Pages

Saturday, November 3, 2012

MISTERI SURAU LAMA...


Surau ini letaknya di satu selekoh diluar pintu pagar
masuk kehalaman rumah ibu mertuaku. Pada malam
hari lampu spotlight dipasang supaya pemandu kereta dan
penunggang motosikal dapat melihat dengan jelas persekitarannya
kerana ada ketikanya lembu dan kerbau turut melintasi jalan tersebut.


Semenjak bapa mertuaku meninggal dunia kira-kira 11 tahun lalu, surau yang terletak di hadapan rumahnya di kampung menjadi suram dan sepi kerana dari sehari kesehari tiada lagi jemaah terutamanya kaum lelaki dan wanita dalam lingkungan umur 60 ke 70 tahun datang mengunjunginya kerana tiada lagi orang yang dapat memimpin mereka bersembahyang jemaah. 

Jiran-jiran ayah yang telah berusia dari kaum lelaki yang juga mengikuti sembahyang jemaah tidak dapat menggantikan ayah menjadi imam kerana kebanyakan mereka sudah uzur dan tidak dapat berdiri lama untuk memimpin sembahyang jemaah tersebut. 

Selepas ayah bersara dari Syarikat Talikom Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1989, ayah dan keluarga telah pulang ke kampung untuk menetap dan menghabiskan usianya disini. Sebelum itu rumah yang telah ditinggalkan sekian lama telah dibaik pulih terlebih dahulu untuk mereka hidup lebih selesa meniti hari-hari tua.

Ketika di kampung, ayah menghabiskan masanya berkebun dan bercucuk tanam disamping menternak ayam, itik, dan beberapa ekor lembu. Walaubagaimanapun lembu yang di ternak tidak berapa menjadi kerana ada yang mati akibat dilanggar kereta atau di serang penyakit dan ada juga yang dicuri orang. Disamping itu ayah juga berbakti kepada jiran-jirannya yang memerlukan bantuan jika ada yang sakit dan perlu dihantar ke kelinik atau hospital di Seremban kerana kebanyakan anak-anak mereka bekerja dibandar dan mengambil masa untuk pulang jika berlaku kecemasan terhadap ayah, ibu atau anak-anak mereka sendiri yang ditinggalkan di kampung. Ayah jarang mengambil wang apabila melakukan kerja-kerja tersebut kerana ia melakukannya secara ikhlas tanpa mengharapkan imbuhan atau duit minyak sekalipun.

Berbalik kepada cerita surau tadi, dahulu surau ini amat meriah dengan program-program keagamaan yang diatur dimana pada setiap bulan dihujung minggu, para jemaah akan bergotong royong memasak untuk jamuan kepada para jemaah selepas selesai majlis pengajian agama yang disampaikan oleh beberapa ustaz yang dijemput dari luar daerah terutamanya bagi majlis seperti Israk Mikraj, Maulidul Rasul, Nisfu Shaaban, Ketibaan Ramadhan, Solat Tarawih dan sebagainya . 

Disamping itu pada setiap malam selepas Maghrib, Pak Haji Syukur yang menetap tidak berapa jauh dari surau tersebut mengajar anak-anak dalam lingkungan umur 5 hingga 10 tahun mengaji dan membaca Al Quran.

Suara anak-anak yang lantang membaca ayat-ayat suci Al Quran telah memecah kesunyian malam dan sekaligus memeriahkan suasana kampung pada setiap malam.


 

Surau ini didirikan di tanah yang diwakafkan oleh 
saudara sebelah emak dan ia lebih dikenali sebagai
surau putih kerana warna asalnya adalah warna putih... 
Ditepinya kelihatan tandas yang baru dibina 
semasa surau ini masih digunakan

Kini nama-nama seperti Haji Saad (bapa mertuaku), Haji Syukur, Haji Talib, Haji Dollah, Haji Udin, Haji Bakar dan beberapa lagi dari kaum ibu telahpun kembali mengadap Ilahi dan sekaligus surau ini terbiar sepi.

