Pages

Sunday, June 16, 2013

MENJEJAKI KESULTANAN MELAYU KUTARINGIN...

Di Wilayah Kalimantan Tengah, (Indonesia), pernah terdiri sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kutaringin. Kadangkala, nama negeri ini juga dieja sebagai Kota Waringin.

Kerajaan ini merupakan satu-satunya Kerajaan Melayu yang bertahan agak lama di Indonesia iaitu sejak abad ke 16 hinggalah ke abad ke 19 dengan 14 orang Sultan kesemuanya yang pernah memerintah.   

Walaubagaimanapun, nama Kutaringin ini sebenarnya telah disebut lebih awal iaitu dalam kitab 'Negarakertagama' iaitu apabila Negeri Kutaringin dinyatakan sebagai sebahagian daripada Wilayah Tanjung Negara yang tunduk kepada empayar Majapahit. 

Pada asalnya, Wilayah Kutaringin ini adalah di bawah pengaruh Kerajaan Banjar yang berpusat di Kalimantan Selatan. Sebelum wujudnya sultan yang memerintah kawasan tersebut, Raja-raja Kerajaan Banjar yang menguasai kawasan pantai selatan dan tenggara Pulau Borneo telah mengirimkan wakil-wakilnya untuk mengutip cukai termasuklah di Wilayah Kutaringin.

Bahkan para Sultan Kutaringin sebenarnya adalah berketurunan dari Dinasti Banjar. Raja Pertamanya iaitu Pangeran Dipati Anta-Kasuma merupakan anak keempat kepada Sultan Banjar ke 4 iaitu Sultan Mustain Billah.

Pangeran Dipati Anta-Kasuma telah menggantikan bapa mertuanya, Dipati Ngganding yang sebelum itu merupakan Adipati (lebih kurang seperti Gabenor) untuk menjadi penguasa Negeri Kutaringin tetapi masih di bawah pengaruh Kerajaan Banjar. 

Disebabkan itulah Raja-raja Negeri Kutaringin kebiasaannya memakai gelaran Pangeran jika berada di Negeri Banjar, tetapi menggunakan gelaran Sultan di negerinya sendiri. Kerajaan Kutaringin ini mencapai zaman kemuncaknya ketika era pemerintahan rajanya yang ke 7 iaitu Pangeran Ratu Bengawan sekitar kurun ke 18.

Semasa fasa awal pasca kemerdekaan Indonesia, iaitu pada awal Januari 1946, Negeri Kutaringin telah diduduki oleh Belanda dan kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Negara Dayak Besar, sebuah negara yang disokong oleh penjajah Belanda bagi memecahbelahkan republik tersebut.

Walaubagaimanapun Negeri Kutaringin secara rasminya telah bergabung semula dalam kesatuan Republik Indonesia pada 1 Mei 1950 dan negeri ini ditukar statusnya menjadi sebuah Kabupaten di dalam Wilayah Kalimantan Tengah.

Dengan berakhirnya kedaulatan Kutaringin, maka para bangsawan dan kerabat Di Raja Kutaringin tidak lagi memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan. Hanya beberapa keturunan sultan dan bangsawan sahaja yang sebelum ini sudah bekerja sebagai pegawai pemerintahan tetap memegang jawatan di dalam pemerintahan Indonesia yang merupakan sebuah negara bercorak Republik.

Pada hari ini, sebagaimana yang berlaku di Wilayah lain di Indonesia, para waris Kerajaan Kutaringin telah sepakat untuk mengangkat salah seorang zuriat kerabat mereka untuk bertindak sebagai Sultan Kutaringin yang baru bagi tujuan melestarikan budaya tempatan dan sebagai penjaga kepada pusaka Kerajaan Kutaringin termasuklah adat istiadat dan peninggalan leluhur mereka.

Pangeran Alidin Sukma Alamsyah, zuriat kanan kesultanan tersebut telah terpilih dan telah ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kutaringin ke 15 dengan gelaran Sultan Alidin Sukma Alamsyah pada 16 Mei 2010 yang lalu.

Pangkalan Bun adalah ibukota Kabupaten Kotawaringin Barat, wilayah Kalimantan Tengah. Menurut sejarahnya, kawasan ini awalnya dikenali dengan nama Pangkalan Bun yang ertinya pelabuhan (pangkalan) di tepi Sungai Bun. Salah satu bangunan peninggalan Kesultanan Kutaringin di Pangkalan Bun ialah bangunan-bangunan berbentuk rumah kayu berukuran besar tersebut memberi nilai sejarah tersendiri bagi kota yang memiliki kebun kelapa sawit terbesar di Kalimantan itu.

Bangunan Kesultanan Kutaringin menjadi salah satu tumpuan pelancong bukan hanya untuk masyarakat luar Kalimantan, tetapi juga masyarakat sekitar.

Dipetik dari Variasari Jun 2013.

No comments:

Post a Comment