Pages

Sunday, February 26, 2012

LUMPUH KERANA MENIPU...

Setiap manusia yang hidup di dunia ini memerlukan wang. Bagi manusia bijak, mereka akan berusaha mencari wang dengan cara yang baik dan halal. Bagi manusia yang berfikir sepintas lalu, lain pula ceritanya. Mereka sanggup menipu sesiapa sahaja yang dikira boleh 'dimakannya' demi mendapatkan kesenangan dengan cara mudah.

Namun manusia yang hidup dalam kejahatan tidak akan selamat. Apabila tiba waktunya, mereka pasti menerima padah dari perbuatan jahatnya sendiri ketika hidup di dunia ini lagi. Ketika itu barulah diketahui tinggi rendahnya langit, sehingga menyebabkan individu terbabit hidup dalam penyesalan berpanjangan.

Kamaruddin Alias, 50, (bukan nama sebenar) mengakui pada masa lalu, beliau pernah melakukan penipuan untuk mendapatkan kekayaan. Akibatnya, beliau kini terlantar di rumahnya kerana mengalami sakit lumpuh. Untuk mengetahui kisahnya, hayatilah pengakuannya seperti yang diceritakan oleh beliau sendiri.

"Kegiatan penipuan telah mula saya jalankan sejak berumur 20 tahun. Ketika itu, saya hanya melakukan penipuan 'kecil-kecilan' sahaja dengan melibatkan jumlah wang yang kecil dalam lingkungan puluhan ringgit sahaja. Kegiatan itu saya lakukan terhadap kawan-kawan saya sendiri."

"Untuk melakukan penipuan, saya mesti bijak memilih orang. Orang yang selalu menjadi mangsa saya bukanlah orang bodoh. Mereka turut tergolong dalam golongan orang cerdik dan yang berpelajaran. Lebih jauh dari itu, mereka tergolong dalam golongan orang berada.

Namun yang menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa saya kerana mereka itu mudah terpengaruh dengan cakap-cakap penipu macam saya.

"Hasil dari kejayaan melakukan penipuan 'kecil-kecilan' itu, saya terus terangsang untuk beralih kepada kegiatan penipuan lebih besar yang melibatkan penjualan tanah. Tanah tersebut sebenarnya tanah orang, bukannya tanah saya. Saya hanya berpura-pura menjadi 'broker'. Kaedah yang saya gunakan dengan berusaha mendapatkan salinan geran tanah dari pemilik tanah yang hendak menjual tanahnya.

"Kegiatan itu saya fokuskan di kawasan Kuala Lumpur sahaja. Tanah pertama yang mendatangkan wang kepada saya terletak di Kawasan Gombak. Pemiliknya juga tinggal di Gombak. Maklumat mengenai hasrat tuan rumah itu ingin menjual tanahnya saya perolehi menerusi iklan di dada akhbar.

"Setelah membaca iklan itu, saya terus datang menemui pemilik tanah itu dengan berpura-pura hendak membeli tanahnya. Tanah itu seluas satu ekar. Harga yang ditawarkan hanya RM80,000.00. Untuk itu, selaku pembeli, saya jelaskan kepadanya yang saya mahu melihat geran tanah itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membelinya atau tidak.

"Setelah geran tanah itu dapat saya lihat, saya berusaha mendapatkan salinannya dari pemilik tanah itu sendiri. Saya tidak berhajat untuk mendapatkan geran asal tanah itu sebab risikonya terlalu tinggi keatas saya. Jika saya memegang geran asal orang itu saya pasti dicap sebagai penjenayah dan saya pasti akan di tangkap polis. Jadi memadailah bagi saya dengan mendapatkan salinan geran tanah itu sahaja.

"Untuk itu, saya meminta kerjasama daripada pemilik tanah itu sendiri supaya membuat salinan (fotostat) ke atas geran tersebut untuk diberikan kepada saya. Dengan cara itu, kononnya mudahlah saya untuk membuat penelitian dan pertimbangan terhadap urusan pembelian ke atas tanah itu. Bagi tujuan itu, saya berjanji kepadanya untuk datang semula keesokan harinya untuk mengambil salinan geran berkenaan.

"Keesokan harinya setelah saya berjaya mendapatkan salinan geran itu, mulalah saya mencari mangsa saya. Saya berusaha mencari orang yang hendak membeli tanah dan yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur dengan berlagak sebagai 'broker'. Dari seorang kepada belasan orang saya temui. Akhirnya setelah 25 orang yang saya temui, bertemulah saya dengan orang yang boleh 'dimakan'.

Orang yang saya maksudkan itu tinggal di kawasan Kuala Lumpur juga. Dia memang orang berada dan bekerja sebagai peniaga. Diperingkat permulaan, saya berusaha mempengaruhinya dengan menceritakan tentang keistimewaan tanah itu serta harga tawarannya yang murah. Kepada orang itu, saya nyatakan harga tawaran sebenar tanah itu RM100,000.00. Padahal harga sebenar seperti yang dinyatakan oleh tuan tanah hanya RM80,000.00 sahaja.

"Untuk lebih meyakini orang itu, saya turut membawa beliau melawat lokasi tanah berkenaan untuk dilihatnya sendiri dengan lebih jelas. Setelah dia bersetuju untuk membeli tanah itu, saya berjanji kepadanya untuk membawa beliau bertemu dengan tuan tanah. Dalam masa yang sama, saya turut meminta wang pendahuluan daripadanya sebanyak RM20,000.00.

