Pages

Friday, October 18, 2013

IBADAH KORBAN DI MASJID PULAU MAMPAT, REMBAU, NEGERI SEMBILAN...

Aku dan keluarga pulang untuk menyambut Aidil Adha 1434H di Rembau. Semenjak emak dan ayah tiada, aku jarang pulang berhari raya di kampungku di Taiping, Perak kerana rumah yang ditinggalkan telah disewakan kepada orang lain. Nak Berhari Raya dengan adik beradikpun rasanya tak sesuai, kerana mereka semuanya sibuk nak beraya bersama anak menantu dan cucu yang ramai. Nak tunggu mereka ada masa lapangpun kenalah tunggu bila semua anak menantu dah balik. Tapi pada masa tu, aku pun dah pulang ke Kuala Lumpur untuk memulakan tugas.

Tak apalah, mungkin bila ada masa kelapangan nanti aku akan mengunjungi mereka, tapi entah bila, aku pun tak tahu. Tak semestinya hari raya sahaja aku dapat berjumpa mereka. Dulu, semasa emak dan ayah masih ada, di hari pertama, kami semua akan berkumpul sambil menikmati juadah yang dimasak secara bergotong royong dan bermaaf-maafan. Sekarang semuanya tinggal kenangan.

Di Rembau, aku masih ada ibu mertua dan adik beradik sebelah isteriku seramai 6 orang. Jadi kemeriahan sangat-sangat di rasakan, apatah lagi, ramai saudara mara tinggal berdekatan. Jadi selepas sembahyang hari raya, kami akan mula ziarah menziarahi dan bertanya khabar.

Sembahyang hari raya Aidil Adha baru-baru ni, aku terlewat ke masjid dan semasa sampai di masjid Pulau Besar, sembahyang dah nak dimulakan. Pada hal, pagi tu selepas sembahyang subuh aku dah bersiap. 

Aku tengok, kat masjid tak ada seekor lembupun hendak disembelih, begitu juga jiran-jiran sebelah, tak ada yang membuat korban. Tahun lepas, meriah, sebab ibu mertuaku sendiri bersama 6 orang jiran membuat korban seekor lembu. Tempat penyembelihan pula di sebelah rumah, jadi meriahlah...di malam hari, kami buat BBQ dan menjemput semua jiran-jiran datang menikmati jamuan.

Pulang dari masjid dan selepas menikmati lemang bersama rendang daging arnab dan ayam kampung, aku bercadang nak ke Masjid Rembau untuk melihat orang membuat korban. Anakku dan sepupunya sibuk nak tengok orang sembelih lembu, kesian juga kalau aku tak penuhi hajat mereka. Bob (birasku) beritahu yang Masjid Pulau Mampat yang letaknya 500 meter dari Kg. Pulau Besar ada membuat korban sebanyak 6 ekor lembu. Katanya, program akan bermula 10 pagi nanti. Bila anak-anak aku tahu yang aku nak pergi sana, mereka semuanya gembira kerana hajat nak tengok orang sembelih lembu untuk dikorbankan tercapai juga..

Ketika sampai di masjid, seekor lembu telahpun disembelih walaupun aku lihat orang kampung ramai yang belum datang lagi. Rupa-rupanya baru aku tahu yang setiap seekor lembu telahpun ada petugas masing-masing dan orang yang tidak berkenaan hanya boleh tengok sajalah. Kalau dulu, pihak masjid mewar-warkan kepada semua penduduk kampung supaya datang beramai-ramai dengan masing-masing diminta membawa pisau untuk melakukan tugas-tugas melapah dan sebagainya. Itu yang membuatkan orang ramai datang membantu dan kemeriahan sangat dirasakan. Tetapi sekarang, yang hadir hanya 2 orang tukang sembelih, 7 orang atau wakilnya yang membuat korban, petugas-petugas yang telah ditetapkan dan beberapa orang yang datang sebab nak tengok. Yang datang tengok pula selepas majlis selesai, mereka pun balik. 

Cuma satu yang bagusnya, kerja cepat selesai, keadaan terkawal, tak ada orang yang ambil kesempatan atas daging korban dan tak ada yang kita tengok datang ramai, tapi duduk bersembang tak buat kerja.    

Aku yang datang bersama anak-anak dan sepupu mereka, telah mengambil masa hampir 2 jam untuk merakam gambar-gambar program korban untuk dikongsi bersama para pembaca blog yang setia terutama yang bukan beragama Islam supaya mereka mendapat info yang tepat bagaimana penyembelihan korban dilakukan oleh umat Islam. Di samping itu banyak maklumat lain tentang Islam yang boleh dibaca di blog-blog. Sebab itu penulis blog hendaklah bertanggungjawab tentang artikel yang dikeluarkan terutamanya tentang Agama Islam supaya pembaca dan penganut agama lain tidak keliru dengannya.     
 
Video rakaman penyembelihan korban yang telah aku pos ke youtube...

Masjid Pulau Mampat tempat program korban dilakukan...

6 ekor lembu yang akan dikorbankan...





Lembu ini sangat ganas dan petugas-petugas 
mengambil masa yang lama untuk menumbangkannya...



Lembu yang telah disembelih dan sedang dilapah oleh para petugas...


Ramai anak-anak yang hadir untuk menyaksikan
 upacara penyembelihan korban...


Nama-nama yang melakukan korban sedang diumumkan...




Orang tak berapa ramai yang hadir sepertimana 
yang ceritakan di perenggan 7 di artikel...

















Kaum wanita pun turut hadir dan ada diantaranya 
yang ditugaskan memasak untuk para petugas...





Salah seorang tukang sembelih (songkok coklat)...








































Setiap daging perlu ditimbang untuk memudahkan
 agihan samarata kepada penduduk kampung...




























No comments:

Post a Comment