Pages

Friday, March 28, 2014

TUMBUHAN DAN KESIHATAN...

 KUCAI REDAKAN MASALAH SENGGUGUT

 
Pokok Kucai...

KUCAI sejenis sayur yang menyerupai pokok bawang berasal dari keluarga lili. Tumbuhan ini tengik baunya tetapi enak dimakan sama ada sebagai sayur atau ulam.

Kucai mengandungi vitamin B dan C, karotin dan komponen belerang. Ia bernilai tinggi dalam dunia perubatan tradisional, khususnya untuk mengubati senggugut, penyakit keputihan, darah tinggi dan sembelit.

Kucai bertindak sebagai antiseptik untuk membunuh kuman bakteria dalam usus dan menjadi perangsang dalam proses pengecutan serta pengembangan usus. Ia juga melancarkan pengaliran darah, sekali gus menghindarkan pembekuan darah.

Cara penggunaannya adalah dengan memotong daun kucai kecil-kecil sebelum dimasak seperti sayur. Daunnya dimakan bersama-sama nasi manakala kuahnya dihirup. Lebih mujarab jika air rebusan kucai diminum pada setiap pagi.

Satu lagi cara ialah dengan menumbuk daun kucai hingga lumat kemudian dikacau dengan air panas lalu diminum. Cara ini amat berkesan untuk menurunkan tekanan darah tinggi, penyakit keputihan serta senggugut. 
  
 JAGUNG ATASI MASALAH KENCING


Buah Jagung...

JAGUNG diketahui umum sebagai sejenis makanan berkhasiat. Berasal dari keluarga Gramineae, tumbuhan itu yang dikenali dari segi saintifik sebagai Zea Mays kaya dengan protein, vitamin B, kalsium, fosforus, zat besi dan sejenis minyak bermutu tinggi yang baik untuk kesihatan.

Amalan memakan jagung boleh menguatkan tulang, gigi, rambut dan hati. Ia juga menurunkan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah, melancarkan pengaliran darah serta melawaskan kencing.

Jagung dan produk-produk jagung seperti emping, minyak, tepung dan kanji, amat baik dimakan oleh mereka yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi, diabetis dan batu karang. Ia juga sesuai diamalkan oleh mereka yang menghadapi masalah ketika membuang air kecil seperti kencing yang tidak dapat ditahan, kencing terlalu kerap, sakit ketika kencing dan radang pundi kencing.

Semua bahagian pokok jagung bernilai tinggi dalam perubatan tradisional. Kulit jagung berkesan untuk mengatasi kesulitan ketika membuang air kecil. Bulu jagung yang halus merangsang serta melawaskan kencing, menguatkan hati dan menurunkan tekanan darah.

SENDUDUK UBATI PENYAKIT KEPUTIHAN

Pokok Senduduk...

SENDUDUK sejenis tumbuhan renek yang tumbuh liar di kawasan terbiar. Berasal dari keluarga Melastomaceae, tumbuhan ini yang juga dikenali sebagai keduduk atau akar keduduk hitam, bernilai tinggi dalam perubatan tradisional.

Daun senduduk, yang kasar di bahagian bawah, merupakan penawar bagi wanita-wanita yang mengalami masalah akibat penyakit keputihan.

Ia direbus dengan sedikit gula dan halia dan diminum sehari sekali. Lebih mujarab jika dimasukkan daun bonglai dan diamalkan selama sebulan. Air rebusan daun senduduk juga berkesan untuk meredakan cirit-birit.

Cacar biasanya meninggalkan parut-parut hodoh di muka dan seluruh anggota badan. Ia boleh menjejaskan kecantikan jika dibiarkan tanpa perhatian.

Salah satu cara tradisional untuk menghilangkan parut-parut itu ialah dengan menggunakan daun dan akar senduduk. Kedua-dua bahagian itu ditumbuk halus kemudian dilumurkan ke seluruh badan dan muka dan dibiarkan kering. Kaedah itu juga berkesan untuk mengubati buasir.

Satu lagi kegunaan senduduk, yang dikenali sebagai Melastoma Malabathricum Linn dari segi saintifik, ialah untuk melegakan sakit gigi. Akarnya direbus dan airnya digunakan untuk berkumur.


Air rebusan akar senduduk juga mujarab untuk dibuat mandi bagi melembutkan kaki serta membuang angin, sekali gus menyegarkan badan. 


 KULIT KAYU MANIS ATASI MASALAH HAID
  
Kulit Kayu Manis...

HAID sering kali menimbulkan masalah dan kesengsaraan pada wanita. Senggugut, sakit pinggang dan jerawat adalah di antara masalah-masalah yang dialami akibat perjalanan darah haid yang tidak betul atau tidak sempurna.

Terdapat berbagai-bagai cara dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah-masalah berpunca daripada haid. Salah satu daripada kaedah-kaedah tradisional itu ialah dengan menggunakan kulit kayu manis, sejenis herba yang lazimnya digunakan sebagai bahan pewangi dalam masakan.

Berasal dari keluarga Lauracea, kulit kayu manis yang dikenali sebagai Cinnamomum Zeylanicum dari segi saintifik, direbus hingga mendidih sebelum diminum pada setiap pagi, tiga atau empat hari sebelum didatangi haid.

Amalan itu berkesan bagi mengatasi atau sekurang-kurangnya meredakan kesakitan dan kesengsaraan berpunca daripada haid.

