwuduk, Siti membaca doa sambil menengadahkan kedua tangannya. Kedua matanya menatap ke langit. Kain tudung yang diselempangkan di kepala melambai tertiup angin petang. Perempuan ini tidak tahu bahawa apa yang dilakukannya adalah wuduk yang terakhir kalinya, kerana sehabis berdoa ketika kakinya hendak melangkah, dia terantuk batu dan jatuh. Dia tak sempat menjaga keseimbangan tubuhnya. Tangannya pun tak sempat berpegangan pada buloh atau bilik di sampingnya.

Baju panjang serta kain yang dipakainya pun basah oleh curahan air. Badannya membentur tanah serta batu-batu kecil. Sambil menahan rasa sakit, dia masih sempat memanggil cucunya yang kebetulan bermain bola plastik di belakang rumah. Mendengar suara orang terjatuh kemudian diikuti suara keluhan minta tolong, kedua-dua cucu Siti segera menghentikan permainannya bergegas menuju arah panggilan tersebut. Mereka terlihat embah atau nenek mereka sedang terbaring di bilik mandi.

"Astaghfirullah embah, kenapa jadi begini?" kata Yip, 15, terkejut melihat keadaan neneknya.

"Tolong...!" kata Siti merayu menahan rasa sakit kerana tubuhnya terbentur dengan tanah dan bebatuan dibilik mandi.

"Tak apa embah, kita bawa ke dalam rumah!" kata Eko.

Keduanya langsung memimpin nenek mereka dan membaringkannya diatas anjung. Segera setelah kejadian itu, mereka memberitahukan khabar jatuhnya nenek kepada ibu bapanya masing-masing.

Sejurus kemudian, sebilangan keluarga telah berkumpul. Mengetahui keadaan Siti yang tengah kepayahan anaknya bermaksud menghulurkan segelas minuman untuk membatalkan puasa Siti. Tapi Siti menolaknya dengan alasan masih puasa, dan Azan Maghrib belum tiba.

"Belum masuk Maghrib. Aku ingin puasaku penuh." jawabnya sambil terketar-ketar.

Tak lama kemudian Azan Maghrib pun berkumandang. Sementara di rumah atau pondok Siti tersebut telah berkumpul sejumlah orang, terutamanya anak-anak serta cucu-cucunya yang ingin mengetahui keadaannya yang sesungguhnya. Hati mereka was-was membayangkan hal-hal yang tak diinginkan terjadi pada Siti jatuh sedemikian rupa. Kalau dulu-dulunya pernah sakit demam, biasanya pening-pening atau sengal-sengal saja atau masuk angin.

Itupun cukup ditempel koyok saja atau minum ubat dibelinya dari gerai berdekatan. Dan demam yang dirasakannya pun lambat laun segera menghilang. Tapi kali ini, lain dari yang sudah-sudah. Rasa cemas dan khuatir mulai menyelimuti keluarga. Mereka berusaha menyedarkan Siti. Sekali lagi mereka menyuakan segelas minuman untuk mengisi perutnya yang kosong setelah seharian berpuasa. Si ibu hanya memberi isyarat, tak keluar kata-kata dari mulutnya.

Matanya memang masih mampu menatap anak-anak dan cucunya yang petang itu hampir berkumpul semua di rumahnya. Namun rasanya tenaganya awal Maghrib itu sudah jauh berkurang, untuk menggerakkan badan pun sangat berat dan susah. Dia tawakkal kepada Allah s.w.t.

Dari raut mukanya seakan megatakan, "Ya Allah, kalau pun saat ini juga Engkau memanggilku, aku siap menghadapMu. Akan tetapi jika masih diberi umur panjang, aku bersyukur mungkin masih ada waktu untuk memperbaiki diri dan mempersiapkan bekal saat menghadapMu nanti."

Sesungguhnya keluarganya berharap keadaan Siti menjadi lebih baik. Tapi yang terjadi sebaliknya. Reaksinya terhadap orang sekitar semakin menurun. Untuk bercakap saja sudah tak mampu hanya gerakan tangan dan isyarat matanya sahaja.

