Pages

Friday, July 5, 2013

DERITA SAYA TAK BERAKHIR...

Saya gementar di saat menulis kisah yang pernah saya lalui, sesungguhnya saya sudah tidak sanggup lagi memikul beban hidup. Saya merasakan diri ini hanya segumpal daging dan sekerat tulang tanpa jiwa. Sekiranya bunuh diri tidak dilarang dalam Islam, tentunya sudah lama saya habiskan hidup ini.

Apa yang mampu saya lakukan ialah mengeluh, rasanya dunia ini sudah gelap seluruhnya. Saya perlukan cahaya bahagia, bukan simpati yang saya minta. Bukan kerana sombong, maka saya tidak perlukan sebuah simpati, juga bukan kerana saya sudah kaya, maka saya tidak memerlukan pertolongan orang lain.

Sebaliknya saya berpendapat, kekayaan bukanlah jaminan untuk ukuran kebahagiaan hidup. Saya benar-benar tertekan. Lampu-lampu kristal di rumah tidak lagi memberi cahaya pada diri saya. Jiwa saya gelap saat ini. Kerana kehilangan saudara dan teman serta keluarga yang dapat memberi kepercayaan untuk menunjukkan jalan keluar dari kegelapan ini.

Biarlah saya berterus terang tentang latar belakang diri, mengapa saya tenggelam dalam penderitaan batin. Semoga pembaca semua dapat memberi penilaian secara tepat siapa diri saya ini, mengapa saya tenggelam dalam penderitaan batin ini.

Saya adalah seorang lelaki yang memiliki tubuh badan sihat sejak masih kecil hinggalah dewasa. Orang tua telah memberikan saya nama Muhidin (bukan nama sebenar). Ayah seorang yang disegani oleh masyarakat setempat. Ibu cuma seorang surirumah yang seharian menguruskan hal rumahtangga.

Saya dilahirkan sebagai anak tunggal. Maka dengan itu, orang tua saya tidak mempunyai masalah untuk menjaga saya. Ayah meninggal dunia akibat kanser dada. Saya menangis menyesali diri ini kerana ayah tidak sempat menyaksikan siapa menantunya.

Ibu juga menyalahkan saya kerana dalam masa lima bulan, saya sudah beberapa kali bertukar teman wanita. Sedangkan ketika itu ada seorang siswi yang disukai oleh ayah dan ibu yang turut berkenan untuk dijadikan calon isteri saya. Tetapi ketika itu hati saya masih belum terbuka untuk wanita.

Ketika usia saya menjejak 25 tahun, (setelah ayah tiada), baru saya menyedari bahawa saya sepatutnya sudah membahagiakan ibu. Lagipun ibu sudah mula sakit-sakit sejak ketiadaan ayah. Ketika kami sudah berpindah ke sebuah bandar, saya merasakan diri ini terlalu sepi.

Saya sudah dinasihati ibu agar mencari pasangan hidup. Akhirnya saya menemui seorang gadis dari keluarga sederhana. Makin hari perhubungan kami semakin intim dan mesra. Ibu juga sangat senang dengan kehadiran Rina (bukan nama sebenar). Saya sungguh bangga memiliki Rina kerana Rina selalu memberi semangat kepada saya agar terus belajar hingga berjaya. Saya juga berhasrat untuk menyunting Rina. Akhirnya saya berterus terang dengan Rina tentang hasrat saya untuk mengahwininya.

Rupa-rupanya saya tidak bertepuk sebelah tangan. Rina sedia menerima saya sebagai bakal suaminya. Sebagai bakal isteri dan menantu perempuan kepada ibu, saya telah memberikan sedikit saham kepunyaan ayah saya kepada Rina. Demi membahagiakan ibu, saya dan Rina sama-sama berjanji mahu melihat hari tua ibu penuh kebahagiaan.

Tiba-tiba saya berubah sikap kerana ibu selalu sakit. Saya terpaksa membatalkan pertunangan yang dirancangkan. Sebaliknya saya mengajak Rina terus bernikah sahaja dalam suasana sederhana. Rina turut setuju dengan perancangan saya agar untuk terus menikah.

Beberapa minggu selepas melangsungkan perkahwinan itu, Rina benar-benar seorang menantu yang baik kepada mentuanya. Namun setelah Rina mula hamil, perangai dan tingkah lakunya berubah. Dia selalu marah-marah dengan ibu. Malah ketika saya cuba menasihatinya agar tidak bersikap kasar dengan ibu, Rima memarahi saya pula. Dia mengugut akan pulang semula ke rumah orang tuanya di Johor Bharu. Saya risau jika hal tersebut memporak-perandakan rumahtangga kami. Lagipun ketika itu Rina sudahpun hamil 3 bulan.

