Pages

Tuesday, October 2, 2012

MENGEJAR PENGEMIS...

Suatu hari aku dan isteri pulang lewat kerumah sebab ada program. Sebelum sampai kerumah kami singgah dahulu di sebuah restoran untuk mengisi perut. Restoran yang disinggahi adalah salah sebuah restoran yang sentiasa mendapat tempat dihati penduduk di taman perumahan itu. Oleh kerana terlalu ramai orang, kami terpaksa menunggu untuk mendapat tempat duduk.

Hampir 15 minit menunggu, maka kami pun mendapat sebuah meja di tengah-tengah restoran tersebut. Dari pemerhatianku, aku dapati pada malam tu, 90% pelanggan-pelanggannya adalah terdiri dari orang Melayu. Walaupun restoran tu Restoran Mamak, tapi strateginya untuk menarik perhatian orang Melayu ialah dengan menyediakan masakan melayu  serta masakan panas ala Thai.

Sepertimana biasa, restoran yang ramai pengunjung akan menjadi lubuk rezeki bagi pengemis, tambahan pula sifat orang melayu yang suka bersedekah dan membantu orang yang kurang bernasib baik walaupun adakalanya tidak kena pada tempatnya. Sifat baik hati orang melayu ni selalu diambil kesempatan oleh orang  yang ada kepentingan peribadi.      

Bercakap tentang pengemis ni, berbagai taktik digunakan untuk mendapat simpati, biasanya mereka akan menggunakan kanak-kanak, orang buta, orang cacat dan orang kurang upaya bagi menarik perhatian pelanggan restoran. Walaupun pelanggan sedar akan perkara ini tapi sifat mereka yang berpegang pada kata-kata "Alah! bagi seringgit bukannya rugi apa-apapun" atau "Aku berbelanja RM50 takkan nak bagi RM1 pun berkira" menjadikan pengemis semakin bertambah dari sehari kesehari.

Tapi sedarkah kita semua bahawa sebenarnya pengemis ini hanya mendapat sedikit sahaja kutipan yang diperolehi pada hari itu kerana sebenarnya di belakang mereka ini ada satu sendikit yang mempergunakan mereka untuk mendapat kesenangan secara mudah. 

Bagi diriku pula, aku akan memberi jika mood aku baik pada haritu dan jika tidak, aku tidak akan memberinya. Aku tidak mengharapkan apa-apa balasan kerana kadang-kadang aku beripun sebab aku malas nak tengok muka pengemis tu lama-lama berdiri didepanku.   

Setelah aku dan isteri hampir selesai makan, dari kejauhan aku lihat ada dua pengemis wanita berbangsa melayu masuk kedalam restoran. Seorang buta dan seorang lagi memimpinnya. Aku agak kedua-dua mereka berumur didalam lingkungan 30 tahun. Kedua-dua mereka sihat tubuh badan cuma yang seorang itu bermata buta dan berjalan dengan menggunakan tongkat walaupun dipimpin.

Seperti yang aku katakan tadi, ramai pelanggan yang menaruh simpati terhadap pengemis itu dan setiap kunjungan mereka dari meja kemeja, mereka tidak akan berlalu dengan tangan kosong. Aku hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka dengan pandangan yang tajam terutama kepada wanita yang meminpin pengemis buta tadi. Sedar akan renunganku itu maka wanita yang memimpin pengemis buta tadi tidak singgah dimejaku walaupun sebelum itu mereka meminta sedekah disebelah meja kami.

Perbuatan mereka itu telah menarik perhatianku kerana kalau mereka ikhlas mengapa takut untuk meminta sedekah kepada kami. Aku lihat isteriku pun telah bersedia ditangannya dengan wang kertas RM1 untuk diberikan kepada pegemis tadi.    

Tidak puashati dengan sikap wanita yang memimpin pengemis buta itu, maka aku pun segera membayar harga makanan kami dan terus keluar dari restoran untuk menunggu kedua-dua pengemis tadi keluar dengan perasaan ingin tahu kemana pula mereka akan tuju untuk mencari mangsa yang lain pula.

Lebih kurang 2 minit menunggu, kami lihat kedua-dua pengemis tadi berjalan menuju ke sebuah kereta Toyota Avanza yang sudah sedia menanti di luar. Pergerakan sibuta tadi tidak lagi menunjukkan ianya seorang buta kerana ia berjalan agak pantas.

Kami segera menuju kekereta dan bercadang ingin mengekori kemana mereka akan pergi. Oleh kerana pada asalnya aku tidak berminat untuk mengambil serius akan pengemis itu dan sekadar hendak tahu saja, jadi aku tidaklah mengekori secara sembunyi-sembunyi. 

