Pages

Friday, May 23, 2014

EPAL BA' KELALAN RANUM DI SEBALIK GUNUNG...

Dulu masa kecil-kecil di sekitar tahun 60an, payah aku nak dapat makan buah epal sebab harganya mahal. Ayah pula tak mampu nak beli. Kalau belipun tak cukup sebab adik beradik ramai.

Kalau epal ayah tak mampu beli, memang logiklah sebab ia merupakan buah yang dimport dari luar negara dan harganya tentulah mahal. Bukan saja buah import, buah-buahan tempatan pun kami payah juga nak makan sebab ayah tak ada kebun buah-buahan. Atok dan opahpun tak ada kebun juga. Memang kami tak punya apa-apa langsung. Harta yang bernilai bagi emak dan ayah ialah kami anak-anaknya seramai 16 orang.

Ayah dan emak sangat bersyukur kerana kami semua tidak banyak memberikan masalah kepada mereka sehinggalah kami semua meningkat dewasa dan membina kerjaya masing-masing serta keluarga.

Kini ayah dan emak telahpun pergi meninggalkan kami semua menyahut seruan Ilahi. Al fatihah untuk kedua-dua orang tuaku.  

Zaman telah berubah. Buah-buahan bukan lagi merupakan benda yang susah didapati atau dibeli kerana ianya sudah menjadi buah yang 'biasa-biasa' dan bersepah dijual di pasar-pasar terutamanya pasar malam, Bukan di pasar malam atau di pasaraya besar sahaja, di tepi-tepi jalan pun ramai orang yang menjualnya malah kualitinya lebih baik dan segar dari yang dijual di pasaraya kerana ianya dipetik terus dari pokok di dusun mereka sendiri yang berhampiran seperti buah durian, manggis, rambutan, mangga dan sebagainya.

Sekarang ini, banyak majalah-majalah yang menerbitkan artikel mengenai tanaman buah-buahan cara moden dan komersial seperti yang ingin aku kongsikan bersama para pembaca yang budiman. Kali ini kisah yang akan dipaparkan ialah mengenai projek tanaman epal yang diusahakan oleh Pak Tagal Paran di kebunnya di Ba' Kelalan, Lawas, Miri, Sarawak.

Mari kita ikuti kisahnya...



Ketika penduduk lain gigih mengusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal telah memilih epal sebagai tanaman 'ranum di sebalik gunung' di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Sarawak. 


Pak Tagal Paran...

“Do’ MECING TUNGE' BA'KELA-LAN", demikian ungkapan mesra orang gunung dari suku kaum Lun Bawang untuk mengucapkan 'selamat datang' kepada sesiapa jua terutama para pelawat yang berkunjung ke Ba'Kelalan, iaitu sebuah daerah pendalaman tanah tinggi bergunung ganang yang terletak di bahagian Timur Laut Negeri Sarawak, Bumi Kenyalang.

Jika sesiapa yang hendak berkunjung melihat panorama lembah epal Ba'Kelalan, pilihan perjalanan terbaik ialah dengan menggunakan pesawat MASWings daripada bandaraya Miri menuju ke bandar Lawas yang mengambil masa 45 minit, sebelum menaiki semula pesawat dari Lawas menuju ke Ba'Kelalan yang akan mengambil masa selama 40 minit. 

Ba'Kelalan terletak bersebelahan dengan Sabah di bahagian utaranya dan tidak jauh pula dengan negara Brunei Darussalam serta dipisahkan oleh banjaran Apo Duat di bahagian timur dengan Kalimantan Barat, Indonesia telah menjadikan Kampung Buduk Nur amat dikenali sebagai salah satu daripada tiga buah kampung di situ sebagai pusat tanaman epal terbesar di negara ini. 



Populariti dan keharuman nama Ba'kelalan bagaikan sinonim dngan seorang warga emas yang cukup dihormati oleh masyarakat Lun Bawang disitu. Ketika penduduk lain gigih megusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal telah memilih epal sebagai tanaman 'ranum di sebalik gunung' di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Sarawak. 

Kini populariti ladang epal seluas tiga hektar yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu itu mengatasi populariti beras adan iaitu beras berkualiti tinggi yang juga ikon produk dari penempatan suku kaum Lun Bawang itu.


Kejayaan tersebut menjadikan lelaki berusia 79 tahun itu sebagai individu 'terpenting' dan paling popular setiap kali masyarakat Ba'Kelalan menerima kunjungan pelawat. 

 

Wartawan Majalah Agro Malaysia terpanggil untuk menelusuri dan mengimbas kembali sejarah penanaman epal di Ba'Kelalan. Menjejakkan kaki selama empat hari bermula 7 Mac 2012 di tanah tinggi Ba'Kelalan ini telah menemukan kami dengan Pak Tagal Paran iaitu insan gigih yang dianggap wira epal di negara ini. Tagal Paran telah meneruskan legasi adiknya Angrew Balang Paran yang telah membawa masuk epal ke tengah-tengah Pulau Borneo sekitar tahun 1974 semasa adiknya melawat Jawa Timur, Indonesia.