KISAH MISTERI SURAU 

Sudah menjadi satu kemestian kepada orang-orang Melayu yang suka mengaitkan kisah-kisah misteri dan kejadian aneh yang berlaku terhadap surau-surau lama yang ditinggalkan atau rumah-rumah yang banyak ditinggalkan di kampung ini yang ketika ini sudahpun dihuni oleh makhluk lain.         

Aku tidak bercadang untuk mensensasikan kisah-kisah ini kerana kebanyakan cerita yang aku dengar bukannya secara terus oleh orang yang mengalaminya tetapi diceritakan oleh orang lain yang sudahpun menokok tambah cerita tersebut supaya menjadi lebih seram dan menakutkan.

Dari semua kisah yang aku dengar, hanya dua cerita yang boleh aku ketengahkan kerana diceritakan oleh orang-orang yang mengalaminya sendiri dan sekaligus membenarkan apa yang diceritakan selama ini.

KISAH 1 :

Selepas beberapa tahun surau ini sudah tidak digunakan lagi, maka pada suatu hari, salah seorang menantu dari penduduk kampung tersebut yang agak alim dan mendapat pendidikan agama pulang ke kampung tersebut untuk bertemu keluarga disebelah isterinya selepas beberapa tahun tidak pulang. Dahulu ia juga diminta menjadi imam ketika sesekali pulang ke kampung ketika bapa mertuanya masih ada.  

Kira-kira jam enam pagi, ia tersedar dari tidur dan terpanggil untuk melakukan solat subuh di surau tersebut dan mengajak penduduk kampung yang enak dibuai mimpi untuk sama-sama berjemaah dengannya melalui azan yang dikumandangkan olehnya terutama di rangkap yang berbunyi "Assolatu qairum minannauuum" (Sembahyang itu lebih baik dari tidur).

Selepas selesai azan, ia melakukan solat Sunat Qabliah 2 rakaat sementara menanti kalau-kalau ada orang yang sudi berjemaah dengannya. Selesai melakukan solat sunat, masih tiada tanda-tanda yang ada orang akan datang untuk sembahyang bersamanya. Setelah lima minit berlalu, maka iapun mengerjakan Solat Subuh seorang diri dengan penuh khusyuk sehingga ke akhirnya tanpa sebarang gangguan.

Setelah selesai sembahyang, berwirid dan berdoa, ia menutup semua lampu yang dinyalakan lalu menuruni anak tangga untuk pulang kerumahnya. Dengan tidak semena-mena ia terdengar bunyi deruan yang agak kuat dari dalam surau tersebut seolah-seolah seperti ramainya jemaah yang ada didalamnya dan mereka semua seperti mengikutinya sama-sama menuruni anak tangga untuk pulang kerumah sedangkan pada penglihatannya tiada sesiapapun yang kelihatan disitu.


 

Ditangga pintu masuk dan keluar inilah 
bunyi menderu yang didengar seolah-olah 
ramai jemaah yang menuruninya 
selepas selesai Solat Subuh berjemaah...

 
Kejadian aneh itu sangat-sangat menyeramkan bagi dirinya walaupun sebagai seorang yang berpendidikan agama ia tahu bahawa makhluk Allah yang berjisim halus dan dikenali sebagai Jin Islam sangat ramai bilangannya dan ianya melebihi manusia yang tinggal di bumi Allah ini, cumanya yang menyebabkan dirinya merasa seram kerana hanya dia sahaja yang ada disitu tanpa manusia lain. 

Semenjak kejadian itu, ia tidak lagi pulang ke kampung tersebut kerana ibu mertuanya yang tinggal berseorangan disitu selepas kematian suami telah mengikut anak-anaknya berpindah ke bandar.   

KISAH 2 :

Baru-baru ini ibu mertuaku ingin mengubahsuai rumahnya di bahagian dapur supaya lebih selesa kerana apa yang aku lihat apabila kami pulang ke kampung, kami lebih suka duduk berkumpul dan berbual di bahagian dapur dari duduk di ruang atas.

