Pages

Tuesday, April 8, 2014

MAHARAJA BOKASSA YANG ZALIM...

Maharaja Jean Bedel Bokassa...

RAJA YANG GEMAR MAKAN DAGING MANUSIA...


JEAN Bedel Bokassa, bekas 'maharaja' di Republik Afrika Tengah telah meninggal dunia dalam usia 75 tahun, sekali gus mengakhiri babak keemasan zaman pemerintahan untuk dirinya. Namun demikian, rakyat negara itu menganggap dia merupakan seorang kepala ne­gara yang cukup menggerunkan dalam sejarah negara itu.

Sikapnya memang zalim. Antaranya ialah membunuh bayi-bayi yang baru lahir dan tidak diingini. Kegemarannya yang paling mengerikan ialah memakan daging manusia. Malahan daging manusia dianggap seperti daging binatang. Dia sanggup menyediakan peti ais untuk menyimpan daging-daging itu untuk memenuhi seleranya. Salah seorang tukang masaknya memberitahu mahkamah bahawa dia pernah menggoreng daging manusia untuk santapan Bokassa.

Malah salah seorang daripada 55 orang anak Bokassa, Jean Charles menggambarkan karakter ayahnya.

"Dia seorang ayah yang baik yang selalu mengambil berat mengenai pendidikan dan keperluan setiap anggota keluarga.

"Sebagai seorang tokoh politik, dia adalah seorang yang berfikiran nasionalis tetapi Bokassa sering berada di kediamannya setelah masyarakat menggambarkannya sebagai "gergasi' pemakan manusia," jelas Jean Charles, 55.

Semasa mudanya, Bokassa mempunyai cita-cita awal menjadi paderi tetapi akhirnya memilih menjadi tentera sewaktu zaman kolonial Perancis. Semasa dia menjadi pegawai tinggi angkatan tentera dia telah menumbangkan kerajaan yang dipimpin anak saudaranya sendiri, David Dacko.

Bokassa yang merampas kuasa pada tahun 1966 dan kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja pada tahun 1977. Mahkotanya sahaja bernilai AS$5 juta dan perayaan besar-besaran diadakan sempena perlantikannya sebagai maharaja sehingga perbelanjaannya mencapai seperempat pendapatan negaranya. Sempena per­lantikannya sebagai maharaja, beliau menggelarkan dirinya Napoleon Bonaparte.

Semasa pemerintahannya, terdapat cerita yang mengatakan Bokassa menghadiahkan emas dan menyumbangkan wang kepada bekas Presiden Valery Giscard d' Estaing dalam kempen pilihan raya presiden. Pada 1979 Bokassa dibuang dari negaranya kerana disabitkan dengan kesalahan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Afrika Tengah yang baru dan menggelapkan wang negara. Dia dijatuhkan hukuman bunuh, tetapi kemu­diannya hukuman itu diringankan. Semasa dalam buangan, Bokassa pernah tinggal di Lib­ya dan Ivory Coast. 


Pada 1986 Bokassa kembali semula ke nega­ranya. 'Raja kuku besi' ini sepatutnya dihukum mati pada 1987 kerana melakukan banyak pembunuhan. Namun demikian sekali lagi nasib menyebelahi dirinya apabila panglima tentera waktu itu, Andre Kolingbe telah meringankan hukuman. Beliau dipenjarakan dan kemudian dibebaskan pada 1993 di waktu transisi politik ke arah demokrasi.

Walaupun 'raja kanibal' ini mengalami zaman kejatuhannya, namun beliau tetap mem­punyai impian untuk terus memerintah. Bokassa telah menulis surat kepada Presiden Angle-Felix Patasse untuk mendapatkan pengampunan penuh.

Bokassa berharap agar permintaan beliau dikabulkan untuk membolehkan dia bertanding kembali dalam pilihan raya 1999 merebut jawatan presiden mengikut lunas-lunas demo­krasi. "Apabila saya ke luar, ramai orang berkumpul meraikan saya," jelas beliau kepada wartawan di rumahnya di Bangui.

Sejak kembali dari Ivory Coast, Bokassa hanya menerima rawatan di dalam rumahnya sahaja. Pada 3 November 1996, radio rasmi negara itu telah mengumumkan kematiannya akibat sakit jantung, buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Muzik berirama perlahan dimainkan sebagai tanda berkabung dan diselangi dengan petikan-petikan ucapannya yang penting.

"Kenapa Perancis campur tangan di negara ini walaupun untuk menangani masalah yang kecil? Bagi saya, Perancis cuma ingin mengambil kesempatan kerana di sini terdapat banyak emas," katanya semasa masih berada di puncak pemerintahan.

Semasa menjadi kepala negara, Bokassa melaksanakan undang-undang negara secara paksaan. Dia juga didakwa terlibat dalam pelbagai kegiatan perniagaan di negaranya untuk menghimpun kekayaan kerana belanja diri dan keluarganya adalah amat besar. Satu ketika Bokassa memaksa semua pelajar negaranya menukar uniform sekolah. Ke­mudian timbul bantahan daripada ibu bapa di atas dasar itu. Tanpa berfjkir panjang Bokassa menghantar bala tenteranya ke sekolah dan membunuh para pelajar yang menunjuk perasaan menentang penukaran uniform sekolah-sekolah yang dicadangkan.

Mengapa Bokassa bertindak begitu? Mengikut laporan Bokassa dikatakan mempunyai saham di atas syarikat kain pakaian sekolah yang sekiranya diingkari membawa kerugian kepada dirinya dan negara. Sebab utama Bokassa tidak begitu diminati oleh Barat ada­lah kerana mahu mempamerkan dirinya sebagai pemerintah dengan membelakangkan hak asasi manusia. Dia dilihat oleh Barat sebagai seorang pemimpin yang gila dan hidupnya adalah bergelumang dengan seks, pembunuhan dan kekejaman yang menyebabkan rakyat takut kepadanya.

No comments:

Post a Comment