Saya terpaksa mengalah dengan sikap Rina yang kasar terhadap ibu saya sendiri. lalu saya menasihati ibu agar berdiam diri saja apabila Rina bertengkar dengannya. Ibu menangis seraya menyatakan rasa kesal kerana tidak menyangka yang saya menyebelahi Rina dalam sengketa itu.

Sebaik mendengar keluhan ibu itu, saya merasa menyesal dan menganggap kata-kata ibu itu sebagai ingatan pada diri saya. Saya memohon maaf kepada ibu lalu saya terus memeluk ibu. Tanpa disedari air mata ibu berlinang sambil membisik ke telinga saya mengatakan bahawa hanya saya satu-satunya anaknya dan kepada saya tempat ibu bergantung harapan.

Hari demi hari, saya cuba membaiki keretakan dalam rumahtangga saya. Saya selalu berusaha menarik perhatian Rina agar berdamai dengan ibu. Tetapi Rina tetap berkeras mengatakan bahawa dia akan kembali ke rumah orang tuanya, jika saya masih menyebut nama ibu saya di depannya.

Hati saya benar-benar tersentak apabila Rina menyebut ibu mentuanya (ibu saya) sebagai mentua gila. Betapa remuk hati ibu apabila ibu sendiri mendengar kata-kata itu. Timbul hasrat saya untuk memarahinya, tetapi saya tidak mahu mengeruhkan suasana yang sememangnya sudah tegang.

Suatu hari setelah pulang dari pejabat, saya dapati keadaan ibu semakin teruk. Nafasnya turun naik tanpa bergerak. Lalu saya bertanya Rina kenapa dia tidak menelefon saya di pejabat. Rina tidak berkata apa-apa, dia memalingkan wajah ke arah lain tanpa mahu melihat muka saya.

Tanpa membuang masa, saya terus menelefon ambulan. Saya harus segera membawa ibu ke hospital untuk rawatan kecemasan. Ketika ibu dibawa dengan ambulan, keadaannya semakin tenat. Akhirnya ibu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya. Rupanya ibu mengidap penyakit kanser hati.

Sewaktu jenazah ibu dibawa ke tanah perkuburan, Rina tidak mahu turut bersama dengan alasan dirinya sedang hamil. Tetapi dari raut wajahnya, terlihat satu kemenangan pada dirinya. Dia berpura-pura sedih ke atas pemergian ibu mentuanya.

Saya pula seperti berdendam dengan isteri sendiri. Perkara ini hampir terjadi ketika Rina mula sakit-sakit bersalin. Saya hampir menyuruhnya pergi sendiri ke klinik bersalin. Tetapi saya masih dapat mengawal diri dan perasaan. Setelah memikirkan bahawa anak dalam kandungan itu adalah zuriat saya sendiri. saya tidak tergamak menyuruh Rina pergi sendirian.

Akhirnya saya bawa Rina ke klinik bersalin. Sebaik saja sampai di sana, Rina menjerit-jerit menahan kesakitan. Para doktor yang merawatnya turut kehairanan dengan keadaan Rina itu. Rina begitu sukar untuk melahirkan bayinya sedangkan kandungannya sudah melebihi sembilan bulan.

Saya memohon kepada Tuhan supaya menyelamatkan isteri saya untuk melahirkan zuriat saya. Setelah menyabung nyawa hampir 10 jam, barulah Rina dapat melahirkan bayinya. Namun umur Rina dan bayi saya tidak panjang. Rina menghembuskan nafas terakhir sebaik-baik saja melahirkan kandungannya. Manakala anak dalam kandungannya sudah lama tidak bernyawa, sejak di perut ibunya lagi.   

Saya dihimpit penderitaan batin lagi, setelah kehilangan ibu, kini saya kehilangan isteri dan anak pula. Saya cuba tabahkan hati menghadapi dugaan Tuhan. Kini saya kehilangan segala-galanya.

Inilah perkahwinan yang bermula dengan keindahan tetapi akhirnya dibelenggu oleh mendung. Kadangkala ketika mengenang semua itu, air mata saya berguguran. Setiap pagi Jumaat, saya sendirian di tanah kuburan, tempat bersemadinya ibu, isteri dan anak saya.

Di pusara ibu, saya sentiasa memohon agar ibu mengampunkan isteri saya. Begitu juga ketika berada di pusara isteri saya, saya berdoa agar roh Rina aman damai. Saya juga tidak menyimpan apa-apa dendam terhadap arwah isteri saya itu. Bagi saya apa yang saya alami ini adalah sebahagian dari dugaan Tuhan.


dipetik dari Variasari... 
Kiriman Zawawi Ibrahim, Seremban...

No comments:

Post a Comment