"Separuh dari wang itu kononnya akan saya berikan kepada tuan tanah sebagai bayaran pendahuluan, manakala selebihnya untuk urusan pertukaran nama di pejabat tanah dan bayaran perkhidmatan saya. Setelah mangsa menyerahkan wang RM20,000.00 kepada saya dan masing-masing pulang kerumah, saya terus melupakan urusan selanjutnya dengan beliau kerana hajat saya telah kesampaian.

"Penipuan besar kali pertama itu saya lakukan ketika saya berumur 30 tahun, iaitu pada tahun 1973 lalu. Ketika itu, saya telah tiga tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak. Saya ketika itu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Kegiatan penipuan itu saya lakukan secara sambilan sahaja dan tidak diketahui oleh isteri saya sendiri. Kalau isteri saya tahu tentu kecoh jadinya.

"Setelah berjaya dengan penipuan besar buat kali pertama, saya berusaha pula melakukan penipuan kali kedua, ketiga hingga kali ke-13. Cara yang saya lakukan sama sahaja. Sehingga kali ke-13, simpanan saya di bank sudah ada RM200,000.00. Tetapi masuk kali keenam, isteri saya mula curiga dengan saya. Ekoran wang yang banyak, isteri saya mengesyaki saya terlibat dengan kerja-kerja haram.

"Saya tidak mengalami banyak masalah untuk meyakini isteri yang wang itu kononnya wang halal. Dengan penuh kelicikan, saya berjaya mempengaruhi isteri kononnya saya adalah broker tanah. Dengan bukti-bukti yang meyakinkan, akhirnya isteri saya sendiri turut percaya dengan saya.

"Untuk mengelakkan diri dari dikesan oleh orang yang saya tipu pula, berbagai-bagai strategi saya lakukan. Antaranya termasuklah penipuan terhadap 'bisness kad', menggunakan nombor plat kereta palsu, nama samaran dan sebagainya.

"Selain itu, saya juga turut mengambil tindakan berpindah rumah sewa. Untuk tidak menimbulkan syak wasangka di hati isteri, saya sengaja menyewa rumah yang lebih baik daripada rumah yang kami duduki ketika itu setiap kali kami mahu berpindah rumah. Dengan alasan wang yang kami miliki banyak dan kita tidak sepatutnya kedekut bagi mengecapi hidup mewah, segala halangan dan bangkangan daripada isteri dapat saya patahkan.

"Setiap kali berjaya dalam penipuan besar itu, saya mendapat tahu, orang-orang yang saya tipu itu sememangnya tidak duduk diam. Mereka berusaha mencari saya dengan seberapa daya untuk mendapatkan semula wangnya daripada saya. Setelah gagal mengesani saya, saya juga tahu yang mereka turut melakukan sembahyang hajat memohon kepada Allah supaya saya akan pulangkan kembali wang mereka.

"Kadangkala memang saya ada tergerak di hati untuk memulangkan wang itu. Selain itu, kadang-kadang tangan saya juga terasa amat panas setiap kali memegang wang mereka itu. Namun saya hanya 'buat bodoh' sahaja. Setelah saya berjaya mendapatkan wang mereka, takkan saya akan menyerahkan semula wang itu kepada mereka. Itu tindakan bodoh. Lebih jauh dari itu, setelah saya menipu mereka, takkan saya hendak berjumpa dengan mereka pula. Nahaslah saya dikerjakan oleh mereka jika saya pergi menyerah diri kepada mereka.

"Namun sehebat dan 'sekeras' manapun saya, setelah saya berjaya menipu mangsa yang ke-13, saya tiba-tiba diserang penyakit lumpuh. Kejadian itu berlaku 15 tahun lalu, pada tahun 1988, ketika saya sedang tidur. Ketika itu saya berusia 45 tahun dan mempunyai 5 orang anak. Anak sulung saya ketika itu telah berumur 15 tahun.

"Sejak hari itu, saya merasakan yang saya sudah tidak berguna hidup lagi. Saya tak ubah seperti 'bangkai bernyawa' yang hanya menyusahkan anak-anak isteri sahaja. Sehingga kini sudah lima tahun saya mengalami penyakit lumpuh seluruh badan. Sudah berbagai-bagai ikhtiar saya lakukan sehingga menyebabkan wang simpanan saya kini sudah licin, namun saya tidak juga sembuh.

"Saya kini hanya bergantung hidup kepada isteri yang bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Apalah erti hidup jika bergantung kepada isteri. Saya benar-benar kesal dan malu dengan keadaan saya sekarang ini. Namun saya sedar, itu semua balasan dari Allah diatas kejahatan saya. Saya sekarang benar-benar insaf dan tak mahu mengulangi lagi segala kesilapan lalu. Kepada semua, saya harap jadikanlah kisah hidup saya ini sebagai iktibar. Berbuat baiklah semasa kita masih hidup. Jangan jadi seperti saya!"

Sumber : Majalah Cermin

1 comment:

  1. Salam...

    di sini ingin di kongsikan bagaimana mereka hadapi cabaran sakit lumpuh dan dengan izin Allah sihat kembali pulih atau setidak-tidaknya berlaku perubahan besar kembali sihat semenjak lumpuh.

    http://kedai24online.blogspot.com/2013/02/susu-igg-plus-klik-sini.html#

    ReplyDelete