Pages

Thursday, March 29, 2012

LALUAN SUTERAKU...


Inilah laluan suteraku. Gambar video ini di rakam bermula
dari Terowong SMART ke Plaza Tol Sungai Besi.
Aku kini berulang alik ke pejabat dengan kereta.
Sebab apa aku dah menaiki kereta?
Untuk jawapannya bacalah kisahku di bawah ini....

Sudah 22 tahun aku berulang alik ke pejabat bersama isteriku dengan menaiki motosikal. Hujan ke, panas ke, aku tak kira, aku tetap juga nak naik motosikal ke pejabat. Kalau hujan, kami pakai la baju hujan yang aku beli brand GIVI, ini adalah bagi memastikan kami tiba di pejabat sebelum waktu kerja bermula jam 8 pagi bagi diriku dan 8.30 pagi bagi isteriku. Walaupun ramai penunggang motosikal yang akan berteduh di bawah jambatan semasa hujan, tetapi aku tidak minat untuk berbuat demikian. Pada aku, perbuatan tersebut sangat membahayakan diri dan satu lagi, ia boleh menyesakkan jalanraya yang dah memang sentiasa jem dan sesak tu...

Kalau bermotosikal, aku bertolak dari rumah di Serdang, jam 7 pagi dan masa yang diambil lebihkurang 45 minit untuk tiba di destinasi yang jaraknya 25 km. Kelajuan semasa menunggang, hanyalah sekitar 60km/sejam, itupun kadang-kadang lebih perlahan sebab Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban yang aku harungi setiap pagi, petang atau malam terlalu sesak ditambah pula dengan ribuan penunggang motosikal yang juga melalui lebuhraya tersebut. Setiap inci lebuhraya padat dengan kenderaaan sehingga laluan kecemasan yang biasa digunakan oleh penunggang motosikal kadang-kadang dicerobohi oleh pemandu kereta yang hendak cepat. Lokasi yang paling disukai oleh pemandu kereta untuk menceroboh masuk ialah di kawasan Desa Petaling.

Kadang-kadang nasib mereka tidak baik kerana polis traffik sudah bersedia untuk menyaman mereka. Denda kesalahan bagi kereta yang melalui lorong kecemasan maksimum adalah sebanyak RM300.00. Walaupun begitu, mereka ini tidak juga serik-serik untuk melakukannya. Polis trafik pun bukan selalu ada di situ dan mereka juga tidak konsisten menjaga kawasan tersebut, sebab kadang-kadang mereka ada menunggu disitu dan kadang-kadang tidak, ini yang menyebabkan pemandu kereta bergantung pada nasib, 'Kalau ada, kenalah saman dan kalau tak ada, Nasib mereka baiklah pada hari itu'.

Satu hari tu, macam biasa, aku naik motosikal dengan isteriku untuk pulang kerumah ketika tiba di jalan Kinabalu, berhampiran Bangunan Dayabumi, tiba-tiba isteriku cakap dia terasa hendak pitam. Aku ingin segera memberhentikan motosikal bagi menurunkannya tetapi dalam keadaan posisi aku di tengah jalan yang sibuk, tidak mungkin aku boleh memberhentikan motosikalku dengan tiba-tiba, dalam keadaan yang genting begitu, aku sempat juga ketepi jalan dalam keadaan motosikal yang masih bergerak. Pada masa itulah isteriku pitam dan pelukannya terungkai dari pinggangku dan ia terus jatuh dari motosikal di tepi jalan.

Aku menjadi cemas. Setelah memberhentikan motosikal, aku terus bekejar mendapatkan isteriku yang jatuh tadi, aku lihat dia terbaring di dalam keadaan terlentang, namun topi keledarnya masih lagi tidak tercabut dari kepalanya.

Aku menepuk-menepuk badannya untuk menyedarkannya, namun tidak mendapat sebarang reaksi darinya membuatkan aku menjadi panik.

Keadaan trafik secara mendadak terus menjadi sesak dan jem teruk kerana beberapa penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut telah memberhentikan motosikal mereka untuk memberikan pertolongan kecemasan kepada kami. Seorang dari mereka telah menghulurkan sebotol air mineral yang dibawanya kepadaku untuk aku merenjis-renjiskan kemuka isteriku dengan harapan ia boleh menyedarkan isteriku yang pengsan tadi.

Hampir 15 minit aku merenjis air sambil terus menepuk-nepuk bahu isteriku, maka dengan perlahan-lahan isteriku mula memberi respon dan membuka matanya secara perlahan-lahan. Aku segera mendudukkanya di atas bahu di tepi jalan itu sambil menahannya supaya ia tidak rebah semula. Air yang masih berbaki aku sapukan kemukanya supaya ia lebih segar.

Aku terus menggosok dan mengurut badannya dengan harapan ia boleh membantu melancarkan perjalanan darahnya. Alhamdulillah tidak beberapa minit kemudian, isteriku telah pulih sepenuhnya walaupun badannya masih lemah. Ingatannya juga telah pulih seperti sediakala.

Setelah mengucapkan ribuan terimakasih kepada rakan-rakan yang menolong terutama dari pemuda yang memberikan air (menurut katanya ia bertugas di Balai Polis Dang Wangi) aku pun menyuruh isteriku menaiki motosikal semula untuk kami bergerak menuju ke Masjid Negara yang letaknya kira-kira 50 meter dari tempat kejadian untuk kami berehat. Pemuda tadi menawarkan diri untuk mengiringi motosikalku sehingga ke bulatan Masjid Negara kerana katanya ia takut isteriku pitam lagi. Aku bersetuju dan setelah memastikan kami selamat maka ia pun terus mengangkat tangan memberi isyarat untuk beredar ke destinasinya dan aku pula membalas lambaiannya sebagai ucapan terima kasih sekali lagi.

Isteriku terus berehat di tempat yang disediakan di perkarangan Masjid Negara lebih kurang 10 minit, tapi akhirnya kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan dan berhenti di stesen minyak ESSO di tepi lebuhraya bersetentang dengan Nirwana Memorial Park kerana aku tahu di situ ada disediakan surau. Dan yang penting sekali ada disediakan kerusi dan meja bagi membolehkan pelanggannya mengisi perut dan menikmati minuman panas yang dibancuh sendiri iaitu serbuk minuman berpeket 3 in 1 yang disediakan.

Kira-kira setengah jam berehat di situ dengan keadaan isteriku pun yang telah pulih sepenuhnya, maka kami pun menuju ke surau yang disediakan untuk menunaikan sembahyang Maghrib. Setelah selesai segalanya maka kamipun bergerak untuk pulang ke rumah, tapi sebelum itu kami singgah di klinik di kawasan perumahan kami terlebih dahulu untuk isteriku mendapatkan rawatan selanjutnya. Doktor yang merawat memberitahuku bahawa kesihatan isteriku berada dalam keadaan baik tapi punca yang menyebabkan ia pitam adalah akibat letih dan stress. Itu memang aku akui kerana sudah beberapa minggu isteriku bekerja hingga ke malam.

Setelah kejadian itu, kami tidak lagi ke pejabat dengan menaiki motosikal sebaliknya menaiki kereta yang selama ini aku fobia dengannya.

Kawan-kawan yang mendengar cerita aku ke esokan harinya telah melontarkan beberapa soalan cepumas kepadaku seperti berikut :

Kenapa ada kereta tapi tak nak bawa ke pejabat?
Kenapa sayang sangat dengan kereta?
Rugi saja bayar roadtax tapi kereta tak jalan...
Kata mereka lagi, "umur hang dah semakin meningkat, kudrat dah kurang, naik motosikal boleh membahayakan diri".

Aku sebenarnya ada jawapan balas untuk mereka tapi tak pa lah biar aku saja yang tahu !!! Aku malas nak menjawab, hati kawan-kawanpun kena jaga jugak...Tak gitu....

Kejadian di atas berlaku pada hari Rabu kira-kira sebulan yang lalu...

No comments:

Post a Comment