Pak Tagal sebenarnya boleh tersenyum riang kerana berkat kepercayaan adiknya sendiri untuk beliau menyambung usaha melestarikan ladang epal telah menjadikan Ba’ Kelalan sebagai ‘apple valey yang mempunyai potensi besar menerjah pasaran epal dunia. 

 

Sekurang-kurangnya 5 juta tan epal telah ditanam di seluruh dunia pada tahun 2005 dengan Negara Cina mencatatkan pengeluar terbesar epal dunia diikuti Amerika Syarikat, Iran, Turki, Rusia, Itali, India, Perancis, Chile dan Argentina. Malaysia telah menemukan epalnya di suatu daerah tanah tinggi di Ba’ Kelalan yang diusahakan oleh keluarga Tagal Paran.

Walaupun Pak Tagal juga memiliki sawah padi yang menghasilkan beras adan di situ, namun beliau kelihatan lebih menumpukan perhatian terhadap epal sebagai tanaman utama di tanah ladangnya yang bersebelahan dengan lapangan terbang kecil di Ba'Kelalan, Lawas. 


"Tiada orang lain yang akan dicari, mereka semua mahu mendengar cerita epal daripada Pak Tagal," ujar Sang Sigar, iaitu guru penolong kanan Sekolah Kebangsaan Ba'Kelalan yang sempat kami temui.

Setiap tahun ribuan pelancong akan berkunjung ke Ba'Kelalan. Masa paling sibuk adalah ketika festival menuai epal yang diadakan pada bulan April setiap tahun.

Ba'Kelalan pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut mempunyai suhu rendah sepanjang tahun yang membolehkan epal atau nama saintifiknya Malus Domestica serta tanaman lain seperti strawberi, anggur, limau dan tomato hidup subur di situ.

Umum menyedari tentang kewujudan epal di Ba'Kelalan tetapi tidak ramai yang mengetahui keistimewaan epal tempatan itu. Pengalaman memetik dan menikmati epal segar di ladang Rata Farm Sdn. Bhd. milik Pak Tagal itu telah meninggalkan kenangan manis buat sesiapa yang berkunjung ke situ.

Hasil kaedah pertanian yang dipertingkatkan, terdapat empat jenis epal yang terhasil iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty yang ditanam di situ hampir menyamai kualiti epal yang diimport.


Menurut Pak Tagal, sebanyak 1.5 tan epal dituai daripada 3,000 pokok epal pada setiap musim. Setiap pokok boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 300 biji epal. Namun, jumlah itu hanya mencukupi untuk pasaran di sekitar Miri, Lawas, Kota Kinabalu dan Brunei. Menyedari bahawa tanaman epal di sini semakin mendapat perhatian, maka Pak Tagal menyatakan hasratnya untuk pergi ke Indonesia mengambil benih-benih baru untuk memperluaskan lagi tanamannya.

"Permintaan sangat tinggi dan antara yang paling mendapat sambutan adalah epal jenis Manalagi kerana rasanya yang manis, rangup dan bau yang harum. la dijual pada harga RM10.00 sekilogram.

"Dari segi saiz epal di sini tidaklah terlalu kecil. Berat lebih kurang 200 gram sebiji dan yang paling berat pernah dituai adalah 500 gram," jelas Pak Tagal Iagi.
Selain rasanya yang sedap, keistimewaan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana mempunyai dua musim sedangkan di negara-negara beriklim sejuk lain, epal hanya berbuah sekali setahun. 


 


Rahsianya melalui teknik 'musim sejuk tiruan' yang dilakukan dengan menanggalkan daun-daun pokok secara manual. Selepas daun digugurkan, pokok epal biasanya akan berbunga dan berbuah semula. Teknik ini hanya boleh dilakukan beberapa minggu selepas musim menuai," jelas beliau.

Selain itu, kelebihan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana penggunaan racun serangga yang minimum, malah langsung tidak menggunakan pengilat lilin seperti kebanyakan buah epal yang diimport.

Cuma cabaran utama pada masa kini adalah kerja-kerja pemasaran kerana kawasan ini bergantung kepada pengangkutan udara (MASWing) tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan juga hari Sabtu, manakala jalan darat yang menghubungkan Bandar Lawas dengan Ba'Kelalan hanya boleh dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda secara adventure dengan mengambil masa selama empat jam. 


 


Perjalanan balik kami meninggalkan lembah epal Ba'Kelalan dengan menggunakan jalan darat menuju ke Lawas membuatkan kami semakin terpesona menikmati keindahan flora dan suasana rimba di sepanjang laluan pergunungan.

Perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Bronie amat meyakinkan kami untuk datang kembali ke bumi Ba'Kelalan.

"Laluan darat yang telah dibina menghubungkan Ba'Kelalan dengan Lawas telah dapat membantu bagi merubah masa depan epal di Ba'Kelalan," ujar Pak Tagal dengan penuh harapan.

"Kerja-kerja penyelidikan (R&D) amat perlu dilakukan bagi memastikan kualiti epal ini. Buat masa ini tugas menguruskan ladang bergantung kepada pengalaman dua pekerja Indonesia yang dibawa masuk dari Jawa Timur. 


"Saya percaya, banyak pihak di luar sana yang berminat untuk datang membuat kajian tentang tanaman epal yang pertama di Malaysia yang hanya terdapat di sini (Ba'Kelalan)," jelasnya sambil menuding jari ke arah dua orang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah yang sedang melakukan praktikal selama tiga bulan di ladangnya.

Siti Wardah, 20, dari Kelang, Selangor dan Marthina Kutu keturunan suku kaum Bidayuh dari Serian, Sarawak, merupakan dua orang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika ditemui berkata, projek ini bertujuan mengkaji aspek-aspek berkaitan penanaman epal di kawasan itu. 


 


Kajian yang dilakukan termasuk pemeriksaan kesesuaian dan kesuburan tanah, keamatan cahaya, kandungan klorofil daun dan mengenal pasti baka-baka yang terbaik.

"Selain itu, kami juga akan merekodkan jenis-jenis penyakit yang menyebabkan kecacatan dan kerosakan pada pokok-pokok epal dan cara untuk mengatasi masalah ini" jelas mereka lagi.

"Kami menghabiskan masa sepanjang hari di kebun Pak Tagal, walaupun ladang ini tidak luas, tetapi banyak perkara yang boleh kami pelajari," akui Siti Wardah yang lebih senang dengan panggilan Wada.
Sementara itu, Pak Tagal menyatakan bahawa pihak Jabatan Pertanian dan juga MARDI pernah datang ke ladangnya untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai penanaman epalnya, namun begitu, beliau merasakan masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menjadikan epal sebagai pasaran baru negara ini.

Di samping itu, beliau juga akan mengusahakan penubuhan sebuah koperasi epal Ba'Kelalan yang bertujuan untuk mengaplikasikan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduk tempatan untuk penanaman epal secara komersial.

Menurutnya usaha ini memerlukan keazaman dan juga kesediaan pemilik-pemilik tanah yang terbabit dengan menceburkan diri dalam koperasi yang bakal ditubuhkan supaya Ba'Kelalan muncul sebagai 'lembah epal ranum di sebalik gunung' yang mampu mengetengahkan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar epal terbesar di rantau ini.

Jika impian ini menjadi kenyataan, Ba'Kelalan bukan sahaja dikenali sebagai lembah epal ranum di sebalik gunung, malah ia muncul sebagai satu lagi produk agro pelancongan yang bakal menggamit kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Akomodasi penginapan Apple Lodge adalah satu-satunya inap desa yang terdapat di Ba'Kelalan milik keluarga Tagal Paran. Lokasinya yang bersebelahan dengan lapangan terbang kecil Ba'Kelalan telah menjadikan Apple Lodge sebagai mahligai epal yang menjadi tumpuan kedatangan pelancong yang ingin menikmati keindahan dan kedamaian sepanjang mereka berada di Ba'Kelalan.

Apple Lodge tidak hanya berada di Kampung Buduk Nur, Ba'Kelalan malah ia juga terdapat di bandaraya Miri. Mutang Tagal (anak Pak Tagal) yang juga pemilik firma guaman Mutang & Sam di Miri merupakan orang penting dalam syarikat Tagal S Paran Holdings (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan Apple Lodge di Ba'Kelalan dan juga di Miri.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Limbang/Lawas selama dua penggal sekitar tahun 80an juga merupakan seorang tokoh korporat yang bertangungjawab menguruskan rangkaian perniagaan milik keluarganya Semaring Group yang berteraskan perniagaan oil & gas, pembinaan & hartanah, kuari, perkhidmatan marin dan perkapalan. Syarikat kumpulan ini juga begitu aktif dalam bidang agro pelancongan yang dikendalikan oleh Borneo Jungle Safari Sdn. Bhd.

Manakala empayar Tagal Paran bukan sahaja dominan dengan perladangan epalnya, malah keluarga Pak Tagal juga amat dikenali sebagai penggerak komuniti Lun Bawang yang membawa sinergi masa hadapan kepada Ba' Kelalan yang menjadi syurga tersembunyi pendalaman Sarawak. Kepada mereka yang menggemari keindahan flora dan fauna, sungai, gunung dan hutan safari, eloklah kita semua bertandang ke Ba'Kelalan sambil menikmati manisan dan kerangupan epalnya.





Dipetik dari Majalah Agro Malaysia...

4 comments:

  1. boleh sy tau dimana epal Ba'kelalan dijual di kota kinabalu sabah?....tq

    ReplyDelete
  2. Baru balik dari ba'kelalan...ladang epal dah xder...sudah jd hutan belukar...

    ReplyDelete