Anak-anaknya pun hanya mampu memicit-micit atau mengurut-ngurut tubuhnya barangkali rasa sakit setelah jatuh tadi boleh berkurangan. Namun rupanya Malaikat pencabut nyawa telah mencatat bahawa malam ini juga akan mengambil nyawa Siti. Sementara keluarga juga tak mampu lakukan apa-apa, kecuali mendoakan agar ibu mereka diberikan kemudahan dalam segalanya.

Seluruh keluarga juga hanya mampu pasrah kalau kini ibu mereka yang sekaligus menjadi teladan kepada mereka sudah tidak ada lagi.

Waktu terus berdetik, perempuan tua yang terbaring di atas anjung rumah itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Siti meninggal pada hari Khamis malam Jumaat tahun 1993. Kini peribadinya yang selama ini menjadi teladan bagi anak-anak sepeninggalan ayah mereka telah kembali ke Rahmatullah dalam keadaan tenang.

MASA HIDUPNYA...

Menurut cucunya Yip, Siti termasuk orang tua yang mengajarkan kesederhanaan dan tidak suka menunjuk-nunjuk. Prinsip hidup untuk mengabdi kepada Allah Maha Pencipta tampaknya menjadi pegangan kukuhnya.

Hari-harinya penuh dengan bekerja, bergaul dengan masyarakat serta beribadah. Dia tak ingin menggantungkan kepada orang lain, termasuk anak-anaknya sendiri meskipun keadaan fizikalnya sudah lemah dalam soal memenuhi keperluannya sendiri.

Siti juga faham bahawa orang tak mampu hidup sendiri tanpa bantuan orang lain. Dia juga ramah kepada sesiapapun dan cuba tidak membuat masalah dengan mereka. Baginya kenikmatan dan anugerah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya haruslah disyukuri. Bagaimana cara mensyukurinya...Ya... dengan menunjukkan ketaatan kepada Allah menjalankan apa-apa yang diredhaiNya dan meninggalkan semua yang menjadi kemurkaanNya.

Dia selalu ingat bahawa manusia diciptakan hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukankah Allah s.w.t. telah berfirman, "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu." (Az-Zariyat:56).

Keadaan embah atau neneknya itu sangat sederhana, dia menyara dirinya dengan sumber yang terrbatas. namun itu tidak membuatnya pernah mengeluh. Menurut Yip, justru kemiskinan hidup dijadikannya penyebab untuknya semakin mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan di setiap kesempatan, dia memanjatkan doa agar diberi kemudahan saat menghadap kepada Illahi Rabbi. Dia sering berucap kepada anak-anaknya dan tetangga agar dirinya meninggal dalam keadaan yang baik, mudah dan tak mahu menyusahkan orang lain.

Harapan itu rupanya didengar dan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Siti meninggal dunia pada hari Khamis malam Jumaat dalam keadaan suci selepas berwuduk dan setelah menyelesaikan puasa sunat Khamis.

"Dia juga berpesan kepada cucunya agar kelak sudi dibacakan surah Yassin dan Al-Mulk apabila dia meninggal dunia kelak." ujar Yip.

Sementara Mohammad, anak tertua dari Siti, meminta kepada keluarga dan saudara-saudaranya untuk mengikhlaskan kepergiannya. Jasadnya mungkin telah tiada, namun dia meninggalkan jejak-jejak dan pelajaran baik yang boleh diteladani.

Kesederhanaan, sikap tawadduk, kesolihan serta pesanan-pesanannya agar tidak terlalu berlebihan dalam memandang dunia, kerana dunia hanyalah sementara dan kehidupan yang sesungguhnya yang lebih kekal adalah kehidupan di akhirat.

Mudah-mudahan ia diterima di sisiNya dan mendapat kerahmatan. Amin...


Sumber : Majalah Hidayah.

No comments:

Post a Comment