Selain daripada itu, kulit kayu manis mujarab untuk meredakan masalah perut meragam. Ia berfungsi memanaskan perut, sekali gus menghilangkan kesakitan.

Kaedah itu juga berkesan untuk mengatasi masalah badan yang kesejukan serta melegakan kesakitan di bahagian abdomen dan pinggang. Ia amat sesuai diamalkan oleh wanita-wanita yang berada dalam pantang selepas melahirkan anak ataupun mereka yang sering kali mengalami kesakitan di ba­hagian pinggang, perut, kaki atau semasa didatangi haid. 


PETAI BELALANG PENAWAR KENCING MANIS


Petai Belalang...

PETAI belalang sejenis tumbuhan tempatan yang lazat dimakan mentah sebagai ulam atau dimasak sambal.

Dalam perubatan tradisional, tumbuhan itu dikenali dengan khasiatnya untuk mengubati penyakit kencing manis.

Akarnya direbus bersama-sama tiga cawan air. Biarkan kering sehingga tinggal satu cawan. Selawat tiga kali dan minum sehari sekali.

Dikenali sebagai leucaena leucocephala dari segi saintifik, petai belalang juga berkesan untuk merawat batuk dan demam campak.

Daun-daun muda ditumbuk bersama-sama beras kemudian ditampal pada kerongkong untuk meredakan batuk. Boleh juga disapu pada seluruh badan untuk mengubati kudis campak.

Daun petai belalang juga berkesan untuk mengatasi masalah kelemumur atau kulit bersisik. Daunnya dibakar manakala abunya dicampur dengan minyak kelapa sebelum digosok ke kulit kepala. Balut dengan plastik pembalut rambut dan biarkan selama sejam sebelum dibilas dengan air bersih. Juga digosok-gosok ke bahagian kulit yang bersisik.

Untuk masalah kayap, rebus pucuk daun petai belalang dengan tawas. Air rebusan itu digunakan untuk mandi dan membersihkan badan.
 
BUNGA KENANGA HILANGKAN BAU KETIAK


 

Bunga Kenanga...

KETIAK yang berbau sering kali menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan. Penggunaan produk-produk moden yang banyak diedarkan di pasaran kadang kala kurang berkesan untuk menghilangkan bau ketiak.

Satu cara dalam perubatan tradisional yang mujarab untuk menghilangkan bau ketiak ialah dengan menggunakan bunga kenanga, sejenis tumbuhan tempatan yang harum baunya berwarna hijau kekuningan.

Ambil enam atau tujuh kuntum bunga kenanga, bersihkan kemudian direbus dengan enam helai daun sirih dan dua gelas air. Masukkan secubit garam. Biarkan hingga mendidih hingga airnya tinggal segelas.

Tapis, masukkan gula merah secukupnya dan minum dua kali seminggu. Bunga kenanga juga dipotong kecil-kecil dan dicampur dengan bedak sejuk bagi menghilangkan bau hapaknya. Bedak berbau wangi semasa dipakai di muka dan badan.

ROZEL LEGAKAN DEMAM DAN BATUK

Pokok Rozel...

ROZEL sejenis tumbuhan tropika yang berbatang dan bertangkai merah, berbunga merah jambu dengan daunnya warna hijau berbentuk seperti tapak tangan.

Dikenali sebagai hibiscus sabdariffa dari segi saintifik, rozel yang juga dikenali sebagai asam paya atau asam susur mengandungi pewarna asli dikenali sebagai hibisin dan gossypetin yang banyak digunakan dalam industri minuman.

Selepas bunga rozel gugur, buah atau apa yang sebenarnya disebut kaliks akan tamkib dengan cepat. Kaliks yang berwarna merah itu mujarab dalam peru- batan tradisional untuk mengubati luka dan batuk.

Ia kaya dengan asid sitrik, asid malik dan asid askorbik (vitamin C) dan berkesan dalam rawatan untuk meredakan batuk.

Jus daripada kaliks yang dikeringkan berkhasiat dalam perawatan tradi­sional bagi mengubati demam dan membunuh cacing pita.


POKOK DUKUNG ANAK TURUNKAN 
TEKANAN DARAH TINGGI


Pokok Dukung Anak...

ILMU perubatan tradisional menawarkan berbagai kaedah untuk mengubati penyakit darah tinggi. Salah satu daripada kaedah-kaedah itu ialah dengan menggunakan pokok dukung anak, sejenis tumbuhan liar yang boleh ditemui di kawasan terbiar atau di tepi jalan atau parit.

Seluruh bahagian tumbuhan itu direbus dan airnya diminum pada setiap hari untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Kaedah yang sama juga berkesan untuk mengubati cirit-birit.

Air perahan daripada pokok dukung anak juga boleh digunakan untuk mengubati luka dan kudis. Titiskan air perahan itu ke bahagian yang luka dan berkudis sekerap mungkin selama beberapa hari sehingga sembuh.

Pokok dukung anak juga dikenali sebagai amin buah atau keman jolok juga dikatakan mujarab untuk mengubati demam kuning yang kerap melanda bayi-bayi yang baru dilahirkan.

Pokok itu dimasak dengan sedikit susu kambing dan diberi minum pada bayi. Kaedah yang sama juga dikatakan berkhasiat untuk merawati penyakit hepatitis. Amalkan pada setiap hari selama beberapa bulan dan lihatlah keadaannya.

PERINGATAN: Pengubatan menggunakan pokok dukung anak tidak sesuai bagi mereka yang menghidap penyakit batu karang.

No comments:

Post a Comment