Untuk itu, beberapa orang tukang rumah telah dipanggil untuk melakukan tugas-tugas tersebut dan mereka ini sudah tentulah dari kalangan pekerja Indonesia yang biasanya banyak melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah 

Setelah persetujuan dicapai dan bagi menyenangkan pekerja Indonesia itu menjalankan tugas, maka kami bersetuju untuk memberi kebenaran kepada mereka untuk tinggal di surau misteri tersebut sehinggalah kerja-kerja mengubahsuai dapur selesai dijalankan yang dianggarkan memakan masa selama tiga hari.

Pada hari pertama tinggal dan tidur di surau tersebut, Mereka telahpun menerima gangguannya dimana satu kejadian aneh yang sangat menyeramkan telah berlaku. Apakah kejadian aneh yang berlaku itu? 

Menurut mereka, pada malam itu mereka tidur sangat nyenyak kerana keletihan bekerja disiang hari dan mereka rasa tiada kejadian pelik yang berlaku semasa mereka berbual-bual sehinggalah mereka semua tertidur.     

Apabila waktu menjelang dinihari, salah seorang darinya tersedar dari tidur dan setelah melihat disekelilingnya ia mendapati beberapa helai sejadah (tikar sembahyang) telah tersusun berbaris-baris diatas lantai seolah-olah ada orang yang telah melakukan solat Subuh berjemaah pada pagi itu sedangkan sebelum tidur, mereka dapati sejadah yang ada didalam surau semuanya terletak di tempatnya dengan kemas dan merasa hairan siapa yang melakukannya atau adakah orang yang cuba menakut-nakutkan mereka. Tapi siapa pula yang berani berbuat demikian. 

Kejadian seram yang menimpa mereka bukannya berlaku pada hari pertama sahaja tetapi sebaliknya berlaku sepanjang mereka tidur disitu sehinggalah tugas-tugas mereka selesai. Apa yang menghairankan bahawa kejadian pelik itu tidak pula berlaku jika sekiranya tiada orang tidur atau menggunakannya.

Kejadian ini sedikit sebanyak telah menginsafkan pekerja-pekerja Indonesia dan kepada kami semua yang mendengarnya. Allah seolah-olah hendak menunjuk dan memberi peringatan kepada kami supaya rumah-rumah Allah yang didirikan hendaklah dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah 5 waktu sehari semalam, membaca Al Quran, bezikir dan berwirid didalamnya dan jangan dibiarkan kosong dan sepi begitu sahaja.

Tetapi persoalannya, siapakah yang akan memakmurkan surau ini kerana pada ketika ini orang-orang yang berwibawa sudahpun tiada lagi manakala yang tinggal hanyalah orang-orang tua yang uzur manakala orang muda pula sudah lama meninggalkan kampung ini  untuk mencari rezeki di bandar.   

Kepada kita semua yang membaca kisah ini, ambillah iktibar dari kejadian yang diceritakan dan semoga kita semua di beri taufik dan hidayah serta sentiasa istiqomah dalam melakukan ibadat kepada Allah.......InsyaAllah....

 
    Di tepi surau ini, bapa mertuaku menanam pokok 
dokong dan kedondong yang sangat lebat buahnya... 

 
 Telaga inilah yang digunakan oleh jemaah 
untuk berwuduk sebelum tandas baru dibina...
    
Gambar surau dirakam dari bawah...  

Gambar surau ini dirakam ketika azan maghrib 
sedang berkumandang di masjid yang berhampiran. 
Kawasan yang berwarna cerah itu adalah cahaya lampu 
dari rumah ibu mertuaku....

7 comments:

  1. salam mohon cik berikan nama surau dan alamat dimana ya sms 019-2202327

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum tn...
    Boleh tahu tak, tn nak alamat surau ini untuk tujuan ape?

    ReplyDelete
  3. Saya buat kajian dikumentasi masjid dan surau lama di seluruh semenanjung...
    tatapan generasi akan dtg...
    surqu ini di mana ya...

    ReplyDelete
  4. Saya nak minta izin share kisah ini kat FB saya, boleh? Saya Khairul anuar, Ipoh.

    ReplyDelete
  5. Salam jikalau mahu buat paranormal boleh ke tuan ..di mana saya harus minta izin

    ReplyDelete