Rupa-rupanya perbuatan kami mengekori mereka telah disedari oleh pemandu Toyota Avanza itu dan dia dengan tidak semena-mena memecut keretanya ke suatu lorong dan tiba-tiba berhenti disitu. Pada agakkan aku bahawa pemandu itu ingin menunggu respon kami samada kami benar-benar mengekori mereka ataupun tidak  

Ketika aku melintasi kereta mereka, aku lihat pemandunya seorang wanita berketurunan melayu kita, umurnya dalam lingkungan 40 tahun dengan rupanya yang agak menarik dan tidak melambangkan ianya orang susah atau warga asing. Rupanya dapat aku pandang jelas  sebab tempat ia berhenti itu betul-betul dibawah tiang lampu ditepi lorong itu.

Kami bertentang mata tapi aku berpura-pura buat selamba bagi mengurangkan curiganya pada kami. Melihatkan aku telah melewati kereta mereka, pemandu wanita tadi berpusing dan berpatah balik kearah jalan besar untuk menuju kedestinasinya.

Aku pun segera berpusing dan berpatah balik untuk mengejar mereka. Tiba di traffic light, aku dapati kereta tadi sedang berhenti kerana menunggu lampu isyarat yang berwarna merah dan aku pula berhenti betul-betul di belakang mereka. Aku lihat melalui cermin hadapan kereta itu, wanita tadi menunjukkan wajah yang sedikit cemas kerana menyedari kami masih mengekori mereka.

Sebaik-baik lampu bertukar hijau, wanita tadi memecut keretanya dengan laju tanpa menghiraukan perbuatannya yang boleh membahayakan pengguna jalanraya yang lain dan aku pula mengejarnya supaya tidak hilang dari pandangan. Perbuatannya itu membuatkan aku percaya bahawa wanita ini telah menipu dan memperdayakan orang ramai dengan mengumpan pengemis buta bagi mengutip wang untuk kesenangan dirinya. Aku merasa amat malu dengan perbuatan wanita tersebut tambahan pula kerana ianya seorang wanita melayu dan memakai tudung pula. 

Pemandu kereta itu terus memecut ke satu kawasan perindustrian dan cuba memperdayakan aku dengan memasuki setiap lorong dan keluar di lorong yang lain pula. Ada ketikanya ia memberi lampu isyarat sebelah kanan tetapi membelok kearah kiri. Walaupun begitu aku dapat membaca gerak gerinya dan terus mengejar.

Dengan tidak semena-mena kereta tadi telah membelok ke satu lorong kiri lalu terus hilang dari pandangan. Aku yang turut memasuki lorong itu tidak lagi dapat mengesan kereta itu kerana kegelapan. Aku menjadi hairan bagaimana kereta tadi boleh hilang begitu saja sedangkan jarak aku dengannya tidaklah begitu jauh. Lagipun pemandu itu seorang wanita takkan cekap memandu sampai begitu sekali. Aku terus berkata kepada isteri "begitulah kalau orang dah terdesak dan bersalah, ia boleh melakukan sesuatu yang diluar kemampuannya bagi melepaskan diri" 

Tapi aku terus bertenang dan tidak panik. Aku membuat keputusan untuk keluar balik dari lorong itu untuk menunggu disimpangnya dengan harapan kereta itu akan muncul semula. Sangkaan aku tepat, tidak beberapa minit kemudian, kereta itu muncul secara tiba-tiba dan pemandunya sangat terkejut melihat kami sedang menunggu disitu. Ia terus memecut kearah jalan besar dan tanpa menghiraukan lampu isyarat yang ketika itu sedang berwarna merah lalu membelok kekanan.   

Aku yang mengejarnya cuba juga untuk tidak menghiraukan lampu isyarat yang berwarna merah itu tapi aku terpaksa berhenti secara mengejut kerana terdapat sebuah motosikal yang sedang melintas. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, aku membuat keputusan untuk tidak mencari kereta itu lagi. Walaubagaimanapun nombor pendaftarannya dapat aku catatkan. 

Aku tidak bercadang untuk membuat laporan polis tapi aku akan mengajarnya dengan cara lain yang telah aku fikirkan. Tujuan aku hanya satu iaitu untuk menyedarkannya bahawa perbuatannya selama ini yang mempergunakan orang lain untuk kepentingan dirinya adalah satu perbuatan yang tidak bermoral dan memalukan bangsa. 

Nasihat aku pula kepada mereka-mereka yang bermurah hati bersedekah dan menderma, menderma dan bersedekahlah melalui saluran-saluran yang sah atau penuhkanlah tabung-tabung yang ada di masjid dan surau-surau yang sentiasa menanti wang-wang saudara untuk diinfakkan bagi program-program pengajian ilmu serta disalurkan kerumah anak-anak yatim atau sekolah-sekolah agama yang memerlukan bantuan. 

Inilah konsep bersedekah dan menderma yang di redhai Allah. Semoga amalan kita diberi ganjaran di akhirat kelak. Amin...